Monday, July 16, 2012

Memintas Plaza Tol Perling di Lebuhraya Taman JB E3 / Shunpiking the Perling Toll Plaza at JB Parkway E3

Salam sejahtera,

Iskandar Malaysia, atau lebih dikenali sebagai kawasan metropolitan Johor Bahru, adalah kawasan metropolitan kedua terbesar di Malaysia. Pertumbuhan urbanisasinya merebak dari pusat bandar raya Johor Bahru ke arah timur melalui Lebuhraya Pasir Gudang FT17, ke barat melalui Lebuhraya Taman Johor Bahru E3 (serta Lebuhraya Pantai Iskandar), dan ke utara melalui Lebuhraya Skudai FT1 dan Lebuhraya Tebrau FT3. Bandar raya kedua terbesar di Malaysia ini mula berkembang dengan begitu pantas sejak pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 sebagai pintu masuk utama ke Malaysia dari negara pulau tersebut. Kini, kawasan metropolitan Johor Bahru dinamakan secara rasminya sebagai Iskandar Malaysia oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Salah satu daripada komponen utama Iskandar Malaysia ialah pemindahan kompleks pentadbiran kerajaan negeri Johor dari Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan ke Kota Iskandar di Nusajaya, sebuah bandar terancang dekat Gelang Patah yang dibina dengan konsep yang sama seperti Putrajaya. Namun demikian, bandar raya Johor Bahru kekal sebagai ibu negeri Johor.

Sebelum Lebuhraya Pantai Iskandar yang tidak mengenakan sebarang kutipan tol dibina sebagai laluan utama dari Johor Bahru ke Nusajaya, penjawat awam perlu menggunakan Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) E3 melalui Lebuhraya Taman Johor Bahru, salah satu komponen utama dalam Lebuhraya Linkedua dari Taman Perling ke Gelang Patah, sebagai satu-satunya laluan ke Nusajaya. Asalnya ia sepatutnya disambung sehingga ke Pontian, tetapi entah apa sebabnya jajaran Hubungan Pontian dari Exit 307 Persimpangan Pulai hanya dibuat sekerat jalan sehingga ke Gelang Patah melalui Jalan Ulu Choh J7; pengguna yang hendak ke Pontian perlu meneruskan perjalanan melalui J7 dan Jalan Johor FT5. Memandangkan Lebuhraya Linkedua ini bertol, ia sudah tentulah membebankan penjawat awam yang terpaksa berulang-alik agak jauh dari pusat bandar raya.



Jadi, bagaimana hendak memintas Plaza Tol Perling yang E3 ini? Mudah saja. Dari arah Lebuhraya Pasir Gudang FT17, sebaik tiba di Taman Perling, belok kiri ke Persiaran Perling 1 (mercu tanda utama: Perling Mall). Jalan terus sehingga ke penghujungnya di mana anda akan ditemukan dengan Lebuhraya Pantai Iskandar. Belok kanan dan ambil lorong paling kiri. Keluar dari Lebuhraya Pantai Iskandar dan belok kanan ke Jalan Sungai Danga J106 sehingga tiba di persimpangan lampu isyarat pertama. Di persimpangan tersebut, belok kiri ke Persiaran Indah. Jalan terus (ambil pusingan pukul 12) di bulatan besar Bukit Indah. Teruskan perjalanan sehingga tiba di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Bukit Indah dan belok kanan untuk masuk ke E3 sehingga ke Nusajaya.

Dari arah Nusajaya, hanya lakukan secara bertentangan, tetapi setelah tiba di Perling Mall, anda akan dilencongkan ke arah Plaza Tol Perling, jadi anda hanya perlu membuat pusingan U betul-betul sebelum Plaza Tol Perling untuk ke pusat bandar raya.

Setelah siapnya Lebuhraya Iskandar, maka anda tentunya tidak perlu membuat pusingan jauh untuk memintas Plaza Tol Perling, tetapi anda masih boleh menggunakan laluan pintasan ini untuk ke arah utara melalui Lebuhraya Linkedua E3. Selamat mencuba!

3 comments:

  1. Honda future klu gigi blkng 37 dpn 14 bkn pick up ke lebih.??

    ReplyDelete
  2. Honda future klu gigi blkng 37 dpn 14 bkn pick up ke lebih.??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pecutan memang meningkat, tetapi kelajuan maksimum pula akan menurun.

      Delete

Advertisement