Monday, July 16, 2012

Apa Kejadahnya: Bas ekspres atau keranda ekspres? / What The Hell: Express bus or express coffin?


BUKTI sebuah bas ekspres yang dipandu laju hampir mencecah 100 km/j bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka. (Gambar dari Utusan Malaysia)



Salam sejahtera,

Tidak lama lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang mulia, di mana umat Islam diwajibkan untuk berpuasa bukan sahaja bagi menahan rasa lapar dan dahaga, tetapi juga menahan daripada melakukan segala perbuatan yang keji dan terkutuk. Kejayaan umat Islam mengharungi bulan Ramadan ini akan diraikan dalam perayaan Aidilfitri yang menyaksikan berjuta-juta rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan tersebut bersama-sama ahli keluarga dan orang tersayang, tak kiralah sama ada berkereta, bermotosikal, ataupun menaiki kenderaan awam sama ada kereta api mahupun bas.

Namun, apa yang menyedihkan ialah tidak semua yang tiba ke kampung halaman dalam keadaan bernyawa; ada yang tiba ke kampung dalam keadaan patah riuk gara-gara terlibat dalam kemalangan jalan raya. Lebih menyayat hati, ada di antara mereka sudah tidak bernyawa akibat kemalangan.

Di manakah silapnya? Terus-terang saya katakan, pemandu Malaysia hari ini tidak sama seperti beberapa puluh tahun dahulu. Jika dahulu, pemandu Malaysia rata-ratanya memandu dengan cermat dan penuh berhati-hati. Mereka tetap sabar walaupun perjalanan mereka mengambil masa yang lama; sebelum Lebuhraya Utara-Selatan E2 dibina, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru memakan masa antara 6-7 jam, sedangkan hari ini perjalanan yang sama hanya memerlukan masa 3 jam setengah sahaja. Mereka bertimbang rasa sesama mereka; kalau mereka beralah pun masa perjalanan tetap sama memandangkan keadaan jalan persekutuan yang berkelok-kelok, berbukit-bukau serta banyak melalui kawasan kampung, pekan dan bandar yang tidak mengizinkan mereka untuk memandu terlalu laju. Sekarang? Anda sendiri pun tahu jawapannya.

Pemandu bas ekspres adalah salah satu golongan yang sering mengingkari peraturan jalan raya. Saya bukanlah bermaksud pemandu lain semuanya alim macam malaikat, tetapi saya tekankan mengenai pemandu bas ekspres kerana mereka diamanahkan untuk mengangkut lebih kurang 40 manusia bagi setiap perjalanan dalam keadaan sempurna dan masih bernyawa ke destinasi masing-masing, satu jumlah penumpang yang tidak mungkin boleh dimuatkan dalam sebuah kereta, jauh sekali sebuah motosikal. Apa pula kesalahan yang sering dilakukan mereka? Jawapannya mudah sahaja, iaitu memandu terlalu laju seolah-olah tidak sabar-sabar mahu mengadakan temu janji dengan malaikat maut. Kalau nak mati sangat pun janganlah libatkan nyawa penumpang lain pula, mati seorang-seorang sudahlah!

Saya memang jarang menaiki bas ekspres, kecuali jika keadaan memaksa saya menggunakan bas ekspres seperti kereta atau motosikal rosak. Terus-terang saya katakan, saya amat benci menaiki bas ekspres kerana kebanyakan bas ekspres dipandu bukan sahaja melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya, malah melebihi had laju am lebuh raya 110 km/j itu sendiri. Banyak bas-bas ekspres di lebuh raya seolah-olah dipandu oleh Michael Schumacher, Lewis Hamilton, Sebastian Vettell, atau mana-mana pelumba Formula 1 yang lain, sedangkan tiada seorang daripada mereka yang berani mengendalikan kenderaan berat pada kelajuan segila itu. Adakah pemandu-pemandu bas ekspres ini terdiri daripada mat-mat rempit yang menjadikan pil kuda sebagai makanan asasi bagi menggantikan nasi? Ini bukan saya yang kata, dakwaan ini datang daripada Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia itu sendiri. Kalau saya berjaya menaiki bas ekspres yang pemandunya cukup berhemah untuk memandu tidak melebihi 90 km/j, saya boleh dikatakan cukup bertuah, dan saya ingin menyampaikan jutaan terima kasih kepada pemandu bas berhemah sebegini kerana berjaya menunaikan amanah menghantar penumpang ke destinasi dengan selamat pada kelajuan yang cukup selamat.

Menurut Perintah Had Laju Kebangsaan 1989, had laju maksimum ditetapkan pada 90 km/j di jalan persekutuan serta negeri, dan 110 km/j di lebuh raya ekspres. Namun, anda wajib ingat bahawa had laju tersebut hanya untuk kenderaan ringan sahaja iaitu kereta dan motosikal. Kepada pemandu bas dan lori, sila ingat baik-baik bahawa had laju kenderaan berat ialah 80 km/j di jalan persekutuan serta negeri, dan 90 km/j sahaja di lebuh raya ekspres. Tidak lebih daripada itu. Kalau anda memang sebelum ini tidak tahu, inilah masanya untuk saya ingatkan kepada anda semua serta diri saya sendiri supaya kita tidak lagi lupa, lalai dan leka. Ataupun, sekurang-kurangnya jenguk-jenguklah pelekat had laju yang ditampalkan pada badan bas dan lori kerana itulah had laju yang diizinkan sebagai syarat membenarkan anda mengendalikan kenderaan tersebut. Kepada pemandu bas ekspres yang berhemah dan tidak memandu melebihi 90 km/j, syabas saya ucapkan kepada anda. Kepada golongan yang sudah tahu tetapi buat-buat lupa dan masih meneruskan perangai memandu seperti pelesit yang sudah pekena pil kuda, maka celakalah golongan tersebut - lebih baik mereka ditarik terus lesen memandu mereka sebelum mereka membunuh para penumpang yang diamanahkan kepada mereka dengan cara pemanduan mereka yang mahu cepat mati ini.

Kenapa bas dan lori dikenakan had laju yang lebih rendah daripada kereta dan motosikal? Ada 3 sebab utama mengapa had laju kenderaan berat lebih rendah daripada kenderaan ringan - impak pelanggaran yang lebih kuat daripada kenderaan ringan, risiko kerosakan enjin yang lebih tinggi, serta kawalan yang lebih sukar daripada kenderaan ringan.

Daya yang terhasil akibat pelanggaran boleh dikira melalui formula mudah F = mv. Melalui formula ini, kesan pelanggaran oleh sebuah bes ekspres seberat 19.5 tan boleh menghasilkan daya yang jauh lebih tinggi daripada sebuah kereta seberat 1.2 tan pada kelajuan yang sama. Jika kereta yang dipandu laju boleh meruntuhkan dinding sesebuah rumah batu sekiranya ia terbabas dan merempuh rumah tersebut, bayangkanlah kesan kemusnahan yang bakal dihasilkan oleh sebuah bas pada kelajuan yang sama. Sebab itulah kemalangan maut yang melibatkan bas sudah tentunya memakan angka korban yang tinggi.

Beberapa dekad dahulu, jika sebut sahaja mengenai bas dan lori, setiap orang akan mengatakan bahawa bas dan lori adalah kenderaan berat yang dipacu oleh enjin diesel yang bising, perlahan dan berasap tebal. Namun, hasil kemajuan pesat teknologi enjin diesel sejak akhir 1990an menjadikan enjin diesel sekarang lebih berkuasa, lebih laju, lebih bersih, lebih senyap dan lebih jimat minyak. Maka, tidak hairanlah mengapa para pemandu di negara-negara Eropah kini lebih banyak menggunakan kereta-kereta berenjin diesel. Kemajuan teknologi enjin diesel kontemporari sepatutnya dimanfaatkan supaya kenderaan berat lebih berupaya mendaki jalan raya bukit yang tinggi dan curam supaya tidak lagi terkedek-kedek dan terpaksa banyak berhenti kerana tidak cukup kuasa, bukannya untuk merempit macam pelesit. Sehebat mana pun teknologi enjin diesel sekarang, kelajuan enjin diesel tetap tidak seligat enjin petrol; enjin-enjin bas dan lori hanya boleh berputar pada kelajuan bawah 2,500-3,000 rpm sedangkan enjin kereta selalunya boleh berputar sehingga lebih 6,000 rpm. Enjin motosikal pula lebih ligat; enjin sesebuah motosikal kapcai lazimnya boleh berputar sehingga setinggi 9,000-10,000 rpm. Pada kelajuan lebih daripada 100 km/j, jarum takometer sudah pun memasuki zon merah yang boleh mengakibatkan kerosakan enjin yang serius. Oleh itu, enjin bas dan lori tidak boleh dilenjan sewenang-wenangnya.

Memandu sebuah bas tidak sama seperti memandu sebuah kereta. Sementara pemandu kereta boleh meratah selekoh dengan penuh yakin kerana jejari pusingan yang kecil, pemandu bas dan lori pula perlu banyak bersilat sebaik sahaja mengambil selekoh, memotong ataupun memasuki simpang berikutan jejari pusingan yang besar serta banyak pusingan stereng yang diperlukan untuk membelok pada sudut hanya beberapa darjah sahaja. Jika hendak membrek pula, perlu ambil jarak yang lebih jauh kerana masa yang diambil untuk membrek adalah lebih lama daripada kereta; itu pun sekali tekan brek sudah mengunci roda dan seterusnya menyebabkan tayar (dan permukaan jalan) cepat haus dan rosak. Jadi kepada pemandu kereta yang tiada lesen lori boleh membayangkan betapa sukarnya hendak memandu sesebuah bas atau lori. Sebab itulah mereka perlu memandu lebih perlahan supaya mereka lebih mudah mengawal kenderaan mereka tanpa rasa kelam-kabut.

Jadi siapa yang patut dipersalahkan atas isu ini? Terus-terang saya katakan, saya cudah cukup bosan, muak, menyampah dan meluat dengan irama "bangau oh bangau" yang acapkali didendangkan sebagai halwa telinga setiap kali berlaku kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres ini. Setiap kali berlaku kemalangan maut, ada saja golongan yang mendakwa diri mereka "pakar" memberikan "cadangan-cadangan" mengarut yang tak masuk akal yang kononnya boleh mengurangkan kemalangan, sedangkan mereka sendiri buat-buat lupa akan satu perkara paling asas dan paling pokok yang menjadi punca utama kebanyakan kemalangan maut bas ekspres di Malaysia, iaitu kegagalan penguatkuasaan had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya dan 80 km/j di jalan persekutuan dan negeri. Masalah kita sekarang ialah bukan lagi mentaliti "sudah terhantuk baru terngadah", tetapi "sudah terhantuk berjuta-juta kali pun tak terngadah"! Adakah kita mahu menunggu ada menteri atau Sultan yang menjadi mangsa kemalangan maut "keranda ekspres" ini baru nak ambil tindakan?

Semasa kemalangan maut yang disebabkan oleh bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dekat Simpang Ampat pada tahun 2010, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menggesa kerajaan persekutuan mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan (speed limiter) pada semua kenderaan berat, dengan kelajuan maksimum dikunci pada 90 km/j sahaja. Sebelum itu, saya sendiri pun pernah menulis mengenai perkara yang sama kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu berikutan nahas melibatkan bas Sani Ekspres pada tahun sebelumnya, sungguhpun bas berkenaan dipasang pengehad kelajuan, tetapi mengunci kelajuan pada 97 km/j dan bukannya 90 km/j sebagaimana yang sepatutnya. Akhirnya, ke manakah perginya cadangan tersebut? Adakah cadangan tersebut sekadar berakhir di pusat pelupusan sampah semata-mata tanpa sebarang implementasi? Saya cukup meluat dengan alasan "...keberkesanan dan kesesuaiannya masih dikaji kerana ia dikatakan melibatkan kos pada pihak industri pengangkutan..." Mahu tunggu apa lagi? Nak kaji berapa lama lagi? Sampai hari kiamat? Nak buka berapa besar lagi tanah untuk diwakafkan sebagai tanah perkuburan khas untuk mangsa kemalangan bas ekspres?

Dalam surat pembaca yang sama, saya juga ada menulis gesaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendirikan papan tanda dwihad haju di sepanjang jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara bagi mengingatkan had laju yang berbeza bagi kenderaan ringan dan kenderaan berat. Gesaan ini timbul kerana pemandu bas ekspres yang didakwa di mahkamah boleh menggunakan kelemahan papan tanda had laju sedia ada yang hanya mempamerkan had laju kenderaan ringan sebagai alasan bagi menutup pekung mereka. Namun sehingga sekarang, gesaan tersebut hanya tinggal cadangan yang berakhir di pusat pelupusan sampah tanpa sebarang langkah untuk menguatkuasakannya. Kenapa susah sangat hendak mendirikan papan tanda peringatan dwihad laju yang ringkas tetapi lengkap dan murah? Adakah kos mendirikan sekeping papan tanda berkenaan sahaja mencecah jutaan ringgit? Berapa nilai nyawa manusia jika dibandingkan dengan mendirikan papan tanda yang begitu ringkas ini?

Memandangkan golongan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan bagi menguatkuasakan had laju kenderaan berat sudah tidak lagi boleh diharap, harapan hanya tinggal kepada inisiatif kita sebagai rakyat biasa, bermula dengan para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia. Apa yang boleh anda lakukan untuk mengubah semua keadaan ini? Modal yang anda perlukan hanyalah sebuah alat GPS mudah alih (saya paling galakkan model-model Garmin dan Papago) serta telefon bimbit berkamera. Pastikan kedua-duanya dicas penuh. Bagi alat GPS pula, saya nasihatkan anda untuk membeli sebuah pengecas USB untuk mengecas alat GPS anda menggunakan kabel data USB, memandangkan pengeluar selalunya hanya menyertakan pengecas kereta dan kabel data bagi setiap pembelian.

Setiap kali anda membeli tiket bas ekspres, simpan tiket tersebut. Sebelum menaiki bas, gunakan kamera telefon bimbit anda untuk mengambil gambar bas yang anda naiki dan pastikan nombor plet bas tersebut kelihatan. Setelah bas bergerak, hidupkan alat GPS anda dan perhatikan angka kelajuan yang terpapar pada alat GPS anda. Sekiranya alat GPS anda menunjukkan kelajuan melebihi 90 km/j, ambil gambar paparan GPS tersebut menggunakan kamera telefon bimbit anda dan pastikan tarikh serta masa gambar diambil turut kelihatan. Gambar-gambar tersebut boleh menjadi bahan bukti yang kukuh untuk anda gunakan semasa membuat laporan kepada polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Laporkan segera kepada ketiga-tiga badan tersebut supaya tindakan boleh diambil dengan segera.

Sungguhpun demikian, langkah-langkah ini tidak berkesan sekiranya anda seorang sahaja yang mengambil inisiatif sedemikian. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada para pembaca sekelian untuk berkongsi serta menyebarkan entri ini kepada semua orang seramai mungkin. Kongsi pautan entri ini dalam Facebook dan Twitter dalam garis masa anda sendiri serta rakan-rakan dan sanak-saudara anda. Pautkan entri ini dalam blog anda. Hanya kita sahaja yang boleh mengubah keadaan, jika kita tidak mahu drama kemalangan maut bas ekspres serta irama "bangau oh bangau" yang menyusul terus berulang dan berulang.




Pautan luar untuk bacaan tambahan:-
  1. Pemandu bas ekspres tak serik-serik (Utusan Malaysia)
  2. Kunci pedal bas setakat 90 km/j untuk kawal had laju - Ali Rustam (Utusan Malaysia)
  3. Ramai setuju had laju bas ekspres 90 km/j (Berita Harian)


2 comments:

  1. mungkin pemandu lebih takut dan memandu berhati2 kot kalau dihantar satu mashyal ke, JPJ ke, Polis ke naik bersama penumpang sepanjang perjalanan.. cadangan saya je...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Satu cadangan yang baik... jadikan mereka sebagai penumpang misteri yang dibekalkan alat GPS mudah alih untuk mengesan kelajuan bas. Kalau lebih 90 km/j, dah boleh ambil gambar imej GPS untuk tindakan saman.

      Delete