Sunday, June 10, 2012

Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33 / Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) E33

Salam sejahtera,

Setelah banyak membuat reviu jalan raya di luar Kuala Lumpur, entri kali ini ialah mengenai salah satu lebuh raya utama di Kuala Lumpur iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33.

Lebuhraya Duke E33, Lebuhraya Asia AH141 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Penyuraian Utara-Timur KL mula dibina pada tahun 2006 dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2009. Lebuh raya ini diuruskan oleh Konsortium Expressway Timur Utara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi), salah satu anak syarikat MRCB yang turut menguruskan Lebuhraya JB EDL E14 melalui MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Ia dibina sebagai hubungan terus antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 ke Ulu Klang dan Lebuhraya Karak E8 / FT2. Lebuh raya ini dibina mengikut konsep roda di mana Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28 bertindak sebagai lilitan roda manakala Lebuhraya Duke itu sendiri bertindak sebagai jejari.

Memandangkan dua bahagian hujung E33 ini berakhir di MRR2 FT28, maka ramai yang menganggap lebuh raya E33 ini hanya sekadar menambah sesak MRR2 FT28 yang sudah sedia sesak. Hakikatnya, FT28 memang sedia sesak kerana ia dibina dengan kawalan masuk separa kerana MRR2 menggunakan jalan-jalan arteri sedia ada untuk dijadikan sebagai satu "laluan baharu" serta membiarkan persimpangan jalan-jalan kecil sedia ada. Sekurang-kurangnya MRR2 diwartakan sebagai jalan persekutuan dan bukan lebuh raya ekspres kerana tidak memenuhi keperluan kawalan masuk penuh.

Tidak banyak persimpangan penting utama di sepanjang E33 ini. Kebanyakan persimpangan yang ada ialah persinmpangan separa, dan ia memang direka sebegitu rupa supaya setiap pemandu yang melalui lebuh raya ini perlu membayar tol sekali sahaja di salah satu daripada 3 plaza tol yang ada iaitu Plaza Tol Batu, Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Ayer Panas. Setiap plaza tol adalah jenis separa bagi satu laluan lebuh raya sahaja.

Saya memulakan perjalanan meneroka E33 ini dari arah Jalan Duta melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1. Di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta, laluan dari arah Jalan Duta ke Plaza Tol Jalan Duta dikekalkan, tetapi lalu lintas dari plaza tol pula dilencongkan terus ke E33; anda perlu keluar di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta jika hendak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur melalui E1. Exit 3301 dibina di tapak asal selekoh yang sangat tajam berhampiran Plaza Tol Jalan Duta yang hanya selamat dilalui pada kelajuan 60 km/j.

Persimpangan seterusnya, Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching terletak tidak jauh daripada Exit 3301. Persimpangan ini bukanlah persimpangan 100% penuh sungguhpun ia merupakan salah satu persimpangan utama di sepanjang E33. Lalu lintas dari arah Jalan Duta yang keluar ke Jalan Kuching FT1 hanya boleh ke arah utara, begitu juga dengan lalu lintas dari arah Plaza Tol Batu yang hanya boleh ke pusat bandar raya. Hanya lalu lintas dari arah utara melalui FT1 sahaja yang berpeluang ke kedua-dua arah.

Plaza Tol Batu adalah plaza tol yang terbesar di lebuh raya ini. Ia hanya mengutip tol untuk lalu lintas ke arah Jalan Duta (arah timur). Sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Batu, E33 melalui laluan talian penghantaran elektrik voltan tinggi yang menjadi pembahagi jalan semula jadi. Laluan dari Plaza Tol Jalan Duta ke Jalan Pahang adalah laluan bertingkat.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, yang menghubungkan laluan Sentul Pasar-Gombak untuk ke Lebuhraya Karak FT2, diikuti persimpangan bertingkat masuk dari Jalan Pahang. Jujur saya katakan, Persimpangan Jalan Pahang ini hanya sesuai untuk kenderaan ringan berikutan jalan masuknya yang begitu tajam selekohnya.

Plaza tol seterusnya ialah Plaza Tol Ayer Panas. Kali ini, ia mengutip tol bagi pengguna arah barat sahaja (dari arah Gombak / Jalan Duta). Terdapat beberapa persimpangan bertingkat kecil tetapi tidak perlulah saya sebutkan di sini, memandangkan ia hanya menghubungkan E33 dengan jalan-jalan kecil sahaja.

Sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan jajaran bertingkat E33 tiada lorong kecemasan, berkemungkinan atas faktor ruang yang tidak mencukupi. Akibatnya, kenderaan kecemasan yang berhenti di tepi jalan akibat rosak berkemungkinan berdepan dengan risiko disondol dari arah belakang.

Kita teruskan dengan persimpangan seterusnya iaitu Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa. Persimpangan ini mengingatkan saya kepada Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 di Johor Bahru yang boleh dibuat sebagai persimpangan aliran bebas sepenuhnya tanpa lampu isyarat. Persimpangan terakhir bagi laluan utama E33 ini ialah Exit 3308 Persimpangan Hillview, yang menamatkan Lebuhraya Duke E33 di MRR2 FT28.

Bagi jajaran Sentul-Gombak pula, saya pada asalnya merancang untuk mencari pusingan U di MRR2 FT28, tetapi membatalkannya berikutan kesesakan di MRR2 arah Ampang. Sebaliknya, saya ke arah Jalan Genting Klang dan kembali memasuki E33 di Persimpangan Jalan Pahang.

Sebaik sahaja memasuki jajaran Sentul-Gombak terletaknya Plaza Tol Sentul Pasar. Plaza Tol Sentul Pasar ini adalah yang terkecil di se[anjang E33 dan mengutip tol ke arah utara (Gombak / Lebuhraya Karak E8 / FT2). Plaza tol ini sepatutnya dilebarkan kerana saiz plaza tol ini yang sempit telah menyebabkan berlakunya kesesakan lebuh raya sehingga berkilometer jauhnya jika warga kota hendak pulang ke kampung di kawasan Pantai Timur melalui Lebuhraya Karak E8 / FT2. Sebaik melepasi Plaza Tol Sentul Pasar terletaknya Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam.

Jajaran E33 dari Kampung Bandar Dalam ke Gombak sebenarnya menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2 yang tidak digunakan. Oleh itu, memang ada beberapa persimpangan jalan kecil di sepanjang jajaran tersebut yang memang sudah wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibina. Namun, apa yang saya tidak senangi ialah terdapat satu "persimpangan haram" dari laluan utama arah Gombak ke Taman Pelangi. Simpang jalan kecil sebegitu rupa sangat berbahaya kerana pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan haram berkenaan berdepan dengan risiko dilanggar dari belakang. Jika hendah masuk ke taman perumahan itu sekalipun, jalan masuknya sepatutnya diubah supaya boleh masuk melalui jalan susur masuk ke lebuh raya, bukannya dengan gaya "laluan tikus" sebegitu.

Persimpangan terakhir bagi E33 ialah Exit 3310 Persimpangan Greenwood, di mana laluan terus Lebuhraya Duke dilencongkan ke MRR2 FT28 untuk ke Lebuhraya Karak E8 / FT2. Jika diikutkan sejarah, Persimpangan Greenwood adalah persimpangan bertingkat tertua di E33, berikutan persimpangan tersebut wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada tahun 1977 lagi. Jejambat di persimpangan tersebut asalnya 2 lorong sahaja sebelum satu lagi jejambat dibina bersebelahan semasa MRR2 dibina.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti binaan Lebuhraya Duke E33 ini. Namun, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditangani segera:-
  1. Lebuh raya ini menjadi sesak dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas ia dibuka. Ia berikutan peranan lebuh raya ini yang menghubungkan antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan Lebuhraya Karak E8 secara terus. Saya difahamkan syarikat konsesi dengan pantas sudah merancang untuk melebarkan jalan-jalan susur kritikal yang sesak, namun saya tidak fikir ia berupaya menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, penyelesaian yang lebih baik ialah menambah baik sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
  2. Lebuh raya ini sering dijadikan sebagai tempat polis mengadakan sekatan jalan raya terutamanya di lorong motosikal. Saya faham sekatan jalan raya amat penting dalam penguatkuasaan peraturan jalan raya dengan lebih berkesan, namun terlalu banyak sekatan jalan raya akan menyebabkan pengguna lebuh raya menjadi rimas dan seterusnya menimbulkan stigma kononnya kerja polis hanya sekadar "membuat lauk" menyaman orang. Namun, keadaan Lebuhraya Duke E33 yang sering dijadikan litar lumba haram tentulah membawa kepada keadaan yang berlaku sekarang, dan masyarakat sewajarnya menghargai peranan polis membanteras lumba haram sehingga ada yang terkorban angkara mat-mat rempit bajingan tersebut, sebagaimana yang berlaku di Klang baru-baru ini.
  3. "Laluan haram" di Taman Pelangi dekat Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam (sudah dibincangkan tadi)
  4. Kelemahan terbesar lebuh raya ini ialah papan tanda yang digunakan. Terlalu banyak tulisan pada papan tanda menjadikan ia berselirat dan berserabut macam belacan. Bukan itu sahaja, papan tanda persimpangan diletakkan pada saat-saat akhir. Bagi papan tanda laluan utama, sepatutnya hanya 3 baris tulisan sahaja - destinasi utama bagi barisan paling atas, destinasi sekunder di barisan tengah, dan persimpangan berikutnya di barisan paling bawah. Mudah lagi ringkas. Sayangnya hanya papan tanda Exit 3308 Persimpangan Hillview dan Exit 3310 Persimpangan Greenwood sahaja yang betul-betul mengikut piawaian yang sepatutnya.


Apa pun, pujian harus diberikan kepada Kesturi kerana berjaya merancang dan membina lebuh raya ini dengan begitu baik tanpa mengikut amalan sesetengah syarikat konsesi tamak yang menggunakan jalan arteri sedia ada sebagai laluan lebuh raya "ekspres" yang tidak mengikut piawaian LLM. Sungguhpun jajaran Kampung Bandar Dalam menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2, namun ia adalah langkah yang tepat bagi memastikan jajaran baki tersebut dimanfaatkan dan dimartabatkan sebaiknya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Kemaskini: Fasa kedua Lebuhraya Duke E33 mula dibina pada November 2013 bagi menghubungkan Lebuhraya Duke E33 dengan Jalan Tun Abdul Razak dan KL MRR2 FT28 di Taman Bukit Maluri. Klik sini untuk butiran lanjut mengenainya.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang: 18 km
Arah laluan: Timur-barat (Jalan Duta-Ulu Klang); Utara-Selatan (Gombak-Sentul)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.duke.com.my/







Exit 3301 Persimpangan jalan Duta (dari arah Jalan Duta)






Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching






Plaza Tol Batu






Jajaran lebuh raya di laluan talian penghantaran elektrik 275 kV






Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar






Plaza Tol Ayer Panas






Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa






Exit 3308 Persimpangan Hillview






Plaza Tol Sentul Pasar






Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam






Laluan haram yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya di Taman Pelangi dekat Kampung Bandar Dalam






Exit 3310 Persimpangan Greenwood

No comments:

Post a Comment