Peta laluan Lebuhraya Duke E33 sedia ada bersama-sama dengan laluan Fasa 2 yang sedang dalam pembinaan
(Kredit kepada : Berita Harian)
Salam sejahtera,
Masih ingat lagi tentang reviu eksklusif Lebuhraya Duke E33 dua tahun lalu...? Kali ini saya ingin bawakan kepada anda sedikit-sebanyak mengenai projek sambungannya yang menghubungkan jajaran Lebuhraya Duke E33 sedia ada ke Jalan Tun Razak, Jalan Gombak dan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 melalui Segambut ke Kepong.
Pembinaan fasa kedua Lebuhraya Duke E33 diumumkan oleh Ekovest Bhd., pemegang saham utama dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) melalui anak syarikatnya, Nuzen Corp. Sdn. Bhd., pada 14 November 2013 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2016. Pembinaan fasa kedua E33 dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.183 bilion, dengan panjang laluan sambungan iaitu 7 km (bagi laluan Segambut) dan 9 km (bagi laluan Jalan Tun Razak).
Kenapa fasa kedua E33 perlu dibina...? Sebab pertama kenapa sambungan E33 perlu dibina adalah bagi memperoleh kesinambungan Jalan Persekutuan 2, kerana selama ini ramai yang tidak tahu akan jajaran sebenar FT2 yang merentasi Kuala Lumpur. Jalan Persekutuan 2 diwartakan sejauh 276.9 km bermula dari Pelabuhan Klang dan seterusnya melalui Kuala Lumpur sebelum merentasi Banjaran Titiwangsa untuk memasuki negeri Pahang sehinggalah sampai di penamatnya di Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan. Namun, perubahan demi perubahan yang dilakukan terhadap rangkaian jalan raya Kuala Lumpur telah menghilangkan kesinambungan (continuity) bagi Jalan Persekutuan 2 sehinggakan menjejak jajaran FT2 di Kuala Lumpur ibarat merentasi kota sesat. Turut menambah parah keadaan adalah kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai agen pelaksana untuk menandakan jajaran laluan FT2 serta jalan-jalan persekutuan dan negeri yang merentasi Kuala Lumpur.
Asalnya, laluan untuk ke Kuantan dan Pahang adalah melalui Jalan Pahang dan Jalan Gombak. Pengguna jalan raya dari Jalan Kuala Lumpur-Klang (kini Lebuhraya Persekutuan FT2) terpaksa melalui kota sesat di tengah-tengah pusat bandar lama Kuala Lumpur sebelum bertemu dengan Jalan Pahang di Chow Kit. Bagi menyelesaikan isu kesinambungan jalan antara jalan Kuala Lumpur-Klang dengan Jalan Pahang dan Jalan Gombak, maka kerajaan persekutuan membina Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur-Petaling Jaya, yang mana ia turut dikenali sebagai Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1), yang merangkumi Jalan Tun Razak, Lebuhraya Mahameru dan Jalan Damansara sebelum akhirnya memasuki Jalan Syed Putra FT2 melalui Persimpangan Istana Negara.
Setelah Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada 7 Januari 1978, Lebuhraya Karak pula diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 2, manakala Jalan Gombak lama itu pula diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 68. Akibatnya, pengguna dari Jalan Pahang dan Jalan Gombak perlu melalui Jalan Kampung Bandar Dalam yang sempit dan hanya selebar 2 lorong sahaja sebelum memasuki Lebuhraya Karak FT2. Sehingga sekarang pun Jalan Kampung Bandar Dalam kekal sempit dan selebar 2 lorong sahaja, tetapi ramai yang tidak tahu bahawa ia sebenarnya sebuah jalan persekutuan. Nak lebarkannya pun susah kerana banyak rumah dan premis di sepanjang Kampung Bandar Dalam yang perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja pelebaran jalan.
Justeru, memandangkan fasa kedua Lebuhraya Duke E33 menghubungkan secara terus antara Hubungan Karak yang memang merupakan sebahagian daripada jajaran Jalan Persekutuan 2 (kerana ia dibina menggunakan jajaran baki Lebuhraya Karak FT2 yang tidak digunakan) dengan Jalan Tun Razak, maka sudah tentulah sambungannya itu berupaya menyelesaikan masalah kesinambungan laluan Jalan Persekutuan 2. Selesai satu masalah! Oleh itu, setelah projek sambungan E33 siap kelak, saya ingin menggesa Kementerian Kerja Raya agar melakukan penjajaran semula bagi laluan Jalan Persekutuan 2 dengan menggunakan laluan Hubungan Jalan Tun Razak sebagai sebahagian laluan FT2, dan seterusnya jata laluan E33 dan FT2 perlulah digunakan bersama-sama oleh Kesturi bagi kedua-dua Hubungan Karak dan Hubungan Jalan Tun Abdul Razak.
Sebab kedua kenapa sambungan E33 perlu dibina ialah bagi menyediakan satu lagi laluan jejari dari pusat bandar raya ke Kepong dan Sri Damansara. Ia sudah tentu berupaya menjadi alternatif kepada Jalan Kepong FT54 yang sesak dan memerlukan anda melalui banyak persimpangan lampu isyarat.
Seterusnya, di manakah pula laluan Hubungan Jalan Tun Razak dan Hubungan Segambut ini dibina...? Hubungan Jalan Tun Razak bermula di Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar dan seterusnya dibina di atas Jalan 1/48A dan Jalan 9/48A di Bandar Baru Sentul, diikuti Jalan Pahang sehinggalan ke Bulatan Pahang. Sementara itu, Hubungan Segambut bermula di bahagian E33 yang melintasi landasan kereta api berhampiran dengan Stesen Keretapi KTM Segambut dan dibina di atas Jalan 1/38A di Segambut dan seterusnya Jalan Taman Bukit Maluri sehinggalah di penamatnya di Persimpangan Taman Bukit Maluri di MRR2 FT28.
Sungguhpun demikian, terdapat beberapa kelemahan yang saya dapat kenal pasti pada jajaran-jajaran baharu tersebut. Antaranya, jarak antara Persimpangan Taman Bukit Maluri terlalu hampir dengan Persimpangan Sri Damansara yang menjadi permulaan kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11. Dalam keadaan sekarang pun, jajaran MRR2 FT28 antara kedua-dua persimpangan tersebut sering berlaku cerutan (bottleneck), maka jika Fasa 2 Lebuhraya Duke E33 itu siap nanti, sudah tentulah kesesakan akan bertambah parah di situ.
Selain itu, jajaran Hubungan Jalan Tun Razak yang berakhir di Bulatan Pahang kelak mempunyai pelbagai isu yang perlu ditangani oleh Kesturi, kerana Bulatan Pahang terkenal kerana kesesakannya setiap kali waktu puncak. Memilih lokasi susur keluar masuk Persimpangan Bulatan Pahang bagi arah jam (arah KLCC) tidak menjadi masalah, tetapi masalah besar timbul bagi laluan susur keluar masuk bagi arah lawan jam (arah Bangunan Parlimen). Jarak antara Bulatan Pahang dengan Persimpangan Jalan Ipoh terlalu dekat dan seterusnya mengakibatkan konflik jalinan (weaving) berlaku di laluan sampingan antara kenderaan yang hendak keluar masuk Jalan Pahang dengan Jalan Ipoh. Tidak jauh dari situ pula terletaknya Persimpangan PWTC yang menghubungkan Jalan Tun Razak dengan Jalan Kuching FT1. Tidak cukup dengan itu, Ekovest perlu juga menangani masalah konflik dengan laluan LRT Aliran Ampang dan KL Monorel. Jadi, ke manakah susur keluar masuk bagi arah Parlimen sepatutnya dibina...? Saya menunggu penyelesaian daripada pihak Kesturi untuk mengetahui jawapannya.
Jadi bagaimanakah rupa Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 apabila siap nanti...? Sama-samalah kita nantikan pembukaan E33 Fasa 2 pada tahun 2016...!!!

No comments:
Post a Comment