Tuesday, February 18, 2014

Lebuh Raya Ekspres vs Jalan Persekutuan Bahagian 1: Soal jawab bersama Datuk Fadillah Yusof / Expressways vs Federal Highways Part 1: Interview with Datuk Fadillah Yusof




Salam sejahtera,

Minggu lalu, TV3 telah menjemput Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dalam satu wawancara khas bagi program Soal Jawab pada 12 Februari 2014 jam 11.00 malam. Kami ada menghebahkan mengenainya di dalam laman Facebook rasmi kami, tetapi saya percaya mungkin ada di antara anda yang terlepas mengikutinya. Bagi yang terlepas mengikutinya, Kementerian Kerja Raya telah memuat naik semula rakaman bagi rancangan tersebut di laman YouTube rasmi mereka. Terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya kerana sudi memuat naik semula rakaman tersebut untuk dikongsi bersama.

Dalam wawancara tersebut, banyak persoalan mengenai industri lebuh raya ekspres yang telah dijawab oleh Datuk Fadillah, antaranya termasuklah sejarah awal penswastaan pembinaan jalan raya menjadi laluan bertol (bermula daripada Jalan Pintasan Selat Klang Utara FT20), sebab-sebab lebuh raya ekspres dikenakan tol serta menangkis salah faham segelintir masyarakat yang mendakwa kononnya lebuh raya ekspres dibina menggunakan duit rakyat serta pasti menguntungkan walaupun pada hakikat sebenarnya ada beberapa buah lebuh raya yang mencatatkan kerugian. Secara amnya, boleh dikatakan jawapan serta pencerahan yang diberikan oleh beliau adalah lebih kurang sama seperti yang pernah kami siarkan dalam Blog Jalan Raya Malaysia sebelum ini.

Dalam wawancara tersebut juga, Datuk Fadillah juga telah cuba menangkis persepsi segelintir masyarakat yang mengatakan kononnya lebuh raya ekspres adalah laluan utama yang kononnya perlu dijadikan percuma oleh segelintir pihak yang mempolitikkan isu tol ini. Daripada persepsi inilah lahirnya siri entri Lebuh Raya Ekspres vs Jalan Persekutuan. Sebenarnya, rangkaian jalan raya yang lebih memerlukan tumpuan kerajaan ialah jalan persekutuan dan jalan negeri, kerana rangkaian tersebut itulah yang sebenarnya menjadi penghubung utama antara bandar-bandar dan kampung-kampung dalam negara kita. Darjah kawalan masuk separa yang membolehkan jalan persekutuan dihubungkan secara lebih terus ke kampung-kampung dan bandar-bandar menjadikan jalan persekutuan sebenarnya lebih dekat di hati rakyat. Berbeza pula dengan lebuh raya ekspres, sifat kawalan masuk penuh sebenarnya mengehadkan darjah ketersampaian lebuh raya ekspres kepada beberapa buah bandar dan bandar raya terpilih yang mempunyai kepentingan ekonomi yang sangat ketara kepada negara melalui beberapa persimpangan bertingkat yang diwartakan dan dihadkan bilangannya. Sebab itulah lebih wajar jika kerajaan melaburkan berbilion-bilion ringgit setahun bagi pembangunan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan negeri, kerana itulah yang sebenarnya merupakan infrastruktur asas untuk rakyat.

Namun, isu yang tidak disoal atau dijawab oleh Datuk Fadillah ialah mengenai kritikan dan celaan terhadap beberapa buah lebuh raya perbandaran di Lembah Klang yang menjadikan kos sara hidup di Lembah Klang mencanak-canak naik sehingga ke tahap yang kronik, termasuklah kegagalan rangkaian lebuh raya perbandaran mengatasi kesesakan jalan raya di sana, yang berpunca daripada kegagalan mematuhi piawaian lebuh raya ekspres seperti yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik (Jalan) 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads. Malangnya, rancangan Soal Jawab tersebut tidak menyediakan ruang bagi penonton mengajukan soalan terus kepada Datuk Fadillah melalui panggilan telefon; jika ruang soalan penonton disediakan, sudah pasti kami menggunakan peluang tersebut untuk mengutarakan mengenai isu kos sara hidup meningkat yang berpunca daripada lebuh raya perbandaran yang dibina menggunakan jalan-jalan arteri percuma sedia ada tanpa menaik taraf darjah kawalan masuk kepada kawalan masuk penuh.

Turut dijawab oleh Datuk Fadillah ialah mengenai isu perjanjian konsesi yang dikatakan bersifat berat sebelah. Seperti yang kita semua sedia maklum, apa yang menjadikan perjanjian tersebut berat sebelah ialah setelah tiba masa yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kerajaan terpaksa merestui kenaikan tol; jika tidak, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Sebab itulah semasa cerita-cerita yang mengatakan bahawa kadar tol akan naik pada tahun 2014 ini, berita penangguhan kenaikan tol tidak pula disambut sebagai berita gembira - kerajaan bayar pampasan RM400 juta bagi menghalang kenaikan tol pun rakyat masih marah. Dalam isu ini, Blog Jalan Raya Malaysia amat menghargai kesungguhan Plus Expressways Berhad untuk duduk semeja dengan Kementerian Kerja Raya dan berunding bagi mengurangkan beban pengguna jalan raya yang menggunakan rangkaian lebuh raya Plus Expressways, menghasilkan satu keputusan menang-menang iaitu masa selang kenaikan tol dipanjangkan dan kalau naik pun, kadar kenaikan adalah lebih rendah daripada kadar sebelumnya, dicapai tanpa memerlukan sebarang pembayaran pampasan oleh kerajaan. Memandangkan hanya syarikat konsesi sahaja yang berkuasa dalam perjanjian konsesi, sudah tentulah kira mempersoalkan kenapa inisiatif oleh Plus Expressways ini tidak pula dicontohi oleh beberapa syarikat konsesi lebuh raya perbandaran (seperti LDP E11) yang membina lebuh raya mereka sebagai "laluan pemeras ugut" tanpa mematuhi piawaian lebuh raya ekspres...? Berikutan kelemahan dalam perjanjian konsesi sedia ada, maka saya ingin menggesa agar kerajaan menambah klausa "kadar aliran trafik" dalam perjanjian konsesi akan datang yang membolehkan kerajaan diberikan kuasa veto untuk menghalang kenaikan tol tanpa sebarang pampasan sekiranya kadar aliran trafik harian (ADT) jauh melebihi unjuran sepatutnya (sehingga menyebabkan tahap perkhidmatan jatuh ke tahap D atau lebih teruk daripada itu).

Apa pun, syabas saya ucapkan kepada Datuk Fadillah kerana berhujah menggunakan fakta dalam wawancara tersebut. Sekurang-kurangnya, fakta sebegini berupaya menangkis beberapa tohmahan oleh segelintir pihak serta parti politik yang cuma tahu sembang kosong tanpa bercampur gaul dengan para pemain industri lebuh raya ekspres negara. Selebihnya, terpulanglah kepada rakyat untuk menilai pihak yang mana satukah yang sebenar-benarnya bersungguh-sungguh mahu menangani isu tol demi kesejahteraan rakyat tanpa sekadar sembang kosong dan menggunakan hujah-hujah dangkal tanpa mendekati sendiri para pemain industri lebuh raya ekspres bagi mengetahui isu tersebut dari sudut pandangan industri lebuh raya ekspres itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Advertisement