Monday, February 4, 2013

Jalan Pintasan Selat Klang Utara lama (FT20) dan baru (E30) / Old (FT20) and New (E30) North Klang Straits Bypass

Salam sejahtera,

Kali ini saya membawakan kepada anda reviu dua jalan raya utama ke Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. Kedua-duanya ialah Jalan Pintasan Selat Klang, tetapi bezanya ialah satu daripadanya ialah jalan persekutuan dua lorong manakala satu lagi ialah lebuh raya ekspres empat lorong. Kedua-dua jalan ini bertol dan diuruskan oleh Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd., tetapi konsesi jalan lama sebenarnya sudah pun tamat pada tahun 2009 yang menyaksikan penutupan salah satu plaza tolnya di Pelabuhan Utara.

Sejarah kedua-dua jalan pintasan ini ada kaitannya dengan sejarah Pelabuhan Klang itu sendiri. Asalnya, Pelabuhan Klang hanya terdiri daripada kawasan yang kini dipanggil sebagai Pelabuhan Selatan. Ia dihubungkan ke Kuala Lumpur melalui Persiaran Raja Muda Musa FT2 dan Lebuhraya Persekutuan FT2. Setelah Pelabuhan Selatan mengalami kesesakan, maka Pelabuhan Utara pula dibangunkan. Kedua-dua pelabuhan ini dihubungkan melalui Jalan Pelabuhan Utara FT103. Pembukaan Pelabuhan Utara ini tentunya menambah parah kesesakan di sepanjang FT2 terutamanya di bandar Klang, maka satu jalan raya pintasan diperlukan bagi memintas kesesakan bandar Klang dan terus ke Pelabuhan Utara. Jalan raya tersebut merupakan jalan raya persekutuan pertama yang diswastakan pembinaannya melalui konsep Bina-Kendali-Pindah (BOT) tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Maka, dua plaza tol dibina di Bukit Raja, Klang dan Pelabuhan Utara bagi membolehkan syarikat konsesi iaitu Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd. memperoleh kembali modal yang dilaburkan bagi membina jalan raya ini. Jalan Pintasan Selat Klang Utara FT20, juga dikenali sebagai Persiaran Sultan Hishamuddin mula dibina pada tahun 1983 dan siap pada 1 Januari 1985.

Masalah utama dengan jalan pintasan lama ini ialah ia dibina dua lorong sahaja, sedangkan jajaran dari pangkalnya di Bukit Raja sehingga Plaza Tol Bukit Raja serta jajaran dari Plaza Tol Pelabuhan Utara ke penamatnya di Pelabuhan Utara pula dibina sebagai lebuh raya kembar 4-6 lorong. Turut menambah parah keadaan ialah sejak FT20 mula dibuka pada tahun 1984, banyak kampung yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di sepanjang laluan, sekaligus mendedahkan penduduk kampung dengan bahaya lori-lori kontena yang dipandu laju. Akibatnya, FT20 sering berlaku kemalangan membabitkan penduduk tempatan, Paling terkenal ialah kes kemalangan maut membabitkan seorang pelajar sekolah agama pada tahun 2005 yang merupakan kemalangan ke-44 sejak tahun 2001, menunjukkan betapa berbahayanya FT20 ini walaupun jalan ini lurus sahaja berbanding penggantinya yang agak berlengkuk sedikit. Bagi mengurangkan kes kemalangan maut di sana, satu lebuh raya pengganti dibina utara sedikit dan selari daripada laluan asal dari Jalan Meru FT3217 sehingga ke Plaza Tol Pelabuhan Utara. Laluan pengganti ini sememangnya lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh, dengan pembinaan pagar di sepanjang laluan bagi mengelakkan penduduk tempatan daripada menceroboh masuk untuk melintasi lebuh raya, serta hanya ada persimpangan bertingkat, tidak seperti jalan lama FT20 yang ada banyak simpang jalan-jalan kecil untuk keluar masuk di kampung-kampung di sepanjang laluan. Selain itu, bonggol-bonggol turut dibina di jalan lama FT20 dan had laju di situ turut diturunkan kepada 50 km/j sahaja, manakala jalan pintasan baru E30 pula mempunyai had laju 90 km/j yang memang cukup sesuai, memandangkan ia merupakan had laju maksimum kenderaan berat di lebuh raya ekspres. Jalan pintasan baru E30 turut menyediakan satu kawasan rehat dan rawat di Kapar (arah Pelabuhan Utara) yang mempunyai satu stesen minyak Petronas, tetapi tiada satu pun gerai makan yang dibuka pada hari saya membuat reviu ini, mungkin kerana kurang kenderaan yang hendak ke pelabuhan pada hari minggu. Tempoh konsesi Shapadu bagi jalan pintasan lama FT20 tamat pada tahun 2009, menyebabkan kutipan tol di Plaza Tol Pelabuhan Utara dihentikan.

Saya sempat mencuba kedua-dua jalan pintasan lama dan baru ini dan memperoleh dua pengalaman yang berbeza. Bermula dari pangkalnya di Exit 201 Persimpangan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan FT2, jalan pintasan ini merupakan lebuh raya ekspres dengan dua kod laluan iaitu FT20 dan E30, begitu juga dengan jajaran dari bekas tapak Plaza Tol Pelabuhan Utara ke Pelabuhan Utara. Di Plaza Tol Bukit Raja, pengguna yang hendak terus ke jalan lama FT20 sahaja dikenakan tol, manakala pengguna ke jalan pintasan baru E30 dilencongkan tanpa tol di situ; sebaliknya, mereka hanya membayar tol di Plaza Tol Kapar. Dengan itu, kedua-dua lebuh raya direka supaya pengguna hanya perlu membayar tol sekali sahaja setelah kutipan tol di Pelabuhan Utara ditamatkan.

Cuma apa yang saya kesalkan ialah keadaan jalan lama FT20 yang agak teruk di Kampung Rantau Panjang - bonggolnya tidak dicat dengan jelas, menyebabkan pengguna jalan raya tidak nampak bonggol tersebut, sekaligus menyebabkan kerosakan pada sistem suspensi dan tayar apabila bonggol-bonggol tersebut dilalui dengan laju. Jalan juga berlubang terutamanya semasa menghampiri plaza tol lama Pelabuhan Utara. Sementara itu, keadaan jalan di lebuh raya pintasan baru E30 pula agak bagus, walaupun tidak sebagus Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang kualiti turapannya masih sangat bagus sungguhpun sudah hampir 20 tahun dibuka kepada umum. Sepatutnya, FT20 tetap perlu diselenggara secara berkala sebagaimana jalan-jalan lain di Selangor, sungguhpun tanggungjawab penyelenggaraan kini bertukar tangan kepada JKR Selangor dan JKR Klang.

Di Persimpangan Jalan Kapar FT5, bahagian pembahagi jalan FT5 begitu lebar seolah-olah bagi memberi ruang kepada pembinaan jejambat, tetapi akhirnya tiada jejambat pun yang dibina di situ, menyebabkan persimpangan lampu isyarat tersebut begitu sesak.

Satu perkara menarik mengenai kedua-dua jalan pintasan ini ialah E30 sebenarnya lebih panjang daripada FT20 (18 km berbanding 15.17 km). Ia berikutan E30 dibina dengan jajarannya dianjakkan ke utara sedikit daripada laluan asal FT20, dan ia agak berlengkuk berbanding FT20 yang begitu lurus sahaja.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.

Kemaskini: Konsesi bagi Jalan Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) E30/FT20 kini diambil alih oleh Grand Sepadu NK Sdn. Bhd. daripada syarikat konsesi asal pada Disember 2014. Grand Sepadu NK Sdn. Bhd. merupakan syarikat di bawah Kumpulan LGB yang turut memiliki Grand Saga Sdn. Bhd. yang mengendalikan Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: FT20 (jalan lama); E30 (jalan baru)
Panjang: 15.17 km (jalan lama); 18 km (jalan baru)
Arah laluan: Timur-barat (Klang-Pelabuhan Utara)
Bilangan lorong: 2 (jalan lama); 4 (Plaza Tol Pelabuhan Utara-Pelabuhan Utara); 6 (Sungai Rasau-Plaza Tol Bukit Raja)
Senarai persimpangan: Jalan lama dan jalan baru







Permulaan FT20 dan E30 di Pelabuhan Utara






Persimpangan Bandar Sultan Suleiman






E30 dilencongkan keluar di tapak plaza tol lama Pelabuhan Utara






Bekas pejabat plaza tol lama Pelabuhan Utara






Bekas tapak plaza tol lama Pelabuhan Utara, di mana FT20 berubah menjadi jalan raya tunggal 2 lorong






Keadaan jalan kurang baik di Kampung Rantau Panjang






Penanda kilometer masih ada walaupun tempoh konsesi sudah tamat






Persimpangan Jalan Kapar FT5 yang sibuk - sepatutnya dibina sahaja jejambat melintasi FT5

Persimpangan Bandar Sultan Suleiman






Persimpangan Jalan Meru FT3217






Exit 101 Persimpangan Bukit Raja ke NKVE E1






Penamat FT20 dan E30 di Sungai Rasau






Kita pusing balik semula ke jalan baru E30 - E30 dilencongkan keluar di Plaza Tol Bukit Raja






Keadaan jalan baru E30 nyata lebih cantik daripada jalan lama FT20






Exit 3003 Persimpangan Meru






Berehat sebentar di hentian rehat Klang Utara






Tiada satu pun kedai makan dibuka di sini pada waktu ini






Plaza Tol Kapar dan Exit 3004 Persimpangan Kapar

11 comments:

  1. Blog yg sgt bgus kerana sy pun minat dgn maklumat ttg jalanraya/lebuhraya dan papan tanda ni... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf mulanya, gambar2 yg ditangkap agak
      kurang kualitinya, terutama bila sy zoom dan sy
      tak nampak apa tulisan yg ada pada papan tanda.

      Delete
    2. Maaflah, saya guna kamera telefon bimbit untuk mengambil gambar kerana mudah - jumpa tempat yang menarik untuk diambil gambar, terus parkir di tepi jalan, seluk kocek untuk mengambil telefon bimbit dan terus ambil gambar. Mungkin akan datang nanti saya ada perancangan untuk menggunakan telefon bimbit yang kameranya lebih cantik.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. saya baru 5 bulan berpindah ke rantau panjang klang....pada awalnya saya tertanya-tanya....tol 60sen ni dibayar untuk apa eh?mana lebuhrayanya....kawan saya cakap jalan ke pelabuhan utara tu lah....ha?jalan 2 hala tu?....tak macam lebuhraya pun ....owh...sangat terkejut....ada lebuhraya macam tu....tak der ke pihak yang boleh ke depankan benda ni?jalan dah lah tak bagus...berlekuk dan berlobang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ikutkan sejarah, asalnya ada 2 plaza tol di jalan pintasan lama FT20 iaitu di Bukit Raja dan Northport, sebab pembinaannya diswastakan dan langsung tidak menggunakan sumber kewangan dari kerajaan persekutuan. Bila jalan lama FT20 sudah sesak, jalan pintasan baru E30 pula dibina. Konsesi FT20 sudah tamat tahun 2009, maka kutipan tol Northport dimansuhkan. Jadi tol Bukit Raja sekarang ini ialah untuk jalan baru E30; kutipan tol di situ diteruskan kerana jajaran FT20 dari Lebuhraya Persekutuan FT2 ke Jalan Meru juga sebahagian daripada E30.

      Mengenai keadaan jalan yang tak elok di Rantau Panjang, ia disebabkan JKR Klang dan JKR Selangor tidak memanfaatkan peruntukan MARRIS untuk menyelenggara jalan ini. Dengan kata lain, jalan pintasan lama FT20 dua lorong kini tanggungjawab JKR Selangor dan JKR Klang.

      Delete
  4. Saya rasa ia mungkin sebab saya buka blog ini melalui telefon bimbit (layari blog versi mobile), jika saya buka menggunakan PC atau laptop, mungkin gambar-gambar tersebut nampak lebih cantik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin juga, sebab gambar tersebut dikecilkan skalanya mengikut resolusi biasa telefon bimbit.

      Delete
  5. tahniah admin atas kewujudan blog ini
    - KAKITANGAN E30 -

    ReplyDelete