Friday, February 1, 2013

Perbankan Tanpa Cawangan Bank Simpanan Nasional: Inovasi pintar untuk golongan pengembara / Bank Simpanan Nasional Branchless Banking: A brilliant innovation for travellers




Salam sejahtera,

Bayangkan situasi sebegini. Anda sedang dalam perjalanan jauh tanpa memegang banyak wang tunai; selebihnya disimpan di dalam bank. Namun, tanpa disangka-sangka anda terputus wang tunai, dan anda tiba di satu kawasan kampung yang tentunya tiada bank. Perut anda sudah pun berbunyi lagu heavy metal, tetapi macam mana nak makan kalau duit tunai pun sudah habis? Mesin ATM pun tak ada, jadi macam mana hendak mengeluarkan wang untuk makan?

Kini anda tidak lagi perlu meraung sekiranya berada dalam situasi di atas, kerana pada masa sekarang anda sebenarnya boleh mengeluarkan wang di kedai runcit biasa! Percaya atau tidak?

Inovasi perbankan dari kedai runcit biasa ini diperkenalkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu rakyat jelata menyelesaikan urusan perbankan tanpa perlu pergi ke bank, atau sekurang-kurangnya mencari mesin ATM. Ia amat diperlukan terutamanya di kawasan pedalaman yang mana jarak untuk ke pekan terdekat begitu jauh; itu pun belum tentu ada bank, atau sekurang-kurangnya mesin ATM.

Bagaimana sistem Perbankan Tanpa Cawangan BSN ini dapat dilaksanakan? Kedai runcit yang dilantik sebagai ejen BSN diberikan satu mesin pusat jualan (POS; point of sale) yang berbentuk seakan mesin pembaca kad kredit yang dilengkapi pengimbas cap jari biometrik. Tidak seperti mesin kad kredit yang menggunakan talian telefon tetap, mesin POS BSN bagi sistem Perbankan Tanpa Cawangan pula menggunakan isyarat Perkhidmatan Radio Paket Umum (GPRS) yang sama seperti yang digunakan oleh telefon bimbit 2.75G untuk melayari internet. Dengan menggunakan gelombang GPRS, ejen BSN tidak perlu memasang wayar telefon yang berselirat dan mungkin sukar untuk dipasang di kawasan pedalaman.

Ada enam transaksi asas yang boleh dilakukan melalui inovasi ini - simpanan tunai, pengeluaran tunai, simpanan SSPN, pemindahan wang antara bank melalui rangkaian MEPS, pembayaran bil serta jual beli menggunakan kad BSN. Had maksimum pengeluaran wang di ejen BSN ialah RM500. Bagi memastikan segala urusan perbankan melalui sistem ini boleh dipercayai, ejen diwajibkan untuk memberi resit transaksi yang ditandatangani pengguna. Selain itu, urusan pengeluaran wang pula memerlukan pengesahan cap jari terlebih dahulu.

Kenapa saya memberitahu perkara ini? Mungkin entri kali ini tidak ada kena-mengena dengan jalan raya, tetapi ia tetap maklumat berguna buat pengguna jalan raya yang mahu berjalan jauh dengan tenang tanpa perlu mengusutkan kepala memikirkan lokasi bank atau mesin ATM untuk mengeluarkan wang dalam perjalanan kelak. Tambahan pula, sungguhpun perkhidmatan sebegini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak tahu mengenai perkhidmatan Perbankan Tanpa Cawangan ini. Sekurang-kurangnya, ada jugalah "pelampung" untuk anda berpaut sekiranya anda terputus wang tunai dalam perjalanan.

No comments:

Post a Comment