Salam sejahtera dan Selamat Hari Wilayah Persekutuan khas buat pembaca dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Sempena Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini, saya ingin membawakan reviu khas yang juga merupakan penutup bagi siri reviu komponen-komponen Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah E6. Sebelum ini, saya sudah pun membuat reviu bagi dua komponen kecil lebuh raya ini iaitu Lebuhraya KLIA FT26/E6 dan Hubungan Putrajaya E6, maka kali ini saya akan membawakan reviu bagi laluan utama E6 pula.
Sedikit sejarah mengenai lebuh raya ini. Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 siap sepenuhnya pada tahun 1994, tetapi pengguna lebuh raya dari arah utara (E1) yang hendak ke selatan (E2) dan sebaliknya terpaksa meredah kesesakan jalan raya yang teruk di Kuala Lumpur. Keadaan sebegini tentunya bertambah teruk semasa waktu sesak (rush hour). Bagi memintas kesesakan bandar raya Kuala Lumpur, maka Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah E6 atau dikenali sebagai Lebuhraya Elite, Lebuhraya Asia AH2, dibina pada tahun 1994 dari Shah Alam ke Nilai sepanjang 46 km. Lebuh raya ini dibuka secara berperingkat - Fasa 1 dari Shah Alam ke USJ dibuka pada tahun 1996, manakala Fasa 2 dari USJ ke Nilai dibuka pada penghujung tahun 1997. Sementara itu, Lebuhraya KLIA FT26/E6 dan Hubungan Putrajaya E6 masing-masing dibuka pada tahun 1998 dan 2000. Dengan siapnya lebuh raya E6 (bersama-sama Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura E3), maka jajaran yang diwartakan bagi laluan Rangkaian Lebuh Raya Asia AH2 yang melalui Malaysia semuanya berkelas primer atau lebuh raya ekspres (kecuali jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jitra Utara ke Bukit Kayu Hitam yang dikelaskan sebagai Kelas I kerana dibina sebagai jalan raya kembar dan bukannya lebuh raya ekspres; jajaran ini turut ditandakan oleh Plus Expressways Berhad sebagai zon bukan piawaian lebuh raya ekspres).
Nama "Elite" berasal daripada nama syarikat konsesi lebuh raya tersebut iaitu Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. Bagi membolehkan integrasi sistem kutipan tol yang lebih baik, Plus Expressways Berhad mengambil alih Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. bersama-sama dengan Linkedua Malaysia Berhad (syarikat konsesi Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura E3) pada tahun 2003.
Saya memasuki Lebuhraya Elite E6 dari Exit 214 Persimpangan Nilai Utara di KM284 Lebuhraya Utara-Selatan E2. Persimpangan ini turut ditandakan sebagai Exit 612 di E6. Sepanjang jajaran dari Nilai Utara ke Exit 608 Persimpangan KLIA, keadaan muka bumi adalan beralun di mana banyak pendakian dan penurunan bukit yang panjang - begitu panjang sehinggakan buat pertama kalinya motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya berjaya melepasi kelajuan 130 km/j tanpa sebarang modifikasi. Di Exit 608 yang terletak di KM32, Lebuhraya Elite E6 dihubungkan dengan Lebuhraya KLIA FT26/E6. Satu perkara yang perlu saya tegur di situ ialah kod laluan di papan tanda Exit 608 yang salah - Lebuhraya Elite E6 langsung tidak ada dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 5 seperti ditandakan. Sebaliknya, kod laluan yang betul bagi laluan ke KLIA dan Sepang ialah FT26, manakala kod laluan ke Bandar Enstek ialah FT32 (Laluan Labohan Dagang-Nilai).
Jarum tolok bahan api sudah berada betul-betul pada huruf E, maka saya perlu cepat mencari stesen minyak sebelum motosikal saya kehabisan minyak, memandangkan tangki minyak Wave 125X Ultimo ini kecil sahaja. Nasib baik jarak dari Exit 608 Persimpangan Subang ke Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil hanya tinggal 9 km sahaja lagi. Tanpa membuang masa, saya segera memecut ke Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil untuk mengisi minyak di sana. Setelah mengisi minyak, saya dapati Wave 125X Ultimo saya kali ini agak pelahap - 3.369 liter minyak sudah dihabiskan bagi perjalanan sejauh 100 km dari Tampin, bersamaan 29.68 km/L. Mungkin satu punca utama kenapa motor saya kali ini agak pelahap ialah kerana terpaksa bertungkus-lumus melawan angin lintang kuat sepanjang jajaran Alor Gajah-Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2. Selalunya penggunaan bahan api Wave Ultimo ini ialah sekitar 34 km/L di lebuh raya ekspres dan lebih kurang 42 km/L di jalan raya persekutuan.
Sekarang mari kita sambung semula perjalanan setelah tangki minyak diisi penuh. Baru sahaja hendak meninggalkan hentian rehat Dengkil, saya sudah pun berada di persimpangan berikutnya iaitu Exit 607 Persimpangan Putrajaya bagi menghubungkan E6 dengan Putrajaya dan Cyberjaya melalui Hubungan Putrajaya E6. Kod laluan bagi papan tanda arah ke utara sudah betul, tetapi kod laluan pada papan tanda bagi arah ke selatan pula yang salah - ia masih melabelkan kod laluan B15 untuk ke Cyberjaya dan Putrajaya, sedangkan saya sudah pun mengingatkan dalan entri terdahulu bahawa kod laluan bagi Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya ialah FT29 dan bukannya B15.
Dua persimpangan berikutnya agak rapat - Exit 606 Persimpangan Saujana Puta di KM17 menghubungkan E6 dengan SKVE E26, manakala Exit 605 Persimpangan Putra Heights yang terletak tidak sampai 3 km daripada Exit 606 menghubungkan antara E6 dengan Putra Heights dan bahagian selatan Shah Alam iaitu Alam Megah.
Sebaik sahaja tiba di Exit 604 Persimpangan USJ, di KM8, had laju diturunkan dari 110 km/j kepada 90 km/j sahaja, memandangkan jarak antara beberapa persimpangan terakhir di E6 ini yang begitu rapat. Betul-betul selepas Exit 604 terletak Hentian Sebelah USJ yang sepatutnya menempatkan satu restoran jejantas di situ tetapi akhirnya sekadar menempatkan Galeri Mufors. Saya sedikit pun tidak tahu ada tempat makan di situ - yang saya tahu, di situ ada litar go-kart Plus Speedway dan stesen minyak Caltex; kedua-duanya hanya boleh dilalui oleh lalu lintas arah ke selatan.
Seterusnya, saya tiba di Exit 603 Persimpangan Seafield yang dihubungkan dengan Lebuhraya Shah Alam E5. Jarak di antara Exit 603 dengan persimpangan berikutnya iaitu Exit 602 Persimpangan Ebor hanya 1 km sahaja. Exit 602 ini hanyalah sepasang jalan susur keluar masuk ke Shah Alam melalui Persiaran Jubli Perak FT3214 dari arah selatan dan untuk ke arah selatan sahaja. Bagaimana pula jika hendak ke utara? Ikut sahajalah Exit 601 Persimpangan Shah Alam!
Lebih kurang 2 km sebelum lebuh raya tamat, saya disajikan dengan panorama menarik sepanjang Jejambat Batu Tiga yang merupakan jejambat lebuh raya terpanjang di Malaysia. Dari atas jejambat, anda boleh melihat kelibat Lebuhraya Persekutuan FT2, bangunan kampus Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) serta Stadium Shah Alam. Sebaik sahaja menuruni Jejambat Batu Tiga, lebuh raya tamat di Exit 601 Persimpangan Shah Alam yang dihubungkan dengan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 dan Lebuhraya Guthrie E35 melalui satu persimpangan bertingkat hibrid yang dibentuk daripada dua persimpangan trompet.
Secara keseluruhannya, sebagaimana lebuh raya ekspres kendalian Plus Expressways Berhad yang lain, saya amat memuji mutu kejuruteraan lebuh raya ini yang sangat bagus. Cuma, ada dua perkara yang saya perlu tegur di sini. Pertama, mengenai kod laluan yang salah pada papan tanda persimpangan bertingkat. Kesilapan kod laluan tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menyebabkan pengguna jalan raya terutamanya pelancong asing tersesat ke laluan yang salah, memandangkan pelancong asing serta orang luar sangat bergantung kepada kod laluan untuk ke destinasi masing-masing. Kedua, mengenai torehan lapisan turapan bagi tujuan penurapan semula yang dibiarkan begitu sahaja berhampiran Exit 612 Persimpangan Nilai Utara. Lapisan permukaan jalan yang ditoreh bagi tujuan penurapan semula sepatutnya ditutup semula dengan turapan tar dengan serta-merta tanpa bertangguh kerana permukaan jalan yang ditoreh itu boleh menjadi perangkap maut kepada penunggang motosikal. Pemandu kenderaan beroda empat memang boleh melalui torehan tersebut tanpa sebarang masalah, tetapi jika penunggang motosikal yang melaluinya, ia boleh menyebabkan motosikal hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan kemalangan. Saya harap teguran yang saya berikan tersebut diambil tindakan segera oleh Plus Expressways demi mengekalkan rekod cemerlang mereka sebagai syarikat konsesi lebuh raya terbaik di Malaysia.
Untuk galeri penuh, sila klik sini.
Maklumat lebuh raya
Kod laluan: E6
Panjang: 46 km
Arah laluan: Utara-selatan (Shah Alam-Nilai)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.plus.com.my
Memasuki Lebuhraya Elite E6 melalui Exit 214 Persimpangan Nilai Utara
Papan tanda ini salah kod laluan. Kod laluan yang sepatutnya ialah FT26 (KLIA dan Sepang) dan FT32 (Bandar Enstek)
Exit 608 Persimpangan KLIA ke Lebuhraya KLIA FT26/E6
Hati berasa lega sebaik sampai di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil
Wave 125X Ultimo saya kali ini begitu dahaga bukan kerana cuaca panas, tetapi kerana bertungkus-lumus melawan angin lintang di jajaran Alor Gajah-Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2
Rehat sejenak sebelum meneruskan perjalanan jauh anda! (pesanan khidmat masyarakat oleh Boon Siew Honda)
Persimpangan berikutnya, Exit 607 Persimpangan Putrajaya sebaik baru sahaja meneruskan semula perjalanan
Exit 606 Persimpangan Saujana Putra di KM17 untuk ke SKVE E26
Exit 605 Persimpangan Putra Heights pula terletak tidak sampai 3 km dari Exit 606
Jarak antara Exit 604 Persimpangan USJ dan hentian rehat USJ yang sangat rapat - satu sebab kenapa had laju diturunkan daripada 110 km/j kepada 90 km/j
Exit 603 Persimpangan Seafield ke Lebuhraya Shah Alam E5
Ada dua lapis plaza tol di Exit 602 Persimpangan Ebor yang kecil ini
Kelibat kampus MSU yang boleh dilihat dari Jejambat Batu Tiga
Lebuh raya tamat di Exit 601 Persimpangan Shah Alam
No comments:
Post a Comment