Thursday, November 15, 2012

Hubungan Putrajaya E6 / Putrajaya Link E6

Salam sejahtera,

Reviu kali ini merupakan episod kedua bagi komponen-komponen Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6. Dalam reviu yang lepas, saya ada menulis mengenai Lebuhraya KLIA FT26/E6 yang merupakan laluan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kali ini saya akan menulis mengenai satu lagi komponen E6 iaitu Hubungan Putrajaya.

Kali pertama saya menggunakan Hubungan Putrajaya ialah semasa kali pertama saya menjejakkan kaki ke Putrajaya pada tahun 2000. Oleh kerana tidak tahu jalan ke Putrajaya, dari arah Johor Bahru saya menggunakan jalan yang lebih jauh iaitu menggunakan lebuh raya Elite E6 dan seterusnya Hubungan Putrajaya, tanpa menyedari bahawa jalan terdekat ke Putrajaya sebenarnya ialah dengan keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 210 Persimpangan Kajang dan seterusnya melalui SKVE E26.

Tidak seperti laluan utama Lebuhraya Elite E6 dan Lebuhraya KLIA FT26 yang dibina selebar 6 lorong serta menggunakan pembahagi jalan jenis pengadang keluli, Hubungan Putrajaya ini hanya dibina 4 lorong sahaja dan menggunakan tembok Jersey sebagai pembahagi jalan. Sebahagian besar Hubungan Putrajaya ini melalui kawasan berpaya serta bekas lombong yang semakin lama semakin berkurangan kerana ditambak untuk dijadikan kawasan perumahan.

Terdapat lima persimpangan bertingkat di sepanjang Hubungan Putrajaya. Persimpangan pertama tidak lain dan tidak bukan ialah Exit 607 Persimpangan Putrajaya, sebelum anda perlu membayar tol di Plaza Tol Putrajaya. Tidak jauh dari Plaza Tol Putrajaya ialah Exit 613 Persimpangan Nusaputra untuk ke Jalan Puchong B11 dan Taman Sains Selangor 2, sebelum lebuh raya ini melalui jambatan bagi merentasi kawasan berpaya di situ. Sebaik sahaja sebelum jambatan merentasi kawasan berpaya itu berakhir letaknya Exit 614 Persimpangan Putrajaya-Mex untuk ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Maju (Mex) E20. Seterusnya, anda boleh ke Cyberjaya melalui dua jalan susur keluar - satu ke Persiaran Apec (dari arah Elite E6) dan satu lagi ke Jalan Teknokrat 2 (dari arah Putrajaya), tetapi tiada pula susur masuk untuk kembali ke lebuh raya. Sebaliknya, pengguna lebuh raya dari arah Cyberjaya perlu melalui jalan jauh untuk masuk semula ke Hubungan Putrajaya melalui Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan seterusnya memasuki Hubungan Putrajaya melalui Exit 10 Persimpangan Putrajaya-Cyberjaya, yang juga merupakan persimpangan kedua terakhir bagi Hubungan Putrajaya. Persimpangan terakhir pula dihubungkan ke Lebuh Sentosa, Putrajaya. Jajaran lebuh raya ini dari Persimpangan Putrajaya-Cyberjaya ke Persimpangan Lebuh Sentosa diletakkan di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya di bawah Elite.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Memasuki Hubungan Putrajaya melalui Lebuhraya Elite E6 di Exit 607 Persimpangan Putrajaya






Plaza Tol Putrajaya






Exit 613 Persimpangan Bandar Nusaputra






Hubungan Putrajaya empat lorong






Merentasi kawasan berpaya






Exit 614 Persimpangan Putrajaya-Mex






Susur keluar ke Cyberjaya






Keluar ke Lebuhraya Cyberjaya-Putrajaya FT29 di Persimpangan Putrajaya-Cyberjaya

No comments:

Post a Comment