Monday, December 14, 2015

Reviu eksklusif Lebuhraya Maju (MEX) E20 / Maju Expressway (MEX) E20 exclusive review

Salam sejahtera,

Semalam (13 Disember 2015) merupakan hari yang sangat istimewa buat Maju Expressway Sdn. Bhd. (MESB) sungguhpun dengan keadaan cuaca yang tidak begitu baik kerana semalam merupakan hari perasmian Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan yang dihubungkan dengan Jalan Seri Kembangan FT3215, sekaligus menamatkan penderitaan orang-orang Seri Kembangan yang sudah puas menanggung azab kesesakan jalan raya di pekan Seri Kembangan sehingga turut merebak ke Lebuhraya Besraya E9. Jika sebelum ini Lebuhraya Besraya E9 (dan "jalan-jalan potong" pemintas tol) merupakan satu-satunya laluan utama bagi penduduk Seri Kembangan ke ibu kota, kali ini mereka boleh menarik nafas lega kerana sudah ada laluan alternatif yang lebih lancar dan memudahkan pergerakan.

Sempena dengan pembukaan Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan semalam, Blog Jalan Raya Malaysia berkesempatan untuk mengadakan satu reviu eksklusif bagi lebuh raya ini dengan menggunakan motosikal. Kenapa saya perlu nyatakan motosikal...? Sebenarnya ada di kalangan peminat setia Blog Jalan Raya Malaysia yang agak risau kerana sudah lama saya tidak menyentuh motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya untuk menghasilkan reviu jalan raya sejak ia mengalami kerosakan pada Oktober 2014. Sebenarnya kerosakan yang dialami itu tidaklah sampai terpaksa dibaik pulih (overhaul), cuma kos keseluruhan untuk membaikinya sahaja yang menghampiri kos baik pulih penuh kerana ada banyak kerosakan kecil serta penukaran alat ganti wajib yang terkumpul. Penukaran alat ganti kecil yang terkumpul hanyalah melibatkan penukaran minyak enjin, rantai, gegancu, palam pencucuh dan pad brek, yang mana kosnya tidaklah seberapa, tetapi apa yang merabakkan kocek saya ialah penukaran kedua-dua rim sport hadapan dan belakang, bearing bagi roda belakang serta tayar hadapan dan belakang. Disebabkan pada masa itu poket saya sudah pun rabak habis akibat motosikal saya terpaksa dibaik pulih sebanyak dua kali (kali pertama gagal kerana masalah minyak enjin tiba-tiba kering pula muncul) dengan kos keseluruhan sekitar RM1,100, maka saya mengalami masalah kewangan yang agak lama untuk diatasi setelah terpaksa menggunakan kereta sebagai kenderaan untuk ke tempat kerja.  Hanya pada bulan September 2015 barulah saya berjaya membaiki semula motosikal saya, sekaligus menamatkan masalah kewangan yang dihadapi sepanjang tahun ini, dan kali ini saya dengan bangganya kembali menggunakan motosikal Honda Wave Ultimo saya untuk reviu kali ini.

Sekarang mari kita bercerita serba-sedikit mengenai Lebuhraya MEX E20 ini. Cadangan membina lebuh raya ini muncul hasil daripada rancangan pembinaan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baharu kerajaan persekutuan serta lapangan terbang baharu Kuala Lumpur di Sepang yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Maka, sudah tentulah ia memerlukan sebatang lebuh raya khas yang menghubungkan Kuala Lumpur terus ke dua destinasi tersebut, memandangkan KLIA dibina jauh di sebelah selatan. Sebenarnya pengguna jalan raya memang boleh ke Putrajaya melalui kombinasi Lebuhraya KL-Seremban E37-Lebuhraya Utara-Selatan E2 ataupun Lebuhraya Sungai Besi E9 sebelum meneruskan perjalanan melalui SKVE E26, tetapi kedua-dua lebuh raya tersebut ada zon sesak yang tersendiri sehingga boleh mengganggu kelancaran trafik. Sebab itulah satu lebuh raya khusus yang disambung terus ke Putrajaya dari Kuala Lumpur diperlukan. Projek lebuh raya yang asalnya diberi nama Lebuhraya Khusus Kuala Lumpur-KLIA E20 ini diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1997, dengan konsesi diberikan kepada Konsortium Lapangan Terjaya Sdn. Bhd., anak syarikat Maju Holdings Berhad. Namun, disebabkan masalah kegawatan ekonomi, pembinaan lebuh raya hanya dilaksanakan sehingga setakat Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link sahaja, dan lebuh raya ini dinamakan semula sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya E20. Pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya E20 dimulakan pada 6 Disember 2004 dan dibuka kepada lalu lintas pada 13 Disember 2007. Pada 11 Jun 2008, Konsortium Lapangan Terjaya Sdn. Bhd. menukar namanya kepada Maju Expressway Sdn. Bhd. seperti yang kita kenali pada hari ini, dan Lebuhraya KL-Putrajaya E20 kini dikenali sebagai Lebuhraya Maju E20 ataupun Lebuhraya MEX E20.



Pelan jejambat Lebuhraya MEX E20 yang dikatakan terlalu hampir dengan rumah penduduk Sri Petaling
(klik untuk besarkan)


Namun, projek lebuh raya ini tidak sunyi daripada isu kontroversinya yang tersendiri. Isu kontroversi pertama ialah pembinaan jejambat di atas Jalan 2/149 di Sri Petaling. Meskipun jejambat tersebut dibina di atas pembahagi jalan, namun jejambat tersebut didakwa terlalu hampir dengan rumah penduduk - sehinggakan jarak di antara tembok di tepi lebuh raya dengan rumah penduduk hanya 2 meter sahaja. Selain daripada mendedahkan penduduk Sri Petaling dengan bunyi bising jalan, penduduk Sri Petaling juga bimbang sekiranya kenderaan berat terlanggar tembok pengadang tepi jejambat sehingga roboh dan seterusnya terjunam ke rumah orang.






Pelan tanah bagi jajaran asal E20 pada tahun 1997 (atas) dengan jajaran yang telah dialihkan ke pembahagi jalan 2/149 (bawah)


Bagaimana boleh jadi begitu...? Perhatikan kepada dua pelan tanah di atas ini. Pelan tanah di atas merupakan pelan tanah pada tahun 1997 yang merupakan pelan laluan asal. Laluan asal E20 sepatutnya di sebelah barat Jalan 2/149 dengan rizab jalan yang mencukupi. Namun, kegagalan perancangan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah pimpinan Datuk Seri Samy Vellu serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengakibatkan projek lebuh raya ini tidak dapat dibina di laluan asal, apabila DBKL meluluskan pembinaan perumahan di sepanjang Jalan 2/149K, mengakibatkan jajaran lebuh raya terpaksa dianjak ke jejambat yang dibina di atas pembahagi Jalan 2/149. Inilah padahnya akibat gagal merancang dengan teliti, sehingga mengakibatkan projek infrastruktur penting sebegini tidak dapat dijalankan dengan lancar. Bantahan oleh penduduk Sri Petaling ini tidak seharusnya timbul jika KKR lebih bijak merancang dengan mengambil alih segera kawasan tanah yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya ini serta mewartakannya sebagai tanah rizab lebuh raya. Sementara itu, Datuk Seri Samy Vellu pula bertindak balas dengan mengatakan bahawa masalah tersebut boleh diselesaikan dengan membina jejambat tersebut lebih tinggi serta dilengkapi tembok peredam bunyi.

Itu baru kontroversi di peringkat pembinaan. Setelah E20 dibuka pula, satu lagi kontroversi timbul apabila Datuk Seri Samy Vellu sekali lagi mencari fasal dengan mengharamkan penggunaan motosikal di sepanjang Lebuhraya MEX E20 pada saat-saat akhir bermula 31 Januari 2008 atas alasan yang sangat dangkal iaitu "tidak cukup ruang". Apakah Samy Vellu itu sengaja membutakan matanya sehinggakan lebuh raya sebesar-besar alam itu pun boleh dikatakan "tidak cukup ruang" bagi penunggang motosikal...? Kalau diikutkan, kesemua plaza tol di sepanjang E20 memang ada lorong motosikal. Kalau dalam kes Lebuhraya AKLEH E12, memang lebuh raya itu tiada lorong motosikal di Plaza Tol Keramat, tetapi akhirnya ia tetap berjaya diwujudkan meskipun sempit. Kalau kes Terowong SMART E38 mengharamkan penggunaan motosikal pun saya masih boleh terima rasionalnya, kerana Terowong SMART berakhir di kawasan paling sesak di Kuala Lumpur, jadi tahap pelepasan ekzos motosikal berpotensi meracuni keseluruhan pengguna E38 disebabkan sistem kawalan emisi motosikal yang sangat ringkas dan kurang berupaya mengurangkan paras karbon monoksida, nitrogen oksida dan hidrokarbon tak terbakar secekap kereta. Namun, dalam kes E20 pula, alasan yang diberikan oleh Samy Vellu ini sangat mengarut dan tidak masuk akal. Jika bahu jalan keras yang kecil di sesetengah jajaran E20 dijadikan modal bagi alasan "tidak cukup ruang" untuk penunggang motosikal, maka ia satu pemikiran yang sangat cetek dan sangat dangkal. Buku undang-undang jalan raya negara mana yang mengajar pengguna jalan raya untuk menjadikan bahu jalan keras (aka lorong kecemasan) sebagai lorong motosikal...? Patutlah sekarang ini sudah sebegitu ramai pemandu bebal yang memandu di lorong kecemasan. Namun, penyebab sebenarnya adalah kerana Samy Vellu berasa bengang apabila keretanya dipintas oleh para penunggang superbike di lebuh raya. Kerana marahkan penunggang superbike, Samy Vellu terus mendiskriminasi keseluruhan komuniti penunggang motosikal umpama pariah dengan mengancam mahu mengharamkan terus motosikal daripada menggunakan mana-mana lebuh raya ekspres di Malaysia.

Akibat pengharaman penggunaan motosikal di Lebuhraya MEX E20, saya yang pada masa itu masih menuntut di universiti pernah "menyenaraihitamkan" lebuh raya ini dan seterusnya memboikot penggunaan E20 bagi membantah dasar diskriminasi terhadap pengguna motosikal oleh Samy Vellu. Hanya kerana bengang setelah keretanya dicantas oleh penunggang superbike, dia terus melabelkan kesemua penunggang motosikal sebagai mat rempit dan pelumba haram, sedangkan hakikat sebenarnya ialah majoriti penunggang motosikal di ibu kota termasuklah saya memilih untuk menggunakan motosikal sebagai kenderaan harian ke tempat kerja sebagai usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi menggunung akibat terlalu banyak bergantung kepada penggunaan kereta. Perangai sombong dan bongkak Samy Vellu akhirnya memakan dirinya balik apabila dia kalah di tempatnya sendiri pada hari jadinya semasa Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008. Penggantinya iaitu Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed pula lebih memahami keperitan rakyat susulan kenaikan mengejut harga minyak sehingga mencecah RM2.70 seliter apabila beliau mengumumkan membenarkan semula motosikal menggunakan Lebuhraya MEX E20 bermula 4 Jun 2008. Serentak dengan itu jugalah saya menamatkan boikot terhadap penggunaan Lebuhraya MEX E20. Tatkala rakyat naik minyak susulan harga minyak yang mencanak naik, pengumuman oleh Datuk Ir. Mohd. Zin sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada warga kota kerana kerajaan pada waktu itu masih memberi alternatif kepada rakyat dan bukannya mencekik habis rakyat dari semua sudut sehingga tiada alternatif lain yang boleh membantu. Sekarang...? Sendiri mahu ingatlah...!!!

Sekarang kita kembali semula kepada reviu lebuh raya ekspres sepanjang 26 km ini. Lebuhraya MEX E20 ini bermula di salah satu kawasan paling sesak di ibu kota iaitu di Exit 2001 Bulatan Pandan, dan kelemahan ini sangat terserlah ketika waktu gegas di sebelah pagi apabila pengguna lebuh raya ini pun boleh tersangkut sehingga beberapa kilometer jauhnya. Namun, jika ada di kalangan penduduk Kuala Lumpur yang bekerja di Putrajaya, mereka inilah yang tersenyum paling lebar kerana perjalanan ke Putrajaya pada waktu pagi pula begitu lancar.

Lebuhraya MEX E20 merupakan satu contoh terbaik yang berupaya menunjukkan kepada anda ketiga-tiga pecahan jenis lebuh raya ekspres mengikut piawaian JKR U6. Lebuh raya ini bermula di kawasan tepu bina paling padat di Kuala Lumpur dengan ruang yang sangat terhad. Sebab itulah jajaran di sini dibina hanya 4 lorong sahaja dengan had laju 60 km/j, memandangkan adalah sukar untuk memperoleh tanah mencukupi untuk membina lebuh raya 6 lorong. Jajaran KL-Salak Selatan ini boleh dikategorikan di bawah piawaian JKR U6 (Jenis III), dengan had laju reka bentuk hanya 60 km/j. Tidak lama setelah berada di jejambat, E20 mula mencecah tanah semasa menghampiri Plaza Tol Salak Selatan.

Lebuh raya menjadi bertambah lebar sehingga 6 lorong sebaik selepas Plaza Tol Salak Selatan.  Had laju dinaikkan kepada 80 km/j. Bermula dari sini, lebuh raya ini mula berubah kepada Jenis II pula - tidak terlalu padat seperti tadi, tetapi tidak pula terlalu lapang. Dengan kata lain, ia masih melalui jejambat, tetapi tidak berapa berkelok-kelok kecuali jajaran antara Exit 2002 Persimpangan Salak Selatan dengan Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama, menyebabkan selekoh di situ sekali lagi dikenakan had laju 60 km/j sebelum ia dinaikkan semula kepada 80 km/j. Exit 2002 Persimpangan Salak Selatan hanya sekadar satu susur masuk dari Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 (arah timur) ke arah Putrajaya. Sementara itu pula, Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama dihubungkan ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (arah utara), yang mana dari situ pengguna boleh ke Lebuhraya Baru Pantai E10 dan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37. Namun, apa yang saya kurang berpuas hati di situ ialah penambahan dua persimpangan tersebut (berserta laluan keluar masuk ke Terowong SMART E38) menambah parah akan kesesakan di Persimpangan Salak Selatan dan Persimpangan Kuchai Lama yang dibina terlalu rapat. Dalam hal ini, isu kesesakan di situ sepatutnya boleh diselesaikan melalui pembinaan lorong-lorong pengumpul bagi mengasingkan lalu lintas ke susur keluar masuk di kedua-dua persimpangan tersebut daripada laluan utama agar kecelaruan trafik dapat dikurangkan, tetapi malangnya tiada satu pun tindakan seumpamanya yang diambil meskipun sudah tahu jajaran di situ sesak teruk.

Selepas Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama, Lebuhraya MEX E20 melalui tengah-tengah Jalan 2/149 sebelum menaiki jejambat di atasnya. Tembok peredam bunyi dipasang tinggi di kiri kanan lebuh raya. Di jejambat sama jugalah terletaknya Exit 2004 Persimpangan Bukit Jalil yang dibina betul-betul di atas Exit 514 Persimpangan Awan Kecil di Lebuhraya Shah Alam E5. Namun, persimpangan tersebut mempunyai kecacatan reka bentuknya yang tersendiri. Dari pusat bandar raya, pengguna lebuh raya hanya boleh ke arah Sri Petaling (dan seterusnya MRR2 FT28); maka, pengguna lebuh raya dari KL yang hendak ke Shah Alam terpaksa membuat pusingan U di Exit 515 Persimpangan Kompleks Sukan Negara yang kapasitinya begitu terhad, memandangkan ia dihubungkan dengan jalan raya bertaraf jalan pengumpul sahaja. Kecacatan reka bentuk tersebut telah menyumbang kepada kesesakan teruk di antara Exit 514 Persimpangan Awan Kecil dengan Exit 515 Persimpangan Kompleks Sukan Negara, terutamanya semasa waktu gegas. Malangnya, tiada sebarang tindakan pembetulan berupa pembinaan jalan susur keluar ke arah Shah Alam dilaksanakan.

Jejambat Sri Petaling masih belum berakhir lagi; kali ini, ia dibina di atas Jalan Kompleks Sukan pula. Hanya setelah melepasi Taman Teknologi Malaysia barulah Lebuhraya Maju E20 dibina di atas tanah sehingga ke penghujungnya. Di sinilah had laju dinaikkan kepada 90 km/j kerana jajaran E20 kali ini dikategorikan di bawah piawaian JKR U6 (Jenis I) disebabkan rizab jalan yang sangat besar. Malah, kalau diikutkan di jajaran ini Lebuhraya MEX E20 sebenarnya sudah boleh dikategorikan sebagai lebuh raya luar bandar (JKR R6) yang membolehkan had laju dinaikkan kepada 110 km/j kerana ia tidak lagi melalui kawasan perumahan, tetapi sebaliknya E20 masih dianggap sebagai lebuh raya perbandaran.

5 km kemudian, saya tiba di Exit 2004A Persimpangan Sri Kembangan. Persimpangan ini dibina sebagai persimpangan trompet penuh yang dihubungkan dengan Jalan Sri Kembangan FT3215. Sepasang plaza tol juga dibina di jalan susur masuk dari arah KL dan sebaliknya; jalan susur keluar masuk arah Putrajaya pula tidak melalui plaza tol. Kenapa hanya arah KL sahaja yang dikenakan tol...? Sebabnya, Exit 2004A Persimpangan Sri Kembangan ini terletak di lokasi yang tidak sampai sepertiga perjalanan sahaja untuk sampai ke penghujung E20 - atau dengan kata lain, perjalanan dari Sri Kembangan ke Putrajaya sudah begitu dekat. Namun, plaza tolnya hanya menerima bayaran tol elektronik sahaja. Bermula semalam (13 Disember 2015) sehingga 13 Januari 2016, tol di sini adalah percuma; sebaik sahaja tempoh tol percuma di Plaza Tol Sri Kembangan tamat, keseluruhan lebuh raya ini hanya menerima pembayaran tol melalui Touch 'n Go dan Smart Tag sahaja.

Saya mengambil keputusan untuk melencong keluar sebentar untuk melihat sendiri jalan masuk ke lebuh raya. Lorong motosikal di plaza tol agak kotor hasil peninggalan jentera-jentera pembinaan yang belum dibersihkan. Saya dapat melihat kelibat khemah jamuan yang didirikan di situ, yang menunjukkan bahawa saya tiba di sini semasa majlis perasmian Exit 2004A ini baru sahaja selesai. Semasa saya meneruskan perjalanan melalui jalan masuk lebuh raya ini, saya dapati jalan masuk ini begitu panjang, seolah-olah di Lebuhraya Pantai Timur E8 pula. Sebaik berada di persimpangan Jalan Seri Kembangan FT3215, saya membuat pusingan U untuk memasuki lebuh raya semula.

Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan terletak betul-betul selepas Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan. Ia merupakan satu-satunya hentian rehat di lebuh raya ini. Meskipun kesemua gerai di hentian rehat ini beroperasi, namun apa yang saya kurang senangi ialah ketiadaan stesen minyak di situ, samalah perangainya seperti Kawasan Rehat dan Rawat Elmina di Lebuhraya Guthrie E35. Kereta mungkin tiada masalah, tetapi bagaimana pula dengan motosikal kapcai...? Jika penunggang motosikal memasuki lebuh raya tatkala tangki minyak hanya berbaki suku sahaja, mereka pasti akan terpaksa menolak sebaik selepas keluar dari E20 kerana jarak stesen minyak terhampir dengan Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link adalah begitu jauh. Sebab itulah MESB perlu mendirikan stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan.

Perjalanan ke Putrajaya melalui Lebuhraya MEX E20 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Petanda pertama ialah ketika E20 melintasi SKVE E26, diikuti dengan Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29. Namun, petanda paling besar ialah selekoh tajam betul-betul sebelum Plaza Tol Putrajaya, di mana had laju diturunkan kepada 60 km/j. Di Plaza Tol Putrajaya, lorong motosikal dilencongkan jauh kerana plaza tol ini turut menempatkan ibu pejabat operasi Maju Expressway Sdn. Bhd. (MESB). Lebuh raya tamat di Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link yang dihubungkan dengan Hubungan Putrajaya E6. Hendak patah balik semula ke KL...? Boleh, satu terowong pusingan U disediakan betul-betul sebelum Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link. Di Exit 2005, kelihatan ada cerutan di jejambat tersebut, yang sudah tentunya membawa kepada petunjuk bahawa lebuh raya ini memang akan disambung pembinaannya sehingga ke KLIA, tetapi bilakah sambungan MEX E20 ini akan dibina...? Wallahualam, saya serahkan kepada pihak pengurusan MESB untuk membuat keputusan.

Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan pengalaman saya menggunakan lebuh raya ini. Perjalanan dari hujung ke hujung hanya mengambil masa 20 minit jika dipandu mengikut had laju; tetapi jika anda kaki rempit atau kaki drag, anda hanya memerlukan masa 15 minit atau kurang. Cuma, terdapat dua isu utama yang perlu diambil perhatian oleh MESB di sini. Isu pertama ialah kecacatan reka bentuk Exit 2004 Persimpangan Bukit Jalil yang menjadi penyumbang utama kepada masalah kesesakan di jajaran Awan Besar-Sri Petaling di Lebuhraya Shah Alam E5. Masalah tersebut hanya boleh diselesaikan sekiranya MESB membina jalan susur keluar dari Kuala Lumpur ke Shah Alam dengan memanfaatkan ruang pada sukuan tenggara di persimpangan tersebut. Tanjakan keluar tersebut amat perlu dibina supaya pengguna MEX E20 dari arah KL tidak lagi perlu membuat pusingan U di Exit 515 Persimpangan Kompleks Sukan Negara yang begitu terhad kapasitinya. Isu kedua pula ialah ketiadaan stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan, yang tentunya menggusarkan para penunggang motosikal kapcai yang tangkinya begitu kecil. Jika MESB membina stesen minyak di situ, maka sudah tentulah lebih ramai pengguna Lebuhraya MEX E20 yang akan memanfaatkan hentian rehat tersebut.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada MESB atas pembukaan Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan yang sudah tentunya menamatkan penantian warga Seri Kembangan yang dambakan laluan alternatif yang lebih lancar untuk ke ibu kota. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada MESB kerana berjaya membina sebuah lebuh raya capaian terkawal sempurna yang menghubungkan antara ibu negara Malaysia dengan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kontroversi terutamanya dari segi pengambilalihan tanah. Saya harap agar semua pemain industri lebuh raya ekspres (termasuklah Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sendiri) dapat mengambil iktibar daripada sejarah yang pernah berlaku semasa pelaksanaan projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya E20 sebelum ini agar permasalahan mengenai isu pengambilan tanah tidak lagi timbul. Selain itu, diskriminasi terhadap penunggang motosikal termasuklah melarang motosikal daripada memasuki lebuh raya yang memang sudah ada infrastruktur mencukupi untuk penunggang motosikal mestilah dihentikan serta-merta tanpa banyak soal. Saya percaya MESB sudah tentu tidak lagi mahu terus dihentam dan dicemuh oleh rakyat susulan Tragedi Oktober berupa pesta naik kadar tol yang turut melibatkan Lebuhraya MEX E20. Justeru, sebarang rancangan untuk kembali mengharamkan motosikal melalui lebuh raya wajiblah dihentikan serta-merta kerana rakyat sudah terlalu marah, sakit hati dan meradang akan kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam menangani kos sara hidup. Sudahlah subsidi petrol dihapuskan, ditambah pula dengan bebanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol pula naik, dan baru-baru ini pula tambang pengangkutan awam pula naik. Apa lagi pilihan yang rakyat ada sekarang...? Tatkala kos penggunaan kereta dan pengangkutan awam kini sudah mencanak naik, satu-satunya harapan terakhir rakyat dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup hanyalah motosikal sahaja. Maka, jika motosikal diharamkan daripada menggunakan lebuh raya, maka sudah tentulah ia sangat melampaui batas kesabaran rakyat.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E20
Panjang: 26 km
Arah laluan: Utara-Selatan (Bulatan Kampung Pandan sehingga ke Hubungan Putrajaya E6)
Bilangan lorong: 4 (Bulatan Kampung Pandan-Plaza Tol Salak Selatan); 6 (jajaran selebihnya)







Pangkal Lebuhraya Maju (MEX) E20 di Exit 2001 Persimpangan Bulatan Kampung Pandan






Jajaran Bulatan Kg. Pandan-Salak Selatan dipenuhi kawasan tepu bina dengan ruang terhad, memaksa had laju 60 km/j dikenakan






Ada baki 33 km lagi sebelum sampai ke Putrajaya






Plaza Tol Salak Selatan






Lebuh raya melebar kepada 6 lorong dan had laju naik kepada 80 km/j






Laluan terpisah di antara Exit 2002 Persimpangan Salak Selatan dengan Exit 2003 Persimpangan Kuchai Lama






Lebuh raya melalui tengah-tengah Jalan 2/149 sebelum menaiki jejambat di atasnya






Exit 2004 Persimpangan Bukit Jalil






Masih lagi di Jejambat Sri Petaling, kali ini di atas Jalan Kompleks Sukan pula






Akhirnya MEX E20 melalui atas tanah semula sehingga ke penamatnya - had laju naik kepada 90 km/j






Jarak ke Exit 2004A Persimpangan Sri Kembangan hanya tinggal 3 km






Exit 2004A Persimpangan Seri Kembangan dengan plaza tol bagi lalu lintas dari KL dan sebaliknya






Exit 2004A dihubungkan dengan Jalan Seri Kembangan FT3215






Memasuki Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan






Kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan E20 begitu meriah, tetapi sayangnya tiada stesen minyak






Hanya tinggal 5 km sebelum lebuh raya tamat






Plaza Tol Putrajaya turut menempatkan ibu pejabat operasi Maju Expressway Sdn. Bhd.






Lebuh raya tamat di Exit 2005 Persimpangan Putrajaya Link

No comments:

Post a Comment