Friday, May 10, 2013

Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12 / Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) E12

Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak menghasilkan sebarang reviu jalan raya. Antara sebab-sebab utama yang menghalang saya daripada membuat reviu jalan raya ialah kesibukan kerja, kesuntukan masa, keadaan cuaca yang buruk serta masalah kewangan. Oleh itu, saya merayu kepada anda agar anda memberikan sokongan kepada saya dengan menderma supaya saya berupaya menyajikan lebih banyak reviu jalan raya berjarak jauh khas buat anda, sebagai usaha memartabatkan jalan raya Malaysia.

Sementara itu, untuk mengubat kerinduan para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia, saya melencong sebentar ke Ampang selepas waktu bekerja, bagi tujuan apresiasi satu lagi karya agung dalam kejuruteraan lebuh raya Malaysia, iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12. Kenapa AKLEH? Sebabnya mudah sahaja - sebagaimana kebanyakan bandar raya lain di dunia, masalah pengambilan tanah sememangnya merupakan satu isu besar yang perlu ditangani mana-mana perancang dan pembina lebuh raya. Bagi kes AKLEH E12 ini, ia dibina susulan kesesakan teruk di sepanjang Jalan Ampang B31, dan pendekatan yang digunakan untuk menangani masalah pengambilan tanah ialah dengan membina E12 di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Ampang, di mana Sungai Klang membentuk pembahagi lebuh raya semulajadi. AKLEH E12 memang sengaja dibuat tinggi agar ia terselamat daripada sebarang bencana banjir kilat yang semakin kerap melanda Kuala Lumpur dan Ampang sejak akhir-akhir ini.

Sejarah AKLEH E12 ini dikaitkan dengan sejarah Jalan Ampang B31 sendiri, yang mana ia dipercayai merupakan jalan raya kedua tertua di Malaysia selepas Jalan Kamunting-Kuala Sepetang, yang seterusnya berevolusi menjadi landasan kereta api, dan seterusnya menjadi beberapa siri jalan kampung, jalan perbandaran dan sebahagian Jalan Persekutuan 74. Kedua-dua jalan raya terawal di Malaysia itu dibina bagi menghubungkan antara lombong bijih timah dengan pelabuhan untuk mengangkut bijih timah menggunakan jalan air. Dalam kes Jalan Ampang B31, bijih timah seterusnya diangkut dari Kuala Lumpur, iaitu di pertemuan antara Sungai Klang dengan Sungai Gombak, menggunakan sampan. Lama-kelamaan, semakin banyak jalan raya yang dibina, termasuklah yang menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan Klang, menjadikan pengangkutan air tidak lagi relevan. Kadar urbanisasi juga berkembang dengan sangat pesat, sehingga menyebabkan Jalan Ampang B31 semakin lama semakin sesak, terutamanya pada waktu-waktu rush hour. Bagi melegakan kesesakan di Jalan Ampang B31, kerajaan telah meluluskan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12 pada 16 Mei 1996. Akhirnya, AKLEH E12 dibuka pada 17 Mei 2001 setelah pembukaannya beberapa kali tertangguh. Kutipan tol dimulakan pada 1 Jun 2001 dan tempoh konsesi dijangka tamat pada tahun 2029. AKLEH E12 merupakan lebuh raya ekspres pertama kendalian Prolintas sebelum Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya LKSA E13.

Lebuh raya AKLEH E12 menggunakan pendekatan yang sangat bijak iaitu mengeksploitasikan arah aliran Sungai Klang dan Sungai Ampang sebagai laluan lebuh raya. Ia juga memang sengaja ditinggikan, bukan sahaja bagi mengelak banjir malah untuk mengelakkan sebarang bentuk persilangan dengan mana-mana jalan raya, menjadikannya lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh. AKLEH E12 dibina menggunakan teknologi pemasangan segmen-segmen yang siap dituang (pre-cast segments). Penggunaan teknologi sebegini juga membolehkan bentuk-bentuk persimpangan bertingkat yang kompleks dihasilkan tanpa merobohkan mana-mana bangunan yang ada.

Asalnya, AKLEH E12 mengharamkan motosikal daripada melaluinya. Namun, kenaikan melampau harga minyak pada 5 Jun 2008 yang menyaksikan harga RON97 naik dari RM1.92 seliter kepada RM2.70 seliter menyebabkan penurunan mendadak jualan kereta serta peningkatan mendadak jualan motosikal, memandangkan ramai warga kota yang beralih menggunakan motosikal kerana tidak lagi mampu membayar harga minyak yang terlampau mahal. Sehubungan dengan itu, Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohammed memansuhkan larangan penggunaan motosikal di AKLEH E12 pada 19 Jun 2008 susulan kenaikan harga petrol tersebut. Kini, walaupun kebanyakan pengguna jalan raya menggunakan RON95 yang lebih murah dengan harga RM1.90 seliter, penunggang motosikal membentuk 23% daripada jumlah kenderaan di ibu kota, menunjukkan tahap kesedaran warga kota yang masih lagi rendah untuk berhijrah kepada penggunaan pengangkutan awam dan motosikal yang lebih mesra alam, lebih jimat minyak dan lebih cekap ruang.

Saya mulakan perjalanan saya di AKLEH E12 bermula dari penghujungnya di KM7.7 iaitu Exit 1206 Persimpangan Ampang, melalui Jalan Ampang B31 dari arah pekan Ampang. Bagi laluan arah Ampang, E12 menyusur masuk ke Jalan Mamanda 9 untuk ke arah pekan Ampang. Tidak berapa jauh kemudian terletaknya Exit 1205 Persimpangan Jalan Kerja Air Lama dan Exit 1204 Persimpangan MRR2. Kedua-duanya menghubungkan E12 dengan Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28, tetapi tiada satu susur keluar pun untuk keluar ke MRR2 FT28 arah jam. Sebaliknya, pemandu dari arah pusat bandar raya perlu keluar ke MRR2 arah lawan jam dan membuat pusingan-U yang agak jauh di Bulatan Keramat AU3 (bawah Exit 3308 Persimpangan Hulu Klang.

Jajaran empat lorong Ampang-Jelatek menyusuri sepanjang bahagian selatan tebing Sungai Ampang dan Sungai Klang. Dalam perjanjian konsesi asal, Prolintas perlu melebarkan jajaran ini menjadi 6 lorong dengan membina laluan di sebelah tebing utara Sungai Klang dan Sungai Ampang dan seterusnya memindahkan lorong-lorong arah Ampang ke situ setelah kadar aliran trafik purata harian (ADT) meningkat kepada lebih 93,000 buah kenderaan sehari. Sebab itulah bagi lalu lintas arah Ampang terdapat satu chicane untuk beralih ke tebing sebelah selatan sebaik sahaja melepasi Exit 1203 Persimpangan Jelatek, kerana tebing sebelah utara dirizabkan untuk kerja penambahan lorong kelak.

Exit 1203 Persimpangan Jelatek terletak sangat strategik di sebelah Balai Bomba Jalan Jelatek serta stesen LRT Datuk Keramat. Ia disambungkan ke Jalan Jelatek dan seterusnya Jalan Setiawangsa untuk ke Datuk Keramat, Setiawangsa, Sri Rampai dan Wangsa Maju.

Tidak lama kemudian saya tiba di Plaza Tol Keramat. Asalnya plaza tol ini tidak direka untuk kegunaan motosikal, tetapi arahan tahun 2008 oleh Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed menyebabkan motosikal dibenarkan melalui E12, di mana motosikal pada awalnya terpaksa berkongsi laluan dengan lorong-lorong paling kiri di plaza tol. Namun demikian, ia menyebabkan rungutan oleh pengguna kereta, maka pondok-pondok tol paling kiri terpaksa dirobohkan dan digantikan dengan pondok-pondok tol tambahan. Setakat tahun 2013, kadar tol yang dikenakan kepada pemandu kereta ialah RM1.50, dan kadar tol ini akan naik sebaik sahaja selepas kerja pelebaran jajaran Jelatek-MRR2 dimulakan.

Exit 1202 Persimpangan Jalan Tun Razak terletak sebaik sahaja selepas Plaza Tol Keramat. Jajaran Jalan Tun Razak dari terowong Jalan Ampang ke Perpustakaan Negara terbahagi kepada dua laluan, iaitu laluan di sebelah atas jejambat besi dan laluan di sebelah bawah. Pengguna E12 hanya boleh memasuki E12 melalui laluan atas jejambat, manakala pengguna dari E12 keluar ke Jalan Tun Razak melalui laluan bawah jejambat. Terdapat juga datu pusingan U bertingkat bagi lalu lintas dari arah Jalan Sultan Ismail ke KLCC.

Persimpangan KLCC pula hanya sekadar satu simpang left-in, left-out (LILO) mudah, yang mana pemandu dari arah KLCC perlu membuat pusingan U di Exit 1201B untuk ke Ampang manakala pengguna dari arah Jalan Sultan Ismail perlu membuat pusingan U di Exit 1202.

Penamat bagi AKLEH E12 ada dua, iaitu Exit 1201A dan Exit 1201B. Exit 1201B ialah bagi lalu lintas terus dari Jalan Sultan Ismail arah selatan dan keluar ke arah selatan juga, manakala pengguna dari Jalan Sultan Ismail arah utara perlu masuk seketika ke Jalan Raja Abdullah untuk ke Exit 1201, manakala lalu lintas dari E12 dilencongkan keluar ke Jalan Sultan Ismail arah utara melalui Jalan Ampang. Lebuh raya tamat secara rasminya di situ.

Kesimpulannya, AKLEH E12 merupakan satu bentuk penyelesaian pintar bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dengan mengeksploitasikan bentuk muka bumi bagi membolehkan lebuh raya ini dibina. Pembinaan seperti ini sepatutnya menjadi contoh kepada mana-mana projek lebuh raya ekspres perbandaran lain kerana ia masih mengekalkan kawalan masuk penuh meskipun mengalami kekangan ruang. Oleh itu, sebarang bentuk rekaan lebuh raya perbandaran yang lebih baru mestilah memenuhi kriteria kawalan masuk penuh walaupun dengan ruang yang terhad, agar tidak menimbulkan masalah di kemudian hari akibat terdapatnya kecacatan dalam reka bentuk lebuh raya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E12
Panjang: 7.7 km
Arah laluan: Barat-timur (Jalan Ampang / Jalan Abdullah / Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur-Ampang)
Bilangan lorong: 6 (Kuala Lumpur-Jelatek); 4 (Jelatek-Ampang)
Senarai persimpangan: Klik sini







Memasuki AKLEH E12 dari arah pekan Ampang di Exit 1206






Exit 1205 Persimpangan Jalan Kerja Air Lama






Exit 1203 Persimpangan Jelatek






Plaza Tol Keramat






Exit 1202 Persimpangan Jalan Tun Razak






Simpang masuk ke KLCC






Lebuh raya tamat di Jalan Ampang dekat stesen LRT Dang Wangi

No comments:

Post a Comment