Thursday, May 30, 2013

Honda Wave 110 serba baru dilancarkan / All-new Honda Wave 110 launched




Honda Wave 110DX dengan brek cakera hadapan dan rim sport.




Lampu belakang ini mengingatkan saya kepada Modenas Kriss SG.




Rekaan Honda Wave 110 kali ini begitu mengecewakan kerana nampak ketinggalan zaman.




Enjin 110 cc yang lebih jimat minyak tetapi kurang berkuasa daripada Wave 110 terdahulu.




Papan pemuka Wave 110 baru kali ini bukan sahaja kelihatan ketinggalan zaman, malah boleh menimbulkan persepsi motor lembab dan kurang berkuasa.

(Kredit bagi semua gambar: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Pada 28 Mei 2013, Boon Siew Honda telah melancarkan model Honda Wave 110 serba baru di Petaling Jaya, Selangor. Honda Wave 110 baru ini ialah model kapcai pertama yang dikeluarkan sejak kilang baru Boon Siew Honda di Batu Kawan mula beroperasi awal tahun ini. Model kapcai yang dilancarkan sebelumnya iaitu Honda Future 125 pula adalah model terakhir yang dilancarkan semasa beroperasi di kilang lama di Mak Mandin sebelum pengeluarannya berpindah ke kilang Batu Kawan, bersama-sama dengan model-model motosikal Honda yang lain.

Daya tarikan utama model Wave 110 baru ini ialah harganya yang sangat murah iaitu dengan harga bermula daripada RM3,898.00 bagi varian asas 110S, jauh lebih murah daripada model Wave 110 terdahulu. Ia bersesuaian dengan tagline "Satu Nilai Untuk Semua". Varian asas menggunakan brek gelendong hadapan, rim lidi, penghidup tendang serta lensa lampu isyarat membelok berwarna jingga pejal, manakala varian Wave 110DX yang lebih mahal pula mempunyai tambahan rim sport, brek cakera hadapan, lensa lampu isyarat membelok jernih serta kotak engkol yang dicat warna hitam, dengan harga RM4,498.00. Selain itu, kesemua varian Wave 110 ini dilengkapi kotak simpanan barangan di bawah tempat duduk yang dikenali sebagai kebuk U.

Namun demikian, terdapat dua perkara yang saya kurang berkenan mengenai model ini. Pertama, sungguhpun enjin Wave 110 ini dikatakan lebih jimat daripada model Wave 110 lama, ia juga kurang berkuasa berbanding Wave 110 lama (7.67 PS @ 7,500 rpm berbanding 8.0 PS @ 7,500 rpm). Malah, kuasa kudanya tidak jauh berbeza dengan Honda EX5 Dream yang mampu menghasilkan 7.3 PS @ 8,000 rpm. Akibatnya, sudah tentulah Wave 110 baru ini mudah ditapau oleh EX5 Dream yang sememangnya lebih ringan. Julat speedometernya turut menggandakan impresi "kurang berkuasa" motor ini, dengan julat hanya setakat 120 km/j dan lingkungan kelajuan pengoperasian sehingga 90 km/j sahaja. Sedih!

Kedua, saya merasakan rekaan Wave 110 kali ini kurang menarik dan ketinggalan zaman berbanding Wave 110 terdahulu. Terus-terang saya katakan, rekaan Wave 110 terdahulu sangat cantik dan menjadi daya penarik utama model tersebut sungguhpun kekuatan enjinnya tidak mampu menyaingi pesaingnya iaitu Yamaha Lagenda 115Z dan Modenas CT110 yang lebih berkuasa. Namun, saya berasa begitu kecewa dengan rekaan kali ini kelihatan begitu ketinggalan zaman, malah boleh dibandingkan dengan rekaan generasi terawal siri Honda Wave sekitar penghujung 1990an. Sistem pancitan bahan api jangan cakaplah, model kali ini masih juga tidak dilengkapi pancitan bahan api PGM-FI.

Kesimpulannya, Honda Wave 110 serba baru kali ini begitu mengecewakan saya, tidak seperti Honda Future 125 yang menyelesaikan banyak permasalahan yang sering dialami pendahulunya iaitu Wave 125X Ultimo. Jika anda mahukan motor yang murah tetapi boleh diharap serta sesuai dilenjan ke kebun, maka motor ini sesuai untuk anda. Namun, jika anda mahukan motor yang berkuasa dan cantik, maka saya cadangkan model-model pesaingnya seperti Yamaha Lagenda 115Z dan juga SYM Bonus 110. Jika kedai motosikal berhampiran anda masih lagi menyimpan stok Wave 110 lama, ada baiknya anda rembat model tersebut sebelum kehabisan!

Muat turun risalah Honda Wave 110 serba baru di sini.

Spesifikasi Honda Wave 110S/DX

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 110 cc
Sesaran: 109.1 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Kuasa kuda: 7.67 PS @ 7,500 rpm
Tork: 8.32 N-m @ 3,500 rpm
Jarak roda: 1,227 mm
Berat kering: 91 kg (model rim lidi, penghidup tendang); 95 kg (model rim sport, penghidup tendang, brek cakera hadapan)
Muatan tangki bahan api: 3.7 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Harga yang sangat murah
  2. Suis-suis yang ergonomik, tidak seperti suis Wave 110 lama yang agak mengelirukan
  3. Ada kotak U
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjin yang semakin kurang berkuasa daripada pendahulunya
  2. Rekaan yang ketinggalan zaman
  3. Masih juga tiada sistem pancitan bahan api

5 comments:

  1. hari ini@3/6/13 pergi jalan2 kedai motor, ternyata model ex5 jadi pilihan bakal pembeli walaupun kedai2 motor rekeman wave110 baru.siap kata ini murah disamping kuasa 110cc dan macam2 autanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang benar Honda Wave 110 baru ini sangat murah berbanding Wave 110 lama, malah tak jauh harga daripada EX5. Tapi kuasa kudanya hanya beza sikit sahaja dengan EX5, dan kurang berkuasa daripada Wave 110 lama. Maka, sudah tentulah Wave 110 baru ini lebih mudah ditapau oleh EX5 kerana EX5 mempunyai kelebihan nisbah kuasa kepada berat yang lebih tinggi. Sebab itulah Wave 110 baru ini cuma mampu mencapai sekitar 90 km/j, sedangkan Wave 110 lama pula mampu mencapai sekitar 110 km/j.

      Saya ada terbaca satu entri di laman motomalaya.net yang mana model baru Honda Wave 110 yang sepatutnya menggantikan Wave 110RS lama sudah dilancarkan di Vietnam, yang mana saya rasakan rekabentuknya sangat cantik. Sepatutnya model itulah yang dibawa masuk ke Malaysia. Tapi malangnya kita dapat motor yang bukan sahaja mempunyai rekaan kurang menarik dan ketinggalan zaman, malah papan pemuka turut menyerlahkan rasa kurang berkuasa motor itu.

      Delete
  2. Sparepart pun susah dapat.. Alangkah sedih nyer bila drngar orang kata motor sampah

    ReplyDelete
  3. Byk yang komplen ada bunyi meletup2 diekzos.sama ada masalah karburator atau api.

    ReplyDelete
  4. Byk yang komplen ada bunyi meletup2 diekzos.sama ada masalah karburator atau api.

    ReplyDelete