Friday, May 31, 2013

Apa itu jalan super two / What is a super two highway

Salam sejahtera,

Dalam beberapa reviu jalan raya yang telah saya hasilkan selama ini, ada di antara jalan raya yang telah saya terokai itu saya kategorikan sebagai jalan super two. Namun, tahukah anda apa itu jalan super two? Entri kali ini akan menerangkan serba sedikit mengenai jalan super two ini, atau nama rasminya ialah jalan raya dua lorong lebar.

Untuk pengetahuan anda, jalan super two merujuk kepada jalan raya dua lorong yang dibina mengikut piawaian geometri yang tinggi serta paling menghampiri lebuh raya ekspres. Jalan super two lazimnya mempunyai lebar lorong yang hampir sama dengan lebuh raya ekspres. Ia juga mempunyai bahu jalan keras (atau nama lainnya ialah lorong kecemasan) sebagaimana lebuh raya ekspres. Selain itu, jalan super two selalunya kurang berselekoh; kalau ada pun, jejari selekohnya masih besar. Oleh kerana ia dibina mengikut piawaian geometri yang paling menghampiri lebuh raya ekspres, maka had laju rekabentuknya juga tinggi, iaitu antara had laju lebuh raya ekspres dengan jalan raya arteri biasa. Maka dalam konteks Malaysia, jalan super two merujuk kepada mana-mana jalan raya dua lorong yang dibina mengikut piawaian JKR R5, dengan lebar lorong minima 3.5 m (sama seperti lebuh raya ekspres) dan had laju rekabentuk 100 km/j (lebih tinggi daripada Had Laju Kebangsaan 90 km/j tetapi lebih rendah daripada had laju lebuh raya ekspres 110 km/j). Namun, tidak seperti lebuh raya ekspres, jalan super two lazimnya hanya dikenakan kawalan masuk separa, kecuali jika ia dibina sebagai lebuh raya dua lorong seperti jajaran Cahaya Baru-Penawar di Lebuhraya Senai-Desaru E22.

Di Malaysia, jalan super two lazimnya dibina sebagai jalan raya utama yang berkapasiti sederhana, iaitu apabila kadar ADT lebih tinggi daripada jalan raya utama yang biasa tetapi masih belum melayakkannya untuk dinaik taraf sebagai jalan raya kembar. Contohnya, kadar aliran trafik harian bagi jajaran Jalan Persekutuan 1 dari Ayer Hitam ke Gemas sejauh 120 km adalah sederhana tinggi tetapi masih belum cukup tinggi untuk melayakkannya dinaik taraf sebagai jalan raya kembar. Oleh itu, jajaran tersebut dinaik taraf sebagai jalan super two. Untuk menangani masalah lengahan yang berpunca daripada kenderaan bergerak perlahan seperti lori berat, maka lorong memotong dibina setiap beberapa puluh kilometer. 

Selain sebagai satu pendekatan menaik taraf jalan raya utama, jalan super two juga boleh dibina di kawasan pergunungan bagi memanfaatkan ciri-ciri had laju rekabentuk yang lebih tinggi daripada jalan raya biasa untuk perjalanan yang lebih selesa tanpa sebarang lengahan. Biasanya, had laju bagi kebanyakan jalan raya pergunungan yang dibina mengikut piawaian JKR R4 dan ke bawah selalunya tidak melebihi 50 km/j, tetapi jalan raya pergunungan yang dibina pada piawaian JKR R5 pula boleh dikenakan had laju antara 50 hingga 60 km/j. Sebab itulah dua jalan masuk baharu ke Cameron Highlands iaitu Jalan Simpang Pulai-Gua Musang FT185 dan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dibina sebagai jalan raya super two.

Jadi bagaimana anda hendak mengenal pasti sama ada jalan raya yang anda lalui itu jalan super two ataupun jalan raya biasa sahaja? Berikut adalah ciri-ciri jalan super two yang anda boleh kenal pasti:-
  1. Lorong kecemasan atau bahu jalan keras - Jika jalan raya dua lorong yang anda lalui itu ada lorong kecemasan, maka jalan tersebut ialah jalan super two.
  2. Lebar lorong hampir sama seperti lebuh raya ekspres - Jika anda dapati lebar lorong adalah sama seperti lebuh raya ekspres, maka jalan raya tersebut adalah jalan super two. Namun demikian, jika anda tidak pasti, anda boleh menguji dengan cuba memotong sebuah motosikal (jika anda memandu kereta). Jika anda boleh memotong motosikal tersebut dengan mudah tanpa perlu beralih ke lorong sebelah, maka jalan raya yang anda lalui itu ialah jalan super two.
  3. Had laju rekabentuk - Biasanya, anda berupaya memandu dengan selamat di jalan super two pada kelajuan purata 100 km/j. Namun, faktor sebegini kurang tepat kerana ada banyak jalan raya biasa yang tidak dibina mengikut piawaian jalan super two tetapi selamat dipandu pada kelajuan purata 100 km/j seperti Lebuhraya Tun Razak FT12. Maka, pendekatan yang lebih tepat bagi menentukan sama ada jalan tersebut ialah jalan super two atau tidak ialah melalui had laju semasa di selekoh yang tidak tajam. Jika anda berupaya melalui selekoh tidak tajam itu tanpa menurunkan kelajuan kenderaan serta tanpa makan jalan, maka jalan tersebut ialah jalan super two.  Apa pun, awas kerana memandu melebihi Had Laju Kebangsaan 90 km/j merupakan satu kesalahan trafik yang serius.
Berikut merupakan beberapa contoh jalan raya super two yang dipetik daripada beberapa reviu jalan raya yang lepas:-

No comments:

Post a Comment

Advertisement