Salam sejahtera,
Pilihan raya sudah pun berakhir. Menang kalah sudah pun ditentukan. Namun, tidak semua yang boleh menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka. Ada yang tidak puas hati kerana calon yang mereka pilih sudah kecundang. Ada juga yang mendakwa kononnya ada penipuan dalam pilihan raya kali ini. Apa pun, biarlah mahkamah yang menjadi pengadilnya, kerana sekarang bukanlah masanya untuk bersengketa kerana perbezaan fahaman politik - sekarang ialah masa untuk bersatu dan bersama-sama membangunkan negara. Bercakap mengenai perbezaan fahaman politik, terdapat satu perbezaan pendapat yang seterusnya membawa kepada perbezaan fahaman politik, iaitu antara lebuh raya percuma vs lebuh raya tol.
Isu lebuh raya tol ini sudah lama dijadikan isu politik sejak tahun 1990an lagi. Mungkin atas alasan itulah penduduk Ipoh yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 diberi keistimewaan menggunakan lebuh raya itu untuk ke tempat lain dalam lingkungan kawasan metropolitan Ipoh secara percuma, agar tidak berlaku pautan putus disebabkan penduduk enggan membenarkan pembinaan lebuh raya bertol. Semasa kempen pilihan raya baru-baru ini pun Pakatan Rakyat menjanjikan pemansuhan tol sebagai salah satu daripada agenda dalam manifesto mereka. Dalam masa yang sama pula, Barisan Nasional hanya menjanjikan sedikit penurunan kadar tol di beberapa lebuh raya perbandaran serta jarak jauh yang mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi. Namun, adakah lebuh raya percuma semestinya lebih baik daripada yang berbayar?
Sekarang kita bandingkan pula apa yang kita boleh dapat daripada lebuh raya percuma berbanding lebuh raya berbayar. Setiap kali kita membayar tol, kita rasa berat hati kerana keta terpaksa mengeluarkan wang, tetapi sebenarnya ada banyak perkara yang kita perolehi hasil daripada pembinaan lebuh raya tol. Banyak peluang pekerjaan diwujudkan, daripada tukang sapu dan jurutol sehinggalah kepada CEO syarikat konsesi. Memandangkan setiap hari pasti ada hasil kutipan tol, penyelenggaraan menjadi semakin kerap. Malah, lebihan kutipan tol boleh digunakan untuk menceriakan lanskap lebuh raya. Sebab itulah orang-orang Amerika Syarikat sendiri pun mengagumi kita kerana lanskap lebuh raya kita yang sangat ceria, berbanding rangkaian lebuh raya Interstate percuma mereka yang nampak hambar sahaja di sepanjang jalan, meskipun rangkaian lebuh raya Interstate mereka adalah rangkaian lebuh raya percuma terbesar di dunia. Kalau tidak percaya, anda boleh masuk sendiri ke topik lebuh raya Malaysia di laman forum Skyscraper City. Selain itu, kita tidak perlu risau jika kereta rosak di tengah-tengah lebuh raya, kerana syarikat konsesi menawarkan khidmat menunda kereta yang rosak itu ke plaza tol terdekat secara percuma, sedangkan untuk memanggil lori tunda biasa saja pun sudah dikenakan caj yang melampau meskipun di tempat yang dekat sahaja. Jadi bukankan pembayaran tol sebenarnya menawarkan nilai untuk wang anda?
Keadaan di lebuh raya percuma pula sangat berbeza. Kebanyakan lebuh raya percuma seperti Lebuh AMJ FT19 dibina dengan kawalan masuk separa sahaja untuk mengurangkan kos kejuruteraan awam. Sebab itulah had lajunya hanya 90 km/j sahaja. Memang ada lebuh raya percuma yang dikenakan kawalan masuk penuh seperti Lebuhraya Persekutuan FT2 dan jajaran percuma SKVE E26, tetapi lihat sajalah keadaan di sepanjang laluan - lampu-lampu jalan di sepanjang jajaran percuma SKVE E26 banyak yang rosak dan tidak diganti, manakala garisan jalan sudah kabur tetapi tidak dicat semula. Sementara itu pula, Lebuhraya Persekutuan FT2 sangat terkenal kerana keadaan lorong motosikalnya yang macam haram jadah, berikutan tiada penyelenggaraan dilakukan. Lanskapnya pun agak hambar melainkan jika ia memang melalui kawasan perkampungan yang mempunyai pemandangan menarik. Tiada peluang pekerjaan diberikan, sebaliknya penduduk di sepanjang laluan itu sendiri yang perlu mengeksploitasi kawasan-kawasan strategik di sepanjang laluan untuk mencari rezeki. Kalau kereta atau motor rosak di tengah-tengah lebuh raya, tiada lori tunda percuma ditawarkan. Dengan kata lain, anda mungkin tidak perlu mengeluarkan walau sesen pun untuk menggunakan lebuh raya percuma, tetapi anda kehilangan segala keistimewaan yang anda perolehi di lebuh raya ekspres. Ia samalah seperti perbezaan antara Penerbangan Malaysia (MAS) dengan AirAsia, yang mana AirAsia mampu menawarkan penerbangan tambang murah tetapi tanpa segala keistimewaan yang diperolehi oleh penumpang MAS seperti makanan dan minuman percuma, dsb.
Untuk berlaku adil, ada baiknya jika kita lakukan perbandingan antara lebuh raya percuma dengan yang berbayar. Contoh terbaik yang anda boleh gunakan untuk membandingkan antara lebuh raya percuma dengan yang berbayar ialah Lebuhraya SKVE E26, kerana SKVE terbahagi kepada dua bahagian, iaitu jajaran percuma (Exit 2600 Persimpangan Uniten hingga Exit 2606 Persimpangan SKVE) dengan jajaran bertol (Exit 2606 Persimpangan SKVE dan seterusnya). Jajaran percuma SKVE diuruskan oleh JKR Selangor dan JKR Putrajaya, manakala jajaran bertol pula diuruskan oleh SKVE Holdings Sdn. Bhd.
Sepanjang pengalaman saya, jajaran percuma itu memang selesa digunakan terutamanya pada peringkat awal pembukaannya. Namun, lama-kelamaan tahap keselesaan semakin merosot disebabkan penyelenggaraan yang kurang kerap. Buktinya, sekarang sudah begitu banyak lampu jalan rosak yang tidak digantikan di situ. Garisan jalan pun sudah pudar tetapi tidak dicat semula.
Keadaan pula jauh berbeza di sepanjang jajaran berbayar SKVE E26. Di sepanjang jajaran berbayar, kualiti turapan sangat bagus dan garisan jalan kekal terang dan jelas kelihatan ketika hujan di waktu malam. Mungkin anda akan mempertikaikannya, dengan mengatakan jajaran berbayar itu masih baru, tetapi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 berupaya mengekalkan tahap kualiti turapan yang sangat bagus meskipun ia sudah lebih 20 tahun dibuka kepada lalu lintas. Dengan ini, jelaslah bahawa lebuh raya bertol selalunya mempunyai mutu turapan yang sangat bagus, berikutan tahap kejuruteraan yang tinggi serta penyelenggaraan yang kerap, hasil daripada kutipan tol.
Thailand boleh bina lebuh raya percuma kerana mereka sebenarnya membina jalan raya kembar, bukan lebuh raya ekspres - bukan disebabkan oleh Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat!
Setiap kali bercakap mengenai isu lebuh raya percuma, Thailand selalunya dijadikan kayu ukuran utama, kerana Thailand dikatakan sudah membina sebegitu banyak lebuh raya percuma. Namun, para pejuang lebuh raya percuma masih terlupa beberapa fakta utama mengenai pembinaan lebuh raya di sana - Lebuh raya "percuma" yang di Thailand itu sebenarnya merupakan jalan raya kembar, bukannya lebuh raya ekspres. Sila perhatikan betul-betul, lebuh raya "percuma" di Thailand itu; ada banyak lintasan searas, persimpangan searas dan banyak simpang jalan-jalan kecil, menjadikannya mempunyai kawalan masuk separa sahaja. Kerajaan Thailand membina banyak jalan raya kembar berikutan kadar aliran trafik yang tinggi di kebanyakan jalan raya utama di negara yang mempunyai kepadatan penduduk purata sekitar 133 orang sekilometer persegi, ditambah pula dengan industri automotif Thailand yang merupakan yang terbesar di Asia Tenggara. Sebenarnya, Thailand memang ada lebuh raya ekspres, tetapi hanya di bandaraya Bangkok sahaja, dan kesemua lebuh raya ekspres di sana dikenakan tol, yang mana kadar tolnya lebih mahal daripada Malaysia. Harga minyak di sana pun lebih mahal daripada Malaysia. Dengan itu, dakwaan bahawa Thailand berupaya membina lebuh raya ekspres percuma terbukti KARUT!
Kesimpulannya, tiada perkara yang benar-benar percuma di dunia ini. Jika anda mahukan sesuatu, anda terpaksa melepaskan perkara yang lain dan sebaliknya. Jika anda mahukan harga minyak yang murah, maka anda terpaksa bersedia menghadapi harga kereta yang mahal dan sebaliknya. Begitu juga jika anda mahukan lebuh raya percuma; anda terpaksa mengorbankan segala keistimewaan yang diperolehi pengguna lebuh raya tol, ditambah pula dengan kemungkinan kenaikan kadar bayaran cukai jalan serta harga minyak yang dikenakan cukai. Jadi apa sahaja pilihan yang tinggal? Tepuk dada, tanya iman.
No comments:
Post a Comment