Sunday, March 25, 2012

Jelajah Maharani Part 3: Lebuh AMJ FT19

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf atas kelewatan menulis reviu jalan bagi kali ini. Kapasiti maksimum dalam akaun Flickr saya hampir penuh iaitu sekitar 191 gambar, di mana lebih 90% daripadanya adalah galeri gambar Blog Jalan Raya. Jika saya ingin menambah kapasiti gambar, saya perlu membayar yuran naik taraf akaun Pro yang mahal. Oleh itu, kali ini saya menggunakan Windows Live SkyDrive buat sementara sebagai storan gambar saya.

Reviu Lebuh AMJ menutup siri Jelajah Maharani buat kali ini. Ia merupakan kependekan bagi tiga daerah dalam negeri Melaka iaitu Alor Gajah (A), Melaka Tengah (M), dan Jasin (J). Lebuh raya kembar dengan kawalan masuk separa ini dibina sebagai naik taraf jajaran Jalan Persekutuan 19 dari Melaka ke Bulatan Taboh Naning di Simpang Ampat, Jalan Tun Abdul Razak di bandar raya Melaka, serta Jalan Melaka-Muar FT5 dari Simpang Duyong ke Persimpangan Parit Bunga, di mana Lebuh AMJ bersambung sebagai Jalan Pintasan Muar. Ia dibina oleh TH Properties, anak syarikat Tabung Haji, bermula tahun 2005 dan siap sepenuhnya pada tahun 2007. Pembinaannya melibatkan tiga fasa utama - naik taraf FT19, naik taraf Jalan Tun Razak, serta naik taraf jajaran Melaka-Muar termasuklah pembinaan jajaran baharu Sungai Duyong-Kesang.

Asalnya Lebuh AMJ tiada kod laluan khas - ia memegang kod laluan FT19 dari Malim ke Simpang Ampat, manakala Jalan Tun Razak dari Semabok ke Malim mempunyai kod laluan FT191. Jajaran Muar-Sungai Duyong pula dianggap sebahagian jajaran FT5, walaupun jalan lama FT5 dari Sungai Duyong ke Kesang masih wujud. Namun, keseluruhan Lebuh AMJ baru-baru ini telah diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 19, dan Kilometer Sifar FT19 kali ini dikira dari Persimpangan Kesang berhampiran sempadan Melaka-Johor. Dahulunya, kiKilometer Sifar FT19 dikira di persimpangan Jalan Kubu dan Jalan Hang Tuah, dan seterusnya melalui Jalan Malim sehinggalah ke Alor Gajah dan seterusnya berakhir di simpang Kampung Ulu Kendong di Negeri Sembilan, di mana ia bertemu dengan Jalan Persekutuan 1.

Saya memulakan perjalanan dari Muar melalui Persimpangan Parit Bunga. Jajaran Parit Bunga-Kesang adalah naik taraf terus dari laluan dua lorong FT5 sedia ada. Di Persimpangan Kesang, laluan asal FT5 dilencongkan keluar manakala Lebuh AMJ berterusan sebagai FT19.

Lebih kurang 2 km kemudian, saya ternampak ada sepasang hentian rehat yang baru sahaja dibuka di tepi Lebuh AMJ dekat Sungai Rambai. Hentian rehat ini adalah satu daya penarik bagi membolehkan pengguna lebuh raya berhenti rehat seketika. Selain hentian rehat ini, ada 3 lagi hentian rehat di sepanjang Lebuh AMJ, iaitu di Paya Rumput (dekat Tesco Cheng), Rembia dan Simpang Ampat. Kesemua hentian rehat ini dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Jajaran Kesang-Sungai Rambai ini merupakan jajaran baharu yang tidak melalui kawasan tepu bina, hanya sekadar melintasi kebuh-kebuh dan ladang kelapa sawit. Sekali-sekala ada juga terserempak dengan rumah-rumah yang terletak jauh dari pekan. Jajaran tersebut dibina sedemikian rupa kerana jajaran lama FT5 melalui pekan-pekan dan kawasan tepu bina yang sebegitu banyak, bermaksud naik taraf jalan sedia ada memerlukan banyak bangunan dan rumah perlu dirobohkan, sekaligus boleh meningkatkan kos pembinaannya.

Lebuh AMJ dibina sebagai lebuh raya kembar empat lorong dengan kawalan masuk separa, bermaksud terdapat banyak persimpangan lampu isyarat serta pusingan U. Pusingan U dibina dari jenis lorong laju ke lorong perlahan, membolehkan kenderaan panjang membuat pusingan U. Hanya terdapat 4 persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuh AMJ iaitu Persimpangan Parit Bunga, Persimpangan Semabok, Persimpangan Masjid al-Azim dan Persimpangan Malim Jaya.

Di Sungai Duyong, Lebuh AMJ bertemu semula dengan FT5 dan seterusnya bertindih kod laluan sehingga ke Persimpangan Semabok. Bilangan lorong turut bertambah menjadi 6 lorong untuk menampung pertambahan lalu lintas ke pusat bandar raya Melaka.

Jajaran Semabok-Malim asalnya dikenali sebagai Jalan Tun Abdul Razak sebelum mengguna pakai nama Lebuh AMJ. Ia asalnya dibina pada tahun 1997 untuk memintas "kota sesat" di pusat bandar raya Melaka untuk ke Alor Gajah. Kemudian, Jalan Tun Abdul Razak dijadikan sebahagian jajaran Lebuh AMJ. Kini nama Jalan Tun Abdul Razak diberikat kepada Lebuh Ayer Keroh pula. Jajaran lama Jalan Tun Abdul Razak bertemu dengan Jalan Malim yang telah diwartakan semula menjadi jalan perbandaran biasa di Malim.

Hentian rehat kedua ialah Hentian Rehat Paya Rumput di Cheng. Hentian rehat tersebut begitu tersorok dan boleh dimasuki dari jalan susur ke Lebuh SPA arah Sungai Udang. Berikutan kedudukan hentian rehat ini yang begitu tersorok, ia tidak berupaya menarik perhatian pengguna Lebuh AMJ untuk datang. Punca utama yang membawa kepada kemalapan hentian rehat adalah pembinaan persimpangan bertingkat Cheng do Lebuh SPA yang merentangi Lebuh AMJ.

Hantian rehat seterusnya terletak di Rembia, betul-betul di sebelah Balai Polis Rembia. Saya sempat berhenti rehat sebentar di situ. Dalam pemerhatian saya, Hentian Rehat Rembia dan Simpang Ampat adalah dua hentian rehat yang betul-betul hidup di sepanjang Lebuh AMJ. Hentian Rehat Sungai Rambai masih belum menarik pengguna lebuh raya kerana baru sahaja dibina, tetapi masih berpotensi.

Laluan FT19 dilencongkan keluar di Kampung Sungai Petai berikutan kawasan tepu bina di bandar Alor Gajah. Di Alor Gajah, terdapat bulatan utama yang merupakan titik permulaan Jalan Persekutuan 61 ke Tampin. Jajaran dua lorong FT19 yang dilencongkan keluar tadi bertemu semula dengan Lebuh AMJ di Kampung Paya Datok. Jajaran Lebuh AMJ yang memintas Alor Gajah itu membentuk satu laluan alternatif bagi FT19.

Lebih kurang 9 km kemudian saya tiba di Simpang Ampat. Pekan ini mendapat namanya daripada simpang utama dengan Jalan Negeri Melaka M10 ke Lubok China, Pulau Sebang dan Hutan Percha. Namun, semasa pembinaan Lebuh AMJ, sebahagian besar rumah kedai yang diperbuat daripada kayu terpaksa dirobohkan. Lebuh AMJ tamat dan menjadi jalan dua lorong biasa sebaik sahaja menghampiri jejambat Lebuhraya Utara-Selatan E2. Lebuh AMJ dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat di Bulatan Taboh Naning.

Baki jajaran FT19 ke kilometer terakhirnya di Kampung Ulu Kendong terdiri daripada jalan raya dua lorong biasa, dikelilingi perkampungan Melayu. Terdapat banyak gerai-gerai di tepi jalan menjual belacan, dodol, cincalok, keropok Palembang serta produk-produk kraftangan Melaka, yang diusahakan penduduk tempatan secara kecil-kecilan. Untuk reviu kali ini, saya terus pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.




Permulaan Lebuh AMJ di Persimpangan Parit Bunga



Laluan FT5 dilencongkan keluar di Persimpangan Kesang



Hentian Rehat Sungai Rambai



Batu penanda kilometer ini bukti Lebuh AMJ kini diwartakan sebagai FT19



Bertemu semula dengan FT5 di Sungai Duyong



Persimpangan Semabok



Persimpangan Masjid al-Azim



Persimpangan Malim Jaya



Persimpangan Cheng yang menghubungkan Lebuh SPA



Hentian Rehat Rembia



FT19 dilencongkan keluar di Kampung Sungai Petai



Bertemu semula dengan FT19 di Kampung Paya Datok



Lebuh AMJ tamat di Simpang Ampat



Bulatan Taboh Naning ke Lebuhraya Utara-Selatan E2

4 comments:

  1. SALAM..
    ada pembetulan, mengikut wikipedia, lebih amj diwartakan sebagai laluan FT 191..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas maklum balas. Untuk pengetahuan saudara, projek Lebuh AMJ adalah projek naik taraf jalan FT19 dari Bulatan Taboh Naning ke Melaka melalui Jalan Tun Razak dan seterusnya memintas jalan lama FT5 sehingga ke Sempadan Melaka-Johor. FT191 sebenarnya kod laluan asal Jalan Tun Razak sebelum diserap ke Lebuh AMJ. Baru-baru ini, seluruh bahagian Lebuh AMJ di Melaka diwartakan sebagai FT19, dan kilometer sifar telah dianjak dari Melaka ke Persimpangan Kesang. Buktinya saudara boleh perhatikan batu penanda jarak yang ditandakan sebagai FT19 di sepanjang Lebuh AMJ.

    Harap maklum.

    ReplyDelete
  3. Admin, nak tanyalah. Kenapa dari persimpangan FT19 dan FT144 hingga persimpangan FT19 dan M109. Tidak dipasang lampu jalan di tempat untuk U-Turn dan jalan masuk ke jalan-jalan kampung? Bahayalah kalau waktu malam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Isu lampu jalan memang sudah berkali-kali diutarakan oleh kerajaan negeri Melaka sendiri pada tahun 2012. Malangnya, sehingga sekarang tiada pemasangan lampu jalan baharu dilaksanakan meskipun kosnya cuma RM5 juta sahaja bagi keseluruhan jajaran Melaka-Muar.

      Baru-baru ini dalam Bajet 2017 ada dinyatakan mengenai pemasangan lampu-lampu jalan di kawasan kampung, kita perhatikan sahaja sama ada ia benar-benar dilaksanakan atau sekadar janji dicapati.

      Delete