Wednesday, March 21, 2012

Jelajah Maharani Part 1: Jalan Muar-Labis J32

Salam sejahtera,

Kali ini Blog Jalan Raya membawakan satu siri jelajah dari Labis ke Muar dan seterusnya ke Melaka, yang dinamakan sebagai Jelajah Maharani. Dalam siri pertama Jelajah Maharani ini, saya bawakan reviu eksklusif jalan negeri terpanjang di negeri Johor iaitu Jalan Negeri Johor J32 atau lebih dikenali sebagai Jalan Muar-Labis sepanjang 84.5 km. Jalan ini menghubungkan antara bandar Labis dengan Muar dan melalui pekan Bukit Kepong, Lenga, Pagoh dan Bukit Pasir. Jalan J32 ini dibina di sepanjang bahagian selatan Sungai Muar, selari dengan Jalan Persekutuan 23 yang dibina di sepanjang bahagian utara Sungai Muar.

Jalan Negeri Johor J32 asalnya dibina dari Muar sepanjang bahagian tebing selatan Sungai Muar ke Lenga. Pada masa itu, Bukit Kepong hanya dihubungkan melalui jalan sungai. Kemudian, pembukaan kampung-kampung sepanjang Lenga dan Bukit Kepong telah mewujudkan satu denai yang seterusnya dijadikan sebagai jalan raya. Jajaran terakhir dari Bukit Kepong ke Labis kemudian dibina hasil pembukaan tanah-tanah rancangan Felda Chemplak dan Felcra Bukit Kepong.

Kembara dimulakan dari bandar Labis, bandar kedua terbesar di daerah Segamat, Johor dengan lebih kurang 20,000 orang penduduk. Saya bertolak dari Segamat ke Labis untuk kembara kali ini menaiki motosikal Honda Wave 125X Ultimo, dengan minyak diisi penuh dari Segamat. Kilometer sifar laluan ini adalah di persimpangan lampu isyarat Balai Polis Labis, menghubungkan jalan J32 ini dengan Jalan Persekutuan 1. Berhampiran persimpangan ini juga terletak Stesen Keretapi Labis, Pejabat Pos Labis dan Masjid Jamek Baru Labis.

Kawasan bandar Labis tamat lebih kurang 1 km selepas persimpangan tersebut. 2 km kemudian terletak kawasan perumahan rakyat Labis. Sebahagian besar daripada lanskap sepanjang 27 km perjalanan ke Bukit Kepong dihiasi ladang-ladang kelapa sawit dan getah, kebanyakannya terletak dalam tanah rancangan Felda Chemplak dan Felcra Bukit Kepong.

Lebih kurang 15 km dari bandar Labis terletak tanah rancangan Felda Chemplak. Tanah rancangan yang turut disertai arwah datuk saya ini sudah jauh lebih maju daripada dahulu - ada balai polis, gelanggang futsal dan hentian rehat disediakan. Tambah menarik, Felda Chemplak kini dilengkapi kemudahan internet jalur lebar. Tidak jauh dari Felda Chemplak terletak Felda Chemplak Barat yang merupakan sambungan kepada Felda Chemplak.

Jambatan Sungai Labis terletak 19 km dari bandar Labis itu sendiri serta membentuk sempadan antara daerah Segamat dengan daerah Muar. Di bandar Labis, sungai ini melalui Jalan Persekutuan 1 dekat Masjid Jamek lama Labis. Tanah rancangan Felcra Bukit Kepong terletak betul-betul selepas Jambatan Sungai Labis. Tidak jauh dari situ terletak simpang tiga yang menghubungkan Jalan Pogoh J41 untuk berpatah balik ke Segamat, tetapi saya memilih untuk meneruskan perjalanan ke Bukit Kepong. Lebih kurang 1 km sebelum sampai ke pekan Bukit Kepong ada satu simpang tiga yang menghubungkan satu jalan baharu yang dikatakan menjadi jalan pintas ke Felda Ma'okil dekat Chaah dalam daerah Segamat, walaupun Felda Ma'okil sebenarnya terletak dalam daerah Muar. Sebelum ini, Felda Ma'okil hanya boleh dimasuki melalui jalan masuknya yang dihubungkan ke Jalan Persekutuan 1 dekat Chaah.

Mercu tanda utama yang menandakan saya sudah sampai ke pekan Bukit Kepong ialah simpang tiga ke Jalan Bukit Serampang J34. Jalan tersebut menempatkan Jambatan Bukit Kepong yang merentasi Sungai Muar yang memisahkan antara daerah Muar dan daerah Ledang. Sementara itu, Jalan Negeri Johor J32 menjadi lebih sempit sedikit semasa melalui pekan Bukit Kepong, dengan had laju 50 km/j sahaja sebelum kembali menjadi 90 km/j sebaik melepasi pekan Bukit Kepong.

Pekan Bukit Kepong nampak begitu suram dan sayu, memandangkan di sinilah berlakunya peristiwa penyembelihan lebih 25 orang anggota polis dan ahli keluarga mereka bagi mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan lebih 200 orang pengganas komunis. Tanah perkuburan yang menempatkan jenazah anggota-anggota polis yang terkorban dalam penyembelihan tersebut telah disemadikan di tanah perkuburan Bukit Kepong, dengan papan tanda berwarna biru berserta logo Polis Diraja Malaysia. Balai polis asal telah musnah terbakar dalam tragedi tersebut dan digantikan dengan bangunan baru yang diperbuat daripada batu. Pengorbanan anggota-anggota polis mempertahankan Bukit Kepong daripada pengganas komunis tidak wajar diperlekehkan oleh segelintir pihak yang bermotifkan politik.

Kita tinggalkan dahulu kisah sedih penyembelihan lebih 25 anggota polis di Bukit Kepong. Destinasi seterusnya ialah pekan Lenga yang terkenal dengan tarian Zapin. Tarian Zapin Lenga dipercayai merupakan varian tertua bagi tarian Zapin di Johor, dan ia dikatakan diwarisi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kini, tarian Zapin Lenga sudah pun berevolusi; penari wanita kini dibenarkan menarikan tarian Zapin Lenga yang sebelum ini hanya dibenarkan untuk ditarikan oleh kaum adam sahaja.

Pekan Lenga kecil sahaja dan terdiri daripada perkampungan baru Cina yang didirikan semasa Rancangan Briggs ketika zaman darurat dahulu. Lenga yang sebenar adalah beberapa perkampungan Melayu yang terdiri daripada Kampung Batu 23 Lenga, Kampung Batu 28 Lenga, dan Kampung Jawa Lenga. Di pekan Lenga, terdapat satu simpang tiga kecil - pemandu dari arah Labis perlu membelok ke kiri untuk ke Muar manakala pemandu dari arah Muar perlu membelok ke kanan untuk ke Labis. Namun, jalan di simpang tersebut sangat sempit, iaitu selebar dua buah kereta sahaja. Lori dan bas tentunya mengalami akan masalah untuk melalui simpang tersebut. Namun, melebarkan jalan sedia ada bermaksud terpaksa memusnahkan keseluruhan pekan Lenga. Oleh itu, untuk menangani masalah tersebut, Jabatan Kerja Raya Johor telah membina Jalan Pintasan Lenga bagi membolehkan kenderaan berat melaluinya tanpa tersangkut di simpang pekan Lenga.

Jajaran dari pekan Lenga ke Batu 23 beralun-alun dengan turun naik bukit yang pendek tetapi tinggi. Di Kampung Batu 28 Lenga, terdapat satu jalan pintasan untuk memintas jajaran J32 yang berbengkang-bengkok dengan selekoh berbahaya, iaitu Jalan Gombang J145 yang lebih lurus. Namun, saya memilih untuk meneruskan perjalanan melalui jajaran berbengkang-bengkok ini. Selekoh paling berbahaya di J32 terletak betul-betul selepas Batu 23.

Selepas menempuhi laluan berbengkang-bengkok, saya ditemukan sekali lagi dengan Jalan Gombang J145 yang memintas jajaran berbahaya J32. Tidak lama kemudian, saya tiba di pekan Pagoh yang membangun dengan pesat, memandangkan kerusi parlimennya diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaik melepasi pekan Pagoh, jalan menjadi sangat lurus, sangat lebar dan sangat selesa. Majoriti jajaran J32 dari Labis ke Pagoh dibina di bawah piawaian JKR R4 dengan lebar lorong 3.25 m (jalan di Bukit Kepong pula dibna di bawah piawaian JKR U3 dengan lebar lorong 3 m, manakala jalan di pekan Lenga pula hanya selebar 2.75 m), manakala jajaran Pagoh ke Muar dibina di bawah piawaian JKR R5 dengan lebar lorong 3.5 m. Exit 238 Persimpangan Pagoh terletak lebih kurang 5 km dari Pagoh, menghubungkannya dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Satu tarikan Pagoh adalah ladang rempah-ratus milik Nasuha Spices and Herbs yang mengeluarkan produk rempah-ratus jenama Mak Siti. Ada chalet disediakan di situ bagi pengujung yang mahu melihat sendiri proses penanaman rempah-ratus di situ. Ladang rempah-ratus tersebut juga menempatkan kem Program Latihan Khidmat Negara.

Di pekan Bukit Pasir, saya mengisi minyak kerana bimbang kemungkinan minyak yang tinggal tidak lepas untuk ke Muar dari Segamat, memandangkan tangki minyak motosikal Honda Wave Ultimo ini begitu kecil. Rupa-rupanya tidak sampai pun 3 liter minyak digunakan, bermaksud baki minyak yang ada sepatutnya mencukupi untuk ke Muar.

Mercu tanda penting bagi menandakan saya hampir sampai ke Muar ialah persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Muar. Jalan pintasan tersebut merupakan lebuh raya pertama di Muar, bersama-sama dengan Lebuh AMJ. Ia menampilkan Jambatan Kedua Muar yang binaannya menyerupai Jambatan Pulau Pinang. Jalan Negeri Johor J32 tamat di Bandar Maharani Muar, dimana J32 dikenali sebagai Jalan Salleh di sana. Jalan tersebut tamat sebagai satu siri kota sesat bagi menghubungkan Jalan Persekutuan 5 di Bandar Maharani.

Ikuti bahagian kedua Jelajah Maharani dengan menjejak laluan Jalan Persekutuan 5 di Bandar Maharani.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Permulaan Jalan Negeri Johor J32 di persimpangan Balai Polis Labis






Ada baki 85 km ke Muar setelah melepasi bandar Labis






Felda Chemplak






Simpang ke Jalan Bukit Serampang J34






Jenazah anggota polis yang terkorban dalam Peristiwa Bukit Kepong disemadikan di sini






Balai Polis Bukit Kepong yang musnah digantikan dengan bangunan batu






Pekan Lenga. Perhatikan satu simpang sempit untuk ke Muar






Jalan Pintasan Lenga dibina bagi membolehkan kenderaan berat melalui jalan ini tanpa tersangkut di Lenga






Jalan Gombang J145 memintas jajaran J32 yang berbengkang-bengkok dan berbahaya






Pekan Pagoh






Exit 238 Persimpangan Pagoh






Ladang Rempah-ratus Nasuha






Jalan Negeri Johor J32 tamat di Bandar Maharani Muar

No comments:

Post a Comment