Tuesday, March 13, 2012

Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1 - Lebuh raya tol terawal negara / Slim River-Tanjung Malim FT1 - The nation's first toll highway


JALAN Slim River-Tanjung Malim ini merupakan lebuh raya bertol terawal di Malaysia, dibuka pada 1966. Laluan sepanjang 33 kilometer ini kemudian ditukar status menjadi jalan persekutuan pada 1994, sekali gus memansuhkan bayaran tol 50 sen hingga RM2. Di kanan jalan ialah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang dikekalkan.



Salam sejahtera,

Saya ada satu soalan cepu emas buat para pembaca - apakah nama lebuh raya tol pertama di Malaysia? Sudah tentu ramai yang memberi jawapan sama ada Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Karak ataupun Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Namun, tahukah anda semua bahawa kesemua jawapan tersebut adalah salah? Anda sudah menyerah kalah sekarang? Baiklah, biar saya dedahkan jawapan sebenar, iaitu Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1.

Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim dibuka pada tahun 1966 bagi menggantikan jajaran jalan lama Slim River-Tanjung Malim (kini diwartakan sebagai Jalan Negeri Perak A121) yang berbengkang-bengkok dan sempit. Tidak seperti kebanyakan lebuh raya ekspres sekarang, lebuh raya ini dibina sebagai jalan raya tunggal dua lorong dengan beberapa jajaran dibina sebagai jalan raya kembar empat lorong. Kutipan tol dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya bermula tahun 1966 dan tamat pada tahun 1994 setelah Lebuhraya Utara-Selatan siap dibina. Kini, bekas pejabat Plaza Tol Slim River dijadikan stor JKR.

Pada 10 Mac 2012, Utusan Malaysia telah membuat satu laporan khas mengenai lebuh raya tol pertama. Sama-samalah kita hayatinya.




SEJARAH pembinaan jalan raya negara bermula pada tahun 1860 apabila Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim membina jalan pertama menggunakan kayu balak yang diikat dengan rotan.

Jalan tersebut dibina bagi mengangkut bijih timah dari lombong di Kamunting ke jeti Teluk Kertang (kini Kuala Sepetang), Perak.

Jalan kedua pula dipercayai dibina oleh pekerja lombong bijih timah dari Ampang ke Kuala Lumpur.

Pembinaan jalan raya di negara ini hanya berkembang pesat selepas kemasukan British.

Selain mempunyai teknologi dan kepakaran dalam membina jalan raya, perkembangan pesat itu turut didorong oleh pertumbuhan industri bijih timah.

Faktor lain jalan raya banyak dibina bertujuan memudahkan British mentadbir negeri-negeri di bawah pemerintahannya terutama Negeri-Negeri Selat.

Disebabkan itu, banyak kemudahan jalan raya dan pengangkutan awal dibina di negeri tersebut sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Setelah merdeka, sistem jaringan jalan raya terus berkembang bagi menghubungkan lebih banyak kawasan.

Jalan-jalan tersebut kemudiannya dirujuk sebagai Jalan Persekutuan yang mempunyai satu lorong.

Jalan dua lorong pertama pula dibina di Jalan Gasing dan Jalan Universiti di Petaling Jaya sebelum Lebuh Raya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang dibina.

Mungkin ramai berpendapat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) merupakan lebuh raya bertol pertama negara.

Pendapat itu tidak tepat kerana lebuh raya bertol pertama negara terletak di antara Slim River ke Tanjung Malim, Perak sebelum PLUS dibuka sepenuhnya pada tahun 1994.

Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, FAUZI BAHARUDIN, MOHD. NAIM AZIZ dan MOHD. NOOR AMIN menyingkap sejarah pembinaan lebuh raya negara dalam memastikan jaringan pengangkutan darat bergerak lancar.

Kini terdapat lebih 29 buah lebuh raya di seluruh negara termasuk di ibu negara yang memberikan kemudahan, keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna.



Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment