Saturday, April 7, 2012

Lebuhraya Timur-Barat FT4: Perjuangan Berdarah Bangunkan Infrastruktur Negara / East-West Highway FT4: A Bloody Struggle for National Infrastructure

Salam sejahtera,

Sudah lama saya tidak menulis untuk blog ini. Untuk nukilan kali ini, izinkan saya untuk memetik satu rencana pembinaan jalan raya bersejarah yang menyaksikan pertumpahan darah antara pasukan Angkatan Tentera Malaysia serta pekerja Jabatan Kerja Raya dengan para pengganas komunis. Jalan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Timur-Barat FT4.

Lebuhraya Timur-Barat FT4, juga dikenali sebagai Jalan Raya Timur Barat (JRTB), merupakan sebuah jalan raya persekutuan sepanjang 123 km dari Grik di Perak ke Kampung Lawar, Jeli, Kelantan. Pembinaan Lebuhraya Timur-Barat melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 4 sejauh 203 km (tidak termasuk jajaran terbaru dari Grik ke penghujung Lebuhraya Butterworth-Kulim E15). Pembinaannya bermula pada tahun 1970 dan hanya dibuka pada Julai 1982.

Mengapa begitu lama masa yang diambil untuk menyiapkan sebatang jalan raya dua lorong yang hanya sepanjang 123 km? Sebenarnya, pada masa itu pembinaan Lebuhraya Timur-Barat sering sahaja diancam tentera pengganas komunis yang berundur di sempadan Malaysia-Thailand. Dalam subjek Sejarah di sekolah, anda hanya diajar bahawa zaman darurat yang berpunca daripada serangan bersenjata oleh pengganas komunis adalah dari tahun 1948 sehingga tahun 1960. Sebenarnya, keganasan yang dilakukan oleh tentera komunis berlarutan lebih lama daripada itu. Tahun 1960 hanyalah pengumuman perintah darurat ditarik balik; hakikatnya, tentera komunis masih bersembunyi di hutan tebal di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. Sebab itulah pihak Angkatan Tentera Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya bagi menjayakan pembinaan Lebuhraya Timur-Barat dengan menghantar jurutera serta kontraktor tentera ke sana.

Rencana yang saya petik ini adalah dari blog Minda Pertahanan, dan sumber utama rencana ini adalah dari majalah Perajurit terbitan Angkatan Tentera Malaysia. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi berkongsi ilmu bersama-sama kita semua.



JRTB- SAKSI PERJUANGAN PASUKAN KESELAMATAN DI SEMPADAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Disember 2011
Oleh Hamzah hd.



Pembinaan Jalan Raya Timu-Barat (JRTB) telah melakar sejarahnya yang tersendiri dengan menyimpan seribu satu peristiwa yang melibatkan partisipasi kumpulan Pembina seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Kontraktor-kontraktor dan Pasukan Keselamatan yang yang terdiri dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

JRTB mula dibina pada tahun 1970 bermula dari Simpang Kuala Rui Gerik Perak hinggalah ke Daerah Jeli Kelantan bagi menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjong. Persepadanan Malaysia-Thailand merentasi banjaran Titiwangsa sejauh lebih kurang 420 km merupakan kawasan yang kaya dengan hasil hutan dan mineral yang mana sebahagiannya masih dilitupi oleh hutan dara. Sebahagian lagi adalah kawasan landai terutamanya di utara Kedah, Perlis, Perak dan di Kelantan terpisah oleh Sungai Golok hingga ke muara Takbai/Pengkalan Kubur.

Pembinaan Empangan Temenggor oleh kerajaan Negeri Perak bagi penjanaan hidroelektrik untuk kegunaan rakyat di sekitar secara tidak langsung telah terhasil sebuah tasik buatan yang luas. Dengan kuantiti air yang ditakung telah terbentuk pulau-pulau yang pelbagai saiz. Pulau Banding adalah di antara Pulau-pulau yang terdapat di dalam kelompok ini yang mana terletak di laluan utama JRTB yang telah dibangunkan sebagai Pusat Pelancongan serta menjadi hab perdagangan hasil-hasil hutan yang diterokai oleh masyarakat suku kaum Orang Asli.

Dengan terwujudnya tasik ini telah membuka banyak peluang-peluang perniagaan, pembangunan sektor pelancongan, penyelidikan terhadap hutan dara tropika yang menyimpan banyak khazanah dan rahsia alam flora dan fauna yang menjadi igauan kepada pencinta-pencinta seni alam semulajadi.

Rahsia di sebalik pembangunan JRTB dan elemen-elemen sampingan adalah sangat berkait rapat dengan perjuangan dan pengorbanan ATM/PDRM secara umumnya dan Tentera Darat (TD) dan Polis Hutan (PH) secara khususnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan pembangunan ini terbina dengan airmata, keringat dan darah perajurit-perajurit negara. Pembinaan ini dilihat sebagai serampang dua mata untuk menyekat gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) ke Selatan dan memudahkan penghantaran logistik kepada pasukan-pasukan beroperasi.

Kesedaran pihak kerajaan pada masa itu melihat banyak aktiviti-aktiviti kurang sihat berlaku di sepanjang persepadanan Malaysia-Thai. Di kawasan hutan menjadi laluan dan sarang utama kumpulan subversif manakala di kawasan landai dengan kegiatan penyeludupan yang merugikan pengutipan hasil cukai negara di samping aktiviti rentas sempadan dan pemerdagangan manusia yang berleluasa.

Justeru, pembinaan dan pembangunan JRTB yang memakan masa selama lebih kurang 11 tahun dianggap sangat strategik telah memberi impak besar terhadap ekonomi dan keselamatan negara. Dalam konteks keselamatan dan pertahanan, pengaturgerakan dan mobiliti Pasukan Keselamatan menjadi lebih mudah dan pantas. Dalam konteks sosio-ekonomi dan kehidupan pula kerajaan dapat membuka tanah-tanah baharu dengan memberi peluang kepada rakyat meneroka bidang-bidang pertanian dan perladangan di samping membuka kampong-.kampong baharu.

Pembangunan ini memberi tamparan hebat kepada PKM di mana kawasan hutan yang mereka duduki sebagai pusat operasi menjadi semakin sempit dan tidak selamat. Secara perlahan mereka terpaksa berundur dan menjadikan selatan Thailand sebagai pusat operasi.

Sejarah Penempatan Askar Wataniah

Pembinaan JRTB dengan kos awal berjumlah RM 85 juta telah menghadapi ancaman Pengganas Komunis dari Parti Komunis Malaya-Tentera Rakyat Malaya (PKM-TRM) atau lebih dikenali dengan Communist Party of Malaya (CPM) -Malayan National Liberation Army (MNLA) (CPM-MNLA) sebelum 1982. Anggota PKM dari Rejimen ke 10 di bawah pimpinan CCM Abdullah CD dan Rejimen ke 12 di bawah pimpinan CCM Ah Sze telah menunjukan bantahan terhadap projek ini dengan membakar loji serta melaksanakan tindakan militan yang agresif. Perbuatan ini dipercayai dilakukan oleh Unit Penggempur ke 12 dan Unit Penggempur ke 10 PKM terhadap pembinaan JRTB adalah kerana pembinaan tersebut dilakukan di kawasan tradisional gerak tindak mereka.

PKM kemudiannya telah melakukan gangguan dengan membakar sejumlah peralatan dan loji pembinaan JRTB. Tindakan ini telah meningkatkan kos pembinaan 168 juta dalam tahun 1973 kepada 204 juta pada tahun 1975. Kerajaan terpaksa menghentikan projek tersebut buat sementara waktu selepas kejadian berkenaan untuk merangka satu rancangan bagi memastikan kelancaran pembinaan tersebut tidak tergendala.

Bagi mengatasi masalah ini, pasukan kerahan tenaga Askar Wataniah yang dikenali dengan Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT Lebuhraya atau LDC) telah ditubuhkan. Keanggotaan awal pasukan tersebut adalah terdiri daripada 49 platun yang kebanyakannya adalah dari Pasukan Home Guard dan beberapa Batalion Malayan Teritorrial Army (MTA). Pasukan ini kemudiannya diaturgerakkan ke pos-pos statik JRTB bermula dari Gerik Perak hingga ke Batu Melintang Kelantan.

Pada tahun 1979, Platun ini telah disusun semula bagi menubuhkan Batalion Infantri Kerahan. Dengan mewujudkan Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn Siri 300 Inf AW) semua aspek pentadbiran dan perlaksanaan gerakan dapat diuruskan dengan cekap dan lebih teratur. Walaupun Bn Siri 300 Inf (AW) ini adalah pasukan AW, ianya tidak dimasukkan dalam struktur dan Organisasi TD kerana kewujudannya merupakan perjawatan sementara dan berdasarkan keperluan operasi.

Penyusunan semula anggota kerahan ini telah melahirkan lima Batalion Infantri Kerahan.


• Bn 301 Inf (AW) di Kem Batu 11, Tanah Merah Kelantan
• Bn 302 Inf (AW) di Kem Batu Melintang, Jeli Kelantan
• Bn 303 Inf (AW) di Kem Pengkalan Hulu Perak
• Bn 304 Inf (AW) di Kem Sungai Rui, Grik Perak
• Bn 305 Inf (AW) di Kem Bukit Kayu Hitam Kedah

Perubahan konsep gerakan telah dibuat selaras dengan perjanjian perletakan senjata dan gerakan militan oleh PKM pada 2 Dis 1989. Tugas pengawalan JRTB dan Empangan Temenggor telah dikurangkan mulai 1 Julai 1991 dan pasukan telah terlibat dalam Operasi (Op) KOTA ECHO/FOXTROT (Belum) dan Op KOTA GOLF (Kalai) dalam negeri Perak, sementara dalam negeri Kelantan pasukan ini terlibat dalam Op MERPATI. Di samping itu, pasukan ini turut terlibat dengan pelbagai operasi lain seperti Op SETIA Khas SJR PP 083, Op KOTA BRAVO dan Op PAGAR 12 Bgd, Op INDERA 4 Bgd, Op PAKSI 1 Bgd/4Bgd dan Op SJR di Sanglang.

Berdasarkan kesungguhan dan kecemerlangan pasukan ini melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, pelbagai pihak melihat suatu kewajaran supaya khidmat bakti pasukan ini dihargai. Justeru kerajaan bersetuju dan memberi pengiktirafan kepada pegawai dan anggota pasukan ini untuk diserap ke dalam perkhidmatan infantri dan diberi nama Rejimen Sempadan (RS) pada 12 Jan 2008. (Sumber: Lipatan Sejarah Bn Inf Siri 300 (AW).

Dedikasi RS terhadap peranan yang telah diberi telah mencetus kepada pengiktirafan kepada Status Operasi terhadap Markas Briged Sempadan (MBS) pada 25 Julai 2008 menjadikan RS semakin relevan di persada pertahanan sempadan.

Monumen

Markas Taktikal 749 yang menjadi penempatan operasi kawasan utara, terletak di Kem Banding atau nama asalnya Kem Sri Banding yang mempunyai kedudukan strategik yang menjadi pemantau jambatan yang merentasi Tasik Banding yang menjadi nadi kepada kelangsungan perhubungan JRTB yang menjadi projek utama kerajaan dalam Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN).

Dataran Juang TD didirikan di hadapan Markas Taktikal 749 sebagai lambang dan tanda penghormatan TD kepada perajurit-perajurit TD yang telah mencurahkan keringat dan darah serta mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi kedaulatan dan maruah negara sewaktu operasi menentang pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thailand. Ianya juga merupakan manifestasi keabdian, pengorbanan dan perjuangan warga TD dengan iringan keredhaan keluarga demi negara tercinta.

Konsep dan reka bentuk Dataran Juang TD diilhamkan oleh Lt Jen Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Nor, semasa beliau memegang tampok pemerintahan 2 Div.Dataran ini mengandungi elemen yang signifikan, dizahirkan melalui kereta perisai yang melanggar batu melambangkan kekuatan TD dengan membekalkan semangat waja serta kelengkapan persenjataan yang ada telah mampu meredah tembok kekebalan dan memusnahkan perjuangan PKM yang mengancam keselamatan sepanjang perbatasan negara sehingga menyebabkan mereka menamatkan perjuangannya.

Pengorbanan ramai anak watan dalam perjuangan ini diaspirasikan 5 batang tiang berwarna hitam yang tidak sekata melambangkan pelbagai liku-liku perjuangan dalam pelbagai operasi yang telah dilaksanakan dan warna hitam melambangkan jati diri dan kekentalan perjuangan anak watan walaupun nyawa yang dipertaruhkan bagi menjaga persempadanan negara.Manakala warna merah di sekeliling monumen ini pula melambangkan titisan darah yang tumpah hasil perjuangan pejuang-pejuang negara dan nama-nama pahlawan ini terpahat di Dataran Juang TD.

Monumen ini telah menyenaraikan 116 orang pahlawan yang telah gugur di dalam operasi semasa darurat di antara tahun 1968-1989.

1970
Bil Pangkat Nama Unit
1. 19522 RJR ABDUL WAHAB BIN MOHD SALLEH 3 RRD
2. 19524 RJR AMRUS BIN KADIR 3 RRD
3. 928066 JR HUSSAIN BIN ISHAK 3 RRD
4. 928313 RJR BOROHAN BIN MOHD SININ 3 RRD
5. 928483 RJR CYPRIAN AK TINDIN 3 RRD
6. 9288844 RJR ABDUL EUSOFF BIN ISMAIL 3 RRD
7. 929446 RJR SAMEL AK APOK 3 RRD
8. 13888 KPL ADNAN BIN JABAR 12 RAMD
9. 14580 LKPL MOHD SHOBIAN BIN MUSA 12 RAMD
10. 93216 PBT WAHAB BIN SENIK 12 RAMD

1971
11. 24766 PBT MOHD AMIN BIN ZAKARIA 6 RAMD
12. 200400 KAPT MOHANA CHANDRAN S/OVELAYTHAM 4 RRD
13. 25295 PBT ABD RAHIM BIN ITAM ISMAIL RAMD
14. 19151 TPR ROSLI BIN BUANG 1RGK
15. 20677 TPR MOHD SHARIFFF BIN HADI 1 RGK
16. 17343 PBT ZULKIFLI BIN ALAM 5 RAJD
17. 24365 PBT MOHAMAD BIN SAID 16 RAMD

1972
18. 925203 RJR DIVASAT 2 RRD

1973
19. RJR DERAHMAN BIN MAT DIAH 11 RAMD
20. 28262 RJR MANSOR BIN SUDIN 6 RAMD
21. 925568 RJR SIDAN 2RRD

1974
22. 212017 PBT SAIDIN BIN SHARIFF KUG
23. 932087 PBT ISMAIL BIN HASSAN RAMD
24. 29641 PBT MD DIN BIN TAHA 5 RAMD
25. 651757 GNR MOHD BIN SALLEH 2 RAD

1975
26. 503174 PBT SIDIK BIN OMAR 2RAMD
27. 200794 P/KAPT HARDEV SINGH S/O GURDIAL SINGH RJR 6BGD
28. 203523 KPL MOHAMAD ASHAHAR BIN MOKHTAR 1PDR
29. 208259 TPR ABD KADIR BIN SITAM 1PDR
30. 209012 TPR ZAINUDIN BIN AHMAD 1PDR
31. 26479 TPR OSMAN BIN ZAKARIA 1PDR
32. 211931 TPR ABD KARIM BIN NORIT 1PDR
33. 928808 KPL MAT DALI BIN JAMBI 9RAMD
34. 24145 PBT OMAR BIN DAUD 17RAMD
35. 18793 LKPL MUHAMAD BIN ABD RAHMAN 8RAMD
36. 30164 PBT ARSHAD BIN OTHMAN 2RAMD
37. 24445 LKPL HUSSAIN BIN BAHARUM 15RAMD

1976
38. 410488 KAPT ZAINAL BIN ABD RASHID 17RAMD
39. 18257 PBT MOHD YASSIN BIN BUANG 10RAMD
40. 100903 PBT MOHD IBRAHIM BIN KULOP LAMBANG PPT PERAK
41. 126708 KPL LIM AH KEE@AH KEE PPT NS
42. 22459 RJR AB HAMID BIN ABD RAHMAN RRD
43. 928743 PBT ATAN BIN BUJANG 8RAMD
44. 208317 LKPL ARAFAT BIN A. MAJID 2PDR
45. 91275 LKPL JUGAL AL TIGANG 1RRD
46. 502764 SPR ISHAK BIN YAACOB 4JUTRA
47. 901579 LKPL AHMAD JRIMI BIN JUMAAN 1RRD
48. 501365 LKPL HASIM BIN YAHYA 3JUTRA
49. 933112 RJR MOHD AFANDI BIN ABDULLAH 6RRD
50. 28600 PBT MOHD ZAKI BIN KADIR 4RAMD
51. 928206 SJN MOHD BISMI BIN ISMAIL 3RRD

1977
52. 301586 KPL SALLEH BIN JAKI 4JUTRA
53. 25912 PBT ALI BIN SAMIN 8RAMD
54. 21582 LKPL MANSOR BIN MD YASSIN 3RAMD
55. 108655 PBT ALI BIN HASSAN PPT PERAK
56. 114582 PBT TAJUDIN BIN YUSOF PPT PERAK
57. 81607 LKPL MANAN BIN AHMAD PPT KEDAH
58. 13842 LKPL ISMAIL BIN MOHAMAD SAAD 13RAMD
59. 455650 RJR YASIK BIN ZAKARIA 18RAMD
60. 30992 PBT OSMAN BIN BIDIN 18RAMD
61. 212334 PBT ZAINUDIN BIN JAIK 17RAMD
62. 18247 KPL MD KHAN BIN SABIT 17RAMD
63. 24706 PBT MOHAMAD BIN YAACOB 17RAMD
64. 25826 PBT MOHD ZAMRI BIN NIK RAMLI 7RAMD
65. 27023 TPR OSMAN BIN ISMAIL 1RGK
66. 28772 TPR HARUN BIN REJAB 1RGK
67. 933214 RJR MANSOR BIN AB MANAF 3RRD
68. 933485 RJR UMAR BIN ABD SHUKUR 3RRD

1978
69. 1011661 RJR VASANT SINGH 8RRD
70. 16576 KPL MISKON BIN SALIMIN 4RAMD
71. 213076 PBT AZIZ BIN ZABRI BIN MOHD YUSOF 4RAMD
72. 29447 PBT MD NOR BIN ABU 6RAMD
73. 30249 PBT MUSTAFA BIN MOHD YUSOF 6RAMD
74. 1015561 PBT ARIFF BIN HAMID 6RAMD
75. 26641 LKPL ISMAIL BIN HJ AHMAD 1RGK
76. 1011300 TPR F ABD LATIF BIN RASHID 1RGK
77. 411595 LT M ABDULLAH BIN SAAD 8RRD
78. 931631 LKPL MOHAMED@BUJANG BIN ALI 8RRD
79. 302175 KPL DERASED BIN LATIFF 7JUTRA
80. 303847 SPR MADON BIN PADZIL 7JUTRA
81. 302795 LKPL R.IZAMUDIN BIN R KHALID 4JUTRA
82. 22297 LKPL SAIDI BIN ISMAIL 6RAMD
84. 20476 PBT SAMION BIN JALAL 9RAMD
85 932940 PBT SAMSUDDIN BIN SAIM 8RRD
86. 28848 LKPL RAMLI BIN SAID 6RAMD
87. 28564 LKPL SULAIMAN BIN MOHAMMAD 4RAMD
88. 93220 PBT SAMSUDIN BIN MAT DIN 7RAMD

1979
89. 21206 PBT ZAKARIA BIN IBRAHIM 14RAMD
90. 208604 LKPL ADNAN BIN YUNUS 14RAMD
91. 929731 RJR BAHARI BIN SOTOKI 2RRD
92. 932905 GNR AB JALAL BIN AHMAD 1MERIAM
93. 300064 LTM MOHD HAIRI BIN MAHAYUDIN 14RAMD
94. 28166 PBT MAT LATIF BIN MAT AROP 6RAMD
95 19642 KPL MOHD RIDUAN BIN HUSSIN 6RAMD
97. 31740 PBT ABD MANAF BIN HJ HUSSIN 6RAMD
98. 1018703 PBT HALIM BIN HAJI NORDIN 24RAMD
99. 1011276 RJR RAMLI BIN OTHMAN 24RAMD
100. 1011919 RJR BAHARUDDIN BIN YAHYA. 9RRD

1980
101 931567 RJR TALIB AK TIBONG 18RRD
102 1015684 SPR MOHD MARZUKI BIN IBRAHIM 1JUTRA
103. 142332 PBT WAHIM BIN AWANG 304 RAW
104. 31974 RJR AZIZ BIN SAID 9RRD
105. 1018868 TPR ABD HAMID BIN DIN 2RGK
106. 20551 KPL JALI BIN SAM 14RAMD
107. 931468 LKPL JIHED AK NYAMOI 8RRD
108. 931483 LKPL LEMON AK ROMA 8RRD

1981
109. 1074775 KFN ABDUL RAHMAN BIN OMAR JLJ BN 303
110. 153092 PBT ZOLKIFLI BIN OTHMAN 302 AW

1983
111. 1037561 PBT ROSLAN BIN MD AKIP 21RAMD

1987
112. 1037808 PBT MAT SABAKI BIN SENIK 12RAMD
113. 1042436 PBT MOHD ABDAH BIN ZAINAL ABIDIN 12RAMD

1988
114. 1056537 PBT ZAINAL BIN ABD RAHIM 22RAMD

1989
115. 3002993 LT ZAIMI BIN DATO ASNA 2KAD
116. 1036520 PBT MOHD IDRUS BIN HASAN 21RAMD

Satu lagi monumen yang terdapat di JRTB ialah yang didirikan oleh pihak JKR yang turut merakamkan Pengorbanan Dalam Kenangan JRTB (1970-1982). Monumen ini menceritakan JRTB (Gerik-Jeli) yang telah dibuka kepada lalulintas pada 1 Julai 1982 telah banyak mengorbankan nyawa semasa kerja-kerja pembinaan.

Ada yang terkorban semasa kemalangan dalam masa pembinaan dan ada yang diserang oleh pengganas komunis. Di lokasi monumen JKR ini didirikan, 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh PK pada 21 Mei 1974. Di lokasi ini juga 3 nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa orang lagi cedera dalam serangan PK pada 27 Ogos 1974. Beberapa serangan lain telah berlaku di sepanjang JRTB yang melibatkan nyawa pekerja JKR dan anggota keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan JRTB ini.

Terdapat dua buah jambatan dibina sebagai penghubung ke Pulau Banding dari kedua-dua arah samada dari Kelantan maupun dari Perak yang mana ianya terlalu strategik kerana tanpa kedua-dua jambatan ini laluan JRTB tidak akan berfungsi secara total. Justeru sebilang masa bermula dari seawal pembinaan sehingga sampai bila-bila, kefungsiannya mesti dijaga yang tentunya tugas ini dipikul oleh Pasukan Keselamatan. Untuk tujuan itu kelihatan sehingga hari ini 3 buah kubu pertahanan dan pemantauan yang telah dibina dan kelihatan masih tersergam teguh walaupun diselubungi semak samun kerana tiada pemuliharaan khusus melainkan satu daripadanya telah dipelihara dan dimanfaatkan oleh pengurusan hotel sebagai tempat simpanan barang.

Kesimpulan

JRTB telah pun berusia lebih 30 tahun yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia yang menjadikan laluan ini sebagai utama. Sebelum ini perhubungan Pantai Timur dengan Pantai Barat memakan masa lebih daripada 12 jam tetapi kini perjalanan dari Pantai Timur ke Utara Semenanjong hanya lebih kurang 6 jam.

Hutan Belum-Temenggur bertaraf dunia. Pihak berkuasa negeri Perak dengan plan Pembangunan Wilayah Koridor Utara (NCER) sedang berusaha untuk menjadikan kawasan ini menjadi satu destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan menekankan pemuliharaan ekosistem dan mengawal hutan hujan tropika ini dari pemusnahan flora dan fauna.

Konsep pelancongan juga boleh diterjemahkan dengan pelbagai sentuhan. monumen-monumen perjuangan, kubu-kubu, pos-pos kawalan statik yang ditinggalkan dan kawasan-kawasan pertempuran Pasukan Keselamatan dengan pengganas boleh dibangunkan untuk tujuan pelancongan dengan menjadikan kesan-kesan sejarah ini sebagai Rehat dan Rawat (R&R) kepada musafir yang melalui jalan ini.

Apa yang penting sejarah pembangunan jajaran Titiwangsa ini mesti diberitahu kepada generasi hari ini bahawa ianya terbina dari keringat, airmata dan darah Pasukan Keselamatan. Pembangunan di jajaran serta pinggiran JRTB seterusnya harus di catat sebagai nota kaki kerajaan negeri-negeri terlibat bahawa pengorbanan Pasukan Keselamatan mesti diberi ‘imbuhan’ sewajarnya.

Banyak perkara yang kerajaan negeri boleh pertimbangkan atas dasar ‘imbuhan mengenang budi’ seperti membuka tanah-tanah rancangan FELCRA/FELDA dan seumpamanya dengan menamakan bekas-bekas Pasukan Keselamatan atau waris-waris yang tinggal sebagai peneroka di kelompok-kelompok tertentu. Taman-taman perumahan yang tumbuh melata di kawasan ini juga boleh ditawarkan kepada mereka yang mahu dengan diskaun khas. Kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat juga boleh mewujudkan kelompok-kelompok penempatan perumahan tersusun dan sebagainya.

Kita tidak mahu lagi mendengar rungutan demi rungutan dari pelbagai penjuru suara rakyat yang mengatakan kerajaan masih lagi mengabaikan ‘kebajikan’ kepada bekas-bekas pejuang negara. Memang tidak dinafikan sudah banyak insentif yang telah kerajaan laksanakan namun masih ada ‘lompang’ yang harus diisi sebaiknya jika tidak , ruang kosong itu akan diisi dengan manipulasi politik oleh pihak-pihak lain.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM seharusnya mensasar dan memusatkan Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) nya yang khusus supaya bila Majlis Veteran Kebangsaan direalisasikan nanti, semua Persatuan-persatuan Veteran di bawahnya menjadi ‘mata yang tidak buta dan telinga yang tidak pekak’ untuk sama-sama menyelami masalah veteran sehingga ke angka sifar.

Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian, tiada apa yang boleh kita sumbangkan kepada mereka-mereka yang terkorban demi kesejahteraan kita hari ini melainkan mensedekahkan bacaan alfatihah….AlFAATIHAH.PERAJURIT

2 comments:

  1. bila lalu jalan ni nak pergi kelantan, mcam tak percaya,kerajaan mampun buat jalan raya mcam ni kat tngah2 hutan, ditambah lgi dgn ancaman komunis, jiran saya ade sorg pakcik tua ni, mata dia buta sebelah akibat trkena serpihan bom dan batu kerikil time bekerja bina jalan ni...

    Al-Fatihah buat yg terkorban dan terima kasih, pasal sanggup bergadai nyawa membina jalan ni, demi utk kesenangan generasi masa depan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah yang dikatakan sebagai "rakyat didahulukan" dalam erti kata sebenar - tak takut langsung dengan ancaman komunis walaupun ramai pekerja JKR dan anggota tentera yang diserang dan dibunuh oleh komunis. Kontraktor sekarang yang suka buat jalan cincai tapi berjoli katak menggunakan duit rakyat yang diamanahkan oleh kerajaan sepatutnya malu dengan kontraktor dan pekerja JKR zaman dahulu kerana mereka masih berupaya membina sebatang jalan raya yang cantik dan bermutu merentas Banjaran Titiwangsa tanpa sebarang cacat-cela walaupun berdepan dengan risiko ditembak komunis.

      Delete

Advertisement