Salam sejahtera,
Sudah lama saya tidak membuat reviu jalan raya kerana agak sibuk, ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Oleh itu, reviu jalan raya kali ini dilakukan berhampiran dengan kediaman saya di Batu Caves, iaitu di sebatang jalan raya yang boleh saya katakan sebagai antara yang terbaik di Selangor - tidak lain dan tidak bukan ialah Jalan Sungai Tua B23. Kenapa saya katakan ia antara jalan raya terbaik di Selangor? Teruskan membaca reviu jalan raya kali ini untuk mengetahuinya.
Jalan Sungai Tua, atau lebih dikenali sebagai Jalan Hulu Yam, Jalan Negeri Selangor B23 ialah sebatang jalan raya sejauh 28.2 km merentasi kaki Banjaran Titiwangsa dari Hulu Yam Baru ke Batu Caves. Ia berasal daripada dua laluan perintis - satu di sekitar Hulu Yam sehingga ke Kg. Gurney, manakala satu lagi ialah dari Batu Caves ke Sungai Tua dan Kampung Bendahara. Seterusnya, sebatang jalan raya dibina menghubungkan antara kedua-duanya semasa pembinaan Empangan Batu.
Untuk memasuki jalan ini dari arah Kuala Lumpur, anda perlu memasuki Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 sehingga ke Persimpangan Batu Caves, dan di situ anda perlu menaiki satu jejambat yang melintasi landasan kereta api sebelum melingkar turun. Seterusnya anda akan tiba di satu persimpangan lampu isyarat, di mana anda perlu belok ke kanan untuk ke B23.
Jajaran B23 dari Batu Caves merupakan sebatang jalan raya kembar yang pada mulanya sempit sehingga melepasi Selayang Baru di mana jalan menjadi lebih luas. Namun, apa yang saya kurang senangi ialah bahagian dari Kg. Nakhoda ke Kg. Bendahara tiada lampu jalan, menjadikan jalan ini berbahaya pada waktu malam. Jajaran jalan raya kembar tamat di Kg. Bendahara.
Lebih kurang 500 m dari Kg. Bendahara, terdapat satu simpang tiga di mana anda perlu belok ke kanan untun meneruskan perjalanan ke Hulu Yam; jika anda jalan terus, anda hanya akan berakhir di Empangan Batu. Sebaik sahaja anda belok ke kanan, pendakian bermula di kaki Banjaran Titiwangsa. sebelum menuruni bukit menuju ke pinggir tasik Empangan Batu. Jajaran berbukit di sini memang curam dengan selekoh yang tajam, dengan kecerunan melebihi 10%. Saya terpaksa turun ke gear dua untuk mendaki bukit curam dan mengharungi selekoh tajam dengan kelajuan antara 40-60 km/j, sebelum menuruni bukit ke pinggir tasik Empangan Batu.
Jajaran selepas Empangan Batu agak landai dan saya berupaya memecut sehingga 100 km/j di laluan berkenaan, sebelum memulakan kembali pendakian. Motosikal saya menjadi perlahan semula. Kelajuan jatuh sehingga 70 km/j dan saya terpaksa turun ke gear tiga untuk mengekalkan semula kelajuan ke sekitar 70-80 km/j. Saya meneruskan pendakian sehingga berada di sebuah genting di sempadan daerah Gombak-Hulu Selangor, lebih 400 m dari aras laut. Di genting tersebut, terdapat ramai orang yang singgah di tepi jalan mengumpul air bukit yang dikatakan lebih bersih daripada air paip.
Sepanjang perjalanan, saya disajikan dengan ketenangan dan kehijauan alam semula jadi, yang dieksploitasikan melalui beberapa pusat perkelahan.Walaupun motosikal saya terpaksa bekerja keras untuk mendaki, namun saya tetap menunggang dengan relaks untuk menikmati sendiri ketenangan dan kehijauan alam yang disajikan sepanjang B23.
Sebaik mula menuruni bukit, cerun curam yang berterusan menanti saya, dengan kecerunan lebih 10%. Sungguhpun ia curam, namun ia tidak berapa berkelok-kelok berbanding semasa di Empangan Batu. Ia membolehkan saya memecut awal sebelum mula mendaki bukit dalam perjalan balik untuk mendapatkan momentum dan mengekalkan kelajuan sehingga ke puncak.
Sebaik jalan kembali rata, kebanyakan jajaran berbaki lebih kurang 9 km adalah agak lurus, namun ia tidak bermakna tiada selekoh langsung. Masih ada lagi selekoh yang perlu diratah. Buktinya ialah terdapat selekoh berbahaya berdekatan dengan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor. Semasa menghampiri Hulu Yam Baru dekat Kg. Pasir juga anda perlu berhati-hati kerana terdapat selekoh terakhir betul-betul sebelum jambatan dan seterusnya simpang tiga. Papan tanda penunjuk arah di situ hanya dipacakkan betul-betul di simpang tiga tersebut; belok kanan ke Kg. Gurney, dan belok kiri untuk meneruskan perjalanan ke pekan Hulu Yam Lama. Harus diingat bahawa laluan B23 tidak tamat di simpang tiga itu sahaja, sebaliknya hanya tamat di satu simpang tiga di pekan Hulu Yam Baru itu sendiri - belok kanan ke Genting Highlands, manakala jalan terus ke Hulu Yam Lama di mana B23 bertukar sebagai Jalan Negeri Selangor B57.
Kini tibalah masanya untuk saya mengulas sedikit mengenai motosikal Honda Wave 125X Ultimo yang saya tunggang bagi ujian jalan raya kali ini. Motosikal tersebut berupaya menghasilkan keluaran kuasa kuda 9.3 PS @ 7,500 rpm dan tork 10 N-m @ 5,500. Sepatutnya angka-angka ini menunjukkan bahawa motosikal ini begitu perkasa, tetapi sebenarnya Honda Wave ini terasa agak malas untuk memecut terutamanya ketika mendaki bukit. Ia adalah kerana nisbah penurunannya yang saya rasakan begitu kecil. Akibatnya, kelajuan maksimum yang boleh dicapai hanyalah sekitar 110 km/j. Mungkin rasional pemilihan nisbah gear penurunan yang begitu rendah membantu menjimatkan minyak terutamanya di bandar, namun saya rasakan nisbah tersebut kurang sesuai untuk perjalanan jauh terutamanya ketika mendaki bukit. Ia boleh diselesaikan dengan menggunakan pasangan gegancu yang lebih besar sedikit (gegancu 14 gigi di hadapan dan gegancu 36 atau 37 gigi di belakang, berbanding gegancu 35 gigi yang asal) untuk meningkatkan pecutan serta kelajuan maksimum.
Satu lagi kelemahan yang saya dapat kesan sepanjang menunggang motosikal ini ialah suspensi belakangnya yang saya rasakan terlalu lembut, menyebabkan saya tidak berapa berani untuk meratah selekoh dengan lebih rakus. Jika suspensi lebih keras digunakan, maka sudah tentulah penunggang berupaya untuk mengambil selekoh dengan lebih sempurna kerana pengendalian menjadi bertambah baik.
Satu lagi kelemahan yang saya dapat kesan sepanjang menunggang motosikal ini ialah suspensi belakangnya yang saya rasakan terlalu lembut, menyebabkan saya tidak berapa berani untuk meratah selekoh dengan lebih rakus. Jika suspensi lebih keras digunakan, maka sudah tentulah penunggang berupaya untuk mengambil selekoh dengan lebih sempurna kerana pengendalian menjadi bertambah baik.
Apa pun, perjalanan kali ini sememangnya menyeronokkan walaupun dengan menaiki motosikal kapcai, kerana itulah semangat penunggang motosikal sejati yang berupaya menghargai keindahan alam semula jadi sepanjang tunggangan. Mungkin suatu hari nanti saya akan menguji motosikal saya menaiki Genting Highlands pula.
Untuk galeri penuh, sila klik sini.
Permulaan B23 di Batu Caves
Sepasang pusingan U di Kg. Nakhoda
Belok kanan untuk meneruskan perjalanan ke Hulu Yam
Pendakian bermula di sini
Menuruni cerun curam dan selekoh tajam berhampiran Empangan Batu
Panorama indah di Empangan Batu
Serius jalan ini memang curam
Simpang di Hulu Yam Baru ini bukan penamat B23
Penamat sebenar B23 di pekan Hulu Yam Baru
No comments:
Post a Comment