Friday, April 27, 2012

Sepintas lalu: Jalan Persekutuan 6 / Overview: Federal Route 6





Salam sejahtera,

Baru-baru ini saya baru saja dimaklumkan oleh rakan saya Aiman Ab. Majid mengenai video penuh Jalan Persekutuan 6 di Pulau Pinang yang baru saja disiarkan di YouTube oleh Malfreemaps. Jutaan terima kasih kepada Malfreemaps kerana sudi memuat naik video berkenaan untuk tatapan bersama.

Secara amnya, Jalan Persekutuan 6 adalah satu laluan jalan raya sepanjang 62 km mengelilingi pulau utama di Pulau Pinang; jalan-jalan lain bertindak sebagai sokongan. Ia bermula sebagai satu siri kota sesat di Georgetown sebelum mengelilingi Pulau Pinang. Laluan ini melalui pelbagai bentuk muka bumi, daripada tanah pamah yang rata sehinggalah kawasan berbukit-bukau dengan banyak selekoh tajam. Penampilannya juga berubah mengikut petempatan yang dilaluinya, daripada jalan raya kembar yang lurus dan rata di sepanjang Georgetown-Bayan Lepas sehinggalah menjadi jalan raya tunggal biasa dan seterusnya berubah semula menjadi jalan raya kembar di jajaran Tanjung Bunga-Persiaran Gurney.

Keadaan trafik juga berubah-ubah mengikut tempat. Di sepanjang jajaran Jelutong-Bayan Lepas dan Tanjung Bunga-Persiaran Gurney, terdapat banyak kenderaan yang melalui jalan ini, memandangkan ia merupakan laluan utama. Kesesakan adalah ketara di jajaran Jelutong-Bayan Lepas, maka Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113 (dahulunya dikenali sebagai Lebuhraya Jelutong dan Lebuhraya Bayan Lepas) bertindak sebagai laluan alternatif. Sementara itu, jajaran di bahagian pantai barat (Teluk Kumbar-Teluk Bahang) pula kurang kenderaan yang melaluinya, memandangkan taburan penduduk yang kurang di bahagian tersebut.

Jika keadaan mengizinkan, saya berhajat untuk mengatur satu reviu eksklusif mengenai jalan FT6 ini dengan bantuan adik lelaki saya yang tinggal di sana. Sementara itu, biarlah video di atas menjelaskan secara sepintas lalu mengenai jalan FT6 ini.

No comments:

Post a Comment

Advertisement