Friday, May 4, 2012

Kembara Mahkota Johor 2012







Salam sejahtera,

Sebagai seorang anak Johor, patik bagi pihak Blog Jalan Raya Malaysia ingin merafak sembah takzim ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim kerana sudi melawat kesemua 10 daerah di Johor sempena Kembara Mahkota Johor 2012, yang dijadualkan bermula pada 13 hingga 16 Mei 2012 ini.

Kepada para pembaca yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai satu-satunya acara konvoi motosikal diraja tahunan di Malaysia ini, izinkan saya menceritakan serba sedikit mengenai konvoi diraja ini. Kembara Mahkota Johor adalah hasil ilham daripada baginda Sultan Ibrahim sendiri semasa masih bergelar Tengku Mahkota Johor. Matlamat konvoi diraja ini ialah untuk merapatkan hubungan antara istana dengan rakyat Johor serta bagi menghulurkan bantuan bagi segelintir rakyat Johor yang berada dalam kesusahan (miskin, kurang upaya, dsb.) Konvoi diraja ini diilhamkan sempena dengan lawatan diraja oleh raja-raja atau putera-putera mahkota pada zaman feudal dengan menaiki gajah.

Kembara Mahkota Johor pertama kali diadakan pada tahun 2001 dengan jarak sejauh 870 km. Setiap kali ia dilangsungkan Sultan Ibrahim amat dikenali kerana menggunakan motosikal jenis Harley-Davidson dengan corak seperti harimau. Hanya pada tahun 2002 baginda tidak menggunakan motosikal Harley-Davidson tetapi sebaliknya menggunakan motosikal Modenas Jaguh sebagaimana peserta-peserta lain pada edisi tahun tersebut, memandangkan Modenas merupakan salah satu penaja bagi edisi tahun berkenaan. Selain itu, edisi tahun 2010 turut membawa kelainan kerana Sultan Ibrahim buat julung kalinya memandu lokomotif kereta api jenis Blue Tiger milik Keretapi Tanah Melayu, menjadikan baginda sebagai satu-satunya raja Melayu yang memiliki lesen memandu kereta api. Sungguhpun demikian, kembara bermotosikal tetap diadakan, memandangkan edisi jelajah melalui kereta api hanya dapat melalui kawasan yang mempunyai landasan kereta api sahaja.

Untuk edisi tahun ini, saya akan menyenaraikan tarikh serta daerah-daerah yang bakal dilawati dalam jelajah Kembara Mahkota Johor edisi 2012:-

  1. 13 Mei 2012: Daerah Kulaijaya, Kota Tinggi dan Mersing
  2. 14 Mei 2012: Daerah Mersing, Kluang dan Segamat
  3. 15 Mei 2012: Daerah Segamat, Muar, Ledang dan Batu Pahat
  4. 16 Mei 2012: Daerah Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru (majlis penutup bakal diadakan di Plaza Angsana)



Buat seluruh warga Johor, saya ingin menyeru kepada anda semua agar bersama-sama menjayakan edisi Kembara Mahkota Johor. Hebahkanlah kepada rakan-rakan dan taulan dan marilah kita sambut keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dengan penuh meriah!

Untuk keterangan lanjut, lawatilah laman Facebook bagi Kembara Mahkota Johor 2012 di www.facebook.com/KMJ2012

No comments:

Post a Comment