Wednesday, May 9, 2012

Apa Kejadahnya: Tiang elektrik di atas jalan / What The Hell: Electricity poles on the road


Tiang elektrik dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya kerana tidak dialihkan ke tepi jalan.



PONTIAN – Kira-kira 200 penduduk di Kampung Sawah Pekan Nenas, di sini, melahirkan rasa bimbang berikutan kedudukan beberapa tiang elektrik yang tidak dialihkan ketika kerja-kerja penurapan jalan Pekan Nenas ke Kampung Sawah dilakukan, dua bulan yang lalu.

Penduduk mendakwa kedudukan tiang lampu yang seolah-olah berada di atas jalan raya boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan pada bila-bila masa. Mohammad Nazer Yunos, 38, berkata, jalan raya baru yang dibina pihak kontraktor di kawasan berkenaan amat melegakan hati penduduk kerana tidak perlu lagi berhadapan dengan masalah jalan berlubang.

Namun, selepas diturap dan jalan baru itu siap sepenuhnya, penduduk dan pengguna jalan raya di sini terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan jalan raya pula kerana tiang terbabit tidak dialihkan pihak kontraktor.

“Kami ingatkan masalah jalan di sini sudah selesai selepas kerja-kerja penurapan jalan, namun belum sempat kami menarik nafas lega menikmati kemudahan jalan raya baru ini, masalah baru pula menimpa. “Dianggarkan lebih dari 10 buah tiang elektrik di sepanjang jalan tidak dialihkan pihak kontraktor dan dibiarkan begitu sahaja, menyebabkan ia kelihatan seperti berada di tengah-tengah jalan,” katanya.

Menurutnya, keadaan jalan yang bersimpang siur dan mempunyai beberapa selekoh tajam memburukkan lagi keadaan.

“Tiang elektrik terbabit sukar dilihat terutamanya pada bahagian selekoh tajam menyebabkan risiko berlakunya pelanggaran begitu besar kepada pemandu lebih-lebih lagi pada waktu malam, “Penunggang motosikal yang menjadikan laluan di bahu jalan sebagai laluan mereka turut berdepan dengan risiko pelanggaran tiang elektrik ini,” katanya.

Katanya, jalan berkenaan turut digunakan kenderaan berat seperti bas dan lori untuk ke Pekan Nenasi selain dijadikan jalan pintas penduduk dari beberapa kampung berhampiran untuk ke jalan Pontian - Johor Bahru.

“Pada waktu awal pagi dan petang, banyak kenderaan berat menggunakan jalan di sini dan keadaan ini boleh meningkatkan lagi risiko kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau yang kesal dengan tindakan kontraktor berkenaan tidak mengalihkan tiang elektrik terbabit berharap tindakan segera dapat dilakukan sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada masa depan.

“Kami berharap pihak-pihak yang berkaitan seperti pejabat daerah dapat memantau dan menyelesaikan masalah ini segera,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

2 comments:

  1. Saya rasa tiang2 yg disebutkan bukan tiang2 elektrik TNB tetapi tiang2 TM. Tetapi apa2 pun, ianya memang membahayakan pengguna jalanraya terutama pada waktu malam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh jadi juga, sebab tiang telefon TM sekarang dibuat daripada konkrit, sama seperti tiang elektrik TNB.

      Delete