Monday, May 14, 2012

Memintas Tol Lebuhraya Persekutuan FT2 / Shunpiking the Federal Highway FT2

Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin membawakan satu lagi ruangan baru bagi Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Panduan Pintasan Tol. Panduan sebegini sangat berguna bagi memintas tol sesetengah lebuh raya yang mengamalkan sistem tol terbuka, sekaligus membantu anda menjimatkan wang.

Kita mulakan segmen Panduan Pintasan Tol kali ini dengan memintas tol Lebuhraya Persekutuan FT2. Seperti yang anda semua sedia maklum, Lebuhraya Persekutuan merupakan sebuah lebuh raya utama bagi menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan Klang. Asalnya lebuh raya ini percuma semasa ia mula-mula dibuka pada tahun 1977, namun bermula tahun 1993 pengguna lebuh raya terpaksa mula membayar tol apabila Plus Expressways Berhad menaik taraf jajaran dari Persimpangan Lapangan Terbang Subang ke Klang dari 4 lorong ke 6 lorong. Walau bagaimanapun, usah risau kerana sebenarnya memang ada jalan yang anda boleh gunakan untuk memintas dua plaza tol di Sungai Rasau dan Batu Tiga.

Dua laluan kunci utama yang perlu anda ketahui untuk memintas tol Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah Persiaran Kerjaya FT3213 dan Jalan Padang Jawa / Sungai Rasau. Bagi pemandu dari arah Kuala Lumpur, keluar dari Lebuhraya Persekutuan FT2 ke Jalan Lapangan Terbang Subang FT15 melalui Exit 218 Persimpangan Lapangan Terbang Subang. Seterusnya, belok kiri ke Persiaran Kerjaya FT3213. Jalan terus sehingga ke penghujungnya di Jalan Subang FT3214 di Shah Alam. Belok kiri ke arah Puchong dan masuk semula ke FT2 arah Klang di Exit 213 Persimpangan Batu Tiga.

Seterusnya, keluar semula dari FT2 ke arah Padang Jawa di Exit 211 Persimpangan Padang Jawa. Di persimpangan lampu isyarat dekat kompleks Puspakom / JPJ Selangor, belok kanan ke Jalan Sungai Rasau dan Jalan Batu Tiga Lama. Setibanya di persimpangan lampu isyarat menuju ke Lebuhraya Shapadu E30/FT20, belok kanan dan masuk semula ke FT2 di Exit 210 Persimpangan Sungai Rasau ke arah Klang.

Bagi pemandu dari arah Klang, lakukan secara bertentangan (masuk ke Jalan Sungai Rasau dan keluar semula ke FT2 di Padang Jawa). Namun demikian, prosedur untuk memintas Plaza Tol Batu Tiga dari arah Klang adalah sedikit berbeza. Masuk ke Persiaran Kerjaya FT3213 seperti biasa, tetapi semasa anda di Taman Perindustrian Temasya di Glenmarie, anda mempunyai 2 pilihan. Jika anda mahukan laluan yang lebih dekat, belok kanan ke arah Subang Jaya melalui Taman Perindustrian Temasya. Anda akan dilencongkan ke pusat bandar Subang Jaya melalui Jalan Kemajuan Subang. Di penghujung jalan tersebut, naik jejantas (belok kiri) ke FT15 dan FT2. Belok ke FT2 (arah ke KL sahaja). Namun, sekiranya anda ingin memilih jalan yang kurang sesak, anda boleh terus melalui FT3213 tetapi anda perlu mencari pusingan U yang agak jauh di FT15 memandangkan laluan FT3213 dari Glenmarie dilencongkan ke arah Lapangan Terbang Subang.

Mudah, bukan? Selamat mencuba!






Peta laluan pintasan tol (Kuala Lumpur-Klang)
(klik untuk besarkan)



Peta laluan pintasan tol (Klang-Kuala Lumpur)
(klik untuk besarkan)

No comments:

Post a Comment