Thursday, May 23, 2013

Jalan Seremban-Tampin FT1

Salam sejahtera,

"No. 66, Jalan Seremban, Tampin, Negeri Sembilan."

Bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang meminati lagu-lagu pop yeh yeh, sudah tentu alamat di atas itu sinonim dengan lagu Suratku Untukmu nyanyian J. Sham yang popular sekitar empat dekad dahulu. Ya, kali ini kita akan menerokai jalan yang diabadikan dalam lagu tersebut, iaitu Jalan Seremban-Tampin FT1. 

Untuk pengetahuan semua, alamat popular tersebut sengaja diterapkan di dalam lagu tersebut oleh J. Sham sebagai mengingati kenangan ketika menyewa di rumah beralamat seperti di atas sewaktu bertugas sebagai seorang guru Muzik dan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Datuk Taha di Gemencheh. Jauhnya! Benar, beliau berulang-alik 28 km setiap hari ke sekolah. Inilah yang dikatakan sebagai pengorbanan seorang guru, sanggup berulang-alik jauh setiap hari demi mendidik anak bangsa. Kini beliau menetap di Kajang dan masih lagi aktif menyanyi meskipun sudah lama bersara sebagai seorang guru. Sebagai memperingati lagu yang mempopularkan bandar Tampin amnya dan Jalan Seremban-Tampin FT1 khasnya, Majlis Daerah Tampin ada mendirikan sebuah replika surat dengan alamat popular itu. Saya tidak pasti di mana lokasi sebenar rumah yang dimaksudkan itu, tetapi yang paling penting ialah pengembaraan di Jalan Seremban-Tampin FT1 itu sendiri.

Biasanya saya akan pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2, tetapi kali ini saya memilih untuk menggunakan Jalan Seremban-Tampin FT1 untuk ke Seremban. Lagipun, ia sebenarnya jauh lebih seronok daripada menggunakan lebuh raya ekspres kerana selain dapat memandu atau menunggang dalam keadaan santai tanpa perlu tergesa-gesa, ada banyak faedah lain yang tidak mampu ditawarkan oleh mana-mana lebuh raya ekspres. Sementara lebuh raya ekspres hanya menyajikan pemandangan yang lebih kurang sama sahaja yang seterusnya membawa kepada hipnosis lebuh raya, jalan raya biasa pula menyajikan banyak panorama menarik yang tidak terdapat pada lebuh raya ekspres. Anda boleh menyaksikan gelagat anak-anak kampung di sepanjang laluan. Jika penat, ada banyak tempat untuk anda melepaskan penat dan tidak terhad kepada hentian rehat semata-mata. Bagi yang bermotosikal, ada banyak tempat untuk anda berteduh ketika hujan seperti di surau, kedai, warung, stesen minyak, perhentian bas, dsb. Selain itu, ada banyak masjid dan surau di sepanjang perjalanan untuk anda berhenti menunaikan solat. Maka, kalau hendak menunaikan solat Jumaat semasa dalam perjalanan pun tidak perlu risau. Tempat makan pun banyak pilihan. Pendek kata, sebenarnya ada banyak kelebihan menggunakan jalan raya biasa yang tidak terdapat pada lebuh raya ekspres. Sebab itulah Kementerian Kerja Raya melancarkan Dasar Memartabatkan Jalan Persekutuan, yang seterusnya diperluaskan kepada Dasar Memartabatkan Jalan Raya Malaysia, bagi menjadikan jalan raya persekutuan sebagai alternatif percuma terbaik bagi lebuh raya ekspres. Maka, kali ini saya hanya jalan terus sahaja di Simpang Ulu Kendong dan bukannya membelok ke kiri untuk ke Jalan Taboh Naning FT19 dan Lebuhraya Utara-Selatan E2 sebagaimana kebiasaan.

Sepanjang perjalanan, saya dapati hampir kesemua jejambat lintasan kereta api di sepanjang Jalan Seremban-Tampin FT1 diganti baru, memandangkan jejambat-jejambat yang lama tidak mampu memuatkan landasan berkembar yang dibina. Salah satu daripadanya ialah di Kampung Ulu Kendong seperti dalam gambar di bawah. Projek landasan berkembar Seremban-Gemas juga menampakkan perkembangan positif apabila banyak stesen kereta api baru yang sudah siap, termasuklah di Gemas, Pulau Sebang / Tampin dan Rembau.

Saya berhenti rehat sebentar di pekan Rembau, terletak 22 km dari Tampin. Saiz pekan Rembau ini kecil sahaja, lebih kecil daripada Tampin. Memandangkan saiz pekan Rembau (dan daerah Rembau) yang begitu kecil, terdapat beberapa jabatan kerajaan peringkat daerah yang digabungkan dengan daerah Tampin. Kawasan Parlimen Rembau kini dipegang oleh YB Khairy Jamaluddin, yang baru sahaja dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru. Kepada belia-belia bermotosikal di sana, anda semua dikurniakan nikmat berupaya untuk mengapresiasikan alam sekitar melalui motosikal, oleh itu hargailah nikmat yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Daripada merempit tak tentu hala, ada baiknya jika anda menghargai nikmat bermotosikal dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti berkonvoi secara berkumpulan ataupun mengembara secara solo. Anda juga boleh memanfaatkan nikmat bermotosikal dengan mengkaji jalan-jalan raya yang anda lalui. Sekurang-kurangnya anda berupaya untuk mendapat pahala amal jariah yang tidak putus-putus hasil ilmu yang anda curahkan hasil kajian anda itu. Bukankah itu jauh lebih seronok daripada merempit dan mati katak di jalan yang lurus?

Tidak jauh daripada pekan Rembau ialah pekan Pedas. Pekan Pedas ini kecil sahaja dan kelihatan seperti pekan koboi berikutan barisan kedai yang diperbuat daripada papan yang kelihatan semakin uzur dimamah usia. Rumah-rumah kedai sebegini wajar digantikan dengan bangunan konkrit, memandangkan barisan kedai yang diperbuat daripada papan itu kelihatan semakin uzur, sekaligus mendedahkan kepada risiko kebakaran, memandangkan sistem pendawaian elektriknya juga mungkin sudah uzur dan perlu diganti. Sungguhpun demikian, tarikan utama pekan ini ialah kolam air panasnya. Mungkin pada masa ini ia kelihatan agak lengang, tetapi semasa cuti sekolah kolam ait panas itu penuh dengan pengunjung yang mandi-manda di situ.

Seterusnya, jalan mula berbengkang-bengkok dengan banyak selekoh tajam dalam jarak yang agak panjang. Keadaan sebegini berterusan sehinggalah tiba di stesen keretapi Sungai Gadut.

Stesen keretapi  Sungai Gadut ini lain daripada yang lain kerana ia merupakan stesen kereta api rel berat pertama dengan landasan terletak di atas stesen. Selalunya konfigurasi sebegini popular dalam sistem rangkaian transit aliran ringan seperti stesen LRT Wangsa Maju, tetapi stesen keretapi ini merupakan yang pertama dalam kelasnya di Malaysia.

Simpang Sungai Gadut terletak betul-betul selepas stesen keretapi Sungai Gadut. Di sini, bilangan lorong meningkat kepada 4 lorong, dan Jalan Seremban-Tampin FT1 bertukar menjadi jalan raya kembar dekat Persimpangan Taman Tuanku Jaafar, berterusan sehingga ke Seremban. Asalnya, jalan ini kekal 2 lorong sehingga ke Seremban (kecuali sebahagian kecil yang sudah pun dinaik taraf menjadi jalan raya kembar iaitu di Persimpangan Taman Tuanku Jaafar dan Senawang). Akibatnya, jajaran Seremban-Senawang di Jalan Seremban-Tampin FT1 sesak terlalu teruk. Mereka yang ingin mengelakkan kesesakan terpaksa membazirkan wang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2, meskipun sekadar dalam kawasan Seremban. Sehubungan dengan itu, jajaran Seremban-Senawang di Jalan Seremban-Tampin FT1 dinaik taraf menjadi jalan raya kembar pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2010, lewat 2 tahun daripada sepatutnya. Punca utama kelewatan projek ialah masalah pengambilalihan tanah terutamanya di kawasan Rahang, halangan dari segi struktur bawah tanah serta kenaikan kos bahan binaan. Seperti biasa, ada pihak yang mempolitikkan isu kelewatan projek ini tanpa usul periksa, tetapi hakikat sebenar yang berlaku ialah masalah pengambilalihan tanah dan masalah struktur bawah tanah telah menyebabkan berlaku peningkatan kos kejuruteraan awam bagi menanganinya. Akibat dua masalah utama tersebut, projek menjadi tertangguh dan harga bahan binaan pun naik. Apa pun, segala halangan sudah pun diatasi dan jalan raya kembar Seremban-Senawang FT1 akhirnya dibuka pada Jun 2010. Dengan siapnya jalan raya kembar ini, perjalanan dari Senawang ke Seremban akhirnya menjadi lancar.

Jalan Seremban-Tampin FT1 tamat di persimpangan Jalan Lingkaran Dalam Seremban, di mana FT1 menjadi Jalan Tuanku Antah FT1 dan seterusnya pasangan sehala di Seremban.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







No. 66, Jalan Seremban, Tampin, Negeri Sembilan - Jom kita layan lagu pop yeh yeh!






Hentian rehat Tampin ini nampak terbiar tanpa sebarang kedai yang dibuka






Simpang Kampung Ulu Kendong untuk ke Jalan Taboh Naning FT19 dan Lebuh AMJ FT19






Salah satu jejambat baru yang dibina semula sebagai sebahagian projek landasan berkembar Seremban-Gemas






Stesen keretapi baru Rembau yang tersergam indah






Pemandangan di pekan Rembau






Pekan Pedas yang kelihatan seperti pekan koboi






Kolam air panas Pedas yang popular di kalangan pelancong






Stesen keretapi Sungai Gadut ini merupakan stesen kereta api rel berat pertama yang landasannya dibina di atas stesen






Jalan Seremban-Tampin FT1 bertukar menjadi jalan raya kembar di Taman Tuanku Jaafar






Lalu lintas menjadi lancar setelah dinaik taraf manjadi jalan raya kembar






Persimpangan Senawang untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Kajang-Seremban E21






Persimpangan Rahang






Penamat Jalan Seremban-Tampin FT1 di Persimpangan Jalan Lingkaran Dalam Seremban

No comments:

Post a Comment