Friday, May 17, 2013

Anatomi sistem pancitan Modenas Kriss 125i EFI / Modenas Kriss 125i EFI fuel injection system anatomy

Salam sejahtera,

Modenas sudah pun melancarkan model keluarga CT di Greece dengan menggunakan nama Kriss 125i EFI, yang juga merupakan motosikal Modenas pertama yang dilengkapi sistem pancitan bahan api. Model tersebut dikeluarkan bagi memenuhi tuntutan piawaian emisi Euro 3 yang berkuatkuasa di negara pasaran eksport terbesar Modenas itu.

Untuk pengetahuan anda semua, Modenas Kriss 125i (atau kita boleh panggil sebagai Modenas CT120i) menggunakan sistem pancitan bahan api yang dibekalkan oleh Synerject, sebuah syarikat antarabangsa khusus dalam pembuatan sistem pancitan bahan api bagi enjin-enjin kecil dengan satu atau dua silinder. Sebahagian besar saham Synerject dimiliki oleh syarikat Continental, sebuah syarikat automotif terkenal yang turut memiliki Siemens VDO yang juga merupakan pembekal sistem pancitan bahan api kepada pengeluar kereta seperti Proton. Itulah sebabnya mengapa Modenas berupaya mengeluarkan model motosikal pancitan bahan api sendiri walaupun kita tidak pernah terdengar pun berita Modenas membangunkan sendiri teknologi pancitan bahan api sendiri. Ia samalah seperti mana Proton menggunakan kotak gear CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain.



Sistem Modul M3A oleh Synerject yang digunakan pada Modenas Kriss 125i EFI

Sistem pancitan bahan api yang digunakan oleh Modenas Kriss 125i ini dikenali sebagai Sistem Modul M3A. Sistem ini sebenarnya menyerupai generasi pertama sistem PGM-FI bagi motosikal kapcai yang pertama kali diperkenalkan pada motosikal Honda Wave 125i sekitar tahun 2003. Perbezaan antara kedua-dua sistem ini ialah PGM-FI tidak menggunakan sensor oksigen walaupun pada generasi terkini PGM-FI yang digunakan pada Honda Wave Future 125i di Thailand (juga dikenali sebagai Honda Supra 125X Helmet-In di Indonesia). Selain itu, sistem M3A juga tidak menggunakan sensor olengan yang digunakan oleh sistem PGM-FI. Selebihnya, komponen-komponen lain pada kedua-dua sistem tersebut adalah sama, termasuklah penggunaan badan pendikit yang menyepadukan ECU, sensor kedudukan pendikit dan sensor suhu dan tekanan udara mutlak.



Badan pendikit yang menggabungkan ECU, sensor kedudukan pendikit (TPS) dan sensor suhu dan tekanan udara mutlak (TMAP)

Kenapa Modenas memilih sistem modul M3A ini? Ada dua sebab utama - sebab pertama ialah binaannya yang ringkas, sekaligus menjimatkan kos pengeluaran berikutan bilangan komponen yang kurang. Kedua, menurut Synerject, sistem modul M3A ini dikatakan tahan lasak dan kalis air, membolehkan sistem ini tahan banjir, yang sememangnya merupakan mimpi ngeri kepada pemilik mana-mana kenderaan yang menggunakan pancitan bahan api berikutan kebimbangan ECU boleh rosak akibat litar pintas yang disebabkan oleh air banjir.

Selain itu, penggunaan sensor oksigen juga membolehkan sistem modul M3A ini lulus piawaian Euro 3 dengan mudah serta bersedia untuk piawaian Euro 4. Sensor oksigen berfungsi memberikan maklum balas hasil pembakaran melalui kandungan oksigen yang ada di dalam gas ekzos. Jika kandungan oksigen adalah rendah, maka kadar pancitan akan dikurangkan untuk menghalang pembentukan karbon monoksida supaya asap ekzos menjadi lebih bersih serta mengurangkan pembaziran bahan api. Jika kandungan oksigen adalah tinggi, maka kadar pancitan akan ditingkatkan untuk menghalang pembentukan nitrogen oksida.

Namun demikian, keluaran kuasa kuda Modenas Kriss 125i berkemungkinan lebih rendah berbanding Kriss 120 yang menggunakan enjin yang sama tetapi menggunakan karburetor, bergantung kepada kaedah pengiraan kuasa kuda. Jika Modenas Kriss 120 berkarburetor mampu menghasilkan 7.3 kW (9.9 PS) pada 8,500 rpm (angka rasmi oleh Modenas, dikira pada aci engkol), Kriss 125i dengan pancitan bahan api pula hanya mampu menghasilkan 8.5 kuasa kuda (8.9 PS) pada 8,000 rpm (dakwaan pengedar). Namun, angka tersebut diberikan oleh pengedar Modenas di Greece, maka barangkali angka kuasa kuda tersebut ialah kuasa kuda bersih pada roda belakang dan bukan pada enjin, kerana setelah membuat sedikit perkiraan, enjin Kriss 125i berkemungkinan menghasilkan keluaran maksimum 9.9 PS @ 8,000 rpm pada aci engkol, dengan anggapan kehilangan kuasa melalui transmisi ialah 10%. Apa pun, diharap pihak Modenas dapat memberi pencerahan mengenai angka-angka kuasa kuda dan tork sebenar mesin ini.

Apa pun, yang paling penting sekarang buat pihak Modenas ialah mengeluarkan model ini bagi pasaran Malaysia dengan segera. Kita tidak mahu industri automotif kita terus ketinggalan di belakang Thailand dan Indonesia yang tidak mempunyai jenama motosikal atau kereta nasional sendiri tetapi lebih maju dari segi teknologi automotif yang diterapkan. Kita juga tidak mahu dasar automotif kita terus dianggap menganaktirikan rakyat sendiri apabila negara pasaran eksport berupaya menikmati teknologi yang lebih canggih tetapi negara sendiri pula hanya berputih mata dengan teknologi purba yang ketinggalan zaman. Saya percaya hanya melalui pelancaran siri Modenas CT dan seterusnya GT128 yang menggunakan sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor sahajalah yang berupaya membuka mata rakyat Malaysia mengenai keupayaan sebenar anak watan kita dalam bidang teknologi automotif tanpa terus dipandang rendah lagi.

No comments:

Post a Comment