Saturday, March 16, 2013

Sepintas lalu: Penandaan garisan jalan raya / Overview: Road surface marking



Salam sejahtera,

Penandaan garisan jalan adalah sangat penting dalam pembinaan jalan raya. Garisan jalan membahagikan sesebuah jalan raya kepada beberapa lorong bagi memastikan pemandu memandu mengikut lorong. Tanpa garisan jalan, maka sudah tentulah pemandu akan cenderung "makan jalan" kerana tidak tahu di kedudukan manakah mereka sepatutnya memandu, yang seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan. Garisan jalan juga membolehkan sesebuah jalan raya mudah dilihat pada waktu malam serta cuaca buruk. Selain menandakan lorong serta anak panah arah membelok pada jalan raya, garisan jalan juga digunakan untuk menandakan petak parkir, kawasan larangan parkir, kod laluan, dsb. Selain menggunakan cat, jalan raya juga boleh ditandakan dengan menggunakan penanda-penanda mekanikal seperti mata kucing, pepaku jalan, jalur gegaran serta pemantul jalan.

Idea mengecat garisan jalan raya mula dikemukakan oleh Edward N. Hines dari Michigan, Amerika Syarikat pada tahun 1911 setelah beliau ternampak satu gerabak susu yang bocor meninggalkan kesan keputihan yang mudah dilihat di atas jalan. Idea tersebut mula diguna pakai di sana dan seterusnya diterima pakai di seluruh dunia.

Bahan yang paling lazim digunakan bagi mengecat garisan jalan ialah dengan menggunakan cat termoplastik. Sebab utama kenapa cat termoplastik sering digunakan untuk mengecat jalan ialah kerana keseimbangan antara kos dengan ketahanannya. Asalnya, cat biasa digunakan untuk mengecat jalan kerana ia paling murah, tetapi cat biasa tidak tahan lama serta tidak tahan cuaca. Sementara itu, cat termoplastik pula lebih tahan lama serta tahan cuaca; garisan jalan yang baru sahaja ditandakan boleh bertahan bertahun-tahun lamanya.

Cat termoplastik selalunya dibungkus dalam guni dalam bentuk butiran kecil seperti pelet-pelet plastik pepejal, berbeza dengan cat biasa yang memang dalam bentuk cecair. Oleh itu, butiran cat termoplastik mesti dicairkan pada suhu 200°C terlebih dahulu sebelum digunakan. Cat termoplastik yang sudah cair kemudian dituangkan ke dalam tangki pengecat jalan. Sebelum jalan dicat, bahagian yang hendak dicat ditandakan dengan menggunakan cat sementara serta benang. Setelah ditandakan, barulah garisan jalan dicat menggunakan pengecat jalan. Manik-manik kaca halus turut dicampurkan bersama-sama cat termoplastik ini bagi memberikan sifat pantulan cahaya. Itulah sebabnya kenapa garisan jalan boleh dilihat dengan jelas pada waktu malam. Biasanya, dua warna cat termoplastik digunakan, iaitu putih dan kuning. Biasanya di Malaysia cat termoplastik berwarna putih paling banyak digunakan bagi kebanyakan aplikasi seperti garisan tengah, garisan putus-putus, anak panah dsb. Walau bagaimanapun, warna kuning juga digunakan bagi menandakan garisan zon larangan parkir di tepi jalan. Selain daripada itu, cat termoplastik kuning juga digunakan sebagai garisan tengah di sesetengah jajaran di beberapa jalan raya pergunungan baharu di Sabah seperti Lebuhraya Kimanis-Keningau bagi membantu penglihatan pemandu semasa cuaca buruk atau berkabus.

Selain cat garisan jalan biasa, cat termoplastik juga digunakan bagi membuat jalur gegaran. Jalur gegaran ini ditandakan merentangi lorong secara berulang dengan selang yang semakin merapat, bertujuan sebagai penanda mekanikal bagi memberi isyarat refleks kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan mereka, seperti di plaza tol dan sekolah. Jalur gegaran ini dibuat dengan mengecat garisan kuning yang lebih tebal merentangi lorong secara berulang-ulang.

Jika cat jalan sudah tidak lagi kelihatan, apa patut anda lakukan? Gunakan bahagian tepi jalan sebagai panduan anda dan pandu dengan lebih berhati-hati. Sebaiknya, laporkan segera mengenai garisan jalan yang sudah tidak kelihatan kepada pihak JKR supaya mereka boleh mengecat kembali garisan jalan tersebut. Jika anda mengalami kesukaran melihat jalan yang sudah tiada garisan pada waktu malam, saya nasihatkan agar anda memasang lampu kabus bagi membantu anda melihat di sepanjang jalan.

1 comment:

  1. Ulasan yang memberi lagi maklumat jalan raya pada saya. Thumbs up!

    ReplyDelete