Saturday, March 9, 2013

Perodua Kembara: SUV rakyat Malaysia / The Malaysian people's SUV



Salam sejahtera,

Sebelum ini saya telah membuat reviu mengenai Honda CR-V generasi keempat terbaru. Kali ini, saya bawakan pula reviu mengenai jentera kenderaan utiliti sukan yang pernah diangkat sebagai SUV rakyat. Jentera yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Perodua Kembara.

Perodua Kembara mula dikeluarkan pada tahun 1998 dan dihentikan sepuluh tahun kemudian bagi memberi laluan kepada penggantinya iaitu Perodua Nautica. Kedua-dua model dibina berasaskan Daihatsu Terios; Kembara berasaskan generasi pertama manakala Nautica pula berasaskan generasi kedua. Sejak Kembara mula dikeluarkan, ia laris macam goreng pisang panas.  Malah, semasa ia mula-mula dikeluarkan, kumpulan KRU turut diberi penghormatan menyanyi dalam video klip iklan Kembara, yang diubahsuai daripada lagu mereka "Luarbiasa". Tidak cukup dengan itu, KRU turut menggunakan Perodua Kembara dalam video-video klip bagi album Formula Luarbiasa mereka. Jadi, apakah gerangan formula luarbiasa dalam kejayaan Perodua Kembara ini?

Pertama, ia buatan Malaysia. Bermakna, harganya pula sudah tentu sangat murah iaitu sekitar RM43,000 sahaja. Alat gantinya pula sangat mudah diperolehi. Kalau tiada stok original pun, di kedai kereta potong masih banyak. Selain itu, ia juga merupakan antara SUV pacuan empat roda yang paling mudah digunakan - hanya perlu tekan suis sahaja untuk ke mod pacuan empat roda (sebenarnya Honda CR-V adalah kenderaan pacuan empat roda paling mudah digunakan, kerana anda tidak perlu melakukan apa-apa untuk ke mod 4WD). Kebanyakan SUV lain pada masa itu pula menggunakan tombol gear kedua yang menunjukkan kedudukan 2H (keadaan biasa), 4H (kebanyakan aplikasi pacuan empat roda), N dan 4L (pacuan empat roda dengan nisbah penurunan yang besar), yang memerlukan pengetahuan teknikal sebelum menggunakannya. Jadi tidak hairanlah kenapa Perodua Kembara sangat popular.

Kenderaan yang saya gunakan itu ialah milik bapa saya yang membelinya di sebuah kedai kereta terpakai. Sungguhpun ia menggunakan enjin 1.3L, tetapi ia tetap gagah dan boleh dilenjan dengan mudah di dalam hutan. Ada yang mengatakan kononnya enjin asal 1.3L itu underpowered (tidak cukup kuasa), tetapi saya berupaya membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah salah, kerana saya pernah mendaki kecerunan hampir 25% di sebatang jalan tanah merah dalam mod 4WD. Jadi ia bukanlah tidak cukup kuasa seperti yang didakwa, cuma banjaran torknya begitu sempit. Sebab itulah ia agak malas memecut. Anda perlu pandai memilih gear yang betul apabila keadaan memerlukannya. Pengguna Kembara transmisi automatik juga tidak terkecuali kerana kotak gear yang digunakan itu adalah jenis hidraulik tanpa sistem logik kecerunan seperti pada kenderaan transmisi automatik hari ini. Bagi menambah baik prestasi Kembara ini, Perodua mula menggunakan enjin 1.3 liter K3-VE DOHC dengan DVVT pada tahun 2003 bagi menggantikan enjin HC-EJ SOHC asal itu. Enjin K3-VE itu seterusnya digunakan dalam kereta paling popular di Malaysia buat masa sekarang iaitu Perodua MyVi.

Pada tahun 2008, Perodua mula mengeluarkan penggantinya iaitu Perodua Nautica dengan enjin 1.5L lebih besar. Tidak seperti Kembara yang dibuat di Malaysia, Nautica pula hanya sekadar Daihatsu Terios yang diimport dari Jepun tetapi ditepek dengan logo Perodua, menjadikan harganya dua kali ganda harga Kembara iaitu sekitar RM89,000. Namun, keputusan Perodua mengimportnya terus dari Jepun dan hanya menepek logo Perodua sahaja menjadikannya satu kegagalan komersial terbesar dalam sejarah Perodua. Sepanjang ia dikeluarkan, hanya 489 buah sahaja yang terjual. Jika Perodua mengambil contoh daripada kejayaan MyVi dengan membina SUV mereka dengan rekaan tersendiri dan bukan mengimportnya, sudah tentu ada permintaan tinggi terhadap SUV buatan Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment