Saturday, March 9, 2013

2013 Honda CR-V



Salam sejahtera,

Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi bilik pameran Haslita Motor Sdn. Bhd. di Segamat pada 8 Mac 2013 sempena pelancaran generasi keempat Honda CR-V. Sejak generasi pertama CR-V mula dijual di Malaysia sejak 1996, ia merupakan antara model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular di Malaysia. Sementara SUV sering dikritik kerana "kuat makan minyak" berikutan badannya yang berat dan pusat gravitinya yang tinggi, Honda CR-V merupakan SUV yang paling jimat minyak dalam kelasnya.

Kenapa CR-V ini sangat popular? Sebab utama ialah kerana CR-V minyak. Bagaimana CR-V boleh jimat minyak sedangkan SUV lain sekelasnya kuat makan minyak? Ada beberapa rahsia bagaimana ia boleh dilakukan. Pertama, kerangka yang digunakan ialah jenis monocoque sebagaimana kereta biasa, di mana badan yang diperbuat daripada kepingan keluli yang dibentuk itu juga merupakan kerangkanya. Ia berbeza dengan SUV lain yang selalunya menggunakan kerangka jenis tetangga keluli, iaitu badan dipasang pada dua batang keluli utama yang disambungkan menyerupai tangga, sama seperti pada bas dan lori. Hasilnya, kerangka SUV biasa sangat kuat dan sangat kebal, tetapi dalam masa yang sama pula berat dan seterusnya menyebabkan SUV kuat makan minyak. Kerangka CR-V pula sungguhpun dibina sebagaimana kereta biasa dengan menggunakan pelantar sama seperti Honda Civic, namun ia tetap kuat kerana menerapkan teknologi G-CON (Kawalan Daya G) yang berupaya menyerap daya pelanggaran dengan cekap semasa kemalangan tetapi dalam masa yang sama melindungi penumpang di dalamnya. Hasilnya, CR-V dikategorikan sebagai SUV pindah silang (crossover).

Kedua, enjin i-VTEC yang digunakan itu sangat cekap. Enjin i-VTEC yang digunakan pada kesemua model kereta Honda pada hari ini adalah hasil evolusi bertahun-tahun daripada teknologi VTEC yang asal bermula tahun 1989. Enjin i-VTEC menjimatkan minyak dengan hanya membuka satu daripada dua injap masukan pada setiap silinder semasa kelajuan enjin rendah, dan seterusnya membuka kedua-dua injap masukan pada kelajuan enjin lebih tinggi iaitu selepas lebih kurang 2,300 rpm, ciri yang sama pada pendahulunya iaitu VTEC-E. Namun, penambahbaikan yang dilakukan pada enjin i-VTEC ialah kawalan injap juga mengikut bukaan pendikit - enjin juga akan menutup salah satu injap masukan bagi setiap silinder semasa nyahpecutan serta apabila injak pendikit ditekan sedikit sahaja, dan kedua-dua injap masukan akan dibuka apabila injak pendikit ditekan habis, walaupun pada kelajuan enjin rendah. Ia sekaligus menjadikan pernafasan enjin lebih lawas, dan seterusnya lebih jimat minyak.

Ketiga, kotak gear yang digunakan adalah jenis 5 kelajuan automatik, dengan dua nisbah overdrive. Empat gear terawal berkelakuan seperti transmisi automatik 4 kelajuan biasa, tetapi gear kelima pula menggunakan nisbah gear yang begitu kecil, lebih kecil daripada gear tertinggi pada transmisi manual dan automatik biasa. Ia berguna terutamanya semasa di lebuh raya, menjadikan perjalanan di lebuh raya sangat menjimatkan.

Enjin 2 liter R20A yang turut digunakan pada generasi terdahulu digunakan pada generasi kali ini, tetapi kali ini lebih berkuasa iaitu 155 PS @ 6,500 rpm berbanding 150 PS @ 6,200 rpm pada generasi terdahulu. Selain itu, CR-V generasi keempat ini menggunakan stereng kuasa elektrik mudah suai bagi menggantikan stereng kuasa hidraulik pada generasi ketiga, yang turut menyumbang kepada peningkatan penjimatan bahan api. Selain enjin 2 liter ini, Honda Malaysia akan turut mengeluarkan varian 2.4L yang menggunakan enjin K24Z seperti pada Honda Accord. Ia berikutan permintaan pengguna yang mahukan varian yang lebih berkuasa, memandangkan model 2.4 liter merupakan pilihan enjin standard di Amerika Syarikat. Sebelum ini, Honda Malaysia tidak bercadang untuk mengeluarkan model 2.4 liter berikutan struktur percukaian automotif Malaysia yang begitu mencekik darah. Namun, pada generasi kali ini pula, kos pengeluaran dapat dijimatkan, sekaligus menjadikan generasi keempat CR-V dijual dengan harga lebih murah daripada generasi ketiga iaitu RM148,800 berbanding RM152,000 pada generasi ketiga. Ia juga membolehkan varian 2.4 dibawa masuk pertengahan tahun ini dengan harga RM190,000.

Apa pula ciri menarik lain pada CR-V kali ini? Butang Econ, Eco Assist dan paparan komputer perjalanan adalah ciri yang diceduk dari Civic generasi kesembilan. Paparan komputer perjalanan di tengah papan pemuka itu adalah tambahan kepada skrin LCD kecil pada meter laju yang memaparkan maklumat ringkas mengenai penggunaan bahan api, tripmeter dan odometer. Selain itu, pendingin udara yang digunakan adalah jenis dwi-zon, berguna sekiranya anda terasa panas membahang dan mahukan pendingin udara disetkan pada tahap maksimum tetapi penumpang di sebelah pula menghidap selesema dan tidak mahu menghidupkan pendingin udara. Selain itu, saluran penyaman udara untuk penumpang belakang turut disediakan. Brek kecemasan yang digunakan pula adalah menggunakan kaki, satu ciri yang asalnya digunakan pada kereta-kereta Mercedes-Benz tetapi kini semakin banyak digunakan pada kenderaan lain termasuklah Perodua Alza. Model 2.4 liter pula mendapat tambahan sistem navigasi GPS, penukar gear jenis pedal (paddle shifter) dan butang penghidup tekan. Mungkin pembeli model 2 liter akan mempersoalkan, kenapa model 2 liter tiada suis penghidup tekan? Saya tanya anda kembali, adakah memusing kunci penghidup itu memerlukan kudrat yang banyak? Tidak, bukan?

Setakat ini, belum ada kereta pandu uji yang disediakan buat masa ini, jika sudah ada saya akan laporkan penemuan saya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Laman web rasmi: http://www.honda.com.my


Spesifikasi Honda CR-V 2.0 2013

Enjin: R20A1 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 2 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,997 cc
Lubang x lejang: 81 x 96.9 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 155 PS @ 6,500 rpm
Tork: 190 N-m @ 4,300 rpm
Jarak roda: 2,620 mm
Berat kering: 1,540 kg
Muatan tangki bahan api: 58 liter
Saiz tayar: 225/65R17







Papan pemuka 2013 Honda CR-V






Honda kini gemar menggunakan radio yang sangat mudah digunakan seperti ini. Perhatikan dua tombol pelaras suhu pendingin udara di bawah






Enjin R20A 2 liter yang terkenal jimat minyak






bahagian hadapan 2013 Honda CR-V

1 comment: