Monday, October 22, 2012

Pandu uji Honda Civic 2012 / 2012 Honda Civic test drive



Honda Civic 1.8 (gambar dari laman Facebook rasmi Honda Malaysia)
Salam sejahtera,

Baru-baru ini saya berkesempatan menguji pandu kereta Honda Civic model tahun 2012 sempena karnival jelajah Honda di Segamat pada 19 hingga 21 Oktober 2012. Jutaan terima kasih kepada Honda Malaysia serta Haslita Motor Sdn. Bhd. Segamat kerana sudi menyediakan sebuah Honda Civic 2.0 Navi untuk dipandu uji pada sesi ini.

Honda Civic model tahun 2012 ini merupakan generasi kesembilan bagi model flagship Honda ini yang mula dikeluarkan sejak tahun 1972. Sejak Honda Civic mula dikeluarkan, ia tidak pernah mengecewakan pemiliknya dari segi kuasa pecutan, penggunaan bahan api, pelepasan asap serta ciri-ciri yang diterapkannya. Ayah saya pernah memiliki kereta Civic generasi pertama terpakai semasa saya masih lagi kecil sebelum menjualnya semula. Sembilan generasi berlalu dan kini Civic 2012 membawakan pelbagai pembaharuan yang tentunya menjadikan pengalaman memiliki Civic sebagai amat berbaloi.




Honda Civic dengan bodykit (gambar dari laman Facebook rasmi Honda Malaysia)

Civic generasi kesembilan mula dikeluarkan penghujung tahun lalu di Amerika Syarikat sebelum ia turut dikeluarkan di seluruh dunia. Seperti generasi kelapan, Honda mengambil pendekatan dua pelantar yang berbeza bagi model Eropah dan model Amerika dan Asia. Di Malaysia, Civic generasi kesembilan ini mula dilancarkan pada 12 Julai 2012. Tiga pilihan enjin serta empat varian diperkenalkan, iaitu 1.8S, 2.0S, 2.0 Navi, serta 1.5 Hybrid.






Honda Civic Si yang dihias oleh Linkin Park (gambar dari laman Facebook rasmi Honda Civic Tour)


Reka bentuk Civic generasi kesembilan ini adalah 100% sama seperti model Amerika. Ia berbeza dengan generasi kelapan di mana lampu-lampu bagi Civic Asia direka oleh Acura Kanada, manakala model Amerika menggunakan rekaan lampu berasingan. Bagi generasi kesembilan pula, satu-satunya perbezaan antara Civic Asia dengan Civic AS ialah kedudukan lampu isyarat membelok hadapan - pada Civic AS, lampu isyarat membelok terletak di bahagian penjuru serta berlensa jingga pejal, manakala lampu isyarat membelok pada model Asia pula terletak bersebelahan gril radiator; lampu di bahagian penjuru pula ialah lampu posisi hadapan. Kenapa Amerika Syarikat pula yang merekabentuk Civic ini dan bukannya Jepun? Jawapannya sangat mudah - Honda Civic merupakan kereta padat paling popular di Amerika Syarikat. Bukan itu saja, promosi bagi Civic di AS juga sangat agresif, malah Honda Amerika turut mengadakan konsert jelajah tahunan yang dikenali sebagai Honda Civic Tour bagi mempromosikan kereta tersebut di sana. Bagi edisi 2012, Linkin Park serta Incubus diberi penghormatan membuat persembahan dalam konsert jelajah tersebut, di mana Linkin Park mengecat dan menghias kereta Honda Civic Si serta motosikal Honda CBR250R yang dihadiahkan kepada seorang pengunjung dalam satu cabutan bertuah.

Kita berbalik semula kepada sesi pandu uji Honda Civic di Malaysia. Memandangkan sesi pandu uji ini diadakan sempena karnival jelajah Honda Malaysia, maka laluan yang digunakan bagi sesi ini pendek sahaja, iaitu sepanjang Taman Utama dan melintasi jambatan ketiga Segamat serta jambatan Sungai Kapeh sebelum membelok ke Jalan Hassan J154 dan seterusnya jambatan kedua Segamat sebelum kembali semula ke tapak karnival di Taman Utama, Segamat. Model yang saya gunakan ialah Civic 2.0 Navi dengan sistem navigasi terbina dalam, model pertama seumpamanya keluaran Honda Malaysia. Ia turut dilengkapi sistem butang penghidup tekan tanpa menggunakan anak kunci. Sebaliknya, fob penggera tersebut perlu dibawa bersama oleh pemandu. Enjin akan dimatikan secara automatik apabila fob penggera dibawa keluar daripada kereta. Untuk menghidupkan kereta, hanya perlu pijak injak brek dan tekan butang penghidup. Untuk mematikan enjin, hanya tekan butang penghidup sekali lagi. Sistem yang serupa turut digunakan oleh Proton Preve, cuma bezanya ialah Proton Preve memerlukan pengguna memasukkan fob penggera ke dalam slotnya sebelum menghidupkan enjin.

Satu inovasi baharu yang diterapkan dalam Civic ini ialah penggunaan butang Econ yang sebelum ini hanya terhad kepada model-model hibrid Honda, bermula dengan Honda Insight model tahun 2009. Apabila butang Econ dihidupkan, satu pemetaan sistem penyalaan dan pancitan bahan api yang berbeza akan dimuatkan, yang memfokuskan kepada penjimatan bahan api serta emisi yang lebih rendah berbanding mod biasa. Dengan kata lain, mod Econ akan mengorbankan sedikit prestasi enjin untuk lebih penjimatan bahan api serta pelepasan asap yang lebih bersih. Civic Hybrid pula mempunyai tambahan sistem pemarkahan bagi tabiat pemanduan yang lebih jimat minyak, yang diceduk dari Insight. Selain mod Econ, meter laju digital Civic ini turut mempunyai lampu latar yang akan berubah warnanya mengikut tabiat pemanduan, satu lagi inovasi yang mula-mula diterapkan oleh Insight. Warna lampu latar akan bertukar ke hijau jika tabiat pemanduan menjimatkan minyak, biru kehijauan apabila tabiat pemanduan kurang menjimatkan sedikit, dan biru tua apabila tabiat pemanduan agresif dan tidak menjimatkan minyak.

Satu gajet paling menarik dalam Civic 2012 ini ialah komputer perjalanan (trip computer) dengan paparan LCD yang boleh dikawal menggunakan butang-butang kawalan di bahagian kiri stereng. Selain berfungsi sebagai odometer dan tripmeter, ia turut membolehkan pemandu mengawal radio kereta seperti memilih stesen radio ataupun memainkan lagu-lagu MP3 daripada pemacu kilat USB. Kerusi pemandu juga boleh dilaras menggunakan alat kawalan elektrik.

Sistem navigasi GPS terbina dalam yang digunakan adalah sedikit berbeza daripada model-model AS dan Jepun. Bagi model Malaysia, Civic 2.0 Navi menggunakan sistem navigasi jenis Garmin. Menurut jurujual yang mengendalikan sesi pandu uji saya ini, peta GPS dikemaskini semasa kereta dihantar ke pusat servis, namun saya lebih suka untuk mengemaskini sendiri peta GPS tersebut. Alat-alat GPS Garmin di Malaysia menggunakan peta Malsingmaps, tetapi saya lebih suka menggunakan peta Malfreemaps kerana ia lebih kerap dikemaskini berbanding peta Malsingmaps yang jarang dikemaskini serta kurang mercu tanda.

Civic 2.0 Navi yang saya pandu uji ini menggunakan enjin 2 liter SOHC i-VTEC jenis R20A1 bagi menggantikan enjin 2 liter DOHC i-VTEC jenis K20A yang digunakan pada model generasi terdahulu. Enjin R20A1 ini dipilih kerana ia lebih menjimatkan minyak tetapi dalam masa yang sama pula ia tetap berkuasa seperti enjin pendahulunya. Kotak gear yang digunakan adalah jenis transmisi automatik 5 kelajuan yang sama seperti pendahulunya. Mungkin pemilihan enjin dan kotak gear bagi generasi kesembilan ini tidak begitu menghairankan, tetapi harus diingat bahawa kotak gear dan enjin generasi baharu yang dikenali sebagai Earth Dreams masih lagi dalam peringkat pembangunan semasa Civic generasi kesembilan ini mula-mula dikeluarkan. Oleh itu, anda boleh menjangkakan Civic generasi kesepuluh nanti akan menggunakan enjin Earth Dreams dengan pancitan terus petrol (GDI) serta transmisi automatik 6 kelajuan.

Dari segi pemanduan, saya dapati stereng Civic 2.0 Navi ini lebih besar sedikit daripada Civic 2.0 generasi kelapan. Namun, saya dapati pengendaliannya lebih baik daripada pendahulunya kerana Civic kali ini menggunakan sistem stereng kuasa elektrik mudah suai (adaptive electric power steering) yang yang menyepadukan stereng kuasa elektrik (EPS) sedia ada dengan sistem Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA; Vehicle Stability Assist), tidak seperti Civic generasi kelapan di mana EPS dan VSA merupakan dua sistem berasingan yang tidak saling berkait.

Sepanjang sesi uji pandu, boleh dikatakan saya amat berpuas hati dengan pengendalian, kuasa pecutan, penggunaan minyak serta ciri-ciri yang diterapkan dalam Civic generasi kesembilan ini. Cuma, satu-satunya kelemahan (yang juga kelemahan terbesar) bagi Civic generasi kesembilan ini ialah rekaan lampu-lampunya yang disifatkan kurang menarik jika dibandingkan dengan Civic generasi kelapan. Namun demikian, berdasarkan kepada maklum balas yang diperolehi Honda Amerika, kita boleh menjangkakan akan berlakunya facelift awal bagi Civic kali ini. Namun, saya percaya Honda Civic generasi kesembilan ini tetap akan menerajui pasaran segmen C (kereta padat) Malaysia. Jika anda ingin bertanya mengenai model kereta yang mana akan menjadi pesaing utama Civic, jawapannya sudah tentulah Proton Preve 1.6 CFE, Hyundai Elantra dan Toyota Corolla Altis.

Laman web rasmi: http://www.honda.com.my


Spesifikasi Honda Civic 2.0 Navi 2012

Enjin: R20A1 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 2 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,997 cc
Lubang x lejang: 81 x 96.9 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 155 PS @ 6,500 rpm
Tork: 190 N-m @ 4,300 rpm
Jarak roda: 2,670 mm
Berat kering: 1,270 kg
Muatan tangki bahan api: 50 liter
Saiz tayar: 215/45R17

1 comment: