Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada semua graduan Universiti Selangor (Unisel) yang baru sahaja mengikuti Majlis Konvokesyen Unisel baru-baru ini. Sebagai hadiah istimewa buat para siswa serta graduan Unisel, saya ingin bawakan satu reviu jalan raya khas kepada anda semua, iaitu reviu Jalan Rawang-Bestari Jaya B27 dan FT3209 sepanjang 29 km. Reviu kali ini sebenarnya bertujuan bagi memenuhi janji untuk menyampaikan reviu jalan-jalan alternatif ke Unisel selain daripada menggunakan Lebuhraya Latar E25.
Sedikit sejarah ringkas mengenai jalan ini. Dahulunya, Bestari Jaya atau nama asalnya Batang Berjuntai merupakan satu kawasan yang sangat kaya dengan bijih timah di negeri Selangor selain Lembah Klang. Untuk mengangkut keluar hasil bijih timah ini, dua batang jalan raya telah dibina. Salah satu daripadanya ialah dari Berjuntai Tin (kini Kampung Bestari) ke Kuala Selangor, dan satu lagi ialah dari Kampung Rantau Panjang ke Rawang. Namun, setelah bijih timah sudah habis dilombong di Batang Berjuntai, sumber ekonomi di sana beralih pula kepada penanaman kelapa sawit. Ramai orang India dibawa masuk oleh penjajah British untuk mengerjakan estet-estet kelapa sawit ini. Sebab itulah daerah Kuala Selangor memiliki peratus penduduk kaum India tertinggi di Malaysia. Kini, nama Batang Berjuntai ditukarkan kepada Bestari Jaya atas nasihat Datuk Seri Najib Razak setelah kampus induk Unisel siap dibina.
Asalnya, jalan yang diwartakan sebagai B33 dari Kuala Selangor ke Bestari Jaya sepatutnya bermula dari Kampung Rantau Panjang ke Rawang. Namun, setelah jalan-jalan dinaik taraf di mana jajaran dari Bestari Jaya sehingga menghampiri kawasan hutan simpan Batu Arang telah dinaik taraf ke piawaian JKR R5, jalan-jalan B33 dan B27 kini menjadi satu laluan terus dari Rawang ke Kuala Selangor. Sementara itu, baki jajaran lama dari Kampung Rantau Panjang ke Kampung Bestari kini diwartakan sebagai jalan kampung dengan piawaian JKR R2. Jalan tersebut kini dijadikan jalan pintas untuk ke Unisel dari arah Rawang dan Kampung Rantau Panjang. Sementara itu, Kampung Bestari kini hanya boleh dimasuki melalui jalan masuk Unisel yang bermula dari persimpangannya dengan Jalan Timur Tambahan B74. Berikutan dengan kerja naik taraf laluan ke R5, jalan B27 kini diwartakan bermula dari Bestari Jaya di persimpangan Jalan Bukit Badong B35 sehinggalah ke Exit 116 Persimpangan Rawang yang menghubungkan jalan ini dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1. Sementara itu, baki laluan dari Exit 116 ke bandar Rawang diwartakan sebagai Jalan Perindustrian dengan kod laluan FT3209.
Saya memulakan kembara dari Bestari Jaya ke Rawang dan seterusnya Kuala Lumpur. Sepanjang melalui jajaran Bestari Jaya-Kampung Rantau Panjang, keadaan jalan super two ini sangat bagus dengan lorong yang begitu lebar. Namun, setelah melepasi sempadan daerah Kuala Selangor-Gombak, keadaan jalan adalah kurang baik sedikit, mungkin kesan daripada luluhawa memandangkan jajaran ini kurang digunakan orang. Sungguhpun demikian, panorama Selangor Fruits Valley sungguh mengasyikkan.
Setelah perjalanan ke Rawang hanya berbaki 16 km, jalan super two itu dengan pantas berubah menjadi jalan raya yang sempit dan mempunyai banyak selekoh tajam, dibina mengikut piawaian JKR R3 dengan had laju maksimum 60 km/j. Had berat maksimum 13 tan turut dikenakan. Kenapa pula bahagian tersebut tidak dinaik taraf ? Jawapannya ialah kerana jalan B27 kali ini melalui kawasan hutan simpan Batu Arang. Sekali-sekala anda boleh melihat kelibat monyet yang bermain di tepi jalan. Simpang ke Jalan Batu Arang B111 juga terletak dalam jajaran berbengkang-bengkok ini.
Hanya setelah perjalanan ke Rawang berbaki 9 km barulah keadaan jalan kembali kurang berkelok-kelok serta lebih lebar sedikit. Dari simpang Country Heights Rawang, jalan B27 ini menjadi jalan 2+1, iaitu 2 lorong ke arah Rawang dan selorong sahaja ke arah Bestari Jaya.
Di Exit 116 Persimpangan Rawang di Lebuhraya Utara-Selatan E1, Jalan Negeri Selangor B27 berterusan sebagai jalan FT3209 sehinggalah ke bandar Rawang. Persimpangan masuk ke lebuh raya E1 kini sedang dinaik taraf sebagai persimpangan separa berlian bertujuan bagi menangani masalah kesesakan di persimpangan tersebut. Selain itu, jajaran di sepanjang Kawasan Perindustrian Rawang kini sedang dinaik taraf kepada jalan raya kembar 4 lorong. Jalan Rawang-Bestari Jaya B27/FT3209 tamat secara rasminya di Persimpangan Bandar Rawang, sebuah persimpangan berlian.
Sebenarnya, ada banyak lagi jalan di sekitar daerah Kuala Selangor yang saya ingin membuat reviu pada masa akan datang. Namun, kekangan masa menghalang saya untuk melakukannya. Apa pun, saya berharap agar anda dapat terus memberi sokongan kepada Blog Jalan Raya untuk terus membuat reviu jalan baru.
Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.
Jalan Negeri Selangor B27 setelah melepasi simpang Jalan Raja Musa B42
Bahagian lurusan B27 di Kampung Rantau Panjang
Simpang ke Jalan Rantau Panjang, jalan pintas ke Unisel
Memasuki daerah Gombak
B27 mula menyempit dan berbengkang-bengkok
Simpang ke Jalan Batu Arang B111
Penamat Jalan Rawang-Bestari Jaya di bandar Rawang
Perkemangan semasa
ReplyDelete