Sunday, October 28, 2012

Apa Kejadahnya: Kontroversi AES dedah pekung sebenar pemandu Malaysia / What The Hell: AES controversy shows Malaysian drivers' true colours



Salam sejahtera,

Sejak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula dikuatkuasakan pada 23 September 2012, lebih 2,900 kenderaan diambil gambarnya secara automatik dalam masa hanya 2 hari sahaja beroperasi, di mana kebanyakannya melibatkan pemandu yang melanggar lampu merah. Jadi bayangkanlah berapa banyak pemandu yang menjadi "mangsa" kamera AES akibat kecuaian mereka sendiri. Maka, tidak hairanlah mengapa topik mengenai AES menjadi perbualan kontroversi yang hangat diperkatakan, malah ada pihak yang mempolitikkan isu AES ini dengan dakwaan kononnya AES adalah projek kroni yang bertujuan memeras duit rakyat.

Nampaknya, isu kontroversi AES ini rupa-rupanya telah mendedahkan pekung sebenar pemandu Malaysia, terutamanya dari kalangan penentang AES. Kontroversi melibatkan AES ini menunjukkan dengan jelas bahawa ramai di kalangan pemandu Malaysia bukan sahaja tidak berdisiplin, malah mudah melenting apabila cuba didisiplinkan. Kontroversi AES juga dengan jelas mendedahkan bahawa melanggar peraturan jalan raya sudah menjadi budaya ramai pemandu Malaysia. Jadi, jika sudah biasa melanggar peraturan jalan raya, bermakna golongan pesalah trafik ini juga sudah biasa melakukan apa jua cara bagi melepaskan diri daripada disaman, termasuklah cubaan merasuah polis. Sebab itulah AES diperkenalkan, supaya tiada ruang bagi pesalah trafik untuk cuba merasuah polis, memandangkan ada bukti bergambar yang jelas lagi sahih dan tidak dapat dinafikan lagi.

Golongan penyangak jalan raya yang menentang AES ini mendakwa kononnya AES bertujuan mencekik duit rakyat dan hanya mengkayakan "syarikat kroni" yang memasang dan menyelenggara sistem AES ini. Kalau benarlah AES mengkayakan syarikat kroni, kenapa penyangak-penyangak jalan raya tersebut tidak mengambil kesempatan "memiskinkan" syarikat kroni seperti didakwa dengan mematuhi had laju dan berhenti ketika lampu merah? Susah sangatkah hendak melakukannya? Adakah mereka ini lebih hina daripada lembu yang sememangnya buta warna tetapi masih berupaya "mengenal" warna merah? Tidak malukah mereka kepada kanak-kanak tadika dan sekolah rendah yang tahu bahawa pemandu wajib mematuhi had laju dan berhenti pada lampu merah? Sementara negara lain mengharamkan pendedahan lokasi kamera perangkap laju serta lampu merah, kerajaan pula sanggup  "jadi bodoh" dengan mendedahkan kesemua 831 lokasi kamera AES itu secara terang-terangan. Itu pun tak cukupkah lagi? Kalaulah mereka meminta para penguatkuasa berlebih kurang terhadap kesalahan trafik yang sering dilakukan berulang-ulang kali tanpa sedikit pun rasa kesal, maka itulah yang membawa kepada korupsi. Itu samalah seperti meminta menghalalkan perkara yang jelas haram. Golongan haram jadah tersebut pandai menuduh kononnya polis suka makan rasuah, tetapi tahukah mereka bahawa mereka itulah punca utama rasuah di kalangan anggota penguatkuasa? Tahukah mereka bahawa jika semua pesalah trafik menerima tindakan saman yang dikenakan tanpa banyak soal, maka tidak akan ada seorang pun pegawai polis yang terlibat dengan kes rasuah. Jika kebatilan dan bukannya kebenaran yang ditegakkan dan dipertahankan, maka itulah definisi sebenar korupsi. Jika rasuah menjadi ad-din kepada para penyangak jalan raya yang tidak pernah kenal erti insaf ini, maka tidak hairanlah kenapa generasi muda semakin ramai yang rosak kerana terlalu banyak disuapkan dengan duit haram.

Sebut fasal saman, semua orang amat bencikan saman. Saya sendiri pun marah apabila pernah disaman, tetapi saya terpaksa juga membayar saman apabila melanggar peraturan jalan raya walaupun sekadar tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Berani buat, berani tanggung. Memang saya amat marah apabila menerima surat saman tersebut, tetapi jauh di sudut hati, nyawa saya mungkin akan melayang apabila saya dibiarkan terus menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar walaupun ketika hendak menunaikan solat Jumaat. Pengalaman disaman memang perit, tetapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada terkorban dalam kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian sendiri sehingga tidak sempat untuk bertaubat nasuha. Selagi para penguatkuasa terus berlembut dalam menangani iblis-iblis jalan raya, maka selagi itulah kita akan terus didendangkan dengan berita-berita kemalangan maut yang sering menghiasi dada-dada akhbar dan media massa. Jika yang terkorban itu si pesalah trafik itu sendiri, sekurang-kurangnya dia telah menerima pembalasan di dunia oleh Allah sebagai kifarah kepada kesalahan yang dilakukan itu. Tetapi bagaimana pula jika yang terkorban itu ialah golongan yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan trafik tetapi menjadi mangsa si penyangak jalan raya, adakah itu adil?

Kalau pun anda disaman, anda tidak seharusnya melenting. Kalau memang anda bersalah melakukan kesalahan trafik seperti yang dinyatakan dalam surat saman tersebut, bayar sajalah saman tersebut. Kalau anda tidak bersalah, maka buktikanlah dengan pergi sendiri ke pejabat mahkamah majistret terdekat dan menunjukkan bukti bahawa anda tidak bersalah pada hakim supaya saman tersebut boleh dicabar dan diketepikan. Malangnya, golongan penyangak jalan raya yang menentang pelaksanaan AES ini hanya tahu menyalak dalam blog dan laman sosial Facebook tetapi langsung tak ada telur untuk pergi ke mahkamah majistret bagi mencabar saman yang dikenakan tersebut, bermaksud mereka memang terang-terangan bersalah tetapi masih enggan mengaku salah, sebaliknya melenting pula seperti anjing.

Memang benar AES itu ada kelemahannya. Memang ada kawasan yang tidak sesuai dipasang kamera AES seperti kawasan berhampiran sekolah serta hospital. Bagi kes seperti di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28, ia juga tidak sesuai dipasang kamera AES kerana lambakan papan tanda had laju yang bercelaru macam belacan serta mengelirukan, malah ada kawasan seperti di Ulu Klang di mana papan tanda had laju 60 km/j dan 90 km/j dipasang pada tempat yang sama sehingga mengelirukan pemandu. Terdapat juga lokasi kamera perangkap laju AES di mana had laju yang diprogramkan tidak sama seperti had laju sebenar jalan tersebut, misalnya Lebuhraya Cheras-Kajang E7 yang had laju sebenarnya ialah 90 km/j tetapi had laju yang diprogramkan pada kamera AES di situ pula ialah 80 km/j. Ada juga pemandu yang khuatir tindakan kamera AES di persimpangan yang lampu isyaratnya tidak berfungsi. Namun demikian, kesemua kelemahan tersebut bukanlah alasan bagi memansuhkan AES ini, sebaliknya penambahbaikan perlu dilakukan supaya isu-isu berkaitan AES dapat ditangani dengan bijak tanpa menganiayai mana-mana pihak. Tuntutan memansuhkan AES ini samalah seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Oleh itu, hentikanlah segala polemik dan propaganda karut lagi menyesatkan mengenai kontroversi AES ini. Sampai bilakah lagi kita mahu terus menonton berita-berita kemalangan jalan raya di media massa? Sampai bilakah kita mahu melihat isteri-isteri menjanda, suami-suami menduda dan anak-anak menjadi yatim piatu bahana kedegilan para bajingan jalan raya berkepala berlian yang terus enggan mematuhi had laju serta enggan berhenti semasa lampu merah? Jika kita tidak mahu irama "Pusara di Lebuh Raya" terus didendangkan, mahu tak mahu kita mestilah menyokong sebarang usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya walaupun pahit. Sesungguhnya ubat yang sangat pahit itu ada kalanya merupakan penawar yang mujarab. Akhir kata, sentiasa patuhi peraturan jalan raya dan ingatlah orang yang tersayang.

Amaran: Semua rencana di Blog Jalan Raya Malaysia ditulis dari sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur politik tidak dibenarkan sama sekali dan akan dibuang.


Rumusan Lokasi AES

Lokasi AES - Had Laju

Lokasi AES - Lampu Isyarat

Senarai penuh 831 lokasi kamera AES (kredit kepada: Paul Tan)

No comments:

Post a Comment