Monday, October 1, 2012

Jalan Pogoh J41

Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak membuat reviu jalan raya, berikutan kesibukan sejak akhir-akhir ini. Untuk mengubat kerinduan para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia, saya bawakan satu reviu eksklusif sebatang jalan raya negeri di Segamat, Johor yang mana saya membesar bersama-sama perkembangan jalan ini.

Jalan Negeri Johor J41, dikenali sebagai Jalan Pogoh atau Jalan Tekam di daerah Muar, merupakan sebatang jalan raya sepanjang 20 km, menghubungkan antara Segamat, Johor dengan Bukit Kepong, Muar. Jalan ini merupakan jalan raya paling utama di mukin Pogoh, Segamat kerana ia merupakan satu-satunya laluan utama bagi penduduk kampung di mukim ini dengan dunia luar.

Sebelum itu, biar saya kongsi dahulu sedikit sebanyak mengenai sejarah ringkas mukim Pogoh ini. Mukim Pogoh ini mula diteroka sebaik selepas tamatnya Perang Jementah pada 30 Disember 1879. Setelah kedua-dua pihak berdamai apabila tentera kerajaan Johor memperoleh kemenangan, para tentera dari kedua-dua belah pihak membuka mukim ini termasuklah beberapa kampung utama di mukim ini. Hasilnya, wujudlah satu jalan kampung utama bagi menghubungkan kampung-kampung di Mukim Pogoh dengan bandar Segamat.

Jalan Pogoh ini diturap bersama-sama dengan jalan-jalan raya lain yang menghubungkan Segamat dengan kampung-kampung berdekatan, tetapi semasa saya masih kanak-kanak lagi pada awal 1990an hanya 20 km terawal sahaja jalan ini yang berturap, selebihnya merupakan jalan tanah merah yang hanya sesuai dilalui pada cuaca kering. Hanya pada penghujung 1990an barulah baki 20 km lagi diturap serta ditinggikan, memandangkan sebahagian besar jalan ini melalui kawasan berpaya yang mudah berlaku banjir.

Saya mengambil kesempatan mencuba jalan raya ini semasa saya di kampung halaman di Segamat. Jalan J41 ini bermula di Persimpangan Paya Pulai, Segamat, yang menghubungkannya dengan Jalan Genuang FT1. Di simpang itu juga terletak satu lintasan kereta api. Di jambatan pertama J41 yang menyeberangi Sungai Chodan, saya dapat lihat kerja-kerja membersihkan dan mendalamkan Sungai Kenawar sebagai usaha mencegah banjir besar. Dua banjir besar yang menenggelamkan bandar Segamat pada tahun 2006 dan 2011 telah membawa kesan yang besar terhadap sosio-ekonomi warga Segamat, namun saya amat mengagumi kecekalan penduduk Segamat memulihkan semula bandar kesayangan mereka ini, yang mana hasilnya amat berbaloi melalui pembukaan kompleks beli-belah Kip Mart dan One Segamat di samping projek Lebuhraya Segamat-Muar FT23.

Secara amnya, Jalan Pogoh J41 ini dibina selari dengan Sungai Chodan yang kualanya terletak di Sungai Muar. Jalan J41 ini juga melintasi Sungai Chodan sebanyak 3 kali, iaitu di Kampung Paya Pulai, Kampung Pogoh dan Kampung Chodan. Ia juga dibina selari dengan Sungai Muar bermula dari Kampong Pogoh sehingga ke Kampung Tekam. Jambatan terakhir bagi J41 ini ialah Jambatan Sungai Labis yang membentuk sempadan daerah Muar-Segamat.

Secara amnya jalan raya ini dibina dengan piawaian JKR R3, dengan had laju yang sesuai ialah sekitar 60-70 km/j, berikutan keadaan jalan yang agak berkelok-kelok serta tiada bahu jalan. Anda perlu memandu dengan berhati-hati terutamanya di kawasan berpaya kerana di situ jalan agak berkelok-kelok dan tiada bahu jalan sekiranya ada kenderaan hadapan yang hilang kawalan kerana gagal memotong. Tak perlulah ditanya kenapa tidak dibina bahu jalan kerana bagi jalan berspesifikasi sebegini, bahu jalan adalah tidak wajib. Bahu jalan hanya wajib dibina bagi jalan dengan piawaian JKR R4 ke atas serta JKR R1 (sebagai ruang berselisih).

Di Kampung Tekam, saya dapat melihat jajaran J41 ini yang baru sahaja dinaik taraf daripada piawaian JKR R2 kepada R3. Ia dapat dilihat daripada kesan turapan bersebelahan turapan asal. Cuma, turapan sebegini mungkin kelihatan kurang kemas jika satu lagi lapisan turapan tidak dibubuh bagi menyembunyikan kesan penambahan lebar jalan. Semasa jalan ini masih lagi jalan tanah merah, Kampung Tekam ini kelihatan tak ubah seperti perkampungan di pedalaman dengan pondok telefon berkuasa suria, tetapi sekarang kampung ini tak ubah seperti kebanyakan kampung biasa di negeri Johor yang cukup lengkap infrastrukturnya.

Sebaik melepasi Jambatan Sungai Labis, jalan J41 ada 2 km lagi sebelum tiba di penghujungnya di Jalan Muar-Labis J32, jalan raya negeri terpanjang di Johor. Di daerah Muar, Jalan Pogoh ini juga dikenali sebagai Jalan Tekam. Perubahan yang paling menggembirakan saya ialah pemasangan papan tanda nama jalan berserta kod laluan oleh JKR Muar. Pemasangan papan tanda sebegini menunjukkan kesungguhan usaha JKR Muar memartabatkan jalan raya Malaysia, yang seharusnya turut dicontohi JKR daerah lain.

Sepanjang membesar bersama-sama jalan J41 ini, sudah banyak perubahan yang saya dapat saksikan daripada jalan tanah merah kepada jalan raya berturap, daripada jambatan kayu kepada jambatan konkrit. Sekurang-kurangnya, penduduk Segamat dan Muar masih ada laluan alternatif jika Jalan Segamat-Muar FT23 sesak semasa musim perayaan. Perubahan yang dialami Jalan Negeri Johor J41 ini jelas mencerminkan kemajuan dan kemakmuran Johor khasnya dan Malaysia secara amnya.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Permulaan Jalan Negeri Johor J41 di Jalan Genuang FT1 yang melalui lintasan kereta api






Kerja-kerja pelebaran Sungai Kenawar bagi mencegah banjir besar






Pemandangan desa yang mendamaikan di sepanjang Jalan Pogoh J41






Jalan J41 asalnya berturap sehingga di sini sahaja sebelum disambung pada penghujung 1990an






Turapan yang menampakkan kesan penambahan lebar jalan ini






Penghujung jalan J41 di Jalan Muar-Labis J32






Papan tanda jalan J41

2 comments:

  1. Boleh tak tlg carikn maksud nombor yg ade atas jln raya? Nombor tu ade atas jln..bkn pd papan tanda..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adakah maksud anda nombor yang disembur dengan cat di tepi jalan raya dan bukan di dalam heksagon di tengah-tengah jalan? Ia barangkali bagi menandakan seksyen jalan.

      Delete