Friday, March 1, 2013

Jalan Bukit Gambir J33

Salam sejahtera,

Reviu kali ini merupakan penutup kepada siri reviu dua jalan negeri utama di daerah Ledang. Sebelum ini saya telah menulis reviu mengenai Jalan Bukit Serampang J34 sepanjang 18 km. Kali ini, saya akan menulis pula mengenai Jalan Bukit Gambir J33.

Jalan Bukit Gambir ini mula wujud hasil pembukaan ladang-ladang gambir dan lada hitam di sepanjang tebing utara Sungai Muar pada abad ke-19 melalui Sistem Kangcu yang diperkenalkan oleh Temenggung Daeng Ibrahim dan seterusnya Sultan Abu Bakar. Sistem tersebut menjadikan Johor sebagai pengeluar utama gambir dan lada hitam pada masa itu. Namun demikian, pada penghujung abad ke 19 Sistem Kangcu mengalami kemerosotan berikutan kepelbagaian aktiviti pertanian di Johor, bermula dengan tanaman kopi, yang seterusnya membawa kepada kemerosotan pengeluaran lada hitam dan gambir di Johor. Sistem Kangcu ditamatkan pada tahun 1917 hasil enakmen yang digubal pada tahun tersebut.

Jalan Persekutuan 23 (Jalan Muar-Segamat) selari dengan Jalan Negeri Johor J32 (Jalan Muar-Labis) kerana dibina selari dengan Sungai Muar; sebaik melepasi Bukit Kepong, kedua-dua laluan tidak lagi mengikut arah Sungai Muar. Selain daripada dua laluan ini, Jalan Bukit Gambir J33 juga selari dengan Sungai Muar, iaitu di sebelah utara. Bezanya ialah J33 dibina betul-betul di sepanjang tebing utara Sungai Muar. tidak seperti FT23 dan J32 yang dibina agak jauh sedikit daripada tebing Sungai Muar, terutamanya FT23 yang jelas menjauhi Sungai Muar sebelum menyeberanginya di Kampung Batu 7, 9 km dari Segamat.

Dari Jalan Bukit Serampang J34, saya membelok ke kiri untuk memasuki Jalan Negeri Johor J33 ini. Jajaran di sini sangat lurus kerana ini merupakan jajaran terakhir bagi J33 ini. Cuma, jajaran ini ada banyak naik turun bukit yang pendek sahaja tetapi curam, berikutan muka buminya yang beralun. Hanya estet kelapa sawit sahaja yang membentuk lanskap di kawasan ini, sehinggalah apabila saya tiba di satu simpang tiga di Kampung Penchu. Di simpang tersebut, saya perlu membelok ke kanan untuk meneruskan perjalanan; pemandu dari arah Bukit Gambir pula perlu belok ke kiri kerana berjalan terus akan membawa anda ke Kampung Penchu dan kod laluan bertukar kepada J74 dan bukannya J33. Tidak lama setelah membelok kanan di Kampung Penchu, terdapat satu lagi simpang serupa di pekan Kundang Ulu. Kena belok kanan lagi! Untuk pengetahuan anda, jalan kali ini merupakan jajaran asal J33 dari Sungai Mati ke Kundang Ulu, di mana pengguna menyeberangi Sungai Muar menggunakan bot penambang untuk ke kampung seberang iaitu Kampung Kundang dekat Jalan Renchong J145.

Satu lagi bukti utama bahawa jajaran tersebut merupakan jajaran asal J33 ialah melalui kesan pelebaran jalan  sepanjang jajaran Kundang Ulu ke Gerisek Jalan ini asalnya sempit sahaja dengan lebar lorong 3 m (JKR R3) dan dilebarkan kepada JKR R4 (lebar lorong: 3.25 m). Hanya selepas pekan Gerisek barulah jalan ini memang lebar asalnya 3.25 m.

Tidak lama selepas simpang Jalan Pagoh-Gerisek J137, saya tiba di satu kawasan yang boleh saya sifatkan sebagai "jelapang padi" utama di daerah Ledang. Nama kampung tersebut, Kampung Sawah Ring, juga memang dinamakan sempena aktiviti penanaman padi di sini. Mungkin kawasan ini tidaklah sebesar lembangan Tanjung Karang-Sabak Bernam, atau lebih besar lagi, lembangan Kedah-Perlis, tetapi sekurang-kurangnya kawasan ini sangat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import.

Tidak jauh dari Kampung Sawah Ring terletaknya bandar Bukit Gambir, bandar yang kini sangat maju hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri di situ merangkap Menteri Besar Johor iaitu Dato' Abdul Ghani Othman. Sebenarnya bandar ini asalnya hanyalah pekan koboi, tetapi sekarang ia sangat maju dan sangat moden, dan ia juga membentuk bandar kedua terbesar di daerah Ledang selepas Tangkak (tidak termasuk sebahagian Bandar Maharani Muar yang ada dalam kawasan daerah Ledang). Lihat sajalah, rekaan balai bombanya sahaja sudah sangat canggih dan moden. Selain itu, ada dua restoran makanan segera di sini iaitu KFC dan Marrybrown. Kesemuanya membuktikan betapa majunya bandar Bukit Gambir sekarang.

Sebaik meninggalkan bandar Bukit Gambir, saya menjumpai satu penemuan menarik. Semasa menaiki jejambat yang melintasi Lebuhraya Utara-Selatan E2, saya mendapati ada satu jalan lama yang agak sempit sedikit di sebelah kanannya. Jalan tersebut sudah tentunya jajaran asal J33 sebelum dilencongkan melalui jejambat tersebut. Tidak jauh setelah melintasi jejambat tersebut, pembinaan sebuah persimpangan bertingkat baru sedang rancak dijalankan. Bangunan plaza tolnya sudah siap, jadi kita boleh menjangkakan Persimpangan Bukit Gambir di Lebuhraya Utara-Selatan E2 berkemungkinan akan siap dalam tahun ini.

Lebih kurang 8 km sebelum J33 tamat, saya tiba di satu kawasan yang ditandakan sebagai Serom 8, kemudian tidak sampai beberapa ratus meter sudah sampai ke Serom 7, dan ia berterusan sehinggalah ke Serom 1. Pekan Serom yang sebenarnya kalau tidak silap saya terletak di Serom 6. Banyaknya tempat bernama Serom di sini! Secara amnya, Serom merujuk kepada keseluruhan Mukim Serom. Sebab itulah Serom dibahagikan dan dinomborkan untuk membezakan antara kampung-kampung dan pekan dalam mukim ini.

Jalan Negeri Johor tamat di pekan Sungai Mati, di mana ia bertemu dengan Jalan Persekutuan 23. Saya seterusnya pulang ke Segamat melalui Jalan Persekutuan 23.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Simpang ke Jalan Bukit Gambir J33






Lagi estet kelapa sawit, di samping naik turun bukit yang pendek tetapi curam






Turapan segar beraspal mulus di Kampung Penchu






Dari Bukit Serampang dan Bukit Kepong, belok kanan untuk teruskan perjalanan di J33






Kena belok kanan lagi di pekan Kundang Ulu






Kesan penambahan lebar lorong di sepanjang jajaran Kundang Ulu-Gerisek






Pekan Gerisek yang aman damai






Simpang ke Jalan Pagoh-Gerisek J137






Kampung Sawah Ring, jalapang padi daerah Ledang






Balai Bomba Bukit Gambir yang sangat moden dan canggih






Bandar Bukit Gambir tampak maju dan moden dengan deretan kedai-kedai yang moden - siap ada KFC lagi tu!






Simpang Jalan Sagil-Bukit Gambir J143






Sebelum terbinanya Lebuhraya Utara-Selatan E2, jalan asal J33 ialah di sebelah rumah papan ini...






...tetapi sekarang J33 melintasi jejambat ini






Persimpangan Bukit Gambir sedang rancak dibina - bangunan plaza tol sudah siap!






Pekan Serom






Jalan Bukit Gambir J33 tamat di Sungai Mati

No comments:

Post a Comment