Salam sejahtera,
Kali ini saya ingin membawakan kepada anda satu siri entri yang saya gelar sebagai Rolet Rusia? Apa itu rolet Rusia? Kenapa rolet Rusia? Rolet Rusia merupakan sejenis permainan adu nasib yang boleh membawa maut. Kenapa boleh jadi begitu? Dalam permainan rolet Rusia, pemain menggunakan sepucuk revolver yang berisi satu peluru hidup dan seterusnya bergilir-gilir memutar kelongsong peluru, mengacukan revolver tersebut ke pelipis masing-masing dan menarik picunya. Permainan akan berakhir sekiranya ada seorang pemain yang terbunuh, maka kebarangkalian untuk mati ditembak ialah 1/6.
Jadi apa kaitannya permainan rolet Rusia dengan entri kali ini? Siri entri yang bakal saya kemukakan ini merujuk kepada keadaan di mana pemandu berdepan dengan risiko kemalangan maut jika salah perhitungan dan pemasaan. Keadaan sebegini sering berlaku ketika memotong, keluar masuk simpang serta membuat pusingan-U. Dalam ketiga-tiga keadaan ini, anda wajib mengikuti segala prosedur yang betul sebagaimana yang telah anda pelajari di sekolah memandu. Jika anda gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan itu, maka maut padahnya.
Entri pembuka bagi siri Rolet Rusia ini ialah mengenai memotong. Memotong bermaksud tindakan pemandu melepasi kenderaan di hadapannya yang lebih perlahan serta memandu di lorong yang sama dan arah yang sama dengan pemandu. Memotong di jalan raya kembar serta lebuh raya ekspres amat mudah kerana disediakan lorong memotong di sebelah kanan, menjadikan anda tidak perlu risau akan kemungkinan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan. Namun, memotong di jalan raya tunggal 2 lorong biasa pula lebih sukar kerana anda terpaksa berdepan dengan risiko bertembung dengan kenderaan dari arah hadapan, memandangkan lorong bagi aliran trafik arah bertentangan itulah yang menjadi lorong memotong anda. Sebab itulah memotong merupakan salah satu punca utama kemalangan maut di jalan raya.
Di Malaysia, para pemandu diajar menggunakan Peraturan 12 Saat sebagai prosedur memotong yang betul. Terlebih dahulu, anda perlu memastikan panjang lurusan jalan raya mencukupi serta tiada kelibat kereta dari arah hadapan (biasanya lebih 100 m). Apabila keadaan mengizinkan untuk anda memotong, barulah anda melakukan tindakan berikut:-
- Mengekori kenderaan hadapan
- Menghidupkan lampu isyarat membelok ke kanan
- Melihat cermin sisi dan cermin pandang belakang - bagi memastikan tiada kenderaan dari belakang yang cuba hendak memotong anda semasa anda sendiri mahu memotong
- Menukar gear rendah untuk mendapatkan lebih kuasa ketika memotong (jika perlu)
- Menukar lorong ke lorong kanan
- Memecut melepasi kenderaan hadapan yang hendak dipotong
- Menghidupkan lampu isyarat membelok ke kiri
- Masuk semula ke lorong laluan anda
Kesemua tindakan ini mesti dilakukan dalam jangka masa 12 saat. Bagi kenderaan yang kurang berkuasa, anda memerlukan jarak memotong yang lebih panjang serta masa memotong yang lebih lama, sekaligus lebih berisiko. Maka dengan itu adalah lebih baik jika anda memotong di kawasan yang disediakan lorong memotong sahaja.
Di sini saya ingin senaraikan kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu Malaysia ketika memotong yang boleh membawa maut:-
- Memotong ketika kenderaan dari arah hadapan sudah terlalu hampir
- Tidak menggunakan lampu isyarat membelok ketika hendak memotong
- Tidak menggunakan cermin sisi serta cermin pandang belakang (nak buat mekap ke?)
- Memotong di garisan berkembar
- Memotong di selekoh, jambatan, terowong dan simpang
- Kenderaan berat serta kenderaan yang kurang berkuasa tetap berdegil memotong semasa mendaki bukit curam, biarpun sudah nyata lagi jelas kenderaan mereka begitu terkedek-kedek mendaki bukit
- Memotong ikut lorong kecemasan / bahu jalan
- Memaksa motosikal beralih ke lorong kecemasan / bahu jalan untuk memotong motosikal (sering dilakukan terutamanya oleh pemandu bas ekspres)
- (Di jalan raya kembar dan lebuh raya ekspres) Memotong menggunakan lorong perlahan (lorong kiri)
Oleh itu, berhati-hatilah ketika hendak memotong kenderaan di hadapan. Jangan ingat memotong itu menyeronokkan kerana anda sebenarnya bermain dengan rolet Rusia ketika memotong. Lambat sedikit pun tak apalah, asalkan anda tidak menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain akibat kecuaian anda. Akhir sekali, ingatlah orang yang tersayang.
No comments:
Post a Comment