Thursday, August 23, 2012

Reviu eksklusif Lebuhraya Senai-Desaru E22 / Senai-Desaru Expressway E22 exclusive review

Salam sejahtera,

Saya percaya para pembaca masing-masing masih lagi dalam mood Hari Raya Aidilfitri, terutamanya bagi golongan yang bercuti panjang. Oleh itu, musim cuti raya sebegini elok diisi dengan meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga sama ada sekadar datang beraya ataupun membawa mereka melancong ke tempat-tempat menarik di dalam negara.

Sebut fasal pelancongan, ada banyak pantai yang cantik dan bersih serta langsung tidak tercemar di Malaysia. Salah satu kawasan pantai kegemaran saya ialah Desaru di Johor, kerana pantai dan air lautnya yang cantik dan bersih, sekaligus menyajikan satu pemandangan yang sangat menarik serta tidak jemu mata memandang. Kewujudan pantai ini hanya disedari orang awam setelah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) membangunkan sebuah bandar baharu berhampiran Tanjung Penawar di mana pantai Desaru terletak pada tahun 1972 yang dikenali sebagai Bandar Penawar. Hasilnya, banyak hotel yang tumbuh bagai cendawan, menjadikan industri pelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi utama di Bandar Penawar. Namun demikian, tahap pembangunan di Bandar Penawar agak perlahan walaupun bandar ini serba lengkap (cuma belum ada restoran makanan segera sahaja), maka kerajaan Johor serta kerajaan persekutuan terus berusaha membangunkan Desaru dan Bandar Penawar dengan terus membina infrastruktur tambahan termasuklah Sekolah Sukan Bandar Penawar (kini dinamakan semula sebagai Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail), dan yang terkini, Lebuhraya Senai-Desaru E22.

Lebuhraya Senai-Desaru E22 mula dibina pada tahun 2005 sebagai sebahagian komponen utama koridor pembangunan Iskandar Malaysia bagi merancakkan pembangunan di bahagian timur Johor Bahru serta menarik pembangunan di Desaru dan Bandar Penawar, sebagaimana Lebuhraya Latar E25 dibina bagi merancakkan pembangunan di sekitar daerah Kuala Selangor terutamanya di Ijok, Bestari Jaya serta Universiti Selangor (Unisel). Fasa pertama dari Senai ke Cahaya Baru dan Pasir Gudang siap pada Ogos 2009, manakala fasa kedua dari Cahaya Baru ke Desaru siap pada 10 Jun 2011. Jajaran dari Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru ke Exit 2212 Persimpangan Penawar dibina sebagai lebuh raya dua lorong, menjadikannya sebagai lebuh raya ekspres dua lorong sebenar pertama di Malaysia dengan kawalan masuk penuh.

Semasa pembukaan fasa kedua E22 ini, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan rasional jajaran tersebut dibina dua lorong sahaja berbanding kebanyakan lebuh raya ekspres lain yang dibina sekurang-kurangnya empat lorong. Malah, ada juga yang sanggup mempolitikkan isu lebuh raya dua lorong ini dan mengancam mahu mengadakan tunjuk perasaan semasa kutipan tol bagi fasa kedua E22 dimulakan pada Julai 2011, dengan dakwaan kononnya tidak pernah ada negara di dunia yang membina lebuh raya dua lorong. Kepada golongan tersebut, sedarlah bahawa sebenarnya banyak negara di dunia termasuk negara maju yang membina lebuh raya dua lorong. Contoh paling ketara ialah di Jepun dan Switzerland yang banyak membina lebuh raya dua lorong. Lebuhraya Hokkaido yang merupakan lebuh raya tulang belakang utama di pulau Hokkaido, Jepun itu sendiri sebahagian besarnya dibina sebagai lebuh raya dua lorong. Di Indonesia, sebahagian jajaran Jalan Tol Belmera di Medan (kini sudah dinaik taraf menjadi empat lorong) serta sebahagian Jalan Tol Semarang juga dibina sebagai lebuh raya dua lorong. Malah di Amerika Syarikat sendiri pun memang ada sebuah lebuh raya dua lorong yang diwartakan sebagai lebuh raya antara negeri (Interstate), iaitu jajaran Interstate 93 di New Hampshire. Di Malaysia sendiri, Lebuhraya Karak E8/FT2 asalnya merupakan lebuh raya dua lorong dengan kawalan masuk separa sebelum dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres empat lorong. Oleh itu, tiada sebab mengapa lebuh raya ekspres tidak boleh dibina sebagai lebuh raya dua lorong, selagi ia memenuhi syarat kawalan masuk penuh. Cuma, istilah "lebuh raya selorong" yang digunakan adalah salah, memandangkan ia bermaksud lebar keseluruhan lebuh raya hanyalah selorong sahaja yang dikongsi oleh lalu lintas dari kedua-dua arah, sama seperti jalan kampung.

Saya sempat mencuba Lebuhraya Senai-Desaru E22 secara rasminya semasa saya mengikuti rombongan pertunangan sepupu saya ke Felda Simpang Wa Ha pada 22 Ogos 2011, tidak jauh dari Bandar Penawar. Semasa di Kulai, sementara saudara-mara saya yang lain bercadang untuk ke sana melalui Jalan Persekutuan 94 dan Jalan Persekutuan 92, ayah saya pula lebih suka menggunakan E22 kerana kurang sesak serta lebih lancar. Kami memasuki E22 melalui Jalan Lapangan Terbang Senai FT16 dan seterusnya Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai. Seterusnya, kami melalui plaza tol pertama bagi E22 iaitu Plaza Tol Senai.

Klik peta untuk besarkan


Terdapat tujuh persimpangan di sepanjang E22 ini:-
  1. Exit 2201 Persimpangan Utama Senai - ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Lebuhraya Linkedua E3
  2. Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai - ke Jalan Lapangan Senai FT16 dan Lebuhraya Skudai FT1
  3. Exit 2204 Persimpangan Ulu Tiram - ke Lebuhraya Tebrau FT3
  4. Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru - ke Hubungan Pasir Gudang
  5. Exit 2205A Persimpangan Cahaya Baru - Hubungan Pasir Gudang ke Jalan Masai J10. Keluar masuk hanya dari/ke laluan utama sahaja.
  6. Exit 2210 Persimpangan Pasir Gudang - ke Jalan Pekeliling / Lebuhraya Pasir Gudang FT17.
  7. Exit 2212 Persimpangan Penawar - ke Desaru dan Bandar Penawar melalui Jalan Persekutuan 92.

Pejabat operasi Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) terletak di Plaza Tol Ulu Tiram. SDEB dimiliki oleh anak syarikat Ranhill Berhad iaitu Rancak Bistari Sdn. Bhd. (memegang 70% saham) serta bahagian pegangan Yayasan Pelajaran Johor iaitu YPJ Holdings Sdn. Bhd. (30% saham). Di bawah SDEB pula ialah anak syarikat milik penuh SDEB iaitu SDE Land Sdn. Bhd., sebuah syarikat hartanah bagi membangunkan projek-projek hartanah di sepanjang E22.

Terdapat sepasang hentian rehat di sepanjang E22 iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Layang, terletak di KM31 (arah barat) dan KM32 (arah timur). Kedua-dua hentian rehat ini mempunyai stesen minyak Shell. Di hentian rehat arah timur, ada dua gerai yang beroperasi, mungkin kerana gerai lain ditutup sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. Tak apalah, janji hentian rehat ini betul-betul sempurna. Cuma apa yang menyulitkan ialah tiada kemudahan menambah nilai kad Touch 'n Go, yang tidak seharusnya berlaku memandangkan stesen minyak di kampung halaman saya sendiri pun ada kemudahan menambah nilai kad Touch 'n Go meskipun terletak jauh dari rangkaian lebuh raya ekspres.

Sebaik sahaja melepasi Kawasan Rehat dan Rawat Layang, E22 melalui satu kawasan yang sensitif iaitu Empangan Layang yang membekalkan air terawat ke Pasir Gudang, Masai serta kawasan timur Johor Bahru. Tembok Jersey yang cukup tebal dibina di kiri dan kanan jajaran sensitif tersebut. Selain itu, sistem saliran juga dialirkan jauh dari empangan tersebut untuk mengelakkan kesan tumpahan minyak serta bahan kimia akibat kemalangan daripada mengalir masuk ke empangan terbabit. Ia merupakan sistem pertama seumpamanya yang digunakan pada mana-mana lebuh raya ekspres.

Sebaik melepasi Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru, lebuh raya ini bertukar daripada lebuh raya kembar empat lorong kepada lebuh raya tunggal dua lorong. Akibatnya, had laju juga turun daripada 110 km/j kepada 90 km/j. Meskipun hanya dua lorong, namun setiap lorong di jajaran ini tetap sama lebar seperti lebar lorong pada jajaran empat lorong iaitu sekitar 3.65 m.

Cuma, lebar lorong kecemasan di sepanjang jajaran dua lorong ini hanya separuh daripada lebar lorong kecemasan di jajaran empat lorong, menyebabkan ada sesetengah pihak yang mempertikaikan rekaan sedemikian atas alasan kononnya ia berbahaya jika ada kenderaan yang rosak di tepi lebuh raya. Saya ingin menegaskan bahawa lorong kecemasan sebenarnya ialah bahu jalan keras dan fungsi sebenarnya ialah untuk membolehkan kenderaan beralih ke tepi bagi mengelak kemalangan. Lorong kecemasan bukanlan tempat untuk melepak dan tidur. Lorong kecemasan juga bukanlah lorong tambahan untuk digunakan oleh sesetengah pemandu bebal yang tidak berotak bagi memintas kesesakan lebuh raya ataupun untuk memotong ikut tepi. Lorong kecemasan juga bukanlah lorong motosikal. Lorong kecemasan sepatutnya dikosongkan dan hanya boleh dijadikan laluan oleh kenderaan kecemasan iaitu kereta polis, ambulans dan kereta bomba. Itu sahaja. Walau seteruk mana pun kesesakan lebuh raya, lorong kecemasan tidak boleh digunakan sama sekali. Sebab itulah sesetengah negara atau syarikat konsesi sengaja membina lorong kecemasan sebegitu sempit sehingga tidak cukup muat sebuah kereta untuk menghalang pemandu daripada memotong ikut tepi.

Mercu tanda utama E22 ini ialah Jambatan Sungai Johor sepanjang 1.7 km, menjadikannya sebagai jambatan sungai terpanjang di Malaysia. Sementara sebahagian besar jajaran Cahaya Baru-Penawar dibina dua lorong sahaja, Jambatan Sungai Johor yang menjadi kebanggaan rakyat Johor ini dibina empat lorong. Ia bukti jelas bahawa jajaran dua lorong E22 ini sememangnya akan dinaik taraf menjadi empat lorong sebagaimana jajaran lain sekiranya kadar aliran trafik semakin meningkat. Jambatan ini dibina sebagai jambatan "cable-stayed" sebagaimana Jambatan Pulau Pinang E36, menyebabkan ramai yang mengatakan Jambatan Sungai Johor ini menyerupai Jambatan Pulau Pinang. Had laju di sepanjang jambatan tersebut kekal 90 km/j.

Sungguhpun secara amnya kami disajikan dengan perjalanan yang lancar dan selesa sepanjang menggunaan Lebuhraya Senai-Desaru E22, saya ingin memberi beberapa teguran kepada pihak pengurusan SDEB:-
  1. Saya menghargai usaha SDEB segera membaiki beberapa jajaran E22 yang terjejas akibat "turapan kulit bawang" yang pernah saya laporkan sebelum ini, namun mutu turapan di jajaran Senai pula masih kurang memuaskan, bermula dari Exit 2201 Persimpangan Utama Senai sehingga beberapa kilometer selepas Plaza Tol Senai. Oleh itu, saya amat berharap agar SDEB segera membaiki jajaran tersebut.
  2. Saya cukup berpuas hati dengan jalan susur satu lorong pada Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai yang cukup lebar, tetapi jalan-jalan susur dua lorong pula kurang memuaskan kerana tidak cukup lebar. Sungguhpun jalan-jalan susur tersebut didakwa bertaraf JKR U4 dengan lebar lorong 3.25 m dan had laju reka bentuk 60 km/j, ia tidak sepatutnya dibina cukup-cukup 3.25 m setiap lorong di persimpangan bertingkat kerana ia terlalu sempit untuk dilalui dua kenderaan sebelah-menyebelah, terutamanya kenderaan berat. Memandangkan jejari selekoh yang kecil di persimpangan bertingkat, jalan susur tersebut sepatutnya dilebarkan lagi dan perlu ada bahu jalan keras di tepi jalan.
  3. Teguran ketiga ini sebenarnya lebih kepada aduan. SDEB perlu memastikan kaunter perkhidmatan pelanggan di setiap plaza tol dibuka sepanjang waktu dari pukul 8.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Ia berikutan semasa saya di Plaza Tol Penawar pada 22 Ogos, saya serta seorang lagi pengguna lebuh raya terpaksa menunggu selama lebih kurang 20 minit sejak pukul 1.40 tengah hari sehinggalah ada seorang kaki tangan yang sedar akan kehadiran kami dan akhirnya menambah nilai kad Touch 'n Go kami. Sepatutnya perlu ada sekurang-kurangnya seorang petugas "stand-by" yang ada di kaunter tersebut untuk membolehkan pengguna lebuh raya menambah nilai kad Touch 'n Go. Jika kekurangan kaki tangan, SDEB perlu menimbangkan untuk menempatkan mesin-mesin tambah nilai layan diri di setiap plaza tol. Langkah Lebuhraya Latar E25 membuka lorong-lorong tambah nilai 24 jam sepatutnya dicontohi syarikat konsesi lain sebagai usaha menggalakkan orang ramai menggunakan sistem kutipan tol elektronik.
  4. Istilah "lebuh raya selorong" serta simbol lebuh raya yang salah yang pernah saya tegur sebelum ini tetapi masih belum ada sebarang tindakan oleh pihak SDEB.

Saya berharap agar SDEB dapat bertindak segera bagi menangani teguran-teguran yang saya telah nyatakan tadi. Memandangkan E22 menempatkan salah satu mercu tanda kebanggaan rakyat Johor iaitu Jambatan Sungai Johor, maka SDEB perlu memberikan perkhidmatan terbaik agar setimpal dengan kadar tol yang dikenakan.


Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E22
Panjang: 77 km (laluan utama: 69 km; Hubungan Pasir Gudang: 8 km)
Arah laluan: Timur-barat (Senai-Desaru)
Bilangan lorong: 2 (Cahaya Baru-Penawar); 4 (semua jajaran lain)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: Senai-Desaru Expressway Berhad







Memasuki Jalan Lapangan Terbang Senai FT16 untuk ke E22






Memasuki E22 melalui Exit 2202 Persimpangan Bandar Senai






Plaza Tol Senai






Exit 2204 Persimpangan Ulu Tiram






Berehat seketika di stesen minyak Shell Kawasan Rehat dan Rawat Layang






Melalui kawasan Empangan Layang






Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru






Jambatan Selat Mendana






Pemandangan dari Jambatan Sungai Johor






Plaza Tol Penawar






Lebuh raya tamat di Exit 2212 Persimpangan Penawar

6 comments:

  1. Ada cerita mengatakan Jambatan Sungai Johor itu sangat keras, sehinggakan konsesi tepaksa mendampar sebuah kapal dengan sengaja berhampiran sebagai "pampasan". Kapal tersebut menjadi kediaman baharu "mereka".

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang ada cerita kenapa Jambatan Sungai Johor menjadi "keras". Puncanya ialah disebabkan seorang buruh binaan Indonesia yang mati terjatuh ketika pembinaan jambatan tersebut. Menurut ceritanya, dia mengingkari peraturan keselamatan dengan tidak memakai topi keledar keselamatan ketika di tapak binaan, atas alasan dia sudah berpengalaman. Nasibnya tidak baik dan suatu hari dia terjatuh dalam keadaan tidak memakai topi keledar dan mati serta-merta. Akibat peristiwa tersebut, arahan berhenti kerja dikeluarkan serta-merta selama 2 minggu bagi tujuan penyiasatan oleh CIDB dan NIOSH.

      Delete
  2. Asal highway 1 lane...cam jln kg

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada dua pembetulan di sini. Pertama, istilah "lebuh raya selorong" yang anda gunakan itu salah, kerana ia bermaksud keseluruhan jajaran itu hanya selorong sahaja yang dikongsi oleh kedua-dua arah trafik. Istilah yang sebetulnya ialah "lebuh raya dua lorong" yang bermaksud jumlah lorong trafik ialah 2, iaitu selorong bagi setiap hala.

      Kedua, penentu status "lebuh raya ekspres" tidak terletak kepada berapa banyak lorong yang ada, tetapi darjah kawalan masuk yang dikenakan. Bagi jajaran Cahaya Baru-Bandar Penawar, meskipun ia hanya 2 lorong seperti jalan raya biasa, namun jajaran ini tetap lebuh raya ekspres melalui kawalan masuk penuh yang dikenakan, dibuktikan melalui pemasangan pagar di keseluruhan jajaran serta tiada akses masuk ke mana-mana premis hartanah.

      Delete
  3. Bagi saya lebuhraya senai desaru perlu dinaiktaraf drpd 2 lorong kepada 4 lorong. Sbb kenderaan dah banyak masuk sbb ada projek mega rapid pengerang.

    ReplyDelete