Friday, August 31, 2012

Kembara Tanjung Puteri Part 2: Lebuhraya Skudai FT1 / Skudai Highway FT1

Salam sejahtera,

Pada bahagian pertama Kembara Tanjung Puteri ini, saya ada menulis mengenai reviu rasmi Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur Johor Bahru (JB EDL) E14, yang merupakan pelengkap kepada "pautan putus" antara Lebuhraya Utara-Selatan E2 dengan Tambak Johor. Kali ini, saya ingin menulis mengenai lebuh raya yang banyak berjasa kepada para pemandu dari Johor Bahru dan Singapura sebelum siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E2 iaitu Lebuhraya Skudai FT1, Lebuhraya Asia AH2.

Semasa projek Lebuhraya Utara-Selatan mula dirancang pembinaannya berikutan arahan Jabatan Kerja Raya pada tahun 1977, ia asalnya dirancang untuk dibina dari Bukit Kayu Hitam ke Tambak Johor di Johor Bahru. Beberapa laluan perintis dibina. Jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1 daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada lebuh raya kembar empat lorong dengan kawalan masuk separa. Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pula dibina sebagai laluan perintis bagi jajaran selatan (E2).

Di sebelah Johor Bahru pula, jajaran FT1 dari Tambak Johor sejauh 27.3 km dinaik taraf sebagai lebuh raya kembar dengan kawalan masuk separa. Namun, pembangunan pesat Johor Bahru menjadikan jajaran ini kurang sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang mempunyai kawalan masuk penuh, maka lebuh raya dari Senai ke Johor Bahru ini dijadikan satu laluan berasingan yang dikenali sebagai Lebuhraya Skudai FT1. Selain nama Lebuhraya Skudai, lebuh raya ini turut mempunyai nama-nama lain seperti Lebuhraya Senai (jajaran Senai-Skudai), Jalan Skudai, Jalan Larkin dan Jalan Tun Abdul Razak. Kutipan tol dimulakan pada tahun 1988 di Plaza Tol Senai (arah selatan) dan Plaza Tol Tambak Johor (arah utara). Kini, kutipan tol di Plaza Tol Senai sudah dimansuhkan mulai 1 Mac 2004 manakala Plaza Tol Tambak Johor dipindahkan ke Gerbang Selatan Bersepadu yang mengutip tol bagi kedua-dua arah. Bekas tapak Plaza Tol Senai kini diambil alih sepenuhnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai ibu pejabat wilayah selatan badan tersebut.

Kilometer sifar bagi Jalan Persekutuan 1 sepatutnya terletak di Tambak Johor di Sempadan Malaysia-Singapura, tetapi pemindahan kompleks imigresen lama di Tanjung Puteri ke Gerbang Selatan Bersepadu menjadikan laluan keluar masuk dari Tambak Johor untuk meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Skudai FT1 menjadi bercelaru. Dahulunya, pemandu dari Singapura dilencongkan ke Persiaran Tun Sri Lanang J1 dan hanya perlu membuat pusingan U di situ untuk meneruskan perjalanan, tetapi kali ini laluan menjadi lebih bercelaru - pemandu dari Singapura perlu belok ke kanan di Exit 1401 Persimpangan CIQ ke Jalan Lingkaran Dalam JB FT188, kemudian belok kanan sekali lagi ke Jalan Tanjung Puteri, dan seterusnya menuruni Jejambat Tanjung Puteri ke Persiaran Tun Sri Lanang J1 dan membuat pusingan U seperti biasa. Leceh bukan?

Dalam entri sebelum ini, saya pernah menyatakan lokasi Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru, namun keadaan kurang mengizinkan untuk mengambil gambar, jadi saya teruskan sahaja perjalanan melalui Jalan Wong Ah Fook FT1. Di pusat bandar raya, asalnya jajaran Jalan Tun Abdul Razak di sini asalnya jalan dua hala sebelum dijadikan jalan sehala. Jalan Tun Abdul Razak bermula di tapak kompleks imigresen lama Tanjung Puteri sebagai KM0.7. Kini, Jalan Wong Ah Fook dijadikan pasangan sehala bagi Jalan Tun Abdul Razak. Kedua-dua pasangan sehala ini dicantumkan kembali di Persimpangan Johor Bahru di KM1 yang turut menjadi kilometer sifar bagi Lebuhraya Tebrau FT3.

Tidak jauh dari situ terletaknya Persimpangan JB IRR di Danga City Mall yang dahulunya dikenali sebagai Plaza Best World. Persimpangan JB IRR ini dibuka pada tahun 1998. Tidak jauh dari situ terletak Persimpangan Kebun Teh Lama, yang kini merupakan satu-satunya persimpangan searas berlampu isyarat yang tinggal di Lebuhraya Skudai.

Persimpangan Larkin terletak di KM6 yang merupakan persimpangan bertingkat bunga cengkih terawal di Johor Bahru. Ia menghubungkan Jalan Datin Halimah J3 untuk ke Larkin Sentral dan Jalan Kempas baru J3 dengan Lebuhraya Skudai FT1. Terdapat kelemahan reka bentuk yang ketara bagi persimpangan ini, iaitu tiada jalan susur keluar dari arah Skudai ke Larkin dan dari Larkin ke pusat bandar raya. Akibatnya, pengguna terutamanya pemandu bas yang hendak ke Larkin Sentral terpaksa menggunakan jalan susur bunga cengkih sebanyak tiga kali sebelum ke J3. Keadaan tersebut menjadikan masalah celahan (weaving) yang sering dikaitkan dengan persimpangan bunga cengkih menjadi lebih ketara. Persimpangan bunga cengkih yang lebih baharu menambah lorong pertukaran bagi membolehkan pemandu mencelah untuk keluar masuk persimpangan tanpa mengganggu aliran trafik lorong-lorong utama.

Di Taman Tasek pula, persimpangan lampu isyarat di sini sudah dimansuhkan; pemandu perlu membuat pusingan U untuk keluar masuk.


Pelan asal Persimpangan Teluk Danga (kredit kepada: Super 325)


Perubahan terkini yang dilakukan di Lebuhraya Skudai FT1 ini ialah Persimpangan Teluk Danga. Persimpangan ini asalnya merupakan persimpangan trompet untuk ke jalan pesisir pantai J1. Kini ia dijadikan persimpangan bunga cengkih yang diubah suai berikutan pembinaan Lebuhraya Pantai Iskandar ke Nusajaya. Namun, saya menyelar sekeras-kerasnya rekaan persimpangan tersebut yang saya sifatkan sebagai "rekaan syok sendiri". Kenapa saya nyatakan sedemikian? Kadar aliran trafik Lebuhraya Skudai FT1 adalah tinggi, jadi laluan FT1 mesti dijadikan laluan keutamaan walau apa jua sekalipun. Anda bayangkan, lalu lintas dari arah pusat bandar raya menyempit daripada tiga lorong kepada hanya selorong sahaja sebelum bercantum dengan trafik dari J1 dan Lebuhraya Pantai Iskandar selebar 2 lorong. Saya ingin mempersoalkan, kenapa rekaan sebegini diluluskan? Pernahkan bancian lalu lintas diadakan terlebih dahulu sebelum merekabentuk persimpangan bertingkat tersebut? Siapakah gerangan arkitek yang sebegitu "pintar dan bijaksana" merekabentuk persimpangan tersebut tanpa mengambil kira kadar aliran trafik? Tidak hairanlah apabila Persimpangan Teluk Danga kini menjadi punca utama kesesakan setiap kali waktu sesak.

Sebaik melepasi Persimpangan Teluk Danga di Bandar Baru Uda, had laju Lebuhraya Skudai dinaikkan daripada 70 km/j kepada 80 km/j. Di KM10 pula terletaknya Persimpangan Tampoi yang menghubungkan Jalan Tampoi FT3374, dengan Plaza Angsana sebagai mercu tanda utama.

Lebih kurang 1 km kemudian, saya tiba di satu persimpangan bertingkat yang saya sifatkan paling menarik di sepanjang Lebuhraya Skudai FT1 iaitu Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang. Persimpangan ini asalnya merupakan persimpangan berlian biasa dengan persimpangan lampu isyarat di bahagian Lebuhraya Pasir Gudang FT17. Akibatnya, FT17 sesak teruk. Untuk menanganinya, persimpangan ini diubah suai menjadi persimpangan aliran terus penuh dengan menambah dua jejambat pusingan U, menjadikannya sebagai persimpangan bertingkat pertama seumpamanya di Malaysia.

Semasa lewat petang, Lebuhraya Skudai FT1 ini menjadi sesak dengan kenderaan yang hendak pulang dari pejabat, jadi saya berehat seketika di McDonald's Lebuhraya Skudai FT1 sebelum meneruskan perjalanan.

Sebaik melintasi jambatan Sungai Skudai, saya kini melalui Skudai yang menempatkan Universiti Teknologi Malaysia. Persimpangan Taman Tun Aminah merupakan persimpangan utama di sini, menghubungkan Jalan Gelang Patah J8 dengan FT1. Sebelum terbinanya persimpangan ini, persimpangan lampu isyarat asal di situ sesak teruk.

Di KM19 pula terletak Persimpangan Lebuhraya Pontian FT5, yang merupakan kilometer sifar bagi Jalan Persekutuan 5. Seperti Persimpangan Taman Tun Aminah, persimpangan ini asalnya merupakan persimpangan searas berlampu isyarat yang sering sesak teruk. Persimpangan ini dilebarkan pada tahun 2001 sebelum persimpangan bertingkat dibina, siap pada tahun 2006.

Sebaik melepasi Persimpangan Lebuhraya Pontian, had laju dinaikkan kepada 90 km/j serta melalui kawasan ladang kelapa sawit. Pembahagi lebuh raya menjadi lebar seketika sebelum menjadi rapat kembali berhampiran Taman Teknologi Johor. Lebuhraya Skudai bertemu dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 254 Persimpangan Skudai.

Jajaran Skudai-Senai kini dilebarkan menjadi enam lorong, cuma had laju dari Exit 254 ke pekan Senai sudah diturunkan kepada 70 km/j sahaja. Di pekan Senai, persimpangan lampu isyarat utama sudah dimansuhkan dan pengguna perlu membuat pusingan U untuk keluar masuk. Di situ juga terletak Persimpangan Senai yang menjadi kontroversi kerana sebelum ini sering sesak sejak sekian lama, tetapi pembinaan persimpangan bertingkat bagi menggantikan persimpangan lampu isyarat lama hanya dimulakan pada tahun 2008. Tidak cukup dengan itu, persimpangan yang sepatutnya siap pada tahun 2010 masih tak siap, sebaliknya ia hanya siap dan dibuka kepada umum mulai Mei 2012, lewat 2 tahun daripada jadual asal, satu perkembangan yang sememangannya tidak boleh diterima. Saya juga mendapat tahu bahawa kontraktor yang membina persimpangan ini membiarkan tanah dari lori melekat di jalan tanpa membersihkannya, sekaligus memberi tanggapan buruk terhadap sikap kontraktor tersebut. Kalau tapak projek dibiarkan kotor, maka sudah tentulah ia menggambarkan sikap kontraktor yang pengotor serta tidak bertanggungjawab.

Lebuhraya Skudai tamat di KM27.3 sebelum ia bertukar kepada jalan raya biasa 4 lorong, tetapi saya memilih untuk keluar ke Lebuhraya Linkedua E3 untuk pulang melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sejak Lebuhraya Skudai mula dibuka, sudah banyak perubahan yang dilakukan. Lebuh raya yang asalnya 4 lorong kini menjadi 6 lorong pada kebanyakan jajaran. Asalnya lebuh raya ini ada banyak persimpangan lampu isyarat serta pusingan U, tetapi kebanyakannya telah dimansuhkan dan digantikan dengan persimpangan bertingkat, meninggalkan Persimpangan Jalan Kebun Teh Lama sebagai satu-satunya persimpangan lampu isyarat yang tinggal di Lebuhraya Skudai. Namun, semua perubahan ini dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya dan bukannya Plus Expressways Berhad. Sebab itulah semasa kutipan tol Senai ditamatkan, penyelenggaraan lebuh raya ini turut diambil alih oleh JKR. Sebagai nadi utama Iskandar Malaysia bagi koridor arah barat laut, peranan Lebuhraya Skudai sebagai laluan utama ternyata amat penting dan tidak boleh disangkal sama sekali.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Menuju ke Jalan Wong Ah Fook setelah membuat pusingan U di Persiaran Tun Sri Lanang J1






Persimpangan Johor Bahru






Papan tanda jarak terawal di sepanjang Jalan Persekutuan 1






Menuju Persimpangan JB IRR FT188






Persimpangan Larkin






Masalah mencelah (weaving) di Persimpangan Larkin






Menghampiri Persimpangan Teluk Danga






Persimpangan Tampoi






Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang FT17






Persimpangan Taman Tun Aminah






Persimpangan Lebuhraya Pontian FT5






Exit 254 Persimpangan Skudai






Persimpangan ini asalnya ada lampu isyarat sebelum ia dibuang






Pemandangan dari Jambatan Sungai Johor






Persimpangan Lapangan Terbang Senai






Keluar di Exit 302 Persimpangan Saleng

6 comments:

  1. Rekabentuk lebuhraya arkitek yg buat ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya. Dalam pembinaan jalan raya, JKR atau syarikat konsesi serta kontraktor utama akan melantik arkitek untuk merekabentuk setiap struktur lebuh raya atau jalan raya - jambatan, jejambat, pembetung, terowong, termasuklah jalan itu sendiri. Pelan reka bentuk kemudiannya akan diaudit oleh jurutera bertauliah sebelum boleh diguna pakai.

      Delete
  2. macamana pulak dengan lebuh raya utara selatan jajaran selatan? dan syarikat kontraktor yang menyelenggara lebuh raya ni? ni untuk assignment saya.. mohon bagi penjelasan.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rekaan Lebuhraya Utara-Selatan dilakukan arkitek yang dilantik oleh Plus Expressways Berhad, penyelenggaraan pula dilakukan oleh Propel Berhad.

      Delete
  3. Sy setuju dgn pendpt saudara tntg persimpangan danga bay. Kdg2, sy panggilnya 'persimpangan spageti johor' sbb kecelaruannnya mcm spageti....... Mmg sesak terutamanya waktu puncak.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm... nak kata "persimpangan spageti" tu tak juga, sebab "persimpangan spageti" sebenarnya nama gelaran bagi persimpangan jenis bertenggek (stack interchange) seperti di Persimpangan Gelugor di Jambatan Pulau Pinang. Tambahan pula, persimpangan spageti tidak semestinya bermakna bercelaru, asalkan ia direkabentuk dengan sebegitu bagus. Rekaan bagi Persimpangan Danga Bay itu pula lebih layak disebut sebagai "rekaan syok sendiri" yang gagal secara keseluruhannya. Semasa persimpangan itu asalnya persimpangan trompet, aliran trafik sangat lancar dan kurang sesak disebabkan keterusan (continuity) bagi Jalan Persekutuan 1. Namun, apa yang terjadi hari ini ialah laluan FT1 dari arah pusat bandar raya mencerut daripada 3 lorong kepada selorong sahaja. Sebab itulah saya menghentam pihak yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan sebegini bodoh.

      Delete