Friday, August 17, 2012

Jadual cadangan waktu perjalanan Aidilfitri 2012 / 2012 Eid ul Fitr travel time advisory schedule

Salam sejahtera,

Saya percaya sudah tentu ramai di kalangan pembaca dari Lembah Klang yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk cuti Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Namun, ada juga warga kota yang masih perlu menyelesaikan tugasan pejabat hari ini sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman. Kepada yang masih belum pulang ke kampung, masih tidak terlambat untuk anda merancang waktu yang paling sesuai untuk anda pulang ke kampung.

Pertama sekali, jika anda merancang untuk terus pulang ke kampung halaman sebaik sahaja habis waktu bekerja, saya nasihatkan supaya anda melupakan sahaja hasrat tersebut. Lebih baik anda balik tidur sebentar selama beberapa jam sebelum anda berasa cukup segar untuk memulakan perjalanan. Anda mesti ingat bahawa keletihan adalah salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kemalangan maut setiap kali musim perayaan. Namun jika kampung halaman anda dekat sahaja seperti di Tanjung Malim, Seremban, Kuala Selangor atau Bentong, golongan seperti inilah yang boleh terus pulang selepas waktu pejabat, dengan syarat anda tetap segar dan bersemangat untuk pulang.

Jika kampung halaman anda lebih jauh daripada lokasi-lokasi yang telah saya sebutkan tadi, saya sarankan agar anda ikuti jadual cadangan waktu perjalanan yang telah dikeluarkan oleh PLUS Expressways Berhad dan MTD Prime. Memandangkan Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai "kawasan tengah" Semenanjung Malaysia, petua bagi merancang perjalanan adalah seperti berikut:-


  1. Bagi pemandu yang kampung halamannya paling jauh (seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Alor Setar), waktu paling sesuai untuk memulakan perjalanan adalah dari tengah malam sehingga pukul 10 pagi.
  2. Bagi pemandu yang kampung halamannya sederhana jauh (seperti Kuantan, Ipoh dan Melaka), waktu paling sesuai untuk memulakan perjalanan adalah antara tengah hari sehingga pukul 6 petang.
  3. Bagi pemandu yang kampung halamannya dekat sahaja (seperti Tanjung Malim, Bentong dan Seremban), anda boleh memulakan perjalanan anda selepas jam 6 petang.

Untuk jadual penuh cadangan waktu perjalanan, klik pada jadual di bawah.





Cadangan waktu perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2




Cadangan waktu perjalanan melalui Lebuhraya Karak / Lebuhraya Pantai Timur E8



Sumber: Lembaga Lebuhraya Malaysia

2 comments:

  1. Bagaimana pula dengan jadual perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari arah Pantai Timur? ada sebarang info yang boleh diberi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sila rujuk jadual yang ditampilkan. Jika anda pulang ke KL selain daripada tarikh yang dinyatakan, keadaan lebuh raya dianggap kurang sesak, jadi anda boleh pulang ke KL bila-bila masa saja.

      Delete