Friday, November 23, 2012

Lebuhraya Guthrie E35 / Guthrie Corridor Expressway E35

Salam sejahtera,

Seperti yang kita sedia maklum, Lebuhraya Utara-Selatan dipecahkan kepada dua laluan, iaitu E1 (jajaran utara dari Kuala Lumpur ke Bukit Kayu Hitam termasuklah Lebuhraya Baru Lembah Klang) dan E2 (jajaran selatan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru). Pemisahan kedua-dua laluan tersebut adalah berpunca daripada pembinaan jajaran E2 yang menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban sebagai laluan perintis. Hasilnya, pengguna yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam perlu melalui Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 1 (JLT1 / MRR1) iaitu Jalan Istana dan Lebuhraya Mahameru ke Persimpangan Parlimen sebelum memasuki E1 (melalui NKVE) ke utara di Jalan Duta. Akibatnya, pengguna lebuh raya terpaksa mengharungi kesesakan di ibu kota yang tentunya akan melambatkan perjalanan.

Untuk mengatasi masalah ini, Lebuhraya Elite E6 dibina bagi memintas kesesakan Kuala Lumpur serta menghasilkan hubungan lebuh raya ekspres tanpa henti dari utara ke selatan dan sebaliknya. Ia dibina dengan menghubungkan antara E1 melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Shah Alam dengan E2 di Nilai. Namun demikian, kadar pemilikan kenderaan yang sangat tinggi serta tahap pengangkutan awam yang sangat teruk telah menyumbang kepada kesesakan di sepanjang NKVE setiap hari, yang mana penggunaan harian di situ sahaja adalah sekitar sejuta kenderaan sehari. Sehubungan dengan itu, salu laluan baharu diperlukan bagi memintas kesesakan NKVE. Hasilnya, Lebuhraya Guthrie E35 dibina bagi memenuhi keperluan tersebut.

Cadangan pembinaan Lebuhraya Shah Alam-Rawang ini telah diutarakan dan diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2002. Pembinaan dimulakan pada tahun 2003 dan siap sepenuhnya pada tahun 2005. Memandangkan jajaran di sepanjang lebuh raya ini sebahagian besarnya melalui estet-estet kelapa sawit serta kawasan perumahan yang dimajukan oleh Guthrie Berhad, maka Guthrie Berhad melebarkan sayapnya dengan menceburi bidang pembinaan lebuh raya ekspres pula. Pada tahun 2007, Guthrie Berhad bersama-sama dengan Sime Darby Berhad dan Golden Hope Plantations Berhad digabungkan sebagai satu entiti atas nama Sime Darby Berhad. Ketiga-tiga konglomerat yang bergabung itu asalnya syarikat British sebelum kesemua sahamnya diambil alih secara besar-besaran pada tahun 1981 oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu operasi yang dikenali sebagai Operasi Dawn Raid yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor sekarang) hasil perancangan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Selain menyebabkan maruah negara orang putih yang pernah menjajah Malaysia suatu ketika dahulu jatuh dalam keadaan yang memalukan, Operasi Dawn Raid ini sebenarnya satu kejayaan besar Malaysia dalam menamatkan penjajahan ekonomi negara. Setelah penggabungan Sime Darby Berhad, maka pengurusan Lebuhraya Guthrie E35 mengalami penstrukturan semula serta diletakkan di bawah sayap kumpulan syarikat konsesi lebuh raya milik PNB iaitu Prolintas Holdings.

Saya mengambil kesempatan mencuba lebuh raya E35 sepanjang 25 km ini bermula dari Exit 2506 Persimpangan Kuang di Lebuhraya Latar E25. Sebenarnya, penghujung E35 ini terletak di Exit 115 Persimpangan Rawang Selatan yang menghubungkan E35 dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1. Jajaran E35 sepanjang 2 km dari Exit 115 sehingga Exit 2506 adalah di bawah seliaan Plus Expressways Berhad, manakala selebihnya di bawah seliaan Prolintas Expressway Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Guthrie Corridor Expressway Sdn. Bhd.). Dari Exit 115, pengguna membayar tol tertutup Lebuhraya Utara-Selatan di Plaza Tol Rawang Selatan sebelum melalui Exit 2506 dan seterusnya Plaza Tol Lagong... eh? Baru lepas satu plaza tol kena lalu plaza tol lagi? Ya, Lebuhraya Guthrie E35 ini menggunakan sistem tol terbuka, berbeza dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1 yang menggunakan sistem tol tertutup, menyebabkan pemandu perlu berhenti banyak kali untuk membayar tol. Selain Plaza Tol Lagong, ada dua lagi plaza tol terbuka kendalian Prolintas, iaitu Plaza Tol Elmina (yang turut menempatkan ibu pejabat operasi Prolintas Expressway Sdn. Bhd.) dan Plaza Tol Bukit Jelutong.

Sebanyak tujuh persimpangan bertingkat yang beroperasi serta dua lagi persimpangan bertingkat "tunas" di sepanjang lebuh raya ini. Persimpangan kedua bagi E35 iaitu Exit 2506 Persimpangan Kuang dikira sebagai persimpangan pertama bawah kendalian Prolintas serta turut diwartakan sebagai Exit 3501. Sebaik selepas Plaza Tol Lagong, terdapat satu persimpangan bertingkat "tunas" yang masih tidak digunakan iaitu Persimpangan Lagong, yang akan diwartakan sebagai Exit 3502 setelah ia dibuka kelak. Persimpangan seterusnya, Exit 3503 Persimpangan Paya Jaras dihubungkan dengan Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh FT54 yang asalnya merupakan laluan utama dari Kuala Lumpur ke Bestari Jaya sebelum Lebuhraya Latar E25 dibuka. Sebaik melepasi Plaza Tol Elmina, Exit 3504 Persimpangan Elmina adalah satu lagi persimpangan bertingkat "tunas" yang setakat ini hanya digunakan sebagai pusingan-U dari arah Shah Alam.

Sebaik menghampiri Exit 3505 Persimpangan Bukit Subang, had laju diturunkan kepada 90 km/j. Bermula dari Exit 3505, E35 dibina selari dengan Jalan Subang FT3214 sehingga ke Exit 3506 Persimpangan Bukit Jelutong Utara, di mana E35 bertindih dengan FT3214 sehingga ke kilometer sifarnya di persimpangan lampu isyarat Montfort Boys' Town di Shah Alam, dan E35 berterusan sebagai FT3214. Sebelum Plaza Tol Bukit Jelutong, satu jalan susur keluar ke Jalan Batu Arang B49 telah dibina bagi memenuhi keperluan penduduk dari Puncak Alam, sekaligus membantu mengurangkan kesesakan di Exit 3506. Persimpangan berikutnya, Exit 3507 Persimpangan Bukit Jelutong Sentral merupakan persimpangan utama di Bukit Jelutong dan TTDI Jaya, manakala persimpangan bertingkat terakhir, Exit 3508 Persimpangan Bukit Jelutong-NKVE adalah laluan keluar utama ke Lebuhraya Baru Lembah Klang E1 serta Lebuhraya Elite E6.

Terdapat sepasang hentian rehat di sepanjang E35 iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Elmina. Bagi laluan arah utara, hentian rehat tersebut terletak antara Exit 3504 Persimpangan Elmina dengan Plaza Tol Elmina, manakala bagi laluan arah selatan pula, hentian rehat tersebut terletak antara Exit 3504 dengan Exit 3505 Persimpangan Bukit Subang. Hentian rehat ini boleh dikatakan agak meriah, walaupun tidak semeriah hentian rehat di lebuh raya kendalian Plus Expressways Berhad. Ia dibina betul-betul memenuhi keperluan kadar aliran trafik di situ yang kini semakin bertambah, berbanding pada ketika saya pertama kali melalui lebuh raya ini. Namun, masih ada dua perkara yang saya kurang senangi mengenai hentian rehat ini. Pertama, tiada stesen minyak di hentian rehat tersebut, walaupun pihak Prolintas telah menyediakan satu lot tanah yang cukup besar untuk pembinaan sebuah stesen minyak. Kedua, pokok-pokok di hentian rehat tersebut tidak dicantas sehingga tinggi menjulang. Jika daun-daun pokok yang tinggi berlonggok pada bumbung hentian rehat, ia akan menyebabkan air bertakung di situ serta menyebabkan longkang tersumbat. Selain itu, air bertakung itu juga boleh menggalakkan pembiakan nyamuk, terutamanya nyamuk Aedes. Pokok yang terlalu tinggi serta terlalu hampir dengan bangunan hentian rehat boleh tumbang dan merosakkan bumbung hentian rehat tersebut semasa angin ribut kencang.

Lebuhraya Guthrie E35 merupakan salah satu lebuh raya yang menyediakan lorong motosikal selain Lebuhraya Persekutuan FT2 dan Lebuhraya Shah Alam E5, dan E35 juga mempunyai had laju tertinggi berbanding lebuh raya lain yang menyediakan lorong motosikal iaitu 110 km/j (kecuali jajaran Bukit Subang-Shah Alam yang mempunyai had laju 90 km/j). Secara jujur saya katakan bahawa saya sangat tidak bersetuju dengan pembinaan lorong motosikal berasingan terutamanya di E35 yang mempunyai had laju yang tinggi. Kenapa saya menentang? Berikut adalah sebab-sebab saya menentang pembinaan lorong motosikal di GCE:-
  1. Aspek kejuruteraan dan keselamatan - Sementara laluan utama E35 dibina dengan had laju reka bentuk 120 km/j dengan lebar lorong sekitar 3.65 m, lorong motosikal pula dibina dengan had laju reka bentuk hanya 60 km/j sahaja dengan lebar lorong antara 2.0-3.0 m. Dengan kata lain, piawaian lorong motosikal sebenarnya hanya sesuai bagi kegunaan penunggang basikal yang biasanya menunggang pada kelajuan sekitar 20-40 km/j. Kebanyakan motosikal kapcai moden berupaya mencapai had laju lebuh raya ekspres 110 km/j, maka sudah tentulah kebanyakan penunggang motosikal kapcai tidak akan menunggang pada kelajuan 60 km/j di lebuh raya yang had lajunya 110 km/j. Had laju yang terlalu perlahan ini sudah tentunya akan mengakibatkan penunggang motosikal menjadi mudah mengantuk serta hilang tumpuan akibat hipnosis lebuh raya yang berpunca daripada pemandangan yang lebih kurang sama sahaja di sepanjang lebuh raya. Keadaan bertambah teruk di persimpangan bertingkat kerana banyak selekoh tajam dan berbahaya sepanjang melalui persimpangan tersebut. Lebar lorong yang sempit juga menyukarkan penunggang untuk memotong motosikal yang lebih perlahan serta tidak sesuai digunakan oleh motosikal yang lebih besar.
  2. Isu penyelenggaraan - Sebagaimana di lebuh raya lain yang dilengkapi lorong motosikal, lorong motosikal sering tidak diselenggara dan sering dibiarkan berlopak, berpasir, berlubang dan banjir. Selain itu, keadaan lorong motosikal yang gelap juga sangat berbahaya kerana ia berpotensi menjadi sarang perompak merompak penunggang motosikal. Ia diburukkan lagi dengan keadaan lorong yang terasing sepenuhnya daripada laluan utama, menyebabkan mangsa tidak dapat melarikan diri. Sementara itu, rumput yang tidak dipotong juga boleh mengundang kehadiran haiwan liar dan berbisa seperti ular yang tentunya mengancam nyawa penunggang motosikal.
  3. Isu jenayah - Keadaan lorong motosikal yang gelap serta terasing daripada laluan utama menyebabkan lorong motosikal sering dijadikan tempat bagi perompak merompak penunggang motosikal. Selain itu, terdapat sindiket menabur paku atau kaca bagi memancitkan tayar penunggang motosikal dan seterusnya ahli sindiket tiba-tiba muncul sebagai "mekanik jalanan yang baik hati" yang mengambil kesempatan mengenakan caj menukar tiub tayar yang amat melampau, meskipun harga bagi satu tiub tayar motosikal sebenarnya paling mahal pun hanya sekitar belasan ringgit sahaja.
Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa seperti polis tidak wajar memaksa penunggang motosikal menggunakan lorong motosikal. Sebaliknya, syarikat konsesi serta polis sepatutnya meyakinkan para penunggang motosikal supaya menggunakan lorong motosikal dengan sentiasa menyelenggara lorong motosikal, memasang lampu-lampu jalan di sepanjang lorong motosikal, menambah ciri-ciri keselamatan di lorong motosikal (seperti pemasangan CCTV, cermin cembung, serta gars-garis gegaran dan bonggol di kawasan selekoh tajam), serta rondaan yang kerap oleh pihak polis. Saya juga mencadangkan agar pintu pagar kecemasan ditempatkan setiap jarak tertentu untuk membolehkan penunggang motosikal keluar ke laluan utama sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti pembinaan Lebuhraya Guthrie E35 ini, walaupun kurang berpuas hati dengan pembinaan lorong motosikal serta ketiadaan stesen minyak di hentian rehat. Selain berupaya menjalankan fungsinya sebagai jalan pintasan bagi Lebuhraya Baru Lembah Klang E1 yang sering sesak teruk, Lebuhraya Guthrie E35 juga merupakan salah satu komponen penting dalam projek Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur.

Entri seterusnya pula ialah mengenai Lebuhraya Baru Lembah Klang E1 yang sering dijadikan sebahagian laluan tanpa henti bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E35
Panjang: 25 km
Arah laluan: Utara-selatan (Rawang-Shah Alam)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.prolintas.com.my/our-highway/gce







Memasuki Lebuhraya Guthrie E35 melalui Exit 2506 Persimpangan Kuang






Plaza Tol Lagong






Lebuh raya E35 dibina dengan had laju rekabentuk 120 km/j tetapi lorong motosikalnya pula mempunyai had laju rekabentuk 60 km/j sahaja






Exit 3503 Persimpangan Paya Jaras






Plaza Tol Elmina






Persimpangan bertingkat "tunas", Exit 3504 Persimpangan Elmina yang digunakan sebagai pusingan-U untuk kembali ke Shah Alam dari arah selatan






Makan tengah hari sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Elmina






Kawasan Rehat dan Rawat Elmina






Exit 3505 Persimpangan Bukit Subang






Susur keluar ke Jalan Batu Arang B49 dari arah Shah Alam






Plaza Tol Bukit Jelutong






Exit 3507 Persimpangan Bukit Jelutong Sentral






Keluar ke NKVE E1 melalui Exit 3508 Persimpangan Bukit Jelutong-NKVE

6 comments:

  1. nak tanya..so kalau dari exit rawang selatan sampai ke perimpangan bukit jelutong ada berapa tol...unutk class 1 kena berapa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Plaza tol pertama ialah Plaza Tol Rawang Selatan di bawah Plus Expressways, bayar tol ikut jarak (tol tertutup). Seterusnya ada tiga plaza tol kendalian Prolintas, kadar tol bagi Kelas 1 ialah RM1.40 setiap plaza tol.

      Delete
  2. bro..blog bro nie sangat bagus n banyak input..makin bertambah2 ilmu pasal jalan n keselamatan jln raya nie..kalau promote lebih lagi mungkin akan mendapat manfaat kepada orng lain gak..thanks..

    ReplyDelete
  3. Klau sy drp Ipoh..nk guna Highwy gutrie.utk ke Seremban.perlu exit tol mn ye? dan klau guna Guthrie Highway nk exit tolmn ye kla nk ke Ipoh ?..tq

    ReplyDelete