Tuesday, November 13, 2012

Istana Kaca / Castle of Glass


Salam sejahtera,

Bayangkan situasi seperti begini - anda sedang asyik memandu di sebatang jalan raya yang lengang dalam cuaca yang baik. Angin tak ada, ribut pun tak ada. Tiada kereta, tiada lori batu, tiada kenderaan langsung. Tiada kelibat manusia langsung di sepanjang jalan, apatah lagi budak-budak jahat yang suka membaling batu. Namun, tanpa disangka-sangka, tiba-tiba anda terdengar bunyi seakan-akan tayar lori meletup dengan kuat, dan cermin hadapan kereta tiba-tiba retak seribu. Jika nasib anda tidak baik, cermin hadapan yang retak seribu itu terus berderai sehingga ia berlubang besar. Senario sebegitulah yang menimpa saya semalam di Jalan Persekutuan 1 sebaik melepasi simpang Hutan Percha M131 lebih kurang 12 km dari Tampin, Negeri Sembilan, semasa saya hendak ke Kompleks Operasi KLSEB di Lebuhraya Latar E25 untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan menulis esei sempena Hari Kebangsaan 2012.

Cermin hadapan kereta yang pecah secara tiba-tiba sudah tentunya boleh menjadi satu misteri yang mendatangkan kemusykilkan kepada mangsa yang tidak pernah mengalami keadaan sebegini. Apa tidaknya, memandangkan langsung tidak kelihatan sebarang punca yang sering dipersalahkan seperti batu-batu yang jatuh daripada lori batu, hujan air batu, mahupun budak-budak jahat yang melontar batu. Kata orang, jika tiada angin ataupun monyet, masakan pokok bergoyang. Namun begitu, bagaimana pula dengan kes cermin hadapan kereta yang pecah secara tiba-tiba walaupun tiada lori batu ataupun budak nakal yang melontar batu?

Pengetahuan mengenai fenomena cermin hadapan yang pecah secara tiba-tiba ini amat penting, memandangkan kos untuk menggantikan cermin yang pecah itu adalah mahal (sekitar RM400), lebih mahal daripada menggantikan kesemua set panel badan plastik motosikal. Untuk pengetahuan semua, fenomena cermin hadapan kereta yang pecah secara tiba-tiba ini sebenarnya boleh diterangkan melalui hukum fizik. Selain perlu menahan tekanan udara yang menerjah ketika meluncur laju di atas jalan raya serta terdedah kepada risiko pecah akibat layangan batu-batu, butir-butir hujan batu atau puing-puing di udara, cermin hadapan kereta sebenarnya terdedah kepada perbezaan suhu antara luar dan dalam kereta, yang ada kalanya boleh jadi sangat ekstrim dalam konteks iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun. Apa tidaknya, rata-rata di kalangan kita sering menghidupkan penyaman udara pada takat maksimum (full blast) semasa hari panas terik. Akibatnya, bahagian luar dan dalam cermin hadapan kereta mengalami kejutan haba akibat perbezaan haba yang ekstrim. Jika keadaan ini berlaku pada logam, logam tersebut boleh mengembang bagi mengimbangi perbezaan haba ini. Namun, jika keadaan tersebut berlaku pada kaca, kaca tidak boleh mengembang sebagaimana logam. Akibatnya, struktur binaan kaca tersebut boleh menjadi lemah secara beransur-ansur sebelum ia tiba-tiba pecah dengan sendirinya.

Binaan kaca automotif berbeza daripada kaca yang biasa digunakan untuk membuat pinggan mangkuk, gelas dan tingkap rumah; sementara kaca biasa membentuk bucu-bucu tajam yang melukakan  apabila pecah, kaca automotif pula membentuk butiran-butiran kecil seakan berbiji-biji semasa pecah. Itulah sebabnya kaca automotif juga digelar sebagai "kaca plastik". Sungguhpun demikian, butiran kaca automotif sebenarnya boleh melukakan dan berupaya memancitkan tayar jika tidak dibersihkan. Kaca automotif yang digunakan untuk membuat cermin hadapan, belakang serta tingkap kereta selalunya dikeluarkan dalam 2 jenis utama, iaitu selapis ataupun berlamina (dwilapis). Sebelum ini, cermin kaca jenis selapis sering digunakan, tetapi cermin jenis ini lebih mudah gagal akibat perbezaan suhu ekstrim antara luar dan dalam kereta, dan jika ia gagal, cermin tersebut akan pecah berderai dan boleh melukakan pemandu serta penumpang hadapan. Atas tujuan keselamatan, pengeluar automotif kini hanya menggunakan kaca jenis berlamina kerana ia lebih selamat. Sekiranya satu lapisan kaca gagal, ia tidak akan terus pecah berderai kerana kedua-dua lapisan kaca digamkan dengan menggunakan pelekat khas.

Apa yang patut anda lakukan sekiranya cermin hadapan tiba-tiba pecah, atau sekurang-kurangnya retak seribu? Pertama sekali, jangan panik. Perlahankan kenderaan dan berhenti di tepi jalan dengan selamat. Bentangkan kertas surat khabar di sepanjang papan pemuka serta pada karpet kereta bagi menadah butiran kaca yang jatuh. Setelah tiada lagi butiran kaca yang jatuh, kumpulkan dan buang kertas surat khabar berisi butiran kaca jauh daripada jangkauan manusia (paling baik, cuba cari tong sampah atau tong kitar semula jika ada). Bagi kes cermin berlamina yang hanya sekadar retak seribu, anda perlu membuat satu lubang yang cukup besar di bahagian pemandu untuk membolehkan anda melihat jalan di hadapan. Hidupkan lampu kecemasan (hazard light), pandu dengan perlahan (tidak lebih 40 km/j), cari bengkel cermin kereta dan tukar cermin hadapan dengan segera.

Untuk bacaan lanjut, anda boleh baca rencana berkaitan di BH Auto dan Virtualfriends.net.

No comments:

Post a Comment

Advertisement