Saturday, November 3, 2012

Bing Maps vs Google Maps

Salam sejahtera,

Saya percaya tentunya ramai di kalangan warga siber seperti anda yang menggunakan sama ada Google Maps ataupun Bing Maps bagi merancang perjalanan mahupun mencari alamat premis perniagaan atau kediaman, bukan? Jadi anda tentunya tertanya-tanya yang mana satukah perkhidmatan peta dalam talian yang lebih bagus. Entri kali ini membandingkan secara ringkas antara kedua-dua perkhidmatan pemetaan dalam talian yang popular ini.





Google Maps


Buat masa ini, tiada siapa yang dapat menafikan status Google Maps sebagai perkhidmatan pemetaan dalam talian paling popular. Google Maps mula dibangunkan pada tahun 2005 sebagai Google Local sebelum ia dijenamakan semula sebagai Google Maps. Pembangunan Google Maps ini berjalan selari dengan perisian maklumat geografi Google Earth yang sebelum ini dikenali sebagai Keyhole Earthviewer. Bezanya, Keyhole Earthviewer sebenarnya sudah mula dibangunkan seawal tahun 2001 sebelum ia diambil alih oleh Google pada tahun 2005. Setelah penjemaan semula Keyhole Earthviewer pada tahun 2005 sebagai Google Earth, Google Earth berkongsi maklumat pemetaan yang sama seperti Google Maps.





Bing Maps melalui aplikasi Maps pada Windows 8


Sementara itu, Bing Maps berevolusi daripada MSN Virtual Earth dan MSN Maps. Asalnya, MSN Maps menggunakan peta yang sama seperti Microsoft Encarta dan kedua-duanya berasaskan peta daripada Microsoft MapPoint. Namun, kelemahan utama peta pada Microsoft MapPoint ini ialah peta tersebut tidak begitu tepat dan peta yang digunakan juga sudah lapuk. Namun, setelah Microsoft membangunkan Bing Maps ini, Microsoft menggunakan peta yang dibekalkan oleh Nokia. Hasilnya, peta yang digunakan kali ini jauh lebih tepat daripada sebelumnya, walaupun masih terdapat sedikit kesalahan kod laluan yang saya dapat kesan, terutamanya bagi peta Sabah dan Sarawak. Sekarang, Facebook turut menggunakan Bing Maps bagi tujuan penandaan lokasi. Bagi pengguna Windows 8, anda boleh menggunakan Bing Maps melalui aplikasi Maps secara terus dari skrin Start.

Jadi peta dalam talian yang manakah sebenarnya yang lebih baik? Sepanjang menggunakan kedua-dua peta ini, saya dapati peta Google Maps sangat tepat dengan bilangan kesalahan kod laluan yang kurang berbanding Bing Maps. Namun demikian, saya dapati penandaan laluan Google Maps bagi peta Sabah dan Sarawak pula sangat kurang tepat berbanding Bing Maps. Apa pun, kedua-dua perkhidmatan pemetaan ini berkongsi dua kelemahan yang sama - kesalahan kod laluan bagi jalan-jalan di Sabah, serta keperluan penggunaan talian internet yang berterusan, yang tentunya bakal memberi masalah kepada pengguna "internet yang dicatu", terutamanya perkhidmatan internet jalur lebar mudah alih seperti Maxis. Oleh itu, ada dua alternatif lain yang saya boleh cadangkan kepada sesiapa yang terlalu berkira untuk melabur bagi menggunakan internet - pertama, anda boleh beli sahaja peta-peta fizikal terutamanya keluaran World Express Mapping Sdn. Bhd.; dan kedua, anda boleh muat turun perisian Garmin MapSource serta peta Malaysia yang dibangunkan oleh Malfreemaps. Bagaimana hendak membaca peta menggunakan perisian Garmin MapSource? Nantikan cara-caranya dalam entri akan datang!

5 comments:

  1. kalau wikimapia pulak?...saya suka gak bukak wikimapia ni...add new location

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wikimapia sangat tak boleh diharap kerana ia bergantung sepenuhnya kepada data-data yang disumbangkan oleh pengguna secara sebarangan tak kira ia tepat atau tidak. Wikimapia yang asal masih boleh diharap kerana berpandukan Google Maps sebelum menggunakan peta rekaan pengguna.

      Delete
  2. Google Maps up to date. Sy pakai Nokia Maps tp tak update. Ada jalan2 bru dibina yg tiada dlm Nokia Maps tp ada di Google Maps.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar. Antara Nokia / Bing Maps dengan Google Maps, Google Maps lebih kerap dikemaskini.

      Delete
    2. Mgkn sy pnya phone Nokia Symbian yg Nokia tak lg pedulikan sbb Nokia dh 'buang' Symbian dr syktnya. Dan Nokia lbh beri kemaskini aplikasi ini pd platform barunya, iaitu Windows Phone. Mgkn itu sbbnya Nokia Maps pada phone sy tak diberi kemaskini.

      Delete