Friday, November 23, 2012

Reviu eksklusif NKVE E1 / NKVE E1 exclusive review

Salam sejahtera,

Dalam entri yang lalu, saya telah membuat reviu mengenai Lebuhraya Guthrie E35 yang dibina sebagai laluan baharu untuk memintas kesesakan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1. Reviu kali ini pula ialah mengenai lebuh raya NKVE itu sendiri.

Lebuhraya Baru Lembah Klang E1, Lebuhraya Asia AH2 (Shah Alam-Bukit Lanjan) dan AH141 (Bukit Lanjan-Jalan Duta), mula dibina pada tahun 1988 sebagai alternatif kepada Lebuhraya Persekutuan FT2 yang semakin menghampiri kapasiti kemuncaknya. Lebuh raya sepanjang 34.8 km tersebut menghubungkan antara Bukit Raja di Klang ke Jalan Duta di Kuala Lumpur. Ia adalah laluan lebuh raya pertama yang dibina selari dengan Lebuhraya Persekutuan FT2; laluan seterusnya yang menyusul ialah Lebuhraya Shah Alam E5, Lebuhraya Baru Pantai E10, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 dan Lebuhraya Latar E25. NKVE ini dibuka secara dua fasa; fasa pertama dari Exit 101 Persimpangan Bukit Raja ke Exit 106 Persimpangan Damansara dibuka pada 7 Disember 1990 manakala baki jajaran NKVE E1 dibuka setahun kemudian berikutan kerja-kerja penarahan dan pengukuhan bukit-bukit tinggi yang dilalui jajaran tersebut. NKVE E1 dihubungkan dengan kilometer terakhir (KM 460) laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Exit 108 Bukit Lanjan. Kini dianggarkan lebih kurang sejuta kenderaan yang menggunakan NKVE setiap hari, menyebabkan ia semakin sesak. Oleh itu, lebuh raya yang asalnya enam lorong itu kini sedang dinaik taraf kepada lapan lorong di jajaran Shah Alam-Bukit Lanjan. Kilometer sifarnya ditempatkan di Plaza Tol Bukit Raja manakala kilometer terakhirnya (KM34.8) terletak di Exit 111 Persimpangan Jalan Duta.

NKVE E1 merupakan salah satu lebuh raya ekspres yang menggunakan turapan konkrit sepanjang hampir keseluruhan laluannya; lebuh raya lain yang menggunakan turapan konkrit ialah Lebuhraya Utara Selatan E1 (jajaran Slim River-Tapah dan Gurun) dan E2 (jajaran Ayer Keroh-Tangkak). Turapan konkrit ini mempunyai tiga kelebihan utama iaitu memerlukan kurang penyelenggaraan, tahan lama serta mampu menampung kadar aliran trafik harian (ADT) tinggi secara berterusan. Sementara kebanyakan lebuh raya lain yang menggunakan turapan tar biasa perlu diturap semula setiap lebih kurang 5 tahun, lebuh raya konkrit pula tidak memerlukan turapan semula, kecuali apabila terdapat kerosakan yang teruk pada lebuh raya tersebut. Seperti lebuh raya kendalian Plus Expressways yang lain, saya amat memuji mutu kejuruteraan NKVE yang saya sifatkan sebagai tertinggi berbanding lebuh raya ekspres yang lain.

NKVE E1 juga dikenali sebagai antara beberapa lebuh raya ekspres di Lembah Klang yang dikenakan had laju maksimum 110 km/j, berbanding kebanyakan lebuh raya ekspres lain di sana yang hanya dikenakan had laju sekitar 80-90 km/j. Mengapa boleh jadi sebegitu? Rahsia utama kenapa NKVE E1 boleh dikenakan had laju yang tinggi ini ialah kawalan masuknya yang sangat cekap. Ia dicapai melalui bilangan persimpangan yang sangat minima. Asalnya, NKVE mempunyai hanya lima persimpangan bertingkat iaitu Exit 101 Persimpangan Bukit Raja, Exit 104 Persimpangan Subang, Exit 106 Persimpangan Damansara, Exit 108 Persimpangan Bukit Lanjan dan Exit 111 Persimpangan Jalan Duta. Pada tahun 1998, Exit 103 Persimpangan Shah Alam dibuka bagi menghubungkan Shah Alam dan Lebuhraya Elite E6 dengan NKVE E1. Pembukaan dua kawasan perumahan baru menambah dua lagi persimpangan bertingkat di Exit 102 Persimpangan Setia Alam dan Exit 107 Persimpangan Kota Damansara. Dua lagi persimpangan bertingkat disumbangkan melalui pembinaan Lebuhraya Duke E33 dan Lebuhraya Sprint E23. Sementara itu, had laju bagi jajaran Bukit Lanjan-Jalan Duta kini diturunkan kepada 90 km/j berikutan naik turun bukit curam di jajaran tersebut. Tiada hentian rehat rasmi di sepanjang NKVE, tetapi masih terdapat beberapa buah stesen minyak di sepanjang laluan.

Sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Jalan Duta, asalnya terdapat satu selekoh yang sangat tajam dan hanya selamat dipandu pada kelajuan 60 km/j, tetapi selekoh tersebut kini telah digantikan dengan Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta-Duke yang mana anda akan dilencongkan ke Lebuhraya Duke E33; jika anda hendak keluar ke Jalan Duta, anda perlu melalui persimpangan Exit 3301 tersebut,

Setakat ini sahaja reviu mengenai NKVE E1 ini. Insya-Allah jika berkesempatan saya akan cuba membuat reviu penuh dua komponen utama Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 pula.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E1
Panjang: 34.8 km
Arah laluan: Barat-timur (Bukit Raja-Jalan Duta, Kuala Lumpur)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini







Memasuki NKVE E1 dari Lebuhraya Guthrie E33 di Exit 103 Persimpangan Shah Alam






Exit 104 Persimpangan Subang






Bangunan Persada Plus yang terletak di Exit 104 Persimpangan Subang merupakan ibu pejabat utama bagi keseluruhan kumpulan lebuh raya Plus Expressways Berhad






Exit 106 Persimpangan Damansara






Exit 108 Persimpangan Bukit Lanjan






Laluan berpecah dua di Bukit Lanjan - ke Kuala Lumpur melalui NKVE E1 ataupun ke utara melalui laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan E1






Tarahan bukit ala-Grand Canyon semasa menghampiri Plaza Tol Jalan Duta






Plaza Tol Jalan Duta

4 comments:

  1. saya dah semakin mahir gunakan NKVE ni ke DUKE...baru 2 atau 3 kali gunakanny dari Subang ke Setiawangsa...

    ReplyDelete
  2. Some notes: 1) Pada tahun 2003, ade tanah runtuh kat Persimpangan Bukit Lanjan. 2) Kalau lebuhraya tu guna "Closed Tolled System", setiap exit/persimpangan mesti kene ade tol. Takkanla kalau ade simpang kecil/LILO (Left in/Left out) nk pergi ke rumah orang pun kene ade tol kot.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salah satu kelemahan sistem tol tertutup ialah melibatkan kos yang tinggi untuk membina plaza tol kerana syarikat konsesi kena bina plaza tol bukan sahaja di pangkal dan penghujung lebuh raya, tetapi pada setiap persimpangan bertingkat di sepanjang laluan. Namun, saya lebih gemar sistem tertutup daripada sistem terbuka kerana ia lebih adil kepada pengguna lebuh raya - pengguna hanya membayar ikut jarak, bukannya terpaksa membayar kadar penuh walaupun sekadar hendak ke taman perumahan bersebelahan.

      Mengenai simpang kecil / LILO, saya sudah banyak kali tegaskan, persimpangan sebegitu TIDAK SEPATUTNYA WUJUD pada mana-mana lebuh raya ekspres, kerana ia menyalahi etika kejuruteraan jalan raya serta mencabuli hirarki jalan raya dari segi penyambungan. Lebuh raya ekspres TIDAK BOLEH dihubungkan secara terus ke mana-mana premis hartanah sama sekali, tetapi ia hanya boleh dihubungkan ke jalan raya arteri (termasuk jalan persekutuan atau negeri) melalui persimpangan bertingkat yang diwartakan dan dihadkan bilangannya. Mana-mana "lebuh raya" yang disambungkan secara terus ke mana-mana bangunan tidak layak dipanggil sebagai lebuh raya ekspres sama sekali.

      Delete
  3. Jajaran Bukit Lanjan-Jalan Duta saya sifatkan sebagai Gateway ke Kuala Lumpur dari arah utara. Dari gambar lama, betul-betul menjengah dari ufuk jalan naik turun bukit ini adalah tidak lain tidak bukan menara berkembar KLCC! Sayangnya kini kawasan Mont Kiara dipenuhi apartmen yang tumbuh berselerak, dan menghalang pandangan terus ke menara KLCC.

    ReplyDelete