Salam sejahtera,
Tema Blog Jalan Raya kali ini ialah "Shah Alam Bandaraya Anggerik", maka kali ini saya akan mengadakan satu reviu lebuh raya dan memperkenalkan sistem kod jalan perbandaran Shah Alam, yang merupakan satu-satunya bandar raya yang mempunyai kod jalan raya perbandaran sendiri setakat ini. Lebuh raya yang saya pilih dalam reviu kali ini ialah Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) E13.
Sejarah lebuh raya E13 ini berkaitan dengan sejarah perkembangan bandar raya Shah Alam itu sendiri. Sebelum ini, satu-satunya jalan raya utama untuk ke bahagian selatan Shah Alam iaitu Hicom dan Alam Megah ialah melalui Persiaran Tengku Ampuan / Persiaran Kuala Selangor FT3214. Jalan itu juga dihubungkan dengan satu-satunya persimpangan bertingkat dari Shah Alam untuk ke Lebuhraya Shah Alam E5 di Exit 507 Persimpangan Hicom. Sementara itu, kawasan Kota Kemuning pula memang dihubungkan ke Lebuhraya Shah Alam E5 di Exit 506 Persimpangan Kota Kemuning. Maka, warga Shah Alam yang hendak ke Kota Kemuning dan sebaliknya sudah tentunya akan cenderung melalui Persiaran Tengku Ampuan FT3214 dan seterusnya Lebuhraya Shah Alam E5, menjadikan FT3214 bertambah sesak. Oh ya, sebenarnya memang ada jalan menyeberangi Sungai Klang ke Taman Sri Muda dan seterusnya Kota Kemuning, tetapi laluan yang ada itu agak mengelirukan bagi orang luar kerana banyak melalui jalan perumahan. Oleh itu, LKSA E13 menyediakan satu laluan terus dari Kota Kemuning dan Lebuhraya Shah Alam E5 ke pusat bandar raya Shah Alam. Pembinaan dimulakan pada tahun 2007 dan siap pada tahun 2010. LKSA E13 adalah satu lagi lebuh raya di bawah kendalian Prolintas selain Lebuhraya Bertingkat Kuala Lumpur-Ampang (AKLEH) E12 dan Lebuhraya Guthrie E35.
Saya memulakan perjalanan mencuba lebuh raya E13 ini dari Kota Kemuning. Persimpangan pertama yang saya lalui ialah Exit 1301 Persimpangan Kota Kemuning, juga ditandakan sebagai Exit 506 di Lebuhraya Shah Alam E5. Persimpangan ini asalnya persimpangan trompet untuk ke Kota Kemuning, tetapi kali ini ia diubahsuai menjadi persimpangan bunga cengkih. Persimpangan seterusnya ialah Persimpangan Jalan Bukit Kemuning, satu persimpangan separa untuk ke Jalan Bukit Kemuning FT190, boleh dicapai dari arah Shah Alam dan untuk ke Shah Alam sahaja.
Seterusnya, saya tiba di Plaza Tol Sri Muda, yang juga menempatkan Exit 1303 Persimpangan Alam Impian. Laluan dari Kota Kemuning ke Alam Impian memintas plaza tol ini, tetapi masih perlu membayar tol di Plaza Tol Alam Impian. Lorong motosikal juga dilencongkan jauh dan hanya bertemu semula dengan laluan utama di Exit 1303. Selain itu, ada hentian sebelah bagi pengguna E13 yang hendak ke Alam Impian dari Kota Kemuning.
Kemudian, E13 melintasi Sungai Rasau dan Sungai Klang sebelum turun semula ke Exit 1304 Persimpangan Bulatan Jubli Perak untuk ke Seksyen 17 hingga 24 Shah Alam. Tapak Uptown Shah Alam juga terletak berhampiran jambatan Sungai Klang.
Satu perkara yang saya kurang senangi dengan E13 ialah ia masih dibina dengan cara yang sama seperti membina Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang penuh kontroversi iaitu mengambil jalan perbandaran sedia ada sebagai laluan lebuh raya. Namun, mujurlah bilangan simpang jalan kecil sedia ada cuma ada dua sahaja bagi setiap hala. Pun begitu, saya masih merasakan jajaran dari Exit 1304 sehingga penghujung lebuh raya lebih kepada jalan raya arteri daripada lebuh raya ekspres. Apa pun, sekurang-kurangnya kadar aliran trafik sepanjang E13 ini sangat lancar tanpa sebarang lengahan.
Dua persimpangan terakhir di LKSA E13 ini ialah Exit 1505 Persimpangan Bulatan Selangor dan Exit 1506 Persimpangan Lebuhraya Persekutuan 2 yang terletak sebelah-menyebelah sebelum lebuh raya tamat sebagai Persiaran Sultan BSA1, salah satu jalan perbandaran Shah Alam yang diberi kod laluan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan JKR Shah Alam. Perubahan yang dilakukan pada kedua-dua persimpangan ini ialah jejambat dibina merentasi Bulatan Selangor (sama seperti di Bulatan Jubli Perak), serta lorong pemindah berasingan di Exit 1306 bagi mengurangkan masalah mencelah atau jalinan (weaving) yang sering dikaitkan dengan persimpangan bertingkat jenis bunga cengkih.
Ikuti bahagian kedua bagi siri Shah Alam Bandaraya Anggerik iaitu pengenalan sistem kod jalan raya perbandaran Shah Alam.
Untuk galeri penuh, sila klik sini.
Maklumat lebuh raya
Kod laluan: E13
Panjang: 14.7 km
Arah laluan: Utara-selatan (Shah Alam-Kota Kemuning)
Bilangan lorong:4-6
Senarai persimpangan: Klik sini
Permulaan LKSA E13 di Exit 1301 Persimpangan Kota Kemuning
Plaza Tol Sri Muda
Hentian sebelah turut dibina di plaza tol ini
Exit 1303 Persimpangan Alam Impian
Exit 1304 Persimpangan Bulatan Jubli Perak
Tapak Uptown Shah Alam
Exit 1305 Persimpangan Bulatan Selangor
Simpang-simpang jalan kecil sebeginilah yang boleh menjejaskan kawalan masuk lebuh raya ekspres. Mujurlah hanya ada 2 sahaja bagi setiap hala
You put effort to make a blog and no one comment here, pretty sad. I want you make a new blog :(
ReplyDelete