Salam sejahtera,
Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Keadaan cuaca yang kurang baik menghalang saya daripada menghasilkan sebarang reviu jalan raya buat masa ini. Insya-Allah saya akan kembali menghasilkan reviu jalan raya dengan segera sebaik keadaan cuaca mengizinkan.
Pilihan raya sudah semakin dekat. Pakatan Rakyat lebih awal memalu gendang perang mereka, dengan mengumumkan manifesto yang mereka gelar sebagai "Pakatan Harapan Rakyat", diisi dengan 81 janji-janji sekiranya mereka merampas takhta kerajaan persekutuan yang selama ini dipegang oleh Barisan Nasional. Jangan salah sangka pula; saya sedikit pun tidak mahu bercakap mengenai soal politik di dalam blog ini, kerana blog ini ialah Blog Jalan Raya Malaysia dan bukannya Blog Pilihan Raya Malaysia. Sama ada dasar oleh Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, soal politik perlu diketepikan, sebaliknya dasar-dasar tersebut perlu dibincangkan dalam konteks sebagai pengkritik jalan raya negara.
Salah satu janji yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto kali ini ialah pemansuhan tol lebuh raya ekspres, satu isu yang sering dipolitikkan sejak dulu lagi. Kenapa isu tol lebuh raya sering dipolitikkan? Ada dua sebab - pertama, kerana sesetengah lebuh raya dibina tidak mengikut piawaian lebuh raya ekspres sebaliknya sekadar mengambil beberapa jalan raya arteri tempatan dan melabelkannya sebagai "lebuh raya ekspres", yang mana saya telah bincangkan sebelum ini. Sebab kedua yang menjadi topik utama entri ini ialah tanggapan kononnya lebuh raya ekspres dibina menggunakan wang rakyat hasil cukai jalan.
Saya ingin memetik entri serupa dari sebuah blog anti-parti pemerintah, yang mana tanggapannya adalah salah sama sekali. Penulis blog berkenaan mendakwa kononnya lebuh raya ekspres "dibina secara berhutang dengan syarikat konsesi lebuh raya ekspres selaku pembina, yang mana tol yang dikenakan bagi membayar hutang kerajaan kepada syarikat konsesi". Saya ingin maklumkan di sini bahawa dakwaan tersebut adalah salah dan tidak berasas. Apa pula buktinya? Dalil terbaik bagi menyanggah dakwaan ini ialah melalui perbentangan bajet kerajaan persekutuan setiap tahun. Dalam pembentangan bajet kerajaan persekutuan, langsung tiada sebutir huruf pun perkara pembayaran hutang kepada syarikat konsesi seperti didakwa. Jika dakwaan tuan tanah di sana itu benar, maka sepatutnya angka defisit negara tentunya lebih besar daripada sekarang kerana asyik membayar hutang kepada syarikat konsesi.
Biar saya nyatakan pembetulan yang sebenarnya. Lebuh raya ekspres di negara ini sebenarnya dibina tanpa melibatkan peruntukan daripada kerajaan (atau dengan kata lain, wang rakyat) walau sesen pun. Sebaliknya, syarikat konsesi lebuh raya itu sendiri yang berhutang dengan bank untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membina lebuh raya ekspres. Setelah lebuh raya tersebut siap, syarikat konsesi diberi kuasa untuk mengutip tol bagi lebuh raya berkenaan. Ia berbeza daripada model pembinaan jalan-jalan raya biasa, yang mana wang rakyat hasil daripada cukai jalan digunakan secara berkelompok untuk membina kesemua jalan persekutuan, negeri, perbandaran dan kampung, walaupun kebanyakan daripada jalan tersebut mungkin kita tidak gunakan. Oleh itu, model lebuh raya tol ini sebenarnya lebih adil kerana hanya pengguna lebuh raya ekspres itu sahaja yang membayar tol bagi lebuh raya berkenaan. Jika anda tidak menggunakan lebuh raya tersebut, anda tidak akan membayarnya. Saya sudah pun menyatakan mengenai model pembinaan lebuh raya tol dalam entri Lebuhraya Shapadu FT20/E30. Dengan itu, dakwaan kononnya pembinaan lebuh raya ekspres dibiayai menggunakan wang rakyat melalui cukai jalan terbukti karut lagi tidak berasas.
Kenapa kita perlu bayar tol? Syarikat konsesi lebuh raya memerlukan kutipan tol bagi membolehkan mereka membayar kembali pinjaman bank. Selain itu, mereka perlu membayar gaji keseluruhan kakitangan mereka, daripada makcik tukang sapu sehinggalah kepada pihak pengurusan syarikat konsesi. Selain itu, syarikat konsesi perlu menyelenggara lebuh raya seliaan mereka secara berkala, termasuklah memotong rumput. Di samping itu juga, bil elektrik dan bil air juga perlu dibayar - jika tidak, maka bergelaplah lebuh raya tersebut, yang tentunya berbahaya kepada pengguna lebuh raya. Sebagai sebuah syarikat, pihak konsesi juga tentunya perlu menjana sedikit keuntungan bagi memastikan kelestarian mereka. Sebab itulah kita perlu bayar tol. Tanpa tol, mana hendak cekau duit untuk membayar semua itu? Takkanlah bayar pakai air kencing pula! Ia diakui sendiri oleh Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak), syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang penuh kontroversi itu. Meskipun saya akui dakwaan tersebut adalah benar, namun saya menyelar Litrak kerana "cakap tak serupa bikin" - lebuh raya yang dilabelkan sebagai E11 itu sedikit pun tidak mengikut piawaian lebuh raya ekspres, khususnya mengenai kawalan masuk jalan raya.
Sebaik sahaja tempoh konsesi tamat, maka syarikat konsesi perlu menyerahkan hak milik lebuh raya mereka kepada kerajaan. Oleh itu, mereka perlu memastikan bahawa kesemua hutang pinjaman bank perlu dilangsaikan sebelum tempoh konsesi tamat. Konsep ini dikenali sebagai Bina-Kendali-Pindah atau BOT.
Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur E8 pula mempunyai latar belakang sejarah yang berbeza. Pemilik sebenar E8 ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bukannya MTD Prime - MTD Prime mengutip tol atas nama JKR. Kenapa pula boleh jadi begitu? Puncanya ialah Lebuhraya Karak FT2/E8 asalnya dibina oleh JKR dan kutipan tol masih diteruskan semasa ia dinaiktaraf daripada lebuh raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya ekspres 4-6 lorong. Bagi kes Lebuhraya Pantai Timur E8 pula, JKR menjadi pemilik lebuh raya tersebut setelah kontraktor asalnya menarik diri. Maka, konsesi kedua-dua lebuh raya berkenaan diberikan kepada MTD Prime secara turnkey contract. Pun begitu, tiada wang rakyat walau sesen pun yang digunakan semasa pembinaan kedua-dua lebuh raya tersebut, sebaliknya kedua-dua lebuh raya tersebut juga dibiayai melalui pinjaman bank.
Atas sebab itulah Pakatan Rakyat tidak mungkin akan berupaya menghapuskan tol lebuh raya ekspres. Penghapusan tol memerlukan kerajaan bukan sahaja membayar baki kos pembinaan lebuh raya berkenaan kepada syarikat konsesi sebagai pampasan, tetapi juga memerlukan kerajaan mengambil alih liabiliti atau tanggungan syarikat konsesi tersebut. Juga perlu diingatkan bahawa mekanisme kutipan tol sebenarnya membentuk satu mekanisme "penghalau" (deterrent) bagi memastikan kadar aliran trafik lebuh raya kekal rendah. Oleh itu, Pakatan Rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa pemansuhan tol lebuh raya ekspres bermaksud mereka terpaksa melupakan manifesto-manifesto lain yang dicanangkan seperti harga minyak murah, tarif elektrik rendah, tarif air rendah, pendidikan percuma dsb. Jadi terpulang kepada anda sama ada mahu menggunakan lebuh raya ekspres ataupun jalan raya biasa - jika anda rasakan masa itu emas, maka anda tidak seharusnya terlalu berkira untuk menghulurkan beberapa ringgit untuk menikmati perjalanan yang lebih pantas dan lebih selesa. Tetapi jika anda merasakan bahawa syarikat konsesi lebuh raya adalah "penyamun" yang sering "memeras ugut" anda, maka anda guna sajalah jalan raya biasa yang percuma itu meskipun masa perjalanan mungkin agak lambat sedikit. Pilihan di tangan anda. Namun demikian, anda memang wajar untuk berkira mengenai setiap sen yang dibazirkan di plaza tol sekiranya ia tidak berbaloi (tidak ikut piawai, dah bayar tol pun masih berlubang, dsb.) tetapi dalam masa yang sama pula tiada jalan alternatif bebas tol - "lebuh raya" seperti itulah yang sepatutnya dihapuskan kutipan tolnya!
Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.
Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.
thanks, bru skrg sy faham konsep BOT dan jugak konsep bayar balik pnjaman bank tu...:)
ReplyDeleteklau nak kata hapus tol tu, rasenyer plaza tol sg. nyior di penang tu pun dr dulu janji nak dimansuhkan, tp smpai skrg tetap ada tol tu lagi....
Tau tak apa... inilah padahnya kalau tak buat homework atau kajian terlebih dahulu sebelum mengumumkan manifesto.
Delete