Salam sejahtera,
Sebelum ini saya pernah menulis mengenai sebab kenapa had laju dikenakan di atas jalan raya. Kali ini saya ingin menulis mengenai satu kaedah paling asas bagi menentukan had laju, iaitu Peraturan 85 Peratus.
Apa itu Peraturan 85 Peratus? Peraturan 85 Peratus merujuk mengenai kaedan menentukan had laju melalui pemerhatian terhadap lalu lintas di jalan raya berkenaan. Melalui Peraturan 85 Peratus, had laju ditentukan melalui had laju berterusan bagi peratusan ke-85 bagi kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan dengan lancar tanpa sebarang lengahan. Contohnya, 85% pengguna Lebuhraya Persekutuan FT2 memandu pada kelajuan 80 km/j dengan lancar pada waktu luar puncak tanpa sebarang lengahan. Oleh itu, had laju ditetapkan pada 80 km/j. Maka, baki 15% pemandu yang memandu melebihi 80 km/j dianggap melanggar had laju.
Namun demikian, Peraturan 85 Peratus ini ada kelemahannya. Ia boleh menyebabkan had laju yang ditetapkan mungkin melebihi had laju reka bentuk bagi sesebuah jalan raya. Misalnya, pemandu akan cenderung memandu laju di laluan lurus; maka, had laju bagi peratusan ke-85 sudah tentu melebihi 90 km/j yang merupakan had laju kebangsaan. Di lebuh raya ekspres seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, kebanyakan pemandu memandu melebihi 110 km/j kecuali berhampiran kamera AES. Antara alasan popular yang diberikan termasuklah "had laju sedia ada tidak sesuai dengan teknologi automotif yang semakin canggih" serta "kereta sekarang semakin laju dan semakin selamat, maka had laju sedia ada terlalu primitif". Sebab itulah had laju reka bentuk turut diambil kira dalam menentukan had laju sesebuah jalan raya dan bukan sekadar berasaskan bancian semata-mata. Had laju reka bentuk pula banyak menggunakan perkiraan matematik kejuruteraan yang mengambil kira pelbagai faktor seperti daya emparan yang terhasil di selekoh, had geseran statik yang dihasilkan oleh tayar, sudut larian berarah jalan, dsb.
Untuk maklumat lanjut yang lebih mudah difahami mengenai Peraturan 85 Peratus, anda boleh rujuk dalam rencana mengenainya oleh Dr. Yusseri dalam majalah Roda Roda edisi Februari 2013.
No comments:
Post a Comment