Thursday, December 10, 2015

Sistem sekatan (tol terbuka) vs sistem tiket (tol tertutup) / Barrier (open toll) system vs ticket (closed toll) system




Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini pula saya akan menerangkan kepada anda mengenai dua sistem kutipan tol utama di lebuh raya ekspres di Malaysia, iaitu sistem sekatan (tol terbuka) dan sistem tiket (tol tertutup). Sistem tol terbuka bermaksud pengguna lebuh raya perlu membayar tol secara kadar rata (flat rate) setiap kali melalui plaza tol tertentu, manakala sistem tiket pula bermaksud pengguna lebuh raya membayar tol mengikut jarak perjalanan yang dilaluinya. Kedua-dua sistem boleh menggunakan mod bayaran sama ada tunai ataupun elektronik (kad Touch 'n Go dan Smart Tag).

Saya mulakan dahulu dengan sistem sekatan ataupun lebih dikenali sebagai sistem tol terbuka. Sistem tol terbuka merupakan satu sistem di mana pengguna lebuh raya perlu berhenti di plaza tol di tengah-tengah lebuh raya dan membayar tol mengikut kadar yang ditetapkan. Kadar tol yang dikenakan itu sama sahaja tidak kiralah dari mana anda memasuki lebuh raya mahupun di mana anda keluar dari lebuh raya. Bagi sistem tol terbuka, plaza tol biasanya didirikan di tengah-tengah laluan utama lebuh raya, tetapi ada juga sistem tol terbuka yang mana ada plaza tol yang dibina di persimpangan lebuh raya, misalnya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru E30. Sistem tol terbuka lazimnya diamalkan di lebuh raya perbandaran kerana ia tidak memerlukan syarikat konsesi membina plaza tol di setiap persimpangan sebagaimana sistem tertutup, sekaligus menjimatkan kos pengambilalihan tanah serta kos pembinaan. Selain itu, ada juga lebuh raya luar bandar yang turut mengamalkan sistem tol terbuka seperti Lebuhraya Latar E25, Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29; lazimnya, lebuh raya sebegini mengamalkan sistem tol tertutup disebabkan jaraknya yang pendek, menjadikan sistem tol tertutup kurang sesuai digunakan dari segi kos.

Kelebihan utama sistem tol terbuka ini sudah tentulah kos pembinaan yang lebih rendah kerana tidak perlu bina plaza tol di setiap persimpangan lebuh raya. Faktor ini sangat kritikal terutamanya di Lembah Klang di mana harga tanah yang hanya seluas sekangkang kera sahaja pun sudah mencecah jutaan ringgit, menjadikan kos pemilikan tanah dan seterusnya pembinaan plaza tol menjadi sangat mahal. Selain itu, kelebihan yang pastinya sangat disukai pengguna lebuh raya di Lembah Klang ialah ia mudah untuk dipintas - asalkan anda pandai membaca peta, anda pasti boleh mencari jalan untuk memintas plaza tol. Kami juga ada menyediakan beberapa panduan pintasan tol untuk membantu anda, di mana boleh dikatakan kesemua lebuh raya yang dipintas tolnya itu merupakan lebuh raya yang mengamalkan sistem tol terbuka. Justeru, anda boleh menggunakan beberapa batang lebuh raya secara percuma tanpa membayar tol walau sesen pun, atau setidak-tidaknya hanya perlu membayar sedikit sahaja.

Sungguhpun demikian, sifat lebuh raya tol terbuka yang mudah dipintas ini juga merupakan antara kelemahan terbesar bagi sistem tol terbuka. Akibat sifat lebuh raya tol terbuka yang mudah untuk dipintas, syarikat konsesi terpaksa menanggung kos melepas yang tinggi yang disebabkan oleh pengguna lebuh raya yang tidak membayar tol kerana keluar dari lebuh raya sebelum plaza tol. Beberapa syarikat konsesi lebuh raya mengalami kerugian akibat kos melepas walaupun sering sesak teruk, misalnya Lebuhraya Duke E33 dan Lebuhraya Kajang Silk E18. Lebuhraya Kajang Silk E18 rugi selama 10 tahun berturut-turut sejak dibuka pada tahun 2003, yang mana kerugian yang dialami adalah disebabkan oleh kadar tol yang tidak pernah naik sehinggalah kenaikan pertamanya pada tahun 2015, serta kerugian akibat kos melepas hasil penggunaan sistem tol terbuka. Sementara itu pula, Lebuhraya Duke E33 rugi 5 tahun berturut-turut; sungguhpun mereka sudah mula mencatatkan keuntungan pada tahun 2015, namun keuntungan yang diperolehi itu masih belum mencukupi untuk menampung kerugian terkumpul yang mencecah RM195 juta sejak E33 mula dibuka pada tahun 2009.

Bagi mencegah kos melepas akibat kebocoran trafik yang tidak membayar tol, ada lebuh raya yang sengaja direka supaya pengguna lebuh raya tetap terpaksa membayar tol tidak kira di mana pengguna masuk serta keluar dari lebuh raya. Ada dua cara untuk mencegah kebocoran trafik tidak berbayar ini - pertama, dengan menghapuskan sepenuhnya susur keluar sebelum plaza tol ataupun susur masuk selepas plaza tol. Mekanisme pertama ini paling ketara di Lebuhraya Duke E33, yang mana hanya beberapa persimpangan utama sahaja yang dibina sebagai persimpangan penuh; hasilnya, hanya tiga sahaja "zon percuma" di E33 iaitu Jalan Duta-Jalan Kuching, Setiawangsa-Ulu Klang dan Kampung Bandar Dalam-Greenwood. 

Sementara itu, cara kedua ialah dengan membina plaza tol di persimpangan keluar / masuk yang dikenal pasti tidak melalui plaza tol di laluan utama. Cara ini diamalkan di Lebuhraya Latar E25 (di Exit 2505 Persimpangan Kundang), Lebuhraya Pintasan Selat Klang Baru E30 (di Exit 3004 Persimpangan Kapar) dam Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 (di Exit 2905 Persimpangan Lukut).

Susulan daripada kos melepas yang ditanggung oleh syarikat konsesi, mereka sudah tentu mahukan tol dinaikkan ke satu kadar yang cukup tinggi untuk menangani kos melepas ini. Kadar tol yang dikenakan itu sudah tentulah tidak adil memandangkan kadarnya sama sahaja tidak kiralah di mana anda masuk dan keluar dari lebuh raya. Akibat bayaran tol kadar rata, pengguna yang terpaksa melepasi plaza tol hanya untuk ke taman perumahan bersebelahan terpaksa membayar tol yang sama dengan pengguna lebuh raya yang memandu dari hujung ke hujung. Adilkah begitu...? Justeru, penyelesaian yang lebih baik dan lebih adil bagi kedua-dua kelemahan ini ialah dengan berhijrah kepada sistem tol tertutup.








Di Lebuhraya Guthrie E35, pengguna lebuh raya perlu berhenti banyak kali untuk membayar tol bagi perjalanan hujung ke hujung, iaitu di Plaza Tol Bukit Jelutong (atas), Plaza Tol Elmina (gambar tengah) dan Plaza Tol Lagong (gambar bawah)


Selain daripada kos melepas dan kadal tol yang tidak adil, satu lagi kelemahan ketara pada sistem tol terbuka ialah sistem ini memerlukan pengguna berhenti banyak kali untuk membayar tol, dan ini sudah tentu mengakibatkan kesesakan lebuh raya dan mengganggu kelancaran trafik. Satu contoh terbaik bagi menerangkan isu kesesakan akibat penggunaan sistem tol terbuka ialah Lebuhraya Guthrie E35, yang mana perjalanan penuh hujung ke hujung memerlukan anda berhenti banyak kali untuk membayar tol di Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina, Plaza Tol Lagong dan Plaza Tol Rawang Selatan (untuk mengambil tiket untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E1). Kelemahan kedua ini boleh diatasi dengan berhijrah kepada sistem aliran bebas berbilang lorong (MLFF; Multi-Lane Free Flow), yang akan saya terangkan lebih lanjut dalam entri akan datang.

Seterusnya kita ke sistem kedua pula iaitu sistem tiket atau lebih dikenali sebagai sistem tol tertutup. Sistem tol tertutup bermaksud pengguna lebuh raya perlu mengambil tiket tol semasa memasuki lebuh raya dan membayar tol di plaza tol keluar; kadar tol ditentukan mengikut jarak perjalanan yang dilalui. Sistem tol tertutup mula diamalkan di Pennsylvania Turnpike yang dibuka pada tahun 1940. Di Malaysia pula, Lebuhraya KL-Seremban E37/E2 merupakan lebuh raya pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem tiket ini. Dalam sistem tiket terawal, tiket yang dikeluarkan tercatat tarikh, masa, kelas kenderaan dan persimpangan masuk lebuh raya; di persimpangan keluar, pengguna membayar tol mengikut kadar yang dipaparkan dalam jadual kadar tol. Dalam sistem tiket yang lebih baharu pula, kesemua maklumat yang sebelum ini kelihatan pada tiket seterusnya disimpan dalam jalur magnetik ataupun cip pada tiket. Sistem tol tertutup diamalkan di kebanyakan lebuh raya ekspres luar bandar jarak jauh seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, dan Lebuhraya Pantai Timur E8.

Kelebihan utama sistem tol tertutup sudah tentulah kadar tol yang lebih adil kepada semua pengguna lebuh raya. Anda bayar tol mengikut jarak yang anda lalui; jika perjalanan dekat, maka tolnya murah, dan jika perjalanan jauh pula maka tolnya pun mahal jugalah. Kadar tol yang lebih adil ini membolehkan syarikat konsesi menetapkan kadar tol yang paling berbaloi dan munasabah tanpa perlu memikirkan kerugian akibat kos melepas.






Di SKVE E26, jika saya mahu ke Telok Panglima Garang dari Putrajaya, saya hanya perlu berhenti dua kali sahaja iaitu di Plaza Tol Air Hitam (atas) dan Plaza Tol Telok Panglima Garang (gambar bawah)


Kelebihan kedua pula sudah tentulah aliran lalu lintas yang lancar tanpa sebarang gangguan yang berpunca daripada plaza tol. Dalam sistem tol tertutup, hanya dia sahaja plaza tol yang perlu didirikan di laluan utama, iaitu di kedua-dua penghujung lebuh raya; plaza tol yang selebihnya dibina di setiap persimpangan bertingkat di sepanjang lebuh raya. Maka, pengguna lebuh raya hanya perlu berhenti dua kali sahaja di plaza tol, iaitu di plaza tol masuk dan plaza tol keluar.

Namun, pengalihan sebahagian besar plaza tol ke setiap persimpangan bertingkat menyebabkan lebuh raya tol tertutup tidak boleh dipintas langsung. Jika entah bagaimana anda berjaya memasuki lebuh raya tanpa tiket tol, anda sudah tentu akan ditahan di plaza tol keluar dan boleh didenda antara RM2,000 hingga RM5,000 kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984. Namun, jangan risau kerana lebuh raya tol tertutup biasanya dibina selari dengan jalan persekutuan atau negeri yang tidak dikenakan tol supaya pengguna lebuh raya yang mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membayar tol masih ada laluan alternatif bebas tol, meskipun perjalanan agak lambat sedikit.

Selain, itu, pengalihan plaza tol ke setiap persimpangan bertingkat juga meningkatkan kos pembinaan, sekaligus meningkatkan kos keseluruhan bagi pembinaan lebuh raya berkenaan. Ia amat ketara di kawasan bandar besar yang mana harga tanah sekangkang kera pun sudah begitu mahal. Namun, sebenarnya tidak mustahil untuk berhijrah kepada sistem tol tertutup tanpa perlu banyak membina plaza tol, dengan berhijrah sepenuhnya kepada sistem tol elektronik, khususnya sistem MLFF. Untuk membolehkan ia dilakukan, ada baiknya syarikat-syarikat konsesi menghantar wakil-wakil mereka ke Jepun untuk mempelajari bagaimana syarikat-syarikat konsesi lebuh raya perbandaran Jepun melaksanakan sistem tol tertutup di kawasan bandar yang kalau diikutkan "tidak cukup tanah" bagi standard kita.

No comments:

Post a Comment