Monday, December 21, 2015

Nostalgia: 永遠にさようなら [Goodbye forever], A&W Seremban (1978-2015)...!!!




Salam sejahtera,

Salah satu daripada kegiatan ekonomi yang terhasil daripada pembinaan jalan raya ialah kewujudan sebegitu banyak tempat makan, dari sekecil-kecil gerai dan warung di tepi jalan, medan selera, hentian rehat, restoran sehinggalah kepada restoran pandu lalu. Tempat-tempat makan ini sangat penting buat para musafir yang dalam perjalanan jauh mahupun penduduk tempatan bagi mengisi perut yang lapar serta menghilangkan dahaga agar dapat meneruskan aktiviti seharian, memandangkan tidak semua yang berkesempatan memasak sendiri di rumah. Di antara jenis-jenis tempat makan tersebut, restoran pandu lalu merupakan satu kemudahan yang banyak memberi manfaat kepada pengguna jalan raya kerana mereka tidak lagi perlu keluar daripada kereta untuk membeli makanan. Mungkin pasaran restoran pandu lalu di Malaysia sekarang dikuasai McDonald's dan diikuti dengan KFC dan Pizza Hut, tetapi tahukah anda bahawa restoran pandu lalu di Malaysia sebenarnya dipelopori oleh rangkaian francais tertua di Malaysia iaitu A& W...?

Sejarah A&W di Malaysia sememangnya begitu panjang. Ia mula bertapak di Malaysia sejak penubuhan Persekutuan Malaysia lagi pada tahun 1963, melalui cawangan sulungnya yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Seterusnya, pada tahun 1965 A&W membuka restoran pandu lalu pertama di Malaysia iaitu di Petaling Jaya. Ia jauh lebih awal daripada KFC yang mula membuka cawangan sulungnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1973, diikuti McDonald's yang membuka cawangan pertamanya di Jalan Sultan Ismail dekat Bukit Bintang pada tahun 1982.

Dalam entri hari ini, saya ingin berkongsi nostalgia serta pengalaman manis saya di cawangan A&W yang paling ikonik di Seremban sehingga menjadi salah satu mercu tanda utama bagi bandar tersebut. Restoran A&W Seremban Drive-Thru yang terletak di Taman Tasik Seremban mula dibuka pada tahun 1978, dan setelah 37 tahun berbakti kepada penduduk Seremban serta para musafir yang berhenti rehat sebentar di Seremban, restoran pandu lalu pertama di Seremban itu bakal menutup pintunya buat selama-lamanya pada 1 Januari 2016 bagi memberi laluan kepada projek pembangunan di sekitar Taman Tasik Seremban. Maka, saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi kisah manis saya setelah beberapa kali saya menikmati hot dog, burger, ayam goreng, dan yang paling terkenal, rut bir.

Saya pertama kali diberi peluang menikmati hidangan di A&W pada ketika saya masih di bangku sekolah rendah pada tahun 1992. Namun, cawangan A&W pertama yang saya kunjungi itu bukanlah di cawangan Seremban Drive-Thru tetapi di Plaza Kotaraya, Johor Bahru (sekarang ia sudah pun ditutup). Kenapa saya terpaksa pergi jauh semata-mata untuk menikmati rut bir yang ditambah aiskrim vanila...? Jawapannya mudah sahaja - kampung halaman saya di Segamat tiada restoran A&W sehingga sekarang, maka saya sekeluarga terpaksa berjalan jauh semata-mata untuk menikmati kesegaran rut bir A&W. Namun, keluarga saya tidak larat untuk ke Johor Bahru yang memakan masa perjalanan selama lebih kurang 5 jam, memandangkan pada masa itu Lebuhraya Utara-Selatan E2 masih belum siap lagi. Maka, ayah saya memikirkan satu alternatif yang lebih dekat, iaitu di cawangan Seremban Drive-Thru.

Tahun 1993 merupakan kali pertama saya sekeluarga mengunjungi A&W Seremban Drive-Thru dengan menaiki kereta Proton Saga. Pada masa itu, kami sering memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 235 Persimpangan Tangkak. Tiada Exit 233 Persimpangan Jasin pada masa itu. Selain itu, jajaran Senawang-Ayer Keroh masih lagi 4 lorong dan bukannya 6 lorong sebagaimana sekarang. Kami keluar dari lebuh raya melalui Exit 220 Persimpangan Senawang dan meneruskan perjalanan ke pusat bandar Seremban melalui Jalan Seremban-Tampin FT1 yang pada ketika itu masih lagi jalan raya tunggal 2 lorong. Lebih kurang 3 km kemudian, kami sudah pun berada di Bulatan Seremban (kini ia sudah ditukar menjadi pulau jalan bagi persimpangan LILO Jalan Stesen) yang menandakan kami sudah pun hampir tiba di restoran A&W Seremban Drive-Thru.

Sejak pertama kali kami mengunjungi A&W Seremban Drive-Thru, kami sekeluarga amat menyukai restoran tersebut. Lokasinya yang terletak di Taman Tasik Seremban menyajikan pemandangan yang begitu indah dan mendamaikan. Sungguhpun restoran tersebut menyediakan perkhidmatan pandu lalu, namun kami memang tidak pernah memanfaatkan kemudahan tersebut, sebaliknya kami sering memilih untuk makan di restoran sahaja agar dapat menikmati panorama Taman Tasik Seremban yang begitu indah lagi mendamaikan. Selain datang untuk makan, saya dan adik-adik saya turut mengambil kesempatan untuk bermain-main di Taman Tasik Seremban sambil mengapresiasi warna-warna bunga-bungaan serta kehijauan alam di situ. Memandangkan kami tidak berupaya untuk datang dengan sebegitu kerap, maka kami mengambil kesempatan untuk mendapatkan bekalan air rut bir - bukan sebotol, tetapi tiga botol besar. Kalau di A&W Plaza Kotaraya Johor Bahru pula saya sekeluarga sibuk mengumpul koleksi botol Root Bear. Kenapa pula kami bersusah-payah datang jauh-jauh semata-mata mendapatkan bekalan rut bir...? Beli sahaja di kedai tak bolehkah...? Rasa rut bir asli A&W sebenarnya jauh berbeza daripada rut bir lain sama ada minuman kordial mahupun minuman berkarbonat. memandangkan ia disediakan segar setiap hari. Rut bir A&W dihidangkan di dalam koleh kaca berkabut yang disimpan di dalam peti sejuk. Hasilnya, rasa rut bir A&W sangat segar dan sangat asli, tanpa menggunakan ais yang sudah tentu akan mengurangkan rasa rut bir tersebut. Lagipun, jarak antara Seremban dengan Segamat juga agak dekat iaitu 134 km sahaja berbanding jarak antara Johor Bahru dengan Segamat sejauh 184 km.

Setelah saya melangkah dewasa, saya menetap di Batu Caves untuk mencari rezeki. Namun, setiap kali saya pulang ke kampung, kadang-kadang saya keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan melencong sebentar ke Seremban di mana A&W Seremban Drive-Thru sering menjadi destinasi saya beristirehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Kalau diikutkan, memang agak kerap juga saya melepak di A&W Wangsa Walk bersama-sama seorang adik lelaki saya, tetapi suasanya jauh berbeza berbanding dengan A&W Seremban Drive-Thru, kerana di situ saya disajikan dengan satu lagi "hidangan" istimewa yang tidak ditawarkan di mana-mana cawangan A&W yang pernah saya kunjungi sebelum ini - nostalgia manis yang mewarnai zaman kanak-kanak saya.

Setelah sebegitu lama mewarnai kehidupan saya sejak zaman kanak-kanak lagi, tahun ini saya dikejutkan dengan satu berita yang begitu menyedihkan. Melalui laman Facebook A&W Malaysia, saya mendapat tahu bahawa A&W Seremban bakal menutup pintunya buat selama-lamanya bermula 1 Januari 2016 bagi memberi laluan kepada projek pembangunan di situ. Sebelum pintu A&W Seremban tertutup buat selama-lamanya, saya benar-benar teringin untuk mengunjunginya buat kali terakhir sebelum saya kehilangan peluang tersebut. Saya cuba membelek-belek dompet saya. Wang yang saya ada sekarang hanya cukup-cukup makan untuk bertahan sebelum gaji saya yang seterusnya. Apa yang patut saya lakukan sekarang...? Harga minyak sekarang sudah mahal, ditambah pula dengan tol lebuh raya; meskipun belum ada keputusan sama ada kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan bakal naik atau tidak, namun ia tetap boleh dianggap mahal. Kalau saya hendak ke A&W sekalipun, bajet yang saya ada sekarang hanya membenarkan saya untuk menikmatinya di sekitar KL sahaja; selepas ini, sekiranya saya hendak pulang ke kampung setelah bajet mengizinkan pada awal Januari 2016 lagi, restoran A&W Seremban Drive-Thru sudah pun tiada lagi. Adakah saya hanya mampu berputih mata sahaja...? Terkilan kerana tidak dapat menziarahi A&W Seremban Drive-Thru buat kali terakhir sebelum pintunya ditutup buat selama-lamanya, saya tiada pilihan lain melainkan sekadar mencurahkan rasa hati saya dalam entri kali ini.

Setelah A&W Seremban Drive-Thru menutup pintunya buat selama-lamanya, bandar Seremban dirasakan tidak lagi sama seperti sebelumnya. Aura keceriaan yang terjana berhampiran Taman Tasik Seremban sudah hampir terpadam. Mungkin masih lagi ada cawangan A&W di Mydin Seremban, ditambah pula dengan satu lagi cawangan baharu yang bakal dibuka di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban (arah selatan), tetapi perasaannya sudah tidak lagi sama seperti sebelumnya. Apa yang menjadikan saya bertambah terkilan ialah saya tidak berpeluang membawa ibu saya yang kini lumpuh separuh badan akibat strok untuk menikmati hidangan di A&W Seremban Drive Thru buat kali terakhir. Hanya kenangan manis bersama-sama A&W Seremban sahaja yang tetap bersemadi di lubuk hati saya buat selama-lamanya.

永遠にさようなら、A&W Seremban...!!!

No comments:

Post a Comment