Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terpaksa membatalkan rancangan jelajah ke Lebuhraya Timur-Barat FT4 seperti yang telah dijanjikan sebelum ini berikutan kesibukan kerja. Sebagai pengganti, saya bawakan kepada anda reviu mengenai Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28, yang turut membawa sedikit kelainan sebagai reviu jalan raya pertama yang menampilkan video, berbanding reviu jalan raya sebelum ini yang memaparkan gambar-gambar sahaja.
Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat tiga batang jalan lingkaran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu Jalan Lingkaran Dalam (IRR), Jalan Lingkaran Tengah 1 (MRR1) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Jalan Lingkaran Dalam sekadar terdiri daripada gabungan beberapa batang jalan raya arteri utama di sekitar pisat bandar raya Kuala Lumpur iaitu Jalan Kuching / Jalan Kinabalu / Jalan Maharajalela FT1, Jalan Hang Tuah / Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail. Sementara itu, Jalan Lingkaran 1 merupakan jalan lingkaran pertama dalam erti kata sebenar di Kuala Lumpur, kerana ia memang dibina sebagai jalan lingkaran. Ia terdiri daripada Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Mahameru, Jalan Damansara dan Jalan Istana. MRR1 membentuk "sempadan" semula jadi bagi kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur. MRR2 pula dibina di sekitar kawasan sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor. Ia dibina sebagai salah satu projek infrastruktur bandar di bawah Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) dan Ketujuh (RMK7). Tidak seperti jalan-jalan raya lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL MRR2 FT28 ini merupakan salah satu daripada hanya dua sahaja jalan raya di bawah pengurusan JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; jalan raya kedua yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Persekutuan FT2.
Kenapa KL MRR2 FT28 perlu dibina...? Jika dikaji sejarah urbanisasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kawasan tepu bina Kuala Lumpur semakin berkembang menghampiri sempadannya pada tahun 1980an dan awal 1990an. Buktinya, kawasan Wangsa Maju asalnya merupakan kawasan ladang getah, tetapi kemudiannya dibuka sebagai kawasan perumahan pada tahun 1984. Begitu juga dengan Bukit Jalil yang asalnya merupakan ladang getah; ia berkembang sebagai sebuah bandar sukan sebaik Kuala Lumpur berjaya melobi sebagai tuan rumah bagi Sukan Komanwel 1998.
Selain itu, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28 ini dibina khas sebagai laluan bagi kenderaan berat untuk memintas pusat bandar raya Kuala Lumpur, memandangkan lori-lori berat dilarang memasuki kawasan pusat bandar raya pada waktu siang. Jika anda perhatikan betul-betul, lebar setiap lorong di MRR2 FT28 sangat konsisten pada 3.65 m, menjadikannya sangat sesuai digunakan oleh kenderaan berat serta membolehkan motosikal mencelah melepasi kenderaan berat, kecualilah kalau kenderaan berat tersebut memang tidak dipandu dengan cekap sehingga makan jalan.
Projek KL MRR2 FT28 mula dibina pada awal tahun 1992 dan siap sepenuhnya sepuluh tahun kemudian. MRR2 dibina secara berperingkat-peringkat dalam 3 fasa dan 12 pakej kesemuanya. Majoriti daripada jajaran MRR2 terdiri daripada pengambilalihan beberapa batang jalan raya arteri dan perumahan sedia ada untuk dinaik taraf menjadi satu laluan khusus. Jalan-jalan arteri yang diambil alih untuk membentuk MRR2 FT28 adalah seperti berikut:-
- Jalan Kepong FT54 (Sri Damansara-Kepong)
- Lebuhraya Selayang-Kepong B21 (Kepong-Taman Daya)
- Jalan Batu Caves B22 (Batu Caves-Greenwood)
- Lebuhraya Karak FT2 (Greenwood-Exit 801 Persimpangan Gombak Utara)
- Jalan Taman Melati (Taman Melati-Taman Melawati)
- Jalan Ulu Klang B23 (Taman Melawati-Ampang; kod laluan B23 kini dikitar semula sebagai Jalan Sungai Tua B23)
- Jalan Pandan Utama (Pandan Jaya-Pandan Indah)
- Jalan Cheras Baru (Jalan Kuari-Bulatan Billion)
- Jalan Midah Utama (Bulatan Billion-Taman Connaught)
- Jalan Bandar Tasik Selatan / Jalan 3/118B (Desa Tun Razak-Pekan Sungai Besi)
Selain jalan-jalan arteri yang disenaraikan di atas diambil alih, beberapa jajaran baharu sepenuhnya turut dibina. Jajaran-jajaran baharu tersebut ialah:-
- Taman Daya-Batu Caves
- Exit 801 Persimpangan Gombak Utara-Taman Melati
- Ampang-Pandan Jaya
- Pandan Indah-Jalan Kuari
- Jejambat Taman Connaught-Desa Tun Razak
- Jejambat Pekan Sungai Besi-Exit 516 Persimpangan Sri Petaling
Jajaran terakhir yang disiapkan ialah Jejambat Kepong sepanjang 1.7 km (Pakej 11), mula dibina pada Mei 1999 dan siap pada Mac 2002. Jejambat tersebut pernah menjadi kontroversi berikutan penutupannya sebanyak tiga kali yang berpunca daripada masalah keretakan pada tiang-tiangnya. Anda bayangkan, daripada 33 batang tiang sepanjang Jejambat Kepong, 31 daripadanya didapati retak - atau dengan kata lain, hampir kesemua tiang Jejambat Kepong retak. Tambah memalukan lagi, kelemahan struktur tersebut muncul semasa jejambat tersebut baru 2 tahun sahaja dibuka kepada lalu lintas.
Kenapa pula Jejambat Kepong asyik buat hal...? Pada awalnya, Jabatan Kerja Raya menyatakan bahawa kerja-kerja mengangkat kren bagi pemasangan segmen-segmen jejambat sebagai punca keretakan, dengan mendakwa bahawa tegasan yang dikenakan oleh kren tersebut adalah terlalu berat. Namun, dakwaan tersebut ditolak kerana jika diikutkan, banyak jejambat moden yang dibina dengan cara yang sama. Untuk mencari punca sebenar, empat badan penyiasatan kejuruteraan awam, iaitu Mounshell, Sharma & Zakaria (perekabentuk), Kohler & Seitz Engineering Services (dilantik oleh kontraktor),Leondhardt Andra und Partner (LAP), dan Halcrow Consultants Ltd. (dilantik oleh JKR) dilantik bagi menyiasat mengenai kes jejambat tersebut. Kohler & Seitz mendakwa bahawa keretakan Jejambat Kepong adalah berpunca daripada kegagalan reka bentuk, tetapi dakwaan tersebut telah disanggah oleh Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu.
Sementara itu, Halcrow pula mendapati keretakan Jejambat Kepong adalah berpunca daripada beberapa sebab berikut:-
- Rekaan jejambat tidak mematuhi keperluan dalam piawaian BS5400, yang mana besi pengikat pada topang jejambat dikatakan terlalu pendek dan tidak mengikut spesifikasi
- Pemasangan column rebar yang tidak mengikut prosedur yang betul
- Pembentukan ettringite yang berpunca daripada proses campuran konkrit yang tidak betul (terdapat sulfat dan air berlebihan) serta suhu pengeringan yang terlalu tinggi dan tidak sekata, sehingga menyebabkan terbentuknya rekahan.
Jejambat Kepong pertama kali ditutup pada tahun 2004 dan dibaiki semula. Namun, dua tahun kemudiannya, masalah keretakan mula muncul kembali pada 4 Februari 2006 dan dibaiki semula melalui pemasangan panel gentian karbon bagi mencegah air hujan atau air longkang daripada meresap masuk ke mana-mana rekahan halus yang temui oleh mereka. Malangnya, penyakit Jejambat Kepong tetap datang lagi pada tahun 2008 - kali ini, penutup gentian kaca pada Tiang 28 pula terkopek dan jatuh. Ironinya, pembaikan pada Tiang 28 itulah yang ditunjukkan oleh Halcrow sebagai contoh yang perlu diikuti bagi membaik pulih tiang-tiang lain di sepanjang Jejambat Kepong. Hanya setelah kerosakan pada Tiang 28 diperbaiki barulah Jejambat Kepong tidak lagi meragam.
Kontroversi keretakan Jejambat Kepong ini menjadi salah satu daripada isu kontroversi terbesar yang dihadapi Datuk Seri Samy Vellu sehingga membawa kepada kejatuhan karier politiknya pada tahun 2008. Imej KKR dan JKR pada masa itu tercalar teruk. Malah, isu Jejambat Kepong turut mengundang campur tangan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Keengganan Datuk Seri Samy Vellu mengakui terdapat unsur kecacatan struktur pada jejambat tersebut membangkitkan kemarahan rakyat, khususnya penduduk Kepong yang kerap menggunakan laluan tersebut. Tambah parah, terdapat drama pergeseran antara Datuk Seri Samy Vellu dengan JKR, apabila beliau menyalahkan JKR dalam isu MRR2 tersebut, sedangkan Ketua Pengarah JKR pada masa itu, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar mengerahkan para jurutera serta pekerja-pekerjanya bekerja 24 jam sehari dalam 2 syif bagi memperbaiki Jejambat Kepong dalam masa hanya 3 bulan sahaja. Malah, beliau sendiri pun berada di lokasi jejambat bagi memerhatikan anak-anak buahnya walaupun pada jam 3 pagi sekalipun. Malangnya, Prof. Datuk Dr. Wahid dan pasukannya langsung tidak menerima walau sepatah pun ucapan terima kasih daripada Datuk Seri Samy Vellu.
Kita tinggalkan dahulu cerita keretakan Jejambat Kepong yang pernah mencemarkan imej Kementerian Kerja Raya (KKR) suatu ketika dahulu. Sekarang kita teruskan pula dengan reviu mengenai KL MRR2 FT28 ini. Reviu kali ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian Sri Damansara-Lingkaran Karak dan Lingkaran Karak-Sri Petaling. Kedua-dua bahagian reviu ini dilakukan pada waktu malam, berikutan keadaan trafik yang sangat lancar pada waktu malam. Untuk bahagian pertama, saya menggunakan motosikal seperti biasa untuk membolehkan saya memilih lokasi-lokasi menarik untuk mengambil gambar pegun menggunakan telefon pintar Sony Xperia Z. Tidak seperti reviu Jalan Gombak FT68 di mana saya boleh mengambil gambar yang cantik dengan begitu mudah, mengambil gambar pada waktu malam dengan Xperia Z ini sebenarnya sangat mencabar. Tak percaya...? Teruskan membaca untuk mengetahuinya.
Kilometer sifar bagi KL MRR2 FT28 ini terletak di Persimpangan Sri Damansara yang dihubungkan dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11. Di sinilah ia mula bertindih kod laluan dengan Jalan Sungai Buloh FT54. Persimpangan ini hanya sekadar persimpangan berlian biasa, tetapi dengan jejambat dari LDP E11 ke FT28 untuk "melengkapkan" satu putaran, memandangkan FT28 hanya merangkumi dua pertiga daripada sistem MRR2 itu sendiri; baki sepertiga lagi melalui LDP E11 dan Lebuhraya Shah Alam E5.
Persimpangan kedua pula ialah Persimpangan Taman Bukit Maluri. Ia sekadar persimpangan separa berlian yang amat ringkas, lebih kurang sama seperti Persimpangan Sri Gombak. Namun, untuk lalu lintas arah jam, ia hanya boleh dimasuki melalui Persimpangan Sri Damansara.
Jalan Kepong FT54 bertindih dengan FT28 sehingga ke Jejambat Kepong, di mana FT54 dilencongkan keluar sehingga ke penamatnya di Bulatan Kepong. Sebenarnya, Jejambat Kepong bukan sahaja dibina di atas Jalan Kepong FT54, tetapi juga di atas Lebuhraya Selayang-Kepong B21. Kalau diikutkan, saya teringin untuk mengambil gambar dari atas jejambat, tetapi saya tidak melakukannya kerana terlalu berbahaya - Jejambat Kepong tiada bahu jalan keras untuk saya berhenti dengan selamat untuk mengambil gambar. Sebenarnya, saya masih boleh mengambil gambar Jejambat Kepong sekiranya menaiki kereta, tetapi gambar yang terhasil nanti tidak begitu memuaskan. Sebab itulah bahagian pertama reviu dilakukan dengan menggunakan motosikal bagi membolehkan saya mengambil gambar pegun yang berkualiti, manakala bahagian kedua reviu pula menggunakan video. Kenapa saya tak boleh ambil gambar dari dalam kereta...? Teruskan membaca untuk mengetahui sebabnya.
Jejambat Kepong berakhir di Taman Daya sebelum mendaki satu lagi jejambat di Taman Daya yang melencongkan Lebuhraya Selayang-Kepong B21 ke arah Bandar Baru Selayang. Jajaran dari Taman Daya ke Batu Caves pula merupakan jajaran baharu, dibina bagi menghubungkan antara kedua-dua jalan arteri yang diambil alih di kedua-dua kawasan tersebut. Saya berhenti sebentar di Shell Taman Intan Baiduri untuk bereksperimentasi dengan kamera Sony Xperia Z untuk mendapatkan setting yang paling sesuai.
Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kamera Sony Xperia Z berupaya menghasilkan gambar yang sangat cantik pada waktu siang walaupun dengan menggunakan mod automatik. Namun, lain pula halnya pada waktu malam; setting manual terpaksa dilakukan berikutan isu hingar digital yang terhasil sehingga ada kalanya boleh menjejaskan kualiti gambar. Menurut rakan-rakan yang menggunakan telefon pintar model sama, masalah hingar tersebut adalah berpunca daripada keamatan cahaya yang tidak mencukupi bagi membolehkan kamera berfungsi dengan sempurna. Tiga jenis setting telah saya cuba, iaitu High Sensitivity, Night Scene dan Fireworks. Antara ketiga-tiga setting tersebut, saya dapati setting High Sensitivity paling sesuai digunakan di lokasi ini. Resolusi gambar pula ditetapkan pada 8 megapiksel (setting asal kamera) bagi membolehkan gambar diambil dengan nisbah bidang 16:9, yang merupakan nisbah bidang paparan telefon pintar ini; resolusi maksimum 13 megapiksel pula nisbah bidangnya 4:3, tetapi saya tidak menggunakan tetapan tersebut kerana ia mungkin akan menjadikan kesan hingar digital waktu malam lebih ketara.
Sementara itu, Persimpangan Bulatan Batu Caves pula menghubungkan MRR2 FT28 dengan Jalan Ipoh / Lebuhraya Rawang FT1. Ia boleh dikatakan sebagai persimpangan bulatan terbesar di sepanjang FT28; dua lagi persimpangan bulatan di sepanjang FT28 ialah Persimpangan Bulatan Jalan Kuari dan Persimpangan Bulatan Billion, yang mana kedua-duanya terletak di Cheras. Persimpangan Bulatan Batu Caves dibina oleh MMC Corporation Berhad.
Sebaik tiba di Batu Caves, FT28 ini bertindih dengan Jalan Batu Caves B22. Namun, sebenarnya terdapat pengasingan antara B22 dengan FT28 melalui Jejambat Taman Samudera, di mana lalu lintas luar melalui FT28 di sebelah atas manakala lalu lintas tempatan melalui B22 pula melalui bahagian bawah jejambat. Di Persimpangan Batu Caves inilah terletaknya gua dan kuil yang terkenal kerana terdapat ratusan anak tangga untuk mendakinya, yang menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Memandangkan landasan kereta api komuter terletak begitu hampir dengan persimpangan tersebut, maka sebuah jejambat pusaran dibina di Jalan Batu Caves B22 untuk melintasi landasan tersebut.
Jejambat Taman Samudera dibina bagi menyelesaikan masalah kesesakan di Batu Caves akibat terpaksa melakukan pusingan U yang jauh di Greenwood atau Batu Caves berikutan ketiadaan persimpangan lampu isyarat untuk lalu lintas tempatan. Maka, jejambat tersebut dibina melalui strategi serampang dua mata, iaitu bagi mengasingkan lalu lintas tempatan dengan lalu lintas luar, serta membolehkan penduduk Taman Samudera, Taman Sri Batu Caves, Batu Muda dan Sentul untuk membelok ke kanan dengan mudah melalui persimpangan penuh. Jejambat Taman Samudera mula dibina pada 1 April 2003 dan siap pada 30 November 2005.
Sebaik menuruni Jejambat Taman Samudera, terdapat dua buah persimpangan bertingkat yang terletak sebelah-menyebelah, iaitu Persimpangan Sri Gombak dan Exit 3310 Persimpangan Greenwood. Exit 3310 Persimpangan Greenwood merupakan sebuah persimpangan bertingkat berlian yang bersejarah kerana ia asalnya dibina sebagai sebahagian projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2. Persimpangan ini diubah suai sebanyak dua kali - kali pertama ialah semasa pembinaan KL MRR2 FT28 bagi memastikan keterusan laluan (continuity) FT28, manakala kali kedua pula semasa pembinaan Lebuhraya Duke E33, yang mana baki jajaran Lebuhraya Karak FT2 dari Greenwood ke Kampung Bandar Dalam kini membentuk sebahagian daripada E33. Terdapat sebuah papan tanda penunjuk arah lama yang melabelkan E33 ke Kampung Bandar Dalam dan FT28 ke Exit 801 Persimpangan Gombak Utara sebagai FT2. Saya amat menghargai usaha JKR Gombak yang memulihara dan mengekalkan papan tanda ini untuk generasi akan datang, bagi membuktikan bahawa sebahagian daripada MRR2 FT28 asalnya merupakan naik taraf Lebuhraya Karak FT2.
Bahagian reviu bermotosikal sudah tamat, jadi kali ini kita teruskan pula dengan reviu berkereta pula. Pada asalnya, saya cuba mengambil gambar dari dalam kereta, tetapi kualiti gambar yang terhasil tidak begitu memuaskan. Oleh kerana setiap cubaan mengambil gambar dari dalam kereta yang sedang bergerak pada waktu malam tidak begitu memuaskan, maka saya mengambil keputusan untuk merakam video bagi baki jajaran MRR2 FT28 ini sehingga ke Sri Petaling.
Saya berhenti mengisi minyak kereta di Shell Lingkaran Karak. Sebenarnya, terdapat tiga buah stesen minyak di situ; dua daripadanya ialah stesen minyak Shell manakala satu lagi ialah Petronas. Stesen-stesen minyak ini sering dipenuhi orang kerana di sinilah warga KL yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 mengisi minyak dan makan sebelum meneruskan perjalanan. Dengan kata lain, Lingkaran Karak ini membentuk "hentian rehat" tidak rasmi sebelum memasuki E8/FT2.
Satu lagi persimpangan terpenting di sepanjang KL MRR2 FT28 ialah Exit 801 Persimpangan Gombak Utara. Laluan terus dari arah Greenwood dilencongkan ke Taman Melati dan Ulu Klang, manakala laluan ke Lebuhraya Karak E8/FT2 dilencongkan keluar di Exit 801. Sebab itulah KL MRR2 FT28 juga membentuk sebahagian daripada laluan Lebuh Raya Asia AH141 dari Greenwood ke Exit 801. Persimpangan ini siap dibina pada tahun 1997. Tidak seperti persimpangan-persimpangan lain di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 (serta Lebuhraya Pantai Timur E8) yang diselenggara oleh Anih Berhad, Exit 801 pula diuruskan oleh JKR sendiri. Sebab itulah tiada label Exit 801 Persimpangan Gombak Utara pada mana-mana papan tanda di situ.
Jajaran dari Taman Melawati ke Ampang sememangnya banyak berubah. Semasa saya pertama kali dibawa sekeluarga berjalan-jalan ke Kuala Lumpur oleh ayah saya semasa masih kecil lagi, Jalan Hulu Klang B23 hanya sekadar jalan raya dua lorong biasa sahaja dengan pemandangan kampung biasa di kiri dan kanan jalan; hanya semasa menghampiri Ampang barulah aura perbandaran kembali semula. Jalan Hulu Klang B23 asalnya merupakan sambungan kepada Jalan Setapak dan Jalan Genting Klang, tetapi lalu lintas dilencongkan bagi keterusan laluan FT28. Untuk membolehkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Genting Klang bergerak terus ke Jalan Hulu Klang B23, Persimpangan Taman Melawati turut menampilkan jalan susur masuk dari Jalan Genting Klang terus ke MRR2 FT28 arah jam. Setelah Jalan Hulu Klang diambil alih sebagai sebahagian KL MRR2 FT28, kod laluan lama B23 dilucutkan pewartaannya dan dikitar semula sebagai kod laluan bagi Jalan Sungai Tua B23.
Exit 3308 Persimpangan Hillview pula merupakan satu lagi persimpangan yang sangat terkenal kerana kesesakannya. Persimpangan yang asalnya sekadar persimpangan bulatan untuk ke Taman Hillview dan Keramat kemudiannya turut menempatkan persimpangan untuk ke Lebuhraya Duke E33. Maka, tidak hairanlah kenapa ia sering sesak, kerana tujuh lorong dari FT28, E33 dan Bulatan Hillview mencerut kepada tiga lorong. Namun, punca sebenar kepada kesesakan di situ sebenarnya memang FT28 itu sendiri dan bukannya E33.
Seterusnya, Jejambat Ampang yang dibina telah merubah wajah bagi kawasan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Pekan Batu 4 Ampang sebagai salah satu kawasan yang paling sibuk di Kuala Lumpur. Persimpangan yang asalnya hanya sekadar simpang tiga sudah bertukar menjadi persimpangan bertingkat berlian tiga tingkat, empat hala. Memandangkan jalan-jalan di bawah jejambat turut dihubungkan dengan Lebuhraya AKLEH E12 dan jalan-jalan tempatan seperti Jalan Kerja Air Lama, maka susur keluar dan masuk ke bahagian bawah jejambat sering sesak dan berlaku cerutan yang ketara.
Seterusnya, jajaran Pandan Jaya-Pandan Indah asalnya sering sahaja sesak atas pelbagai sebab. Persimpangan lampu isyarat Pandan Jaya dan Pandan Indah itu sendiri menyumbang kepada sebahagian besar masalah kesesakan di sana, Selain itu, konflik jalinan serta MRR2 FT28 yang mencerut daripada 6 lorong kepada 4 lorong sebelum bertukar menjadi 6 lorong semula itu juga turut menyumbang kepada kesesakan di sana. Justeru, JKR melaksanakan satu inisiatif penambakbaikan yang dikenali sebagai Skim Penyuraian Lalu Lintas Pandan Indah, melibatkan pelebaran jambatan lintasan LRT Pandan Indah, pembinaan jalan-jalan susur keluar masuk bebas jalinan, pemansuhan lampu-lampu isyarat di Pandan Jaya dan Pandan Indah, serta pembinaan pusingan U bertingkat Pandan Indah. Projek bernilai RM104.5 juta itu siap pada Februari 2012.
Dua lagi jajaran sesak yang perlu diambil perhatian oleh JKR ialah Persimpangan Bulatan Billion dan Persimpangan Desa Tun Razak. Persimpangan Bulatan Billion asalnya direka hanya sebagai jalan masuk ke taman-taman perumahan sekitar Cheras, tetapi setelah jalan raya di situ dinaik taraf menjadi MRR2 FT28, Persimpangan Bulatan Billion sering sesak hampir sepanjang masa walaupun pada waktu malam. Turut menjadi penambah perisa kepada "jem strawberi" yang sering dihidangkan kepada pengguna jalan raya di situ ialah kerja-kerja pembinaan MRT ke Kajang, yang mana pengurusan trafik di sana boleh dikatakan sangat teruk. Pada tahn 2009, MCA Cheras pernah menggesa DBKL agar merombak pemasaan lampu isyarat di situ, tetapi sebenarnya ia hampir tidak membantu langsung. Apa tidaknya, persimpangan tersebut terpaksa mengendalikan aliran keluar masuk trafik antara dua laluan yang mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi iaitu Jalan Cheras FT1 dan MRR2 FT28. Justeru, dalam kes kesesakan Bulatan Billion ini, satu-satunya penyelesaian terbaik bagi menangani kesesakan di sana adalah dengan menukarkan persimpangan tersebut kepada persimpangan bertingkat aliran bebas.
Persimpangan Desa Tun Razak juga sering sesak disebabkan kecacatan reka bentuknya. Apa tidaknya, lalu lintas dari arah Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 ke MRR2 FT28 dan sebaliknya perlu melalui Persiaran Mewah terlebih dahulu. Rekaan persimpangan jenis berlian turut menjadi punca kesesakan di situ, memandangkan persimpangan tersebut bukan sahaja perlu menangani lalu lintas tempatan, malah perlu menangani dua aliran trafik yang besar. Namun, penyelesaian bagi masalah kesesakan di situ sebenarnya sangat mudah, iaitu dengan membina satu tanjakan masuk dari pangsapuri Taman Connaught ke MRR2 FT28 arah Sri Petaling, di samping satu lagi tanjakan di Giant Taman Connaught.
Selekoh paling berbahaya di sepanjang KL MRR2 FT28 adalah di Persimpangan Pekan Sungai Besi. Selekoh di situ sangat tajam kerana MRR2 melintasi landasan kereta api untuk ke penamatnya di Exit 516 Persimpangan Sri Petaling, iaitu di KM38. Jejambat tersebut bukan sahaja melintasi landasan kereta api, malah turut melintasi Lebuhraya Sungai Besi E9. Hasilnya ialah tiga persimpangan bertingkat yang begitu rapat antara satu sama lain. Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28 tamat di Exit 516 Persimpangan Sri Petaling yang menghubungkannya dengan Lebuhraya KL-Seremban E37 - ia seterusnya bertukar menjadi Lebuhraya Shah Alam E5 jika anda jalan terus.
Sepanjang menggunakan KL MRR2 FT28, kepentingannya sebagai jalan arteri utama di sepanjang sempadan negeri Selangor-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sangat ketara. Ia juga penting sebagai laluan bagi menyuraikan lalu lintas kenderaan berat daripada memasuki pusat bandar raya. Terus-terang saya katakan, piawaian yang digunakan oleh KL MRR2 FT28 lebih kurang sama seperti LDP E11, iaitu piawaian JKR U5. Namun, saya berpendapat KL MRR2 FT28 jauh lebih baik daripada LDP E11 meskipun kedua-duanya dikenakan kawalan masuk separa, kerana lebar lorong FT28 sangat konsisten pada 3.65 m di sepanjang jajaran, tetapi lebar lorong E11 pula tidak konsisten kerana ia dibina sekadar "menaik taraf" jalan arteri perumahan sedia ada tanpa mengambil kira rekaan geometri serta kawalan masuknya. Itulah yang menjadikan LDP E11 sering sesak dan lebih berbahaya. Tambahan pula, status pewartaan kedua-dua MRR2 FT28 dan LDP E11 juga sering dibandingkan - MRR2 FT28 sering sesak tetapi kesesakannya tidak dipertikaikan kerana MRR2 FT28 memang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan biasa dengan kawalan masuk separa. Berbeza pula dengan LDP E11, ia diwartakan sebagai Lebuh Raya Ekspres, tetapi reka bentuknya banyak bercanggah dengan piawaian lebuh raya ekspres. Sebab itulah banyak orang yang menyumpah-menyeranah apabila terpaksa membayar tol di LDP E11 hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Memang dahulunya Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28 pernah dihantui kontroversi integriti dan kejuruteraan jalan raya, tetapi sekarang KKR dan JKR sudah pun membuktikan bahawa mereka sentiasa komited bagi menambah baik jalan lingkaran utama di Kuala Lumpur ini dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa silam.
Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.
Bahagian pertama (Sri Petaling-Lingkaran Karak)
Permulaan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 di Sri Damansara - MRR2 FT28 mula bertindih dengan Jalan Kepong FT54 dari Sri Damansara...
...sehingga ke Jejambat Gombak di mana FT54 dilencongkan keluar
Tiga setting berbeza bagi lokasi yang sama iaitu di Taman Intan Baiduri - Ini hasil setting High Sensitivity...
...manakala Night Scene akan menghasilkan gambar yang lebih malap sedikit...
...manakala Fireworks pula menukarkan cahaya latar putih dari lampu jalan LED kepada kekuningan
Menghampiri Bulatan Batu Caves
Menghampiri Persimpangan Batu Caves
Untuk ke Jalan Sungai Tua B23 melalui Jalan Batu Caves B22, ambil lorong tengah dan belok kiri
Jejambat Taman Samudera
Ada bazar uptown di Sri Gombak
Exit 3310 Persimpangan Greenwood
Kisah klasik untuk masa depan - papan tanda sebegini wajar dikekalkan dan dipulihara sebagai bukti perkembangan jalan raya di sini
Persimpangan Greenwood dari arah Taman Greenwood
Shell Lingkaran Karak sering dipenuhi kenderaan yang hendak ke pantai timur
Begitu juga dengan Petronas Lingkaran Karak
Lingkaran Karak menjadi hentian rehat tidak rasmi bagi mereka yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2
Exit 801 Persimpangan Gombak Utara
Gambar Exit 801 Persimpangan Gombak Utara semasa ia baru saja siap pada tahun 1997
Bahagian kedua (Lingkaran Karak-Sri Petaling)
No comments:
Post a Comment