Salam sejahtera dan Selamat Hari Malaysia kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia,
Perodua menyambut Hari Malaysia pada tahun ini dengan melancarkan model terbaru mereka iaitu Perodua Axia. Model yang dinanti-nantikan sebagai pengganti kepada Perodua Viva ini menjadi kebanggaan Perodua, memandangkan Axia ini merupakan model pertama yang dikeluarkan melalui insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Untuk melayakkan Axia dikategorikan sebagai EEV, Axia perlu dibina sebagai sebuah kereta bandar raya yang bukan sahaja jimat minyak, malah mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.
Perodua Axia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Convention Centre pada malam 15 September 2014. Saya berkesempatan untuk berkunjung ke Perodua Taman Samudera Batu Caves keesokan harinya (16 September 2014) untuk melihat sendiri model baharu yang menjadi kebanggaan Perodua ini.
Kesemua varian Axia digerakkan oleh enjin baharu 1KR-DE 1 liter 3 silinder tanpa teknologi DVVT (Pemasaan Injap Boleh Laras Dinamik), tetapi masih berupaya mencatatkan penjimatan bahan api sehingga 21.6 km/L bagi model transmisi manual dan 20.1 km/L bagi model transmisi automatik. Ia lebih jimat minyak berbanding Perodua Viva 660 manual yang sekadar mencatatkan penggunaan bahan api 18.7 km/L, lebih kurang sama seperti Proton Iriz yang menggunakan enjin hampir dua kali ganda lebih besar. Selain itu, enjin 1KR-DE tersebut sebenarnya lebih berkuasa daripada enjin EJ-VE yang digunakan pada Viva, walaupun tanpa penggunaan DVVT - enjin 1KR-DE mampu menghasilkan 66 bhp @ 6,000 rpm berbanding hanya sekadar 60 bhp @ 6,000 rpm pada enjin EJ-VE. Maka, keseluruhan varian Axia menggunakan enjin 1 liter tersebut sebagai satu-satunya pilihan enjin yang ada - tiada lagi varian 850 cc mahupun 660 cc.
Bagaimana Axia ini boleh jadi lebih jimat minyak daripada Viva...? Biar saya senaraikan pendekatan yang digunakan:-
- Enjin 1KR-DE diperbuat daripada aluminium tuang yang bukan sahaja lebih ringan daripada besi tuang yang digunakan pada enjin EJ-VE, malah turut mempunyai perwatakan haba yang lebih baik. Hasilnya, enjin lebih mudah dipanaskan, lebih banyak tenaga haba yang dimanfaatkan untuk menghasilkan kuasa dan kurang haba yang dibazirkan untuk memanaskan enjin.
- Ukuran lubang x lejang diubah semula untuk menjadikannya lebih cekap. Enjin 1KR-VE mempunyai ukuran lubang x lejang 71 x 84 mm berbanding enjin EJ-VE yang mempunyai ukuran lubang x lejang 72 x 81 mm. Lejang yang lebih panjang ini menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (11:1 berbanding 10:1 pada EJ-VE), sekaligus meningkatkan kecekapan pembakarannya.
- Rongga masukannya diperbuat daripada plastik resin gred automotif, menjadikan udara masuk lebih lawas berbanding rongga masukan besi tuang atau aluminium tuang.
- Enjin 1KR-DE juga menggunakan omboh bersalut resin untuk mengurangkan geseran. Selain itu, enjin 1KR-DE menggunakan minyak enjin bergred 0W-20 API SN yang cair untuk lebih penjimatan bahan api.
- Axia menggunakan stereng kuasa elektrik, yang berupaya meningkatkan penjimatan bahan api melalui pengurangan beban parasitik pada enjin. Stereng kuasa hidraulik konvensional pula memerlukan enjin sentiasa menggerakkan pamnya, sekaligus menjadi beban parasitik pada enjin.
Dari segi dalaman, ruangan but Axia memang besar bagi sebuah hatchback. Dengan ruangan but 260 L, ia bukan sahaja lebih besar daripada but Viva (146 L), tetapi juga lebih besar daripada but Myvi (208 L). Besar kan?
Satu lagi inovasi yang langsung saya tidak perasan semasa mengunjungi Perodua Taman Samudera ialah pencangkuk beg tangan anti ragut yang ditempatkan di sebelah kanan kerusi penumpang hadapan, jauh daripada jangkauan si peragut bangsat. Memandangkan golongan wanita merupakan salah satu daripada golongan sasaran bagi Axia ini, ciri sebegini sangat dialu-alukan bagi mengurangkan kes-kes ragut yang mensasarkan pemandu wanita yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ataupun semasa kesesakan jalan raya.
Perodua Axia didatangkan dalam empat varian dan dua wajah berbeza, boleh dikenali melalui lampu hadapan, gril dan bampar hadapan yang berbeza. Wajah pertama yang kelihatan ceria itu didatangkan pada varian E dan G, manakala varian SE dan Advance pula didatangkan dengan wajah yang lebih garang. Wajah-wajah "ceria" pada varian E dan G menggunakan lampu-lampu halogen serta reka bentuk gril dan bampar yang kelihatan seakan-akan wajah yang tersenyum, manakala wajah-wajah "garang" pada varian SE dan Advance pula menggunakan lampu hadapan jenis projektor, dilengkapi lampu kabut serta mempunyai reka bentuk gril dan bampar yang kelihatan seakan-akan mulut yang sedang ternganga besar dalam keadaan marah. Jujur saya katakan, saya lebih menyukai wajah-wajah "ceria" berbanding wajah-wajah "garang" pada varian lebih tinggi, yang saya sifatkan sebagai agak hodoh. Itu hanyalah pandangan saya sahaja, orang lain pula mungkin akan menganggap sebaliknya.
Bagaimana pula dengan ciri-ciri yang diterapkan...? Biar saya ringkaskan serba sedikit mengenai ciri-ciri bagi setiap varian Axia di bawah:-
Perodua Axia 1.0 E (manual sahaja)
- Varian termurah bagi Axia
- Tiada pengelap cermin belakang
- Roda jenis keluli berpenutup
- Tiada takometer
- Tiada radio (tetapi ada ruang kosong untuk memasang radio sendiri)
- Tiada kunci berpusat
- Tiada penggera kawalan jauh; kunci pintu terpaksa dibuka secara manual menggunakan anak kunci
- 2 biji beg udara
- Cermin sisi dilaras secara manual
- Harga: RM24,600 (bukan metalik); RM25,000 (metalik)
Perodua Axia 1.0 G (manual dan automatik)
- Dilengkapi pengelap belakang
- Roda jenis rim aloi 14 inci
- Ada takometer
- Radio bersepadu dengan pemain CD sahaja
- Ada takometer
- Dilengkapi kunci berpusat dan penggera kawalan jauh, dengan butang penggera dan kunci disepadukan
- Dilengkapi sensor undur
- Dilengkapi pencangkuk anti ragut
- 2 biji beg udara
- Cermin sisi kawalan elektrik dan boleh dilipat secara elektrik
- Harga: RM29,800 (manual, bukan metalik); RM30,200 (manual, metalik); RM32,800 (automatik, bukan metalik); RM33,200 (automatik, metalik)
Perodua Axia 1.0 SE (manual dan automatik)
Dilengkapi kesemua ciri yang ada pada varian G tetapi dengan beberapa penambahan berikut:-
- Lampu projektor hadapan
- Lampu kabut
- Sensor parkir hadapan
- Radio bersepadu dengan pemain CD, MP3, USB dan Bluetooth
- Alas kepala berasingan bagi kerusi belakang
- ABS, EBD dan BA
- Harga: RM36,800 (manual, bukan metalik); RM37,200 (manual, metalik); RM39,800 (automatik, bukan metalik); RM40,200 (automatik, metalik)
Perodua Axia 1.0 Advance (automatik sahaja)
Dilengkapi kesemua ciri yang ada pada varian SE tetapi dengan beberapa penambahan berikut:-
- Unit multimedia skrin sentuh dengan GPS dan pemain DVD
- Kemasan dalaman kulit
- Butang kawalan radio pada stereng
- Harga: RM42,130 (automatik, bukan metalik); RM42,530 (automatik, metalik)
Sesi pandu uji akan dijalankan sebaik sahaja kereta pandu uji sudah disediakan di bilik pameran Perodua pada hujung bulan ini.
Laman web rasmi: http://www.perodua.com.my
Spesifikasi Perodua Axia 1.0 2014
Enjin: 1KR-DE2 DOHC 12 injap 3 silinder 4 lejang 1.0 liter sejukan cecair
Sesaran: 998 cc
Lubang x lejang: 71 x 84 mm
Nisbah mampatan: 11:1
Kuasa kuda: 66 bhp @ 6,000 rpm
Tork: 90 N-m @ 3,600 rpm
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan
Jarak roda: 2,455 mm
Berat kering: 820-850 kg
Muatan tangki bahan api: 33 liter
Apa yang saya suka
- Kesemua varian menggunakan enjin 1 liter yang lebih berkuasa tetapi lebih jimat minyak daripada Perodua Viva 660
- Nilai untuk wang yang terbaik
- Varian yang lebih mahal turut dilengkapi sensor parkir hadapan, pertama kali untuk Perodua
- Ruang but yang lebih luas daripada Myvi
Apa yang saya tidak suka
- Rekaan bampar dan gril hadapan bagi varian SE dan Advance kelihatan hodoh pada pandangan saya
- Jenis tali pinggang keledar penumpang tengah belakang yang mengganggu penglihatan cermin belakang
Bahagian hadapan Perodua Axia 1.0 G dengan wajah "ceria"
Pandangan hadapan Perodua Axia 1.0 Advance dengan wajah "garang"
Pandangan bahagian tepi
Lampu belakang Axia menggunakan LED dan bertemakan daun, menyerlahkan imej Axia sebagai kenderaan cekap tenaga
Axia kali ini menggunakan enjin 1KR-DE serba baharu
Ruangan but belakang Axia begitu besar bagi sebuah hatchback (260 L), malah lebih besar daripada Myvi - boleh muat empat beg besar!
Meter laju yang besar diapit oleh takometer comel di sebelah kiri dan panel LCD di sebelah kanan
Unit GPS bagi varian Advance...
...dan radio biasa dengan pemain CD pada varian G
Perodua Axia boleh didapati dalam pilihan transmisi automatik 4 kelajuan...
...ataupun transmisi manual 5 kelajuan
No comments:
Post a Comment