Friday, August 15, 2014

Perodua Axia vs Proton Iriz







Salam sejahtera,

Hari ini Perodua secara rasminya membuka tempahan bagi model kereta baharunya iaitu Perodua Axia. Model yang dibina bagi menggantikan Perodua Viva itu dibangunkan sebagai model pertama yang memanfaatkan insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diumumkan dalam pindaan Dasar Automotif Nasional (NAP) terbaharu. Nama "Axia" sebenarnya merupakan permainan kata bagi perkataan "Asia", yang mana huruf S digantikan dengan huruf X yang mewakili nombor 10 dalam sistem pernomboran Roman, memandangkan Axia merupakan model kereta kesepuluh keluaran Perodua sepanjang sejarahnya. Harga yang diumumkan bermula daripada RM24,900 bagi varian asas transmisi manual sehinggalah kepada varian termahal transmisi automatik yang berharga RM45,300.

Memandangkan Axia ini dibina hasil program EEV, maka sudah tentulah harga yang ditawarkan itu cukup murah tetapi dalam masa yang sama Perodua mendakwa bahawa Axia ini lebih jimat minyak daripada Viva (sekitar 21.6 km/L berbanding 18.7 km/L pada Viva 660). Ia menggunakan enjin 1KR-DE tiga silinder yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya bagi menggantikan enjin EJ-VE yang digunakan pada Viva selama ini. Sayangnya, unit 1KR-DE yang digunakan ini tidak dilengkapi dengan sistem Pemasaan Injap Boleh Laras Dinamuk (DVVT) sebagai mana EJ-VE, tetapi kuasa kudanya meningkat daripada 60 PS @ 6,000 rpm kepada 65 PS @ 5,000 rpm. Torknya merosot sedikit daripada 90 N-m @ 3,600 rpm kepada 87 N-m pada rpm yang sama. Pemansuhan DVVT ini membantu menurunkan kos pembuatan, tetapi bagi menampung defisit kekurangan kuasa sekiranya DVVT tidak digunakan, enjin 1KR-DE dibangunkan dengan lejang yang lebih panjang. Ia masih lagi menggunakan sama ada kotak gear manual 5 kelajuan ataupun automatik 4 kelajuan. Transmisi automatik 4 kelajuan kalau diikutkan sudah dianggap ketinggalan zaman, tetapi pemilihannya berbanding CVT yang lebih ringan dan lebih jimat minyak dilakukan atas dasar kos.








Sementara itu pula, Proton Global Small Car (GSC) yang khabarnya bakal menggunakan nama Proton Iriz pula merupakan sebuah kereta supermini (segmen B) bagi menggantikan Proton Savvy, berbeza dengan Perodua Axia yang merupakan sebuah kereta bandar raya (segmen A). Penggunaan enjin 1.3L itu sendiri sudah cukup untuk membuktikannya. Selain itu, Iriz juga menggunakan kotak gear CVT, sama seperti model-model baharu Proton yang lain seperti Proton Saga FLX dan Proton Suprima S. Tiada butiran lanjut mengenai spesifikasi teknikal Iriz / GSC ini, tetapi sudah banyak gambar spyshot mengenainya yang tersebar luas di serata alam siber. Malah, Proton sendiri pun mengeluarkan satu teaser rasmi mengenainya yang diselitkan dalam video klip lagu rayanya.

Jadi yang mana satukah di antara kedua-dua kereta ini yang mampu menarik perhatian anda...? Tepuk dada, tanyalah selera. Jadi sama-samalah kita nantikan pelancaran bagi kedua-dua model ini. Blog Jalan Raya Malaysia sedang merancang untuk mengadakan sesi pandu uji bagi kedua-dua model ini sebaik selepas dilancarkan.

No comments:

Post a Comment