Salam sejahtera,
Lebih setahun lalu, saya telah pun menulis mengenai model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama keluaran Modenas iaitu Modenas 118EFI, yang juga merupakan model kapcai pancitan bahan api pertama yang dijual di Malaysia. Pada masa itu, saya amat mengharapkan agar model tersebut mendapat sambutan luar jangkaan, memandangkan rakyat Malaysia rata-ratanya menantikan kemunculan model kapcai pancitan bahan api di Malaysia setelah ketinggalan begitu jauh dengan Thailand dan Indonesia dalam bidang teknologi motosikal. Namun, realiti sebenar yang berlaku jauh berbeza daripada jangkaan - Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang dilancarkan lebih lewat pula yang mendominasi pasaran kapcai pancitan bahan api secara total, tetapi Modenas 118EFI pula amat sukar ditemui di sekitar Lembah Klang; kalau ada pun, ia boleh dibilang dengan jari sahaja. Jika sebelum ini Proton sering dikritik kerana prestasi jualan yang hambar di samping persepsi kualiti, prestasi jualan Modenas pula mungkin 10 kali lebih teruk sehingga ke tahap ramai yang terlupa akan kewujudan syarikat pengeluar motosikal nasional itu. Dakwaan ini bukan datang dari mulut saya, tetapi ia disuarakan sendiri oleh wartawan automotif terkemuka negara, Hezeri Samsuri.
Kenapa boleh jadi sehingga ke tahap sebegitu...?
Sebab paling utama kenapa prestasi jualan Modenas begitu hambar adalah disebabkan aktiviti promosi yang sangat lemah. Jika dibandingkan dengan zaman kegemilangannya pada tahun 1990an sehingga ke awal 2000an, usaha promosi yang dilakukan oleh Modenas pada masa itu sangat agresif, meskipun dengan hanya bermodalkan hanya satu atau dua buah model sahaja pada penghujung 1990an. Saya ingat lagi semasa di bangku sekolah menengah, boleh dikatakan majoriti daripada rakan-rakan di sekolah saya menunggang motosikal Modenas Kriss. Malah, saya sendiri pun pernah memiliki sebuah motosikal Modenas Kriss 2 yang banyak berjasa kepada saya semasa menuntut di universiti dahulu. Harga mampu milik, promosi agresif, reka bentuk produk yang praktikal, prestasi setanding dengan model pesaing seperti Yamaha Lagenda 110 serta alat ganti yang mudah dicari kesemuanya merupakan ramuan utama kepada kejayaan model Kriss. Namun, kenapa pula Modenas kini sudah tidak lagi mampu mencapai kejayaan yang serupa...? Apa tidaknya, usaha promosi yang dilakukan tidak seagresif dahulu, khususnya di Kuala Lumpur; kalau ada pun, ia hanya sekadar penampilan dalam filem-filem Melayu bertemakan rempit sahaja.
Sebab kedua paling utama ialah keengganan Modenas untuk keluar daripada kepompong mereka sendiri. Sebenarnya, ramai di kalangan peminat motosikal tempatan (termasuk saya) yang mendesak Modenas agar mengeluarkan model-model motosikal bergenre lain yang lebih besar tetapi mampu milik dan tidak hanya sekadar mengeluarkan model-model kapcai dan skuter bawah 200 cc sahaja. Logiknya sangat mudah - tidak semua penunggang motosikal yang mahu terus kekal menunggang motosikal kapcai sahaja tetapi mahukan motosikal genre lain yang lebih besar sesuai dengan peningkatan usia dan tahap kerjaya. Maka, ramai peminat motosikal tempatan mendesak Modenas agar mengeluarkan model-model genre lain seperti super motard, naked mahupun sport, demi memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan motosikal yang lebih besar tetapi tetap mampu milik. Malangnya, Modenas tetap berpendirian mahu kekal sebagai pengeluar kapcai bawah 200 cc sahaja. Akibat keengganan mereka untuk berubah, kedudukan Modenas dalam industri motosikal negara semakin lama semakin jatuh, sehinggakan Demak, yang sebelum ini dianggap sebagai pengeluar motosikal picisan turut mengalahkan Modenas, melalui barisan model-model super motard mampu milik yang dikeluarkannya.
Untuk kembali bangkit mendominasi industri motosikal negara, Modenas seharusnya belajar daripada usaha transformasi yang dilakukan pada Bajaj Auto, syarikat pengeluar motosikal terbesar di India, oleh pengarah urusannya, Rajiv Bajaj. Sebelum Rajiv menjadi pengarah urusan Bajaj Auto, syarikat tersebut hanya sekadar dikenali sebagai pengeluar beca berenjin serta model skuter Bajaj Chetak, yang sekadar hasil kejuruteraan undur bagi Vespa semata-mata. Setelah Rajiv dilantik sebagai pengarah urusan, beliau melakukan transformasi besar-besaran dengan menghentikan pengeluaran Bajaj Chetak dan mengeluarkan model baharu yang jauh lebih praktikal iaitu Bajaj Pulsar. Sejak ia mula diperkenalkan, Bajaj Pulsar menerima pelbagai pembaharuan yang diterapkan, daripada penggunaan karburetor kepada pancitan bahan api, dan daripada enjin satu palam pencucuh sesilinder kepada enjin dua palam pencucuh sesilinder. Hasilnya, Bajaj Pulsar bukan sahaja laris di pasaran India, malah Kawasaki turut berminat untuk mengedarkannya dengan nama Kawasaki Bajaj Pulsar di Indonesia.
Untuk membolehkan banyak jenis motosikal dikeluarkan, Modenas perlulah mengeluarkan banyak keluarga enjin dalam pelbagai saiz. Untuk membolehkan kos pengeluaran diminimakan, rekaan enjin perlulah bersifat modular (iaitu, kotak engkol sama cuma saiz, cuma bongkah enjin serta dimensi lubang x lejang berbeza). Langkah Modenas membangunkan enjin 150 cc sendiri merupakan satu langkah pertama yang harus dipuji, cuma saya harapkan agar teknologi yang diterapkan itu sesuai dengan perkembangan semasa (4 injap sesilinder, guna pancitan bahan api, dsb.)
Dari segi promosi pula, Modenas sewajarnya kembali agresif mempromosikan model-model keluaran mereka. Wujudkan rangkaian kedai 3S (Sales, Service, Spare Parts) melalui usaha sama dengan kedai-kedai motosikal. Selain itu, Modenas perlu mewujudkan satu program penghargaan kepada wakil-wakil penjual bagi menggalakkan kedai motosikal menjual produk Modenas dengan lebih agresif lagi. Sebenarnya kalau diikutkan produk-produk keluaran Modenas tidak kurang menariknya, cuma genre yang dikeluarkan perlulah dipelbagaikan dan usaha promosi pula perlulah diperhebatkan.
Kesimpulannya, masih tidak terlambat untuk Modenas bekerja keras bagi merampas semula takhta pengeluar motosikal terbesar di Malaysia. Namun, untuk membolehkan matlamat tersebut tercapai, Modenas perlulah terlebih dahulu keluar daripada kepompong mereka sendiri yang "mengehadkan" mereka kepada sekadar pengeluar motosikal kapcai bawah 200 cc semata-mata. Hanya melalui kesungguhan mereka untuk berubah, di samping usaha promosi yang dilipat gandakan secara agresif, mampu untuk memulihkan semula kedudukan Modenas dan seterusnya mengembalikan zaman kegemilangan Modenas seperti yang pernah dicapai pada penghujung tahun 1990an dahulu.

No comments:
Post a Comment